andai kau sudi

Tuesday, March 15, 2011

Mencintai Seseorang Yang Tidak Sempurna Dengan Cara Yang Sempurna



Ketika kita bertemu orang yang tepat untuk dicintai,
Ketika kita berada di tempat pada saat yang tepat,
Itulah kesempatan
Ketika kita bertemu dengan seseorang yang membuatkan mu tertarik, Itu bukan pilihan
itu kesempatan.
Bertemu dalam suatu peristiwa bukanlah pilihan ,
Itupun adalah kesempatan .
Bila kita memutuskan untuk mencintai orang tersebut,
Bahkan dengan segala kekurangannya,
Itu bukan kesempatan, itu adalah pilihan.
Ketika kita memilih bersama dengan seseorang walaupun apapun yang terjadi,
Itu adalah pilihan .
Adalah pilihan yang harus kita lakukan.
Bahkan ketika kita menyedari bahawa masih ramai orang lain
Yang lebih menarik, lebih pandai, lebih kaya daripada pasanganmu Dan tetap memilih untuk mencintainya,
Itulah pilihan.
Perasaan cinta, simpati, tertarik,
Datang sebagai kesempatan pada kita.
Tetapi cinta sejati yang abadi adalah pilihan.
Pilihan yang kita lakukan.
Berbicara tentang pasangan jiwa,
Ada satu petikan dari filem yang Mungkin sangat tepat :
“Nasib membawa kita bersama, tetapi tetap bergantung pada kita
bagaimana membuat semuanya berhasil”
Pasangan jiwa boleh benar-benar ada.
Dan  sangat mungkin ada seseorang
Yang diciptakan hanya untukmu.
Tetapi tetap berpulang padamu
Untuk melakukan pilihan apakah engkau ingin
Melakukan sesuatu untuk mendapatkannya, atau tidak,
Kita mungkin kebetulan bertemu pasangan jiwa kita,
Tetapi mencintai dan tetap bersama pasangan jiwa kita,
Kita ada di dunia bukan untuk mencari
seseorang yang sempurna untuk dicintai
TETAPI untuk belajar mencintai orang yang tidak sempurna
dengan cara yang sempurna
“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu akan bahagia.” (Muttafaqun ‘Alaihi)
“Apabila kamu sekalian didatangi oleh seseorang yang warak dan akhlaknya kamu redhai maka kawinkanlah dia. Jika kamu sekalian tidak melaksanakannya maka akan terjadi fitnah di muka bumi ini dan tersebarlah kerosakan.” (HR. At Tirmidzi)


 http://akuislam.com/blog/renungan/belajar-mencintai-seseorang-yang-tidak-sempurna-dengan-cara-yang-sempurna/


Monday, March 14, 2011

Nota Cinta Aisyah

   Jari jemari itu bergerak seiringan lagu cinta syahdu yang sedang mengisi ruangan pendengarannya kini. Coretannya seperti tidak berpenghujung. Semakin menulis, semakin jauh dia rasakan kepergiannya. Semakin jauh pelariannya. Bagaikan sedang lari daripada sesuatu yang sedang mengejar. Kesedihan yang mengejar. Sesekali dia merenung ke arah dinding putih yang tidak berpenghujung itu. Kosong dan putih. Sekosong hatinya kini.


   Sejak pemergian sahabat setia, kekasih tercinta merangkap suami tersayang, Aisyah  semakin kerap menyendiri. Siang dan malam menyendiri di rumah kosong yang tidak berpenghuni itu. Rumah kecil yang telah menjadi saksi kepada kisah-kisah cinta dia dan kekasihnya yang hanya berlanjutan sepurnama sahaja. Sejak kepergian itu, kegembiraan serta gelak tawa dahulu kini diganti dengan butir-butir air mata yang sering mencurah bagaikan air sungai setelah usai titisan hujan. Tidak pernah berhenti dan kekeringan.


   Semakin ligat menulis, tekanan yang diberikan kepada batang pen yang sering menanggung siksa di atas kesedihan wanita muda itu semakin tidak stabil. Aisyah tetap meneruskannya. Meskipun tidak tahu akan berhenti di mana. Hanya itu sahaja yang bisa dilakukannya setelah kasih itu hilang. Dia hanya bisa menulis. Menulis sepanjang waktu. Kembali semula kepada rutinnya sebelum kasih itu dahulunya menjadi sebab kepadanya untuk berhenti menulis. Kini, setelah kasih itu pergi, dia kembali menulis.


   Jari jemarinya suah semakin lemah. Perlahan-lahan batang pen itu dilepaskan daripada genggaman. Dilipat helaian-helaian kertas itu lalu disimpan di dalam sampul berwanran merah jambu yang semerbak mewangi. Ditulis nama pengirim serta penerimanya. Tidak beralamat sepertimana dahulu.








**********************************************************************************


   " Sedang menulis apa, Aisyah?" suara lembut itu disertai usapan lembut di kepalanya. Aisyah sedikit kaget. Segera disembunyikan kertas yang telah hampir 2 jam menjadi tempat coretan luahan rasanya.Puan Asiah hanya tersenyum. Ditatapnya wajah muda yang berseri-seri itu. Masih menantikan sebarang jawapan. Sampul surat berwarna merah jambu yang masih tidak sempat disembunyikan menjadikan Puan Asiah semakin musykil dan ingin tahu.


   " Menulis nota, ibu. Nota Cinta." Aisyah tersenyum manis. Pipinya kemerahan menahan rasa malu. Nota cinta pertama buat cinta pertama.Kepalanya ditundukkan. Tidak berani menata wajah ibu tercinta.  Puan Aisyah sedikit terkejut. Nota cinta? Anak gadis yang berusia 17 tahun itu sudah bisa menulis nota cinta? Siapakah jejaka bertuah yang akan menjadi penerimanya? Puan Aisyah menjadi semakin ingin tahu.








   " Buat siapa, nak? " lembut suara itu bertanya lagi. Rambut Aisyah yang ikal mayang itu diusap perlahan-lahan. Mengalir kasih suci ibu pada setiap celahan jari-jemari yang lembut membelai itu.


   " Buat Abang Hakim. Orang yang Aisyah cinta!" ada sedikit nada keriangan pada kata-katanya. Serentak itu juga, Aisyah segera melompat ke atas katil. Wajahnya disembamkan pada bantal putih itu. Malu. Itu sahaja perasaannya ketika itu. Seseungguhnya, Aisyah tidak pernah merasakan apa yang dirasakannya pada Abang Hakim pada mana-mana lelaki.


   Setiap kali bertemu, pasti jantungnya akan berdegup kencang. Pasti dia akan merasa cemas. Namun, di sebalik rasa cemas itu, ada rasa bahagia yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Tidak pernah dirasakan ketika bersama sahabat-sahabat lelaki yang lain. Perasaan pada Abang Hakim lain sekali. Hanya ketika bertemu Abang Hakim sahaja jantungnya akan berdebar-debar dan berdegup kencang. Memainkan irama cinta.


**********************************************************************************


   Puan Asiah duduk di birai katil. Tersenyum sendiri melihat keletah Aisyah yang pastinya sedang disapa cinta pertama. Tidak ada apa yang harus dimarahkan bagi Puan Asiah kerana padanya, perasaan ingin mencintai dan dicintai pada anak remaja seusia Aisyah adalah fitrah kejadian manusia. Namun, ada sesuatu yang harus dikhabarkan kepada Aisyah tentang cinta supaya dia tidak jatuh ke dalam jurang cinta nafsu yang dalam lagi menyiksakan.


   " Ibu, Aisyah suka Abang Hakim. Suka sangat. " Terlihat cahaya di dalam anak matanya yang polos itu. Ada kebahagiaan yang berbeza pada senyuman yang menguntum di bibir mulusnya.


   " Kalau jumpa Abang Hakim, Aisyah rasa jantung Aisyah ni berdebar-debar. Aisyah rasa macam nak pengsan, tapi Aisyah gembira. Esoknya, Aisyah rasa macam nak jumpa Abang Hakim lagi. Kawan-kawan cakap, kalau jantung kita berdegup kencang untuk seseorang lelaki, itu tandanya kita sudah jatuh cinta pada lelaki itu. Betulkah, ibu? Itukah cinta, ibu?" Mata bening itu tidak berkerdip sekalipun tatkala menantikan jawapan kepada setiap persoalannya.


   " Ya, nak. Itulah cinta. Cinta pandang pertama. Ibu juga pernah rasa begitu. Pada ayahmu dahulu. Tetapi, itu sudah lama berlalu." Sejujurnya, Puan Asiah tidak mahu mengiakan segala pertanyaan Aisyah tadi. Kerana dia sendiri tahu bahana apa yang dibawakan oleh cinta para remaja pada masa kini. Namun, dia tidak mahu menunjukkan rasa resahnya itu dengan cara yang salah. Perasaan Aisyah itu adalah sesuatu yang normal. Biarlah dia terus merasakannya asalkan dia mampu mengawalnya. Mengawalnya sehingga hanya kebaikan yang akan didatangkan oleh cinta itu. Lagi pula, cinta anak gadis seperti Aisyah biasanya bersifat sementara. Apabila sudah tiba waktunya, pasti cinta itu akan pergi jua.


   " Tapi, nak. Harus diingat. Bersama cinta itu, bukan datang kebahagiaan sahaja. Di pertengahannya, pasti akan dilanda badai juga. Keteguhanmu dalam melewati badai itu nanti akan menentukan pengakhirannya. Jangan sampai tertipu oleh cinta, nak. Jangan sampai cinta yang suci itu kau tukarkan menjadi cinta nafsu yang dipenuhi rayuan-rayuan syaitan yang akan menyesatkanmu nanti, nak. Ibu tidak mahu kau lemas sehingga melupakan cinta yang paling agung itu, nak. Cintamu pada Yang Maha Esa."






   Kegembiraan pada wajah Aisyah tadi menjadi sedikit kendur. Sukar memahami setiap bait-bait kiasan ibu tercinta, namun dia cuba untuk mentafsirkannya satu-persatu. Sedikit demi sedikit, dia mulai mengerti maksud ibunya. Lantas, timbul sedikit kesedihan di hati yang diperlihatkan oleh wajahnya. Terkesan oleh Puan Asiah akan kesedihan itu, Namun, sebagai seorang ibu, dia tidak akan menyerah pada pujukan kesedihan itu. Dia harus kuat dalam mendidik puterinya itu. Bahana cinta bukan sembarangan. Jurangnya yang dalam pasti tidak akan memberi sebarang belas kasihan kepada gadis muda seperti Aisyah. Puan Asiah tidak mahu puterinya lemas di dalam laut cinta itu sehingga jatuh ke lemah kehinaan cinta nafsu yang dipandu oleh panahan syaitan semata-mata.


   " Ketahuilah, Aisyah. Andai saja nota cinta itu tadi kau berikan kepada Hakim, belum tentu dia akan membalasnya, nak. Belum tentu dia mampu membaca cintamu itu. Tetapi, andainya nota cinta itu kau tukarkan menjadi doa dan rayuan kepada Tuhanmu, ketahuilah bahawa cintamu itu akan sentiasa mendapat balasaan dari-Nya. Kalau kita mencari cinta pada manusia, belum tentu kita temui cinta sejati. Belum tentu kita temui balasannya. Namun, kalau kita mencari cinta pada Ilahi, Dia pasti akan menerimanya dan itulah cinta yang hakiki. Kau sudah dewasa, nak. Perasaanmu pada Hakim, ibu mengerti. Cinta di usiamu adalah perkara biasa. Namun, ibu khuatir kau tidak mampu mengawalnya nanti. Sesungguhnya, cinta itu indah, nak. Tapi, keindahannya hanya akan terlihat andai kau memberikannya pada yang selayaknya...."


**********************************************************************************


    Aisyah tersedar dari lena. Pesanan arwah ibu tercinta mendatangi mimpinya lagi malam itu. Ditarik laci di sebelah katil perlahan-lahan. Longgokan surat cinta yang tidak pernah sampai ke tangan Hakim dibaca semula satu-persatu. Bermacam-macam kata cinta ada di dalamnya. Sesungguhnya, tidak ada satupun surat-surat cinta itu pernah sampai ke tangan Hakim sendiri meskipun setelah Hakim menjadi raja di istananya. Surat-surat itu disimpan sebaik-baiknya di tempatnya.






   Pesanan Puan Aisyah dan perkhabarannya tentang cinta menjadikan Aisyah takut dan tersedar. Perbuatannya mengirimkan surat cinta kepada Hakim mungkin akan membuka lembaran dosa buat mereka berdua. Lantas, dia lupakan sahaja mengenai surat-surat cinta itu. Nota-nota cinta itu dia tukarkan menjadi doa buat Sang Pencipta. Doa yang dia kirimkan kepada Sang Pencipta di setiap sujudnya. Doa agar dia dan Hakim disatukan. Doa agar Hakim juga mampu merasakan apa yang dirasakannya. Sehinggalah Allah menunjukkan sendiri kuasa sebuah doa itu. Dengan kehendak-Nya, mereka berdua disatukan di dalam ikatan cinta suci yang tidak ternoda oleh sebarang racun dosa.


   Namun, kebahagiaan itu tidak lama. Di atas kehendak-Nya jua, ditarik semula kasih itu daripadanya dan sehinggalah ke hari ini, Aisyah menanggung kesedihan yang tiada tara atas pemergian cinta itu. Cinta yang dahulunya begitu dia dambakan dan betapa peritnya dia memendam rasa demi meraih cinta yang suci itu. Begitu sukarnya dia menahan diri daripada mencurahkan segala rasa kepada Abang Hakim dahulu. Kerana takutnya pada Allah dan takutnya pada jurang cinta nafsu itu sendiri. Kerana takutnya pada dosa-dosa yang didatangkan oleh cinta nafsu itu. Segala pengorbanannya berbalas jua. Meskipun hanya seketika cuma, dia tetap bahagia kerana memiliki cinta itu.


**********************************************************************************


   Kini, segala-galanya sudah jauh berubah. Cintanya bukan lagi pada Abang Hakim semata-mata. Nota-nota cinta tulisannya tidak lagi buat Abang Hakim yang sudah tiada. Tetapi kini, dia menulis nota-nota cinta buat yang sentiasa ada. Yang kekal, yang tidak pernah pergi meninggalkannya di saat dia gembira mahupun kesedihan. Yang dahulu menyahut doanya dan menjadikan impiannya suatu kenyataan. Yang kini dia rasakan mekar cintanya di dalam hatinya. Cinta Abang Hakim yang telah pergi itu digantikan pula dengan cinta yang sesungguhnya benar-benar suci. Sesuci baldu. Cinta yang hakiki. Cinta hakiki yang membawa ikatan maknawi yang kukuh dan teguh , antara dia dengan hakikat yang teragung iaitu Allah S.W.T. Pada setiap sujudnya, akan dia tukarkan nota-nota cinta itu menjadi bisik-bisik suci cinta pada Allah satu-satunya. Tidak pernah dia berhenti menulis nota-nota cinta buat-Nya kerana dia yakin bahawa Dia sentiasa ada. Meskipun sehingga akhir nyawa, Aisyah tidak akan pernah berhenti menulis. Menulis nota-nota cinta kasih buat Yang Satu.....kerana dia tahu bahawa nota-nota cinta itu sentiasa berbalas....


Nota Cinta





Andainya dapatku menulis
Nota-nota cinta buat diri-Nya
Ingin ku titipkan bersama
Semua kuntuman bunga
Yang indah berseri

Ku sembur haruman mewangi
Bersama kata-kata puji
Sedang Dia tahu kasih dan cintanya aku
Menjalin ikatan menuju ke Syurga

Cintaku kepada Dia
Rinduku hanya pada-Nya
Kasihku tulus buat-Nya
Setiaku balas kasih-Nya
Kasihku kasih yang setia
Pada yang punya

Dambaku pada Yang Esa
Pujian hanya buat-nya
Akurku kebesaran-Nya
Teragung Maha Suci-Nya
Taatku hamba yang hina
Pada Pencipta

Kiranya aku hilang arah
Jalan hidupku berubah punah
Namun kasih-Nya tak pernah akan musnah
Belas rahmat-Nya terus mencurah-curah
Nur Hidayah-Nya semakin cerah


Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah, Yang Maha Agung dan Mulia menjumpaiku - yakni dalam tidurku - kemudian berfirman kepadaku, "Wahai Muhammad, katakanlah : "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu untuk mencintai-Mu, mencintai siapa saja yang mencintai-Mu, serta mencintai perbuatan yang mengantarkan aku untuk mencintai-Mu."


Saturday, March 12, 2011

Cuti Lagi.....

Assalamualaikum WBT...

   Duhai saudara-saudara ku yang dikasihi...

  Sudah lama rasanya tidak berbicara langsung dengan kalian seperti ini. Terasa bagaikan sudah jauh sedikit. Tidak banyak. Sedikit sahaja kerana sesungguhnya kalian semua sentiasa berada di hati kecil ini. Hari ni, tak mahu menulis cerpen atau cerita lagi. Hari ni mahu berkongsi sedikit luahan hati. Berkongsi bersama kalian semua. Bukan pula bermaksud mahu membelakangkan Allah sebagai Penciptaku, namun hanya ingin sekadar bertukar cerita. Ceritera baru, juga yang lama.

   " Cuti lagi. Banyaknya cuti..." Itu kata hati saya. Hati insan lain pasti ada yang berkata begini, " Yeay! Seronoknya cuti! Dapat balik kampung jumpa mak ayah! Yooo Hoooo..!!"  Lebih kurang macam itulah bunyinya. (Dan ada gaya macam hepy feet nih!)




   Kalau insan-insan lain berasa sangat gembira, mengapa pula nada saya tadi menggambarkan kebosana ataupun jika diselami yang tersirat, lebih kepada kesedihan? Hanya ada satu jawapannya saudaraku semua..Kerana bukan setiap cuti itu diisi dengan kegembiraan dan kebahagiaan bersama keluarga tercinta.

   Terkadang, cuti itu lebih banyak dihabiskan bersama sahabat-sahabta seperjuangan yang juga merantau sepertiku. Jauh..Jauh sekali daripada pandangan mata bening insan-insan yang dikasihi. Berada di rantau orang tidak pernah ku rasakan susah sedikitpun kerana kemahiran mengadaptasi kepada sesuatu situasi atau suasana baru itu sudah ku benih dan semaikan sehingga begitu subur sekali di dalam batin ini.

   Namun, sesekali, kesedihan itu menyapa jua. Bukan untuk sebulan dua berpisah dengan keluarga tercinta, tetapi bertahun-tahun lamanya. Sehingga otak yang kejam ini sudah bisa terlupa bagaimana rupa ayah dan ibu tercinta sehingga aku terpaksa menatap gambar-gambarnya untuk meneliti semula raut wajah yang mulia itu.



   Ada pula waktu-waktunya insan-insan ini akan muncul di dalam mimpiku. Tidaklah selalu kerana jarang sekali aku bermimpi. Tetapi, ketika mana aku sudah "jauh" daripada mengingati mereka, di saat itu jugalah Allah akan mengingatkan aku semula. Dihantar-Nya wajah-wajah mulia itu untuk menghiasi mimpiku sehingga aku tersedar semula. Tersedar semula daripada hari-hariku yang kadangkala terlalu sibuk sehingga terlupa untuk sesaat mengingati mereka.

   Bersama mimpi itu, dihembuskan rasa rindu. Angin rindu yang kuat sekali. Tika di tengah malam aku terjaga kerana mimpi itu, saat itu juga aku rasa ingin kembali ke "syurga" yang telah ku tinggalkan itu. AKU INGIN PULANG...... Sama seperti yang kurasakan di saat ini. Ketika semua sahabat-sahabat yang pada waktu ini pasti sudah berada di pangkuan keluarga masing-masing, aku terasa seperti INGIN PULANG. Pulang menemui mereka walau  untuk sejenak. Ingin menatap wajah mereka yang selalu aku lupakan. Ingin berbicara dan bergelak ketawa bersama mereka meskipun aku sukar sekali bercakap. Itu ayah. Ayah sudah ada di dalam diriku. Wajah ini yang kerap mengukir senyuman, itu ibu. Ibu juga ada di dalam diriku.



   Cuti, cuti dan cuti lagi. Aku selalu bersendiri di waktu-waktu seperti ini. Di waktu malam, ku jenguk ke bilik sebelah, gelap! Bilik di hadapan juga, gelap! Semuanya gelap! Tidak ada gelak tawa dan hingar bingar seperti hari-hari kuliah yang biasa. Pada waktu-waktu inilah aku akan berasa SUNYI. Sunyi sekali. Bukan sunyi kerana tidak berteman, tetapi sunyi yang teramat berbeza sehingga tidak mampu ku gambarkan dengan kata-kata. Sunyi yang memakan di dalam diri. Dan lagi, aku terasa seperti ingin pulang....



   " Alah. Kau dan keluargamu tidaklah sejauh mana. Naik flight, tak samapi 2 jam sudah sampai rumah. Apa yang jauhnya? Lainlah aku. Aku kena naik KTM, lepas tu naik bas lagi. 7-8 jam baru sampai rumah. Kalau malam, sudah tengah hari baru aku sampai rumah. Aku lagi jauh."  Kata-kata sahabat tercinta yang sememangnya penduduk asal tanah semenanjung ini.

   Bila ku renung kembali, ada  benarnya juga kata-katanya itu. Secara logiknya, jarak itu memanglah sangat jauh, namun waktu untuk mendekatkan, sangatlah pendek. Kadangkala, kata-kata seperti itu membuatkan semangatku pulih semula. Kerana aku tahu bahawa kami sebenarnya tidak jauh, malah sangat dekat. Sedekat 2 jam perjalanan. Ketika itu aku akan tersenyum semula.



   Peluang berada jauh begini bukan ada selalu. Meskipun kerap aku terasa seperti ingin pulang, saat itu juga aku akan segera menyedarkan diri. Masa yang ada ini biarlah ku gunakan untuk mendewasakan diri. Mendisiplinkan diri meskipun tanpa teguran keras dan berbisa daripada ayah. Itu ayah. Dan "ayah itu" ada juga di dalam diriku. Namun, jarang sekali ku perlihatkan. Hanya ketika di waktu-waktu memaksa sahaja. Sahabat-sahabat sekuliah sahaja yang tahu bila. Namun, aku tidak mahu memperlihatkannya selalu. Kerana bisa bikin semua takut padaku nanti! Biarlah aku memperlihatkan "ibu" sahaja. Ibu yang sentiasa tersenyum dan begitu mesra dengan insan-insan lain meskipun baru pertama kali bersua. Mesra. Itu ibu. "Ibu" itu yang masih tiada di dalam jiwaku. Akan ku pupuk seiring waktu. Kerna ku tahu, aku bakal menjadi seorang guru. Seorang guru tidak boleh terlalu pemalu.



   Cuti lagi...Cuti ini tidak datang sendiri dan kosong begitu sahaja. Cuti kali ini pasti tidak akan sesunyi dan sebosan dahulu kerana sudah ada begitu banyak assignment dan kertas kerja yang harus disempurnakan. Mana mungkin kebosanan dan kesunyian bisa menyelitkan diri di celah-celah kesibukan itu. Tidak ada ruang untuk kedua-duanya. Kalau adapun, itulah gunanya Celcom dan Digi. Connecting people. Hahah. (Aik! Makin hampir kepada penutup makin lain pula nadanya. Musykil dehhh..Never mind. Nggak bisa sirius terus..Hepy sikit k..)




   Ok. Pada kawan-kawan yang juga senasib, janganlah sedih. Yang tumpah darahnya di Sarawak, iboh nangis. Iboh sedih-sedih. Kita sik jauh. 2 jam jak. Dekat nak?. Sahabat-sahabat dari Sabah pula...Ok bah kalau kau! Jangan sedih bah..Relaks sak. Next cuti, kalau ada chance, kita pulang sama-sama. Kalau tiada peluang, kita duduk di sini lagi. Juga sama-sama.

   Lastly, minta maaf ya semua andai ada tersalah bahasa, terkasar bicara, terpukul di mana-mana. Tidak terniat di hati saya. Cuti-cuti begini, jangan lupa jaga harta-harta kita. Iman. Itu paling penting. Jaga mata juga. Telinga. Mulut. Kaki dan tangan. Jaga semuanya daripada perkara-perkara yang tak bawa manfaat. Semoga istiqamah dalam ibadah. Semoga sentiasa selamat sepanjang tempoh bercuti dan dirahmati hendaknya.  Amin.....Wassalam....



p/s : pssssstttt!!  Cerita Tentang Aina tu, teruskan ikut ya. Maaf ku pinta kalau asyik terlambat untuk update.
       Cerita itu adalah kontrak seumur hidup!

Jawapan kepada soalan daripada pembaca : Gambar??? Heheh. Mesti hairan kan? Takda satupun gambar saya mahupun gambar-gambar sahabat dan keluarga tercinta. Gambar keluarga dan sahabat banyak sihh..Tapi, tidak elok pula rasanya hendak memaparkannya di sini tanpa kerelaan  tuan punya badan dan setiap jiwa yang ada di dalam gambar tersebut. Jadi, ada baiknya saya simpan sahaja. InsyaAllah, kalau ada jodoh,kita semua pasti dipertemukan....



Wednesday, February 16, 2011

Hati Berbicara....

Assalamualaikum WBT.......

   Apa khabar semua? Rasanya, lama betul dah tak update blog ni. Sunyi sepi sebab busy. Semua kerja dah bertambah. Amanah semakin berat. Saya semakin dewasa.

   Rasanya hidup sudah bertambah baik. Saya sudah boleh cope dengan studies walaupun sem 1 blur sikit. It's okay. Pengalaman.

   Sem 1 dah jauh pergi meninggalkan saya. Rindu sangat dengan sem 1. Banyak kenangan. Suka duka. Masa yang dah berlalu tak mungkin dapat kembali lagi. Untuk segala dosa dan kesilapan lalu, saya hanya mampu berdoa agar diampunkan segalanya.

   Sem 2 pula menjelma. Masa berlalu menandakan umur sudah bertambah dan semakin dekat dengan maut. Cuma menunggu masa untuk dijemput.

   Entah kenapa..Sejak melangkah masuk ke alam yang lebih dewasa, hati ini rasa tak tenang. Macam ada yang tak kena. Bila diselam dan dikenang kembali, rasanya saya gagal mencari punca yang pasti. Di mana kurang dan sudah terlebih apa. Puas berfikir namun tak ketemu sebarang tanda.

   Saya ambil masa untuk muhasabah diri dan renung semula. Saya selami semula hati ini. Saya tanyakan padanya apa yang tidak kena. Katanya begini......   " Wahai teman,, kamu terlalu banyak memikirkan perkara yang tidak perlu...Kamu terlalu ingin memiliki sesuatu yang bukan milikmu....Kamu selalu menanti sesuatu yang kamu tahu tidak akan mendatangimu...Kamu terlalu kerap berkecil hati di atas sesuatu yang patut kamu berlapang dada ke atasnya....."

   Saya pun mula mencongak kembali. Apakah itu yang tidak perlu? Apakah itu yang saya mahu? Apakah itu yang saya tidak mungkin miliki? Lama berfikir, barulah dapat jawapannya. Kini, saya jadi runsing. Saya tanyakan kepada hati lagi. "Bagaimana bisa saya tenangkan kamu wahai hati?"  Jawabnya.....

   " Sudah-sudahlah wahai teman...Lupakan semua...Ringankan yang berat itu....Buang jauh-jauh kehendakmu...Perhatikan pula keperluanmu...Itu yang lebih utama....Jangan buang-buang waktu lagi...Masamu semakin singkat..Gunakan masa yang ada itu untuk Dia sepenuhnya....Yang bukan hakmu tidak mungkin akan datang kepadamu malainkan dengan izin-Nya juga...Beranjak perlukan waktu..Namun kamu harus tahu,, malaikat maut tidak mungkin menunggu andai sudah diseru namamu...Tinggalkan yang berat itu,,maka nanti pergilah segala keresahanmu..."

   Alhamdulillah...Baiknya Allah yang memberi hati ini untuk terus memandu jasad ini. Kasihnya Allah pada ruh ini dengan mengurniakan hati yang sentiasa membantu. Hati ini kadangkala rasa sakit. Kadangkala rasa senang. Semua kerana perbuatan jasad juga.

   Kesimpulannya,, jagalah hati kita. Hati yang memandu jasad. Bersih hati,,,baiklah semua. Gelap hati,,,sukarlah segalanya. Jaga hati ya semua....

   Betapa tepat dan bijaksananya Rasulullah SAW. Baginda telah memberikan peringatan kepada kita dengan sabdanya:
Sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada segumpal daging; apabila segumpal daging itu baik, menjadi baik pulalah seluruh jasad, dan apabila rosak atau kotor, menjadi rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah, yaitu hati.
(Hadits riwayat Imam Bukhori dan Muslim dari Nu’man bin Basyir ra)


 segala yg baik itu dtg drpd Allah dan yg buruk itu juga dtg drpd-Nya ttp disandarkan di atas klemahan sy sendri...Semoga kalian semua sentiasa diberkati....InsyaAllah...Wassalam....



BERDOALAH BUAT SAUDARA SEMUSLIM....

BISMILLAHIRAMANIRAHIM

ASSALAMULAIKUM WRH WBT.

BERDOALAH KAMU UTK SAUDARA ISLAM.

HADIS:
RASULULLAH S.A.W. BERSABDA:"SESIAPA YANG BERDOA BAGI SAUDARA ISLAMNYA DENGAN TIDAK TAHU SAUDARANYA YANG TERSEBUT,BERKATALAH MALAIKAT YANG DITUGASKAN UTK ITU:AAMIN,DAN ENGKAU PULA AKAN BEOLEH SEPERTI ITU JUGA."

(ABU AD-DARDA' R.A)

HURAIAN:
PENGAJARAN HADIS:
i.DOA DARI SEORANG ISLAM KEPADA SAUDARANYA ISLAMNYA YANG LAIN DENGAN HARAPAN SEMOGA IA BEOLEH KEBAIKAN ATAU TERSELAMAT DARI BALA BENCANA ADALAH DITUNTUT OLEH SYARAK SAMA ADA SETAHU ORG YANG DIDOAKAN ITU ATAU TIDAK.

ii.SESUNGGUHNYA SETIAP KEBAIKAN (DOA)YANG DIPOHON ITU AKAN DIAMINKAN OLEH MALAIKAT DALAM ERTI KATA AGAR DOA ITU DIKABULKAN OLEH ALLAH S.W.T. BAHKAN ORANG YANG BERDOA ITU SENDIRI BEROLEH KEBAIKAN YANG SAMA SEBAGAI MENGHARGAI KEIKHLASAN HATINYA MENDOAKAN SAUDARANYA ITU.

ALHAMDULILLAH KEBAIKAN DI BALAS KEBAIKAN...INSYA-ALLAH