andai kau sudi

Wednesday, January 25, 2012

SEHINGGA HUJUNG NYAWA...

“Kamu nak ke mana tu, Nur?” Senyum meleret mengiringi pertanyaan si ibu. “Nur nak ke rumah Ina, bu. Nak hantar buku yang Nur pinjam hari tu. Petang nanti Nur baliklah.”

Si ibu hanya tersenyum. Buku lagi. Pasti tidak lain tidak bukan, novel cinta. Itulah Nur. Peminat novel cinta nombor satu dunia. Setiapkali didengarnya ada novel cinta yang baru sahaja keluar di pasaran, pasti dia yang akan menjadi orang pertama yang memilikinya.

Sungguhpun minatnya terhadap buku-buku berbentuk novel tidak ada yang dapat mengalahkan, tidak pula dia meminggirkan terus buku-buku sekolah yang seharusnya mendapat tumpuan yang lebih. Apalagi Al-Quran, panduan hidup umat Islam sepanjang zaman. Penerang zaman kegelapan, penyuluh kala kealpaan.


******************************************************

Nur pintar, bijak dan terang hatinya. Namun begitu, tidak semua yang bijak itu akan terus berjaya ke menara gading dan menyambung cita-cita. Dengan pendapatan yang hanya cukup-cukup makan, Nur hanya mampu menyambung pelajarannya sehingga ke Tingkatan Enam meskipun keputusannya sangat baik setiap kali. Semua tawaran terpaksa ditolak. Jika dia ditaja sekalipun, Nur tetap terpaksa menolak. Dia tidak sampai hati meninggalkan ibunya sendirian di kampung.

Nur bukan tidak tahu betapa tingginya nilai pendidikan itu sendiri. Nur tahu. Cuma, biar dipaksa sekalipun, dia tetap tidak mampu mengatakan tidak kepada hati yang tidak jenuh memaksanya memikirkan nasib ibu yang sendirian nanti. Bermacam-macam perkara bermain di mindanya. Sehingga ke tahap perkara yang bukan-bukan dan tidak patut difikirkan.


******************************************************

“Kau memang pandai layan budak-budak kan, Nur? Tak hairanlah kalau budak-budak pun suka kat kau.” Senyum manis meleret menghiasi bibir merah merekah milik remaja lelaki muda yang bertinggung di atas pasir bersebelahan tempat duduknya Nur.

Nur hanya tersenyum dengan pipi yang mula merona merah. Tidak pasti apa respon yang sepatutnya diberikan kepada kenyataan yang baharu saja dikeluarkan sebentar tadi. Meskipun begitu, pujian tersebut lebih elok Nur anggap sekadar “Kenyataan” semata-mata,  bukan pujian. Nur tidak makan puji.

“Amar, dah nak senja ni. Kejap lagi Maghrib. Bawaklah adik kau tu balik rumah. Tak elok main-main di pantai waktu-waktu macam ni…” tandan dahinya berkerut tatkala matanya tertancap ke arah sosok Wani, kanak-kanak berusia 5 tahun yang masih berlari-larian menujah pasir putih menebal yang menyelimuti pesisir pantai.

Amar hanya mengangguk sahaja. Segera dia berlarian menuju ke arah Wani. Disambarnya keras tangan anak kecil itu. Agak sukar lagaknya memaksa anak itu pulang ke rumah semula. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Amar menggendong adiknya itu di belakangnya, demi memujuk anak kecil itu supaya lebih mudah menurut kata. Berbeza sekali caranya dengan Nur. Sekali cakap sahaja, pasti Wani tidak akan banyak jawabnya. Terus sahaja menurut. Mungkin kerana Nur sudah menjadi “babysitternya” sejak dia dilahirkan lagi. Tidak ubah seperti seorang ibu, namun tidak pula setara kasihnya dengan kasih ibu yang mengandung dan melahirkannya lewat rahim sendiri.

“Jangan lambat datang esok tau! Ibu aku cakap nak balik kampung petang esok. Lusa baru ibu balik semula ke rumah. Petang esok, kau jagalah budak ni dulu. Nanti malam, baru aku balik rumah.”

Laungan suara jantannya sayup-sayup kedengaran. Tidak jelas butir-butir katanya. Tenggelam ditelan angin laut yang bertiup kencang. Pepohonan kelapa sudah melambai-lambai. Semakin lama semakin keras. Tompok-tompok awan hitam juga sudah berarak merapati sesama sendiri, menandakan bahawa sebentar lagi hujan lebat akan turun menyimbah bumi. Nur bergerak pantas menongkah angin kencang. Bulu tengkuknya mula merinding seram. Sejuk sekali. Bertindan rasanya dengan kesejukan tiupan angin pantai.


******************************************************

“Weh, Amar! Kau dengan Nur tu ape cerr? Tiap-tiap petang aku tengok duduk bersantai dekat tepi pantai tu. Dah macam pengantin baru pulak. Bak kata orang, merpati putih dua sejoli. Hahahahahaha!!” Gelak tawa Hanif memecah kesunyian perpustakaan sekolah.

Dengan tidak semena-mena, sebutir getah pemadam bulat lantas terbang melayang ke arah dahinya. Hanif segera mencari arah datangnya tembakan tersebut. Matanya dibesarkan, galak memerhatikan keadaan sekeliling.

“Entah mambang manalah yang berani sangat cari gaduh ni?! Lepas tu sembunyi pulak!” omel Hanif sendirian.

Tiba-tiba, matanya tertancap ke arah sosok Cikgu Kamal yang sedang galak memerhatikannya, tak ubah seperti serigala lapar, dengan sorot mata yang tajam lagi menggerunkan. Jari-jemarinya pula masih tidak lelah-lelah menarik getah lastik yang menjadi teman mesranya selama memegang jawatan Guru Disiplin sekolah. Pasti itu senjata yang barusan menembak kepalanya dengan getah pemadam tadi. Cepat-cepat Hanif menundukkan wajahnya semula. Ternyata pandangan tajamnya tidak bisa mengalahkan sorot mata Cikgu Kamal yang jauh lebih mantap daripadanya. Apalagi dengan getah lastik itu. Bisa buta jika anak matanya yang menyambut getah pemadam itu tadi.

Cikgu Kamal memang begitu. Dengan riak wajah garang dan tegas, dia dikirakan cukup pakej untuk memegang jawatan tersebut, ditambah pula dengan sikap tegas dan garangnya, berwibawa, tidak menunjukkan sebarang kompromi terhadap tindakan salah laku yang tidak bersebab. Hanif? Dia pelajar “istimewa” yang sentiasa berjaya meraih perhatiannya dengan segala macam olah dan onar yang tiap-tiap kali dia bangkitkan di sekolah. Pantang mereka berdua bertemu muka, pasti ada sahaja yang tidak kena. Pasti sentiasa tidak tepat waktunya.

Amar pula sudah jauh membuka langkah menjauhi tapak peperangan yang baru sahaja tercetus sebentar tadi. Kakinya pantas melangkah menuruni anak tangga meninggalkan Hanif sendirian berdepan dengan masalahnya. “Padan muka kau, Hanif! Itula, mulut tu bising sangat. Mesti berjuta-juta insuran mulut kau tu. Tu yang kau guna sembarangan aje. Kan dah kena? Hahah!”

Terasa ingin saja dia melontarkan telefon bimbit berisi pesanan ringkas daripada Amar yang baru sahaja dia terima sebentar tadi. Hanif memang panas baran dan nakal orangnya. Pantang ada nama yang mengisi carta “pesalah laku disiplin” minggu itu, pasti namanya akan menduduki carta teratas sekali. Tidak terkalah rasanya kenakalan Hanif. Itu baru di sekolah. Belum lagi “carta jalanan” dan lorong-lorong gelap. Nama Hanif itu pun tak kurang terkenalnya. Cuma tidak diketahui oleh pihak sekolah sahaja. Orang lain, jika popular, semua orang akan tahu. Tetapi Hanif, meskipun popular, tidak ada pula yang mahu mengambil tahu. Bahkan, ibu bapanya sendiri pun tidak tahu. Dia bukan seorang aktor yang kuat berdrama, tetapi dia bijak menyembunyikan kelakuan buruknya di sebalik kesilapan serta gejala sosial yang memuncak naik di bandar itu.


******************************************************


“Weh, Hanif! Kau tadi ape cerr? Berjam-jam dating dengan Cikgu Kamal di perpustakaan tu. Melepas rindu ke?” Amar memulangkan paku buah keras.

Hanif hanya memberikan pandangan menyampah terhadap gurauan Amar yang ternyata sama sekali tidak lawak baginya. Bibir dicebikkan tanda tidak berpuas hati terhadap tindakan Amar yang meninggalkannya sebentar tadi.

“Dah, dah! Tak payah nak buat muka merajuk dengan aku, Hanif oiiii! Bukan aku nak pujuk pun. Geli ada! Dah meremang bulu roma aku ni hah!” Amar ketawa sendiri. Digosok-gosok lengannya.

Meskipun dia kurang menggemari Hanif, namun Hanif tetap dia anggap sebagai sahabatnya. “Berkawan biar dengan semua orang. Tapi, yang tak baik jangan diikut.” Begitulah pendirian Amar. Sesiapa sahaja boleh berada di sisinya kerana dia tidak memilih bulu. Cuma, seperti insan-insan yang lain, Amar juga sentiasa berhati-hati dalam memilih nilai-nilai baik yang boleh dicontohi daripada rakan-rakannya. Apa-apa juga kegiatan yang tidak baik, meskipun dipujuk dan disogok dengan segala bagai ganjaran mahupun bayaran, Amar tidak akan terpengaruh. Dia berpegang teguh pada prinsip hidupnya.


******************************************************

“Eh! Kau masih tak balik-balik lagi ke, Nur? Kan aku suruh jaga sampai petang aje?” Tersentap Amar melihat Nur yang masih berada di rumahnya. Sudah hampir pukul 7 petang. Senja merangkak membuka tirai malam.

“Apa pulak petang? Aku baru aje sampai ni. Bukan semalam kau suruh aku datang jaga Wani malam ke? Tu yang aku datang ni. Nak bawa Wani balik rumah aku. Esok, subuh-subuh aku hantar dia pergi sekolah terus.” Nur juga sedikit terkejut. Ah! Pasti saja dia sudah tersalah dengar semalam. Tidak hairanlah.

Amar hanya mengangguk sahaja. Tidak mahu berbasa-basi lagi. Pada fikirnya, baguslah jika Nur ingin membawa Wani ke rumahnya sahaja. Masakan pula dia ingin menambat Nur di tiang rumahnya semata-mata untuk menjaga Wani? Lagipula, tidak sopan sekali rasanya duduk bersama seorang gadis di rumah yang kosong, meskipun ada Wani bersama. Dia sendiripun bukanlah sebaik mana. Tetapi, dia masih tahu batas-batas pergaulan yang sepatutnya dia patuhi. Sebagai seorang muslim, dia cuba sebaik-baiknya untuk tetap berpegang pada tali syarat agama. Bimbang pula jika difitnah orang nanti. Sebaiknya Wani bermalam di rumah Nur sahaja. Dia sendiri pun belum tentu boleh melelapkan mata Wani malam itu nanti. Tidak bisa tahan rasanya jika Wani sudah mula merengek-rengek mahukan itu dan ini. Kesabarannya melayan kerenah anak kecil tidak setinggi mana.

Telefon bimbit yang berada di atas meja segera dicapai. Ditekan punatnya beberapa kali dan kemudian diletakkan di sisi telinga. Entah siapa pula yang sedang dihubungi oleh anak muda itu malam-malam begitu.

10 minit kemudian, terpacul wajah Hanif di balik pintu, tanpa salam, tanpa kata sapa. Hampir sahaja Nur memukulnya dengan penyapu akibat terkejut dek gerak-gerinya yang tak ubah seperti pencuri yang sedang memecah masuk rumah.

“Eh, Nur! Kau buat apa kat sini?! Malam-malam pulak tu.” Hanif tersenyum meleret. Ala-ala senyum sindiran, sambil keningnya diangkat-angkat.

Belum pun sempat dia menyambung bicaranya, Nur sudah melangkah pergi bersama Wani. Tidak perlu untuk Nur mendengar celotehnya lebih lanjut lagi. Melihat mukanya sahaja, Nur sudah cukup meluat. Dari jauh sudah terbau sindiran dan fitnah yang mungkin dihamburkan oleh Hanif andai dia masih berlama-lama di rumah itu.

“Bajet baik pulak perempuan nih! Cakap aje la nak dating dengan Amar dekat rumah ni. Mentang-mentanglah ibu Amar tak ada. Cehh!” Hati berbicara sendiri. Tidak tegar mulut berkata-kata. Bimbang pula tapak tangan Nur melekat ke pipinya nanti. Silap-silap hari bulan, bisa patah semua gigi. Namun dia tidak mudah menyerah. Dia tidak segera bertemu Amar, tetapi dia terus membuntuti langkah Nur dari belakang. Dia ada agenda menarik buat Nur dan Amar.


******************************************************

Subuh itu, segala-galanya bagaikan sudah berakhir bagi Nur. Dunianya seakan-akan berhenti berputar. Terkunci bibir, kaku segala anggota badan apabila terlihat akan susuk Amar yang sedang lena tidur di sisinya, tanpa seurat benang pun membaluti tubuhnya. Bergegar kakinya menuruni katil. Ke mana hala tuju dan di mana keberadaannya saat itu, dia sendiri sudah tidak mampu untuk memikirkannya lagi. Terasa begitu lemah sehingga untuk memaksa otaknya pantas berfikir pun sudah tidak mampu. Sungguhpun begitu, dia kuatkan dirinya. Satu-persatu helaian pakaian yang sudah tertanggal disarungkan semula. Saat itu juga dia melangkah keluar, meninggalkan neraka dunia yang baru sahaja membakar seluruh jasadnya.

Apa yang telah terjadi? Bagaimana bisa dia menemukan dirinya bersama Amar? Sebilik, sekatil? Garisan putih di tengah jalan terasakan bagai sedang bergerak-gerak. Sekejap dua, sekejap tiga, adakalanya pula tidak ada. Perlahan langkahnya diatur menuju ke rumah. Otaknya masih tidak mampu berfungsi.

“Nur!!” Suara halus itu membisik di telinganya.

Apa cerita semalam? Seronok? Hehehehehehe…” Hanif tergelak sendiri.

Begitupun Nur tidak memberikan sebarang respon, dia tetap membuntuti langkah perlahan gadis itu. Oh, tidak. Patutkah dia digelar “gadis” lagi?

“Kenapa kau diam ni, Nur?! Kau ni, aku susah-susah dapatkan “barang” tu semalam. Kau tahu tak? Kalau bukan kerana jasa baik aku, kau pasti takkan dapat bersama dengan Amar semalam. Aku tahu kau dah lama syok kat dia. Pasal tu aku nak tolong kau. Sekurang-kurangnya, ucaplah terima kasih pada aku. Kau jangan risaulah. Pasal “pil” tu, Amar tak tahu pun.”

Saat itu juga, Nur rebah menyembah bumi. Melutut di hamparan jalan. Air matanya mengalir deras. Hancur luluh hatinya. Pedih batinnya. Terbakar jiwanya. Wajah Hanif yang masih tersenyum dipandangnya sekilas. Saat itu juga, terlihat bagaikan langit semakin dekat dengannya. Berat, menghempap! Nur pengsan, tidak sedarkan diri.

Kelopak mata dibuka terasa berat. Sedikit demi sedikit, Nur meraih kembali kewarasan akal yang barusan meninggalkannya sebentar tadi. Hanif! Wajah itu masih ada di sisinya. Memandangnya dengan sedikit riak kecemasan, memaksa tandan dahi bertingkat, berkerut. Sejenak wajah itu tersenyum tatkala melihat dia sedar semula. Jari telunjuk diletakkan di bibir tanda rahsia masih tersimpan kemas.


******************************************************

“Tak pernah terfikir nak gendong anak tu walau sekalipun ke? Dia tu anak kau, Nur…”

Sepi. Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa. Asyik bagi yang sedang menikmatinya. Namun, tidak berkesan apa-apa kepada dua hati yang ternyata punya gelojak sendiri. Tidak tersingkirkan dek angin yang tidak berhenti menghembus. Mengikut halatuju sendiri.

“Dia tu bukan anak Nur, Ibu! Dia tu anak setan! Anak luar nikah!!!”

Terkejut dek perkataan ‘setan’ itu. Seakan disentap jantung wanita separuh abad yang sedang bersimpuh, menyandar pada tiang rumah yang rapuh dimamah usia. Hatinya tidak putus-putus beristighfar. Memohon keampunan atas keterlanjuran anak gadis itu dalam menuturkan kata-kata.

“Tak baik cakap macam tu, Nur. Setiap kata-kata kamu tu adalah doa buat anak tu. Macam mana kalau diaminkan malaikat doa kamu tu tadi? Sembilan bulan kau usung dia ke sana, ke sini dalam rahim kau. Takkan tak ada secubit pun perasaan sayang kau untuk anak tu, Nur…?”

Titisan airmata yang mengalir punya erti kesedihan yang tersendiri. Bukan sahaja sedih mengenangkan nasib bayi itu, tetapi juga sedih kerana perubahan yang terjadi ke atas anak sendiri. Anak itu dahulu sangat lembut perilakunya, sayang akan anak kecil. Tetapi kini? Lembut? Tidak lagi! Sayangkan anak kecil? Jauh bara dari api!

Sayup-sayup kedengaran tangisan si bayi memecah kesunyian malam. Kedua-duanya segera menoleh ke arah datangnya bunyi tangisan. Hanya si ibu yang bergegas mengatur langkah mencari punca tangis. Nur masih tidak mahu berganjak. Masih dengan ego dan rasa bencinya. Tidak sedikitpun bunyi tangisan itu menyentuh naluri keibuannya. Dia lebih selesa melayan perasaan, ditemani sahut-menyahut cengkerik malam yang menambahkan lagi rencah sedih, pilu, serta geram yang sudah bercampur baur, mencipta aroma dendam  yang jauh terpendam di lubuk hati paling dalam.

“Masuklah, Nur. Susukan anak kamu tu. Kasihan Mak tengok dia. Dah seharian kamu tak susukan dia…” Si ibu masih tidak putus-putus mengalun kidung pujukan lembut, meskipun dia tahu ia tidak akan disahut.


******************************************************

Pandangan dilemparkan jauh ke tengah lautan yang luas terbentang. Indah sekali bulan malam itu. Terpancar sinarnya menerangi selautan air yang menutup bumi. Nur bagaikan laying-layang terputus tali. Terhuyung-hayang, terkapai-kapai kelemasan di dalam dunianya sendiri. Setiap hari, setiap malam, pasti ada saja susuknya merayau-rayau di tepi pantai, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, lebih menakutkan apabila kakinya sudah mula menjejak ke dalam air laut.

Baru seminggu ibunya meninggal dunia, Nur pula sudah jadi begitu. Malam kelapan, masih serupa. Berjalan sehingga air mencecah paras lututnya, kemudian berhenti pula dengan tidak semena-mena. Ditatapnya dalam-dalam air laut yang kabur-kabur, samar-samar dek simbahan cahaya bulan. Terlihat akannya serpihan-serpihan kenangan lalu yang terus-menerus mencucuk-cucuk matanya. Terasa sakit, lantas ia menangis. Bayangan itu bersimpang-siur berterbangan. Satu-persatu menjelma kembali di hadapannya.


******************************************************

17 tahun berlalu membawa segala pahit maung pergi bersama. Selama 17 tahun ini, rahsia Nur terkubur mati bersama matinya Hanif. Tidak ada seorang pun tahu akan perihal anak tersebut, waima ibunya sekalipun. Nur tidak pernah menceritakan apa-apa kepada ibunya. Pun begitu, arwah ibunya tetap menerima anak tersebut. Tidak pernah mahu bersoal jawab lebih lanjut. Kerana seperti Nur, dia juga hancur luluh tatkala diberitakan kepadanya bahawa Nur mengandung di luar nikah. Ketika itu, seluruh kampung menekan Nur. Segala-galanya menjadi sukar untuk Nur. Dia dibuang dari sekolah. Teman-temannya menaburkan fitnah yang bermaca-macam. Hancur masa depannya sebagai seorang pelajar, apalagi sebagai seorang wanita. Sebagai seorang ibu, tidak pula sampai di hatinya untuk menambah tekanan pada Nur. Apapun yang telah terjadi, di dalam atau di luar pengetahuannya dan bagaimana bisa dia mengandung, biarlah Allah sahaja yang menjadi tempat Nur berkongsi rahsia. Andai Nur tidak mahu berkata apa-apa, dia tidak akan mengorek apa-apa juga daripadanya. Dia berdiam diri, menjaga anak itu ibarat cucu sendiri, sehinggalah maut menjemputnya.

Apa pula perihalnya dengan Hanif? Khabarnya, lelaki itu mati dibunuh para pemiutang yang ke sana ke mari mengejarnya. Akibat tidak dapat membayar hutang yang melilit keliling pinggang, terpisah nyawa dari jasad.


******************************************************

“Kamu nak ke mana lagi malam-malam ni Wani? Dah macam kupu-kupu malam dah abang tengok! Pantang malam aje, mesti kamu nak keluar. Tak boleh ke duduk aje kat rumah ni?” Amar sudah hampir hilang sabar lagi.  Surat khabar yang dibaca dihempaskan ke atas meja.

Jenuh sudah dia mendidik anak gadis tersebut. Jika bukan kerana janjinya terhadap ibu dan bapanya untuk menjaga Wani dengan penuh kasih dan sayang, pasti sudah diajarnya cukup-cukup gadis muda tersebut. Rasanya, jika sampai berbuih sekalipun mulutnya memberi nasihat, Wani tetap tidak akan berubah. Begitulah perihalnya sejak ditinggalkan ayah dan ibu. Semakin meningkat usianya, semakin liar pula sifatnya.

“Abang ni kecohlah! Macam biasalah kalau dah malam-malam macam ni. Mestilah nak pergi KAFE GOYANG! Kalau abang rasa sunyi sorang-sorang dekat rumah ni, jom ikut Wani. Dekat sana, ada banyak awek cun. Abang pun, sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi. Mana tahu ada jodoh di sana. Sambil-sambil cari jodoh, kita ENJOY!!!”

Wani terlompat-lompat kegembiraan, terkial-kial seperti gadis yang sudah hilang kewarasan akal. Amar hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Cari jodoh? Di KAFE GOYANG? Apa Wani sudah gila? Gadis seperti itukah yang dia ingin jadikan kakak iparnya? Simpang malaikat empat puluh empat! Dia menahan dirinya daripada berkahwin sekarang pun kerana ingin Wani berkahwin terlebih dahulu. Sebelum dia sendiri mendirikan rumahtangga, biarlah dia menemukan seorang lelaki soleh untuk membimbing Wani terlebih dahulu. Bukan dia sendiri tidak mampu membimbingnya, dia cuma merasakan bahawa ada lelaki yang lebih baik dan lebih berupaya daripadanya. Lelaki yang boleh mengubah serta meleburkan hati Wani yang sekeras batu. Sebelum dia menemukan lelaki itu, biarlah dia membujang dahulu. Tambahan pula, masih tidak ada gadis yang berkenan di hatinya. Puas juga dia mencari, puas juga dia merisik, namun semuanya tidak menjadi. 35 tahun sudah umurnya kini. Mungkin sudah terlalu tua, makanya selalu saja ditolak. Sungguhpun begitu, Amar tidak mudah menyerah. Dia yakin pada aturan Allah. Andai ada jodoh, tidak ke mana-mana.


******************************************************

“Hah! Kenapa lambat nih?! Dah 3 kali patah tumit kasut aku ni menunggu kau. Macam VIP pulak nak ditunggu-tunggu! Huh!”  Farisha mencebikkan bibir.

Jika diikutkan hati, ingin saja dia masuk ke kelab dangdut tersebut tanpa menunggu Wani. Tetapi, pasti sukar baginya mendapat “access”  nanti. Umurnya masih tidak mencukupi. Baru 17 tahun. Sekiranya ada Wani bersama, pandai-pandailah Wani membelit lidah, mengatur langkah, mencari helah. Bukan dia tidak biasa. Hampir setiap malam, pasti ada saja wajah Farishah, “budak tidak cukup umur” melukut di sisi Wani. Semuanya semata-mata untuk mendapatkan pas masuk ke KAFE GOYANG tersebut.

Suasana di dalam kelab tersebut, seperti yang dijangkakan, sudah tentulah bingit sekali. Ditambah pula dengan anak-anak remaja yang asyik berlenggang, menari megikut rentak irama lagu yang mengasyikkan. Simbahan cahaya lampu yang berputar-putar di atas kepala menambahkan lagi keasyikan bagi yang tahu menikmatinya. Gejala sosial. Sentiasa berjaya bergerak seiring dengan pembangunan pesat negara. Pencapaian yang sungguh “membanggakan”. Wani dan Farisha? Mereka berdua hanyalah sebahagian kecil modal pembangunan negara yang ternyata telah terlabur pada jalan yang salah. Kerana itu mereka berada di situ pada malam tersebut, pada pukul 3 pagi, bergembira dan bersuka ria, bukannya bermunajat pada Allah S.W.T., Pemilik Seluruh Alam Semesta.

“Kat rumah siapa pulak kau nak pergi malam ni?” Wani membuka bicara setelah tekaknya dibasahkan. Kepalanya masih terangguk-angguk, bergerak mengikut rentak lagu yang sedang berkumandang.  Lagu “Bulan Cinta” nyanyian Amelina. Lagu lama, namun malar segar. Diingat sentiasa oleh para peminat tegar lagu irama dangdut.

“Hmmm…Pandai-pandailah aku. Tengoklah mamat mana yang sangkut nanti. Kalau jadi, rumah dialah.” Farisha hanya memberikan jawapan pendek. Sambil-sambil itu, matanya melilau-lilau mencari mangsa. 


Dengan wajah yang ayu, hidung kecil yang mancung dan jelingan mata galak yang memikat, tidak hairanlah jika setiap malam dia tidak pernah gagal menjerat. Belum lagi ditambah dengan pakaian menjolok mata yang ternyata mendedahkan bahagian-bahagian yang sememangnya boleh menarik perhatian mata yang memandang. Gadis muda belasan tahun itu memang cantik. Persis Nur! Ibu kandungnya.

“Engkau ni kan, tiap-tiap malam keluar. Tak balik-balik pulak tu. Mak kau tak marah ke? Aku ni, kau nampak aje macam ni. Senang-senang keluar. Tapi, kalau dah balik rumah nanti, hmmmm…. Berdarahlah telinga ni dikorek abang aku tu!”  Wani sudah mula mengadu lagi.

Entah mengapa. Dia selesa bersama gadis muda itu. Walaupun umur mereka jauh berbeza, dia tetap tidak pernah merasa kekok. Ada sesuatu pada diri anak muda itu yang mengingatkannya pada seseorang yang dahulu pernah secara emosi, begitu dekat dengannya.

Mak? Ibu? Rasanya, sepanjang dia wujud di muka bumi ini, belum pernah sekalipun ada wanita yang dia gelarkan dengan panggilan tersebut. Bukan dia tidak punya ibu. Cuma dia sangat bencikannya sehingga terasa akan berdarah mulutnya sekiranya perkataan ibu itu dia sebutkan.


******************************************************

Ibu. Ah! Wanita yang bergelar ibu itu sudah lama dia kuburkan daripada hidupnya. Dalam banyak-banyak wanita di muka bumi ini, mengapa harus Allah memberikannya roh di dalam rahim wanita tersebut? Mengapa tidak wanita lain saja? Wanita itu tidak layak menjadi ibunya. Wanita yang sejak lahirnya dia, tidak pernah sekalipun menyusukan bayinya dengan darah dagingnya sendiri. Sudahlah begitu, dihantar pula dia ke rumah anak yatim dengan sengajanya. Tidak cukup pula dengan itu, dia diambil semula kini untuk bersama wanita itu yang ternyata hari-hari membebankan hidupnya dengan sikapnya yang sentiasa bertindak seolah-olah Farisha tidak wujud. 


Entah pernah atau tidak wanita itu membahagiakannya, Farisha sendiri sudah tidak ingat. Apa yang dia tahu, sejak dia sudah mula kenal dunia, rumah anak yatim adalah tempatnya. Dan tidak semena-mena, hidupnya berubah menjadi jauh lebih siksa semenjak wanita bernama Nur kembali, menuntut semula bayinya yang pernah dihantarkan ke situ suatu ketika dahulu.

Bukan siksa kerana tidak berduit dan, namun siksa kerana setiap kali dia ingin cuba bermesraan dengan wanita tersebut, pasti segala usahanya gagal, sia-sia. Sungguhpun sakit, dendam lama Nur masih tidak pernah luntur. Farisha dia angkat semula darjatnya menjadi anaknya pun bukan kerana dia mahu. Tetapi atas kemahuan suaminya. Suami yang pada mulanya sanggup menerima hakikat bahawa isterinya sudah tidak suci lagi. Suami yang tetap bersabar dengan kerenah seorang isteri yang acapkali membuatkan kemarahannya membuak-buak. Tetapi akhirnya tumpas jua akibat rasa cemburu yang mencengkam diri, terutamanya apabila Nur menyebut-nyebut nama lelaki lain di dalam tidurnya. 


AMAR! AMAR! Bergema nama itu di telinganya, walau sehingga saat talak dia lafazkan terhadap Nur. Dan setelah menjadi janda, Farisha pula harus menanggung segala-galanya. Sungguh Nur tidak pernah berkeras dan berkasar terhadap Farisha, tetapi sikap tidak peduli akan kewujudan Farisha membuatkan anak gadis itu merasa lebih tersiksa. Dia wujud, tetapi tidak diakui kewujudannya oleh ibu sendiri. Wanita yang dia tumpang rahimnya selama sembilan bulan. Dia hidup ibarat bayang-bayang di rumah Nur. Ada atau tiada, tidak memberi kesan yang nyata.

“Weh! Malam ni aku tumpang rumah kau, boleh? Macam tak ada mangsa aje malam ni.. Aku kalau boleh, memang tak nak balik rumah aku tu. Buat sakit hati aje!”

Wani mengerutkan dahinya. Bukan dia tidak mahu. Tetapi dia khuatir jika diketahui abangnya nanti. Pasti huru-hara sepanjang hari. Ah! Persetankan saja lelaki itu!

“Abang mesti dah tidur sekarang. Nanti sebelum Subuh, aku suruhlah budak ni balik.” Wani berbicara sendirian seraya kepalanya diangguk tanda setuju.


******************************************************

Gagang telefon dihempaskan ke tempat letaknya semula. Amar menjadi sebal. Beberapa hari ini, kerap sekali dia menerima panggilan bersuara angin. Apa gunanya membuat panggilan sekiranya tidak mahu bercakap? Entah siapalah yang rajin sekali mengisi masa dengan menguji kesabarannya. Atau… Rindu sekalikah insan itu terhadap suaranya sehingga dia sanggup menelefonnya setiap hari semata-mata untuk mendengar seungkap salam daripadanya? Amar berkira-kira sendiri. Sejenak dia tersenyum nipis. Ah! Perasan!

Daun pintu utama dikuak perlahan. Amar berjalan-jalan di halaman rumah, berteman ambang Subuh yang berjelaga. Sesekali dia menarik nafas panjang. Ah! Segar sekali!

“Alhamdulillah! Hidup lagi aku hari ni. Dapat juga menghirup udara segar di pagi hari..” Sejenak dia mengutus seungkap syukur kepada Allah S.W.T. Sengaja dia mengambil angin di luar rumah. Bukan sifatnya tidur setelah solat Subuh.

“Hey!! Siapa tu?!!!” Terpacul kata-kata tersebut lewat bibir yang bergetar akibat rasa takut. Ketenangan Subuh yang hening bersepai pecah akibat tempikan kuat Amar. Peluh berjejeran keluar meskipun kedinginan menusuk sehingga ke tulang hitam. Sosok berpakaian gelap yang baru sahaja melintasi pagar rumahnya sebentar tadi benar-benar telah menyentap tangkai jantungnya.

Farisha berlari sekuat hati. Tidak sedikitpun dia menoleh semula ke belakang. Jika dia tertangkap, pasti penduduk sekitar kawasan kejiranan tersebut akan membelasahnya dengan teruk. Pakaiannya yang serba gelap menyebabkan dia kelihatan seperti seorang pencuri.

“Abang ni kenapa pulak?! Pagi-pagi dah terpekik terlolong. Macam nampak hantu!” Wani pula bertempik dari balkoni di tingkat dua rumahnya.

Pandangan dikibarkan ke arah Wani yang masih tercegat di ruang balkoni. Amar hanya menggelengkan kepala. Matanya digosok-gosok tanda tidak percaya. Ah! Mungkin hanya perasaannya sahaja! Segera dia masuk semula ke dalam rumah. Pintu ditutup rapat dan dikunci. Bimbang pula jika rumahnya dimasuki perompak. Al maklumlah, dalam zaman yang serba moden ini, manusia yang berperangai seperti syaitan adalah lebih menakutkan daripada syaitan itu sendiri.

“Fuhhh!!! Boleh tahan jugak abang si Wani nih! Padanlah kalau Wani takut sekali dengan abangnya. Aku sendiri pun, dengar suara aje dah terkejut beruk! Apalagi kalau berdepan dengannya. Nasib..nasib…” Farisha bermonolog sendiri. Dadanya diurut-urut perlahan. Semput akibat terlalu laju mengatur langkah seribu.


******************************************************

“Waalaikumsalam….” Salam dijawab di dalam hati.

Tidak tercapai lagi hajatnya kali ini. Terbejat lagi hasratnya. Nur terduduk di tepi telefon. Amar… Hampir setiap hari dia menghubungi lelaki itu, namun tidak pernah sekalipun alun suaranya berani melayang keluar daripada mulutnya. Sentiasa tersekat di anak tekak. Apalagi tatkala mendengar seungkap salam daripada Amar. Lelaki yang telah meragut kesuciaannya.

Ingin sekali dia membenci lelaki tersebut. Namun, dia tidak bisa. Hakikat bahawa Hanif yang telah mejadi dalang kepada segala tragedi yang menimpanya suatu ketika dahulu membuatkan dia teragak-agak untuk membina kubu benci terhadap lelaki itu. Segalanya berlaku secara tidak sengaja. Amar tidak bersalah. Mereka berdua hanyalah mangsa perbuatan terkutuk Hanif! Menjerat anak-anak muda polos sepertinya dan menjadikan mereka bahan eksperimen bagi menguji “barang-barang” baru yang jijik dan kotor.

Ingin sekali dia bertemu semula dengan lelaki tersebut. Ingin sekali dia mengatakan kepadanya bahawa anak yang sembilan dia kandung adalah milik lelaki tersebut. Ingin sekali dia membongkar segala rahsia yang selama ini membebaninya. Namun, dia tidak yakin. Amar langsung tidak tahu menahu akan kejadian yang telah berlaku di antara mereka berdua. Segala-galanya tersimpan rapi sehinggalah dia dan ibunya terpaksa meninggalkan kampung tersebut bersama anak yang telah dilahirkan.

“Peminat misteri abang lagi ke?” Wani tersenyum meleret.

Amar hanya menganggukkan kepala. Bukan tanda bersetuju terhadap istilah peminat misteri itu, tetapi mengiyakan panggilan bersuara angin yang sekali lagi berdering, mengisi kesepian ruang tamu yang kosong.


Timbul juga tanda tanya di hatinya. Bagaimana pula orang itu bisa memperoleh nombor telefon rumahnya? Serasanya, tidak pernah lagi dia memberikannya kepada sesiapa. Atau mungkinkah Wani yang sudah terberi kepada para sahabatnya? Sejenak wajah Wani ditatap. Ah! Biarlah sahaja. Perkara yang kecil, tidak elok pula rasanya diluak menjadi besar.


******************************************************

“Assalamualaikum!!” Salam diucap dari luar pintu pagar rumah. Seisi rumah kelihatan sedikit kaget. Jarang sekali rumah itu dikunjungi tetamu. Inilah julung-julung kalinya.

Amar mengatur langkah ke arah pintu rumah yang sememangnya sudah terbuka. Tersentap jiwanya tatkala terlihat akan sosok seorang wanita yang lengkap berbaju kurung, bertudung litup, manis sekali, sedang berdiri di hadapannya, sambil wajahnya menarik otot senyum yang menghiasi bibir yang elok tercalit gincu berwarna merah lembut.

Amar beristighfar panjang. Nakal sekali matanya meneliti wajah wanita tersebut. Pipinya merona merah, kepanasan. Malu agaknya menerima senyuman manis daripada seorang wanita yang ternyata sejuk mata memandang. Ingin saja saat itu dia menyunting wanita tersebut menjadi isterinya. Namun masakan secepat itu pula.

“Waalaikumsalam… Cik cari siapa, ya?” Sopan bicara menyambut tetamu.

“Farisha!!!!” Wani terjerit dari dalam rumah. Terkejut beruk melihat penampilan Farisha yang jauh berbeza. Mulutnya melopong tanda tidak percaya. Baharu saja dua hari lepas dia bertemu dengan gadis tersebut di kelab dangdut. Masakan pula hari ini sudah menjadi ustazah pula?

Segera dia berlari ke arah Farisha yang masih tercegat di luar pintu. Tersipu malu menghadap abangnya yang ternyata menunjukkan riak yang sama.

“Abang. Inilah Farisha! Kawan Wani yang sama-sama Wani… Eh! Haha… Kawan Wani!”  

Ungkapannya terbejat pada sekadar “kawan” sahaja. Tidak terluncur lewat mulutnya “kawan yang sama-sama pergi kelab dangdut.” Pasti Farisha ada agenda tersendiri. Jika tidak masakan dia ke rumahnya dengan berpakaian sebegitu. Sebagai seorang wanita yang lebih licik dan lebih berpengalaman, Wani sudah mampu menghidu akan kewujudan niat tersembunyi Farisha. Namun, dia masih tidak mampu meneka. Lantas, dia segera menarik lengan Farisha. Dibawa gadis itu ke dalam biliknya. Amar hanya mengangguk tanda hormat.

“Wani…Wani….Perempuan macam inilah baru sesuai dijadikan isteri!” Amar ditinggalkan bermonolong sendirian di depan pintu.


******************************************************

“Hoiiii!!! Farisha!! Kau dah kena rasuk ke apa ni?! Tiba-tiba datang rumah aku. Pakai macam ni pulak tu. Tekezut aku tadi tau! Aku ingatkan siapalah tadi. Hahahahaha.”  Wani masih ketawa tergolek-golek di atas katil . Sakit  sekali perutnya menahan tawa yang sedari tadi tidak kunjung berhenti.Geli hatinya mengenangkan Farisha yang tiba-tiba berubah.

“Sebab aku nak datang rumah kaulah aku pakai macam ni! Kau ingat, kalau aku pakai macam minah dangdut, abang kau kasi aku masuk rumah kau ni ke? Hari tu pun, susah payah aku curi-curi keluar. Itupun nyaris aje nak kena tangkap dengan abang kau. Ish. Seram jugak aku dengan abang kau tu…”

Sejenak mereka berdua saling berpandangan. Kemudian pecah derai tawa keduanya. Farisha sendiri pun tidak sangka dia sanggup berpakaian sebegitu semata-mata untuk melawat sahabatnya itu.

“Weyh! Alang-alang dah tanya pasal abang kau ni.. Dia tu dah kahwin ke belum? Boleh tahan hensem.. Bergetar jugaklah hati “wanita solehah” aku ni bila tengok wajah abang kau tu. Hihihihi..” Farisha tersengih-sengih bagai kerang busuk.

Saat itu juga Wani menepuk kepalanya.

“Kau mimpi ke apa? Abang aku tu dah 35 tahun, kau tahu tak? Dah boleh jadi bapak kau pun. Boleh pulak kau terfikir nak ada hati kat dia? Ish kau ni! Memang tak pilih mangsa, kan? Sampai abang aku pun kau nak kebas.”  Wani masih lagi dengan tawanya. Semakin geli pula hatinya apabila Farisha membuat lawak yang tidak logik di akal.

“Tapi apa-apapun, abang aku tu single lagi. Masih belum berpunya. Kalau kau nak cuba, aku sebagai adik dia, memberi keizinan.”

Kemudian keduanya tergelak lagi.


******************************************************

Sejak dari hari itu, semakin kerap pula Farisha ke rumah Wani. Jika Amar sibuk di tapak pembinaan sehingga tidak sempat pulang ke rumah, Farishalah yang akan menjadi peneman tidurnya di rumah tersebut.

Begitulah hidup Amar dan Wani sehari-hari. Amar sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang arkitek, Wani pula sibuk dengan kuliah. Pabila malam melabuh tirai, Amar akan memenuhi tuntutan mata yang mahukan tidur, manakala Wani pula memenuhi tuntutan jiwa yang mahukan hiburan.


******************************************************

“Wani… Kau duduk sini sekejap. Abang ada benda nak cakap dengan kau.” Amar membetulkan kaca matanya.

Langkah Wani terbejat. Terbantut hasratnya untuk tidur awal pada malam itu. Segera dia mengambil tempat di sisi abangnya. Dia menatap wajah abangnya dalam-dalam. Anak mata dibesarkan tanda sudah tidak sabar ingin tahu akan perkara yang ingin dibicarakan. Pasti serius sekali. Kerana nadanya agak mendatar dan ada riak serius di wajahnya.

“Abang…….”  Amar terdiam sebentar. Masih menyusun kata-kata.

“Abang nak jadikan Farisha isteri abang……………. Huh!” 


Nafas lega dihembuskan. Terlepas sudah beban yang menindih dadanya selama 3 tahun mengenali Farisha.

Wani melopong. Mulutnya ternganga. Terkejut. Seakan-akan tidak percaya dengan kata-kata abangya yang baru sahaja tadi menerobosi ruang telinganya. Dahinya berkerut-kerut.

“Abang…. Wani bukan tak suka dengan pilihan abang ni. Farisha tu..baik sangat. Wani suka. Tapi kan..abang tahu kan…Farisha tu muda lagi. Baru 20 tahun, bang. Abang pulak…hmmm…” Kata-katanya terhenti di situ. Dia yakin Amar mengerti akan maksudnya.

Wani sebenarnya tidak akan membantah sekiranya abangnya berkeras mahukan Farisha sebagai isterinya. Farisha itu sahabatnya. Tambahan pula, Farisha sudah jauh berubah dalam tempoh 3 tahun dia mengenali abangnya. Pakaiannya kini bukan lagi lakonan. Tidak lagi sandiwara. Secara jujurnya, Wani turut tumpang gembira di atas perubahan Farisha. Sepertinya, Farisha sudah menemui lelaki yang boleh melenturkan sisi liarnya. Dia pasti segala-galanya akan menjadi lebih baik sekiranya Farisha menikah saja dengan abangnya. Setelah menikah, tidak akan ada lagi pandangan serong jiran tetangga terhadap Farisha yang sentiasa datang ke rumahnya. Begitulah tanggapan Wani yang kini ternyata lebih matang, seiring usia yang sudah mencecah 25 tahun. Tidak lagi liar semenjak menemui cahaya bersama Farisha.


******************************************************

“Abang serius ke ni?” Farisha seakan tidak percaya. Jantungnya berdegup kencang saat Amar melafazkan kata cinta kepadanya dan seterusnya melamarnya di hadapan Wani. Wani hanya tersenyum lebar sambil mengangguk tanda mengharap agar lamaran abangya diterima. Dia tidak kisah jika sekalipun kakak iparnya muda daripadanya.

Secara jujurnya, dia tidak pernah mengharapkan apa-apa daripada Amar. Benar, dia cinta pada lelaki itu. Tetapi tidak pernah pula dia menyangka bahawa lelaki itu punya perasaan yang sama. Perasaan hormat yang pada mulanya hadir dalam hati buat lelaki itu, bertukar menjadi benih-benih cinta yang semakin lama semakin mekar, menghidupkan taman bunga di dalam jiwa.

Dia jatuh cinta pada peribadinya. Dia jatuh cinta pada sifat hormatnya terhadap kaum wanita. Dia jatuh cinta pada keteguhan dia berpegang pada tali syariat agamanya. Lelaki itu, meskipun 24 jam sibuk memanjang, tidak pernah pula dia lupa akan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Jika ada kesempatan, pasti dia akan mengimami adiknya di rumah. Dan ada pula waktu-waktunya, Farisha sendiri berpeluang menjadi makmumnya. Dan sejak dari saat itulah, Farisha menanam azam untuk mengubah diri. Mengubah jalan hidup. Kehadiran Amar menjadikan dia sedar akan keindahan Islam yang selama ini tidak menyinar di pandangannya.


******************************************************

Dengan kelajuan 50 kilometer sejam, perjalanan ke rumahnya memang terasa agak jauh. Sepanjang perjalanan, mereka bertiga tidak banyak bercakap, lebih-lebih lagi Farisha sendiri. Lamaran Amar sudah dia terima dan sudah tiba masanya dia mendedahkan kisah kehidupannya yang sebenar pula.

Jika diikutkan hati, ingin sahaja dia terus menikahi lelaki itu tanpa perlu memaklumkan kepada ibunya terlebih dahulu. Namun, sejak hatinya menjadi lembut, perasaan dendam dan benci terhadap ibunya sedikit sebanyak telah luntur. Namun, tidak pernah terpadam. Sentiasa membara apinya. Cuma tidak semarak dulu.

Amar juga tidak banyak bercakap. Dia senang. Kini dia lebih tenang. Meskipun hasratnya untuk melihat Wani menikah terlebih dahulu tidak tercapai. Dia redha. Mungkin saja jodohnya sampai dahulu. Dia dikhabarkan bahawa usia ibu Farisha tidak jauh darinya. Hampir sebaya. Mungkin saja wanita itu menikah pada usia yang muda dan beranak pula pada usia yang masih muda. Begitulah fikirnya. Cemas juga rasanya ingin menemui ibu mertua yang hampir sebaya dengannya. Entah apa pula tanggapannya nanti. Rasa tidak padan pula 38 tahun jika hendak digandingkan dengan 20 tahun. Tapi itulah kata orang, cinta tidak mengenal usia. Meskipun situasinya kini kelihatan seperti sedikit tidak logik. Tetapi dia tidak mungkin akan berundur lagi. Dia sudah terlalu berharap agar hubungan ini akan menjadi. Tidak mungkin baginya menunggu lagi. Usianya juga sudah terlalu lanjut. Jangan sampai dia jadi bujang terlajak pula! Justeru, setiap malam dia meminta dan memohon kepada Allah S.W.T. agar dipermudahkan urusannya kali ini, agar dibukakan pintu jodoh itu buatnya. Dia sudah terlalu sayang akan Farisha. Tidak mungkin rasanya akan beralih arah.


******************************************************

Nur pula sudah bersiap sedia menyambut tetamu. Meskipun rumahnya tidaklah sebesar mana, namun dia tidak mahu memalukan anak gadisnya di hadapan bakal suami. Sedaya upayanya, dia cuba untuk memperindahkan rumah tersebut pada hari itu, khas pada hari dia bertemu bakal menantunya.

Nur sudah tidak seperti dahulu lagi. Sejak Farisha berubah menjadi wanita muda yang lebih baik, dia tidak lagi membencinya. Hampir setiap malam, lebur benih-benih dendamnya terhadap Farisha tatkala alunan suara Farisha melaungkan ayat-ayat suci Al-Quran menyapa cuping telinganya. Ayat-ayat suci Al-Quran yang bagaikan telah membersihkan hatinya daripada segala rasa benci yang kotor dan menggelapkan hati. Sedikit demi sedikit, dia mula menerima Farisha sebagai anak yang pernah dia kandung di dalam rahimnya. Meskipun Farisha tidak lagi mahu bermanja dan bermesra dengannya. Mungkin kerana serik dengan sikapnya yang selalu sahaja tidak mengendahkan Farisha dahulu.

Nur tidak ambil hati terhadap sikap acuh tidak acuh Farisha terhadapnya. Nur mengaku, sebagai seorang ibu, dia gagal memberikan kasih sayang kepada Farisha. Dia gagal membesarkan Farisha dengan sempurna. Sehingga tidak pernah sekalipun Farisha dia susukan dengan darah dagingnya sendiri. Seumur hidup dia menyesal kerana dia tidak pernah mengubati tangis bayi Farisha dengan susunya. Saat jari jemarinya sibuk menyusun kuih-muih di dalam pinggan, berjejeran air matanya menangisi kekesalannya. Kini, Farisha sudah dewasa. Sudah ingin menikah. Sudah tiba masa pergi meninggalkannya.

Hari ini, dia akan melakukan yang terbaik buat Farisha. Mungkin saja bakti terakhirnya sebagai seorang ibu. Hari ini, dia akan membelai Farisha dengan penuh kasih sayang. Hari ini, dia akan merelakan Farisha merasakan kebahagiaan bersama lelaki pilihannya. Moga dengan kerelaan itu, dapat dia menebus segala kebahagiaan yang tidak pernah dia berikan kepada Farisha sepanjang dia bergelar ibunya. Bercucuran lagi air matanya apabila mengenangkan masa-masa singkat yang tidak pernah dia isi dengan kasih sayang bersama Farisha.


******************************************************

Dulang berisi cawan yang ditatang jatuh terhempas. Pecah berderai di atas lantai. Bergetar seluruh tubuhnya apabila terlihat wajah Amar yang berdiri di sisi Farisha. Amar juga sama. Sungguhpun Nur sudah jauh berubah, dia masih mampu mengecamnya. Mereka berdua saling berpandangan. Nur masih tidak berganjak dari posisinya. Dengan serta merta, serpihan kenangan lalu kembali terpancar pada kaca-kaca yang sudah berderaian di atas lantai. Nur menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia semakin hilang kawalan.

“Tidak, Farisha! Kamu tak boleh berkahwin dengan lelaki ni! 
Bergema seluruh ruang tamu dengan tempikan suara Nur.

Amar masih lagi dalam kekeliruan. Farisha anak Nur? Bila Nur berkahwin? Jika melihat kepada usia Farisha sekarang, pasti Nur masih sangat muda sewaktu dia melahirkan Farisha. Tetapi, mengapa dia tidak pernah tahu akan kisah tersebut? Padahal dia dan Nur boleh dikatakan kawan rapat sewaktu usia muda dahulu. Amar semakin keliru.

“Tapi, kenapa?! Kenapa pula Farisha tak boleh berkahwin dengan Abang Amar?! Kenapa?!” Farisha sudah ikut bertempik sama.

Sungguh tidak disangka. Dia datang dengan niat yang baik, ingin memohon restu daripada seorang wanita yang selama ini tidak pernah dia anggap sebagai ibunya. Namun, itu pula balasannya. Dengan tidak semena-mena, marak semula api kebenciannya terhadap wanita tersebut.

“Jangan kamu panggil dia tu ABANG, Farisha! Jangan sekali-kali! Nur semakin cemas.

Musibah seperti apakah yang sedang terjadi pada saat itu? Anak gadisnya ingin menikahi ayahnya sendiri?! Wajah Amar ditatapnya berkali-kali. Siapakah yang harus dipersalahkan kini? Adakah dia? Kerana tidak memberitahukan kepada Amar sejak dari awal lagi? Atau Amar? Kerana tidak berhati-hati? Segala-galanya seakan-akan sudah terlambat! Mereka sudah saling mencintai. Terlalu cinta sehingga tidak mungkin terhalang oleh apa-apa lagi.

Amar dan Wani hanya mendiamkan diri. Amar tidak berani pula untuk menegur Nur pada saat itu. Benarlah tanggapannya! Nur tidak mungkin akan setuju sekiranya anaknya menikahi lelaki yang jauh lebih tua daripadanya. Makanya, Amar hanya mampu redha. Redha menanti keputusan daripada Nur. Kedua-dua anak-beranak itu dibiarkan sahaja berbincang sesama sendiri. Wani pula semakin tidak mengerti. Sepertinya dia tidak dapat mencerna situasi saat itu. Oleh kerana itu, dia tidak dapat mengerti apa-apa.

“Diaaaa…Dia……..” Nur terketar-ketar sambil jari telunjuknya dihalakan ke arah Amar.

“Dia ayah kamu!!!!!!!!”

Bagaikan dipanah petir kenyataan, kedua-dua seakan-akan jatuh terhumban ke dalam gaung yang dalamnya tidak berpenghujung. Kilat sabung menyabung di luar rumah seakan-akan telah memanah jasad Amar dan Farisha. Kedua-duanya saling berpandangan. Farisha menggelengkan kepala tanda tidak percaya. Wajah Amar ditatapnya puas-puas. Memohon penjelasan. Amar juga sama. Kedua-duanya tidak mengerti. Masakan lelaki itu ayahnya! Dia tidak pernah ada ayah!

“Kau tipu! Kau tipu! Aku tahu kau sengaja cakap macam ni sebab kau cemburukan aku! Kau tak mahu lihat aku bahagia! Kau hidup tak bersuami, jadi kau pun tak nak aku bersuami jugakkk!!! Kau tipu!!!” Farisha cuba menafikan kenyataan.

“Nur! Betul ke ni, Nur?! Bila? Macam mana?! Kenapa aku tak pernah tahu?! Apa semua ni?!”

Amar menggoncang-goncang bahu Nur memohon penjelasan. Kali ini, dia sudah tidak bisa berfikir secara waras lagi. Runtuh segala batas kehormatannya terhadap wanita pada saat itu. Meskipun tidak mudah dia percaya, namun dia tidak bisa menyangkalnya. Kerana dia tahu Nur tidak akan pernah menipu. Apalagi mengenai perkara-perkara yang serius. Pemergian Nur dan ibunya secara mendadak juga tambah meyakinkan dia. Dia juga pernah terdengar khabar bahawa Nur mengandung anak luar nikah, cuma saat itu dia tidak percaya. Sikap Nur yang dahulu tiba-tiba berubah tambah menyakinkan dia bahawa Nur tidak menipu.

“Abang! Abang kenal ke perempuan ni?!” Farisha tambah terkejut.  Rasanya kini, dia tidak mungkin mampu mempertahankna penafiaannya tadi. Abang Amar sudah lama mengenali, Nur, ibunya!


Dia jatuh terduduk di atas lantai. Segera jasad lemahnya disambut Wani yang masih keliru. Namun kini dia sudah ingat segalanya. Itulah Nur! Wanita yang dahulu menjaganya di saat dia masih kecil. Tidak hairanlah jika dia senang sekali bersama Farisha. Nur itu ada pada Farisha.

“Abang..Ah! Ayah! Abaa….ng…Ah!!!!!” Suara Amar tersekat-sekat. Tidak tahu lagi bagaimana dia harus membahasakan dirinya kini. Mukanya diraup berkali-kali. Terasa kepanasan yang membuak-buak. Kopiah putih yang dia kenakan sudah terbang melayang entah ke mana.

Malunya dia pada Allah kerana menyimpan hasrat menikahi anak sendiri. Malunya dia kerana berangan-angan membina rumah tangga bersama anak sendiri. Malunya dia sehingga dia rasa tidak ingin hidup lagi. Jika hidup sekalipun, ada baiknya dia buta sahaja. Tidak sanggup rasanya menatap wajah Farisha. Wanita yang dia cintai separuh mati! Anaknya yang dia cintai separuh mati!

“Ya Allahhhhh!!! Musibah apakah yang Kau timpakan ke atas hamba-Mu ini?!!!!  Ya Allahhh!! Hamba malu Ya Allah!!!....” 

Amar merayu, merintih memohon keampunan Allah di atas keterlanjurannya mencintai gadis itu. Berjejeran air matanya mengalir ke pipi. Membuku rasa malunya terhadap Nur, Wani, dan Farisha terutamanya.

Wani hanya mampu beristighfar panjang. Dia turut merasa bersalah kerana membawa Farisha ke dalam hidup abangnya. Jika bukan kerananya, pasti tidak akan terjadi kesilapan besar ini. Ketiga-tiganya sudah melutut di atas lantai. Tidak berkudrat lagi. Farisha pula sudah terbaring lemah di pangkuan Wani. Sesak nafasnya. Berombak dadanya menahan tangis.

Nur mengumpul semula segala kudrat. Setelah keadaan menjadi sedikit tenang, dia mula mengatur bicara. Membuka rahsia yang selama ini dia simpan sendiri. Yang berbicara meneruskan bicara, yang mendengar hanya mampu mendengar dan beristighfar panjang. Dari mula lagi, segala-galanya adalah satu kesilapan besar. Cinta itu suatu kesilapan besar!

Semakin banyak yang dibongkarkan, semakin pedih batin Farisha mendengarnya. Semakin membukit rasa benci terhadap wanita bernama Nur tersebut. Baginya, tidak ada lagi Nur! Tidak ada lagi ibu yang sememangnya tidak pernah ada! Yang berbiacara pada saat itu hanyalah seorang wanita tidak siuman yang sedang mencipta reka cerita yang karut-marut! Cerita yang tidak masuk akal!

Dengan tidak semena-mena, Farisha membuka langkah, berlari ke luar rumah di dalam kehujanan. Pada saat itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa pedih hatinya. Bagai disiat-siat kulitnya. Bagai ditusuk-tusuk jantungnya.

“Zapppp!!!!!”

Terpelanting jasad kurus tersebut beberapa kilometer di tengah jalan. Nur, Amar serta Wani segera keluar daripada rumah apabila terdengar akan bunyi geseran tayar dengan jalan akibat brek yang mendadak. Tidak lain tidak bukan! Jasad Farisha terkulai lemah di tengah jalan.

Ketiga-tiganya berlari sekuat hati ke arah jasad  lemah Farisha. Darah yang mengalir deras terus memenuhi jalan. Terlarut bersama air hujan yang sedang hebat menyimbah bumi. Nur memangku jasad lemah itu dalam ribaannya.

Farisha membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Tidak terasa apa-apa baginya sakit dilanggar kereta sebentar tadi. Menatap wajah wanita yang sedang memangkunya itu justeru lebih menyakitkan.  Jika dia mampu berdiri, sudah pasti saja dia tidak merelakan diri di dalam pangkuan itu. Wajah mereka bertiga ditatapnya satu-persatu, kemudian terbejat pada wajah Nur, ibunya. Dia mengukir senyuman nipis berbau sinis. Dia masih mampu tersenyum di sebalik kesakitan yang sedang menyelubungi seluruh jasadnya.

“Hahahha…" Tergelak perlahan, sambil matanya menatap ke langit. Kemudian dikembalikan pandangannya ke arah Nur. Geli hati agaknya. Atau sakit hati. Atau mungkin juga masih keliru dan tidak percaya. 


"Aku betul-betul tak sangka..Cerita pendek kita berakhir di sini. Aku ingat aku akan kuburkan perasaan benci aku pada kau hari ni. Tapi rasanya, lepas apa yang kau dah buat pada aku……” Terhenti seketika. Menarik nafas sedalam-dalamnya. Nafas terakhir untuk mengungkap sepatah ucapan terakhir buat Nur. Ucapan yang pastinya akan menjadi mimpi ngeri Nur selagi hayat dikandung badan.

Farisha terbatuk-batuk. Darah memercik keluar lewat mulutnya. Nur hanya mampu mendengar sahaja. Mulutnya ditutup dengan tapak tangan. Tangisannya malah lebih hebat daripada hujan yang sedang membasahi bumi. Amar dan Wani masing-masing terkedu. Membisu seribu bahasa. 

“Ni aku nak bagitau kau…Sebelum malaikat maut cabut nyawa aku ni…Aku nak kau tau.. Sepanjang hidup aku ni, tak pernah seharipun aku tak bencikan kau! AKU TAK MENYESAL HABISKAN SELURUH WAKTU KEWUJUDAN AKU NI MEMBENCI KAU! WALAUPUN KAU IBU KANDUNG AKU SENDIRI…AKU BENCI KAU…SAMPAI AKU MATI….

Tidak berombak lagi dadanya. Terhenti hembusan nafasnya. Tiada lagi suaranya. Ya! Segalanya berakhir di situ. Segalanya berakhir begitu sahaja. Nur yang sedari tadi menangis tidak lagi berair mata. Dia hanya tergamam. Terasa bagaikan telah disumpah. Anak itu…..Anak yang dia kandungkan di dalam rahimnya selama sembilan bulan membencinya. Membencinya sehingga ke hujung nyawa….

Mata Farisha yang masih terbuka ditutupnya perlahan. Dicium kening anak gadis itu. Di dalam hati, tidak putus-putus dia memohon dan meminta pada Allah. Pintanya agar anak itu nanti tidak dipertanggungjawabkan di atas kata-katanya sebelum mati. Pintanya agar anak itu dilepaskan dari azab kubur di atas kata-katanya sebentar tadi. Sesungguhnya, dengan seikhlas hati seorang ibu, dia mengampunkan anak itu di atas segala dosa-dosanya. Meskipun anak itu membencinya sampai mati...

******************************************************

Kata akhir penulis: 

Astargfirullahala'zim....Astarghfirullahal'zim...Astargfirullahala'zim... Sedikit ekstrem akhirnya. Moga dibaca dengan mata hati. InsyaAllah, bisa jadi pedoman sepanjang hidup, bisa membuat kita sedar... Kasih ibu hingga ke syurga....