andai kau sudi

Saturday, March 12, 2011

Cuti Lagi.....

Assalamualaikum WBT...

   Duhai saudara-saudara ku yang dikasihi...

  Sudah lama rasanya tidak berbicara langsung dengan kalian seperti ini. Terasa bagaikan sudah jauh sedikit. Tidak banyak. Sedikit sahaja kerana sesungguhnya kalian semua sentiasa berada di hati kecil ini. Hari ni, tak mahu menulis cerpen atau cerita lagi. Hari ni mahu berkongsi sedikit luahan hati. Berkongsi bersama kalian semua. Bukan pula bermaksud mahu membelakangkan Allah sebagai Penciptaku, namun hanya ingin sekadar bertukar cerita. Ceritera baru, juga yang lama.

   " Cuti lagi. Banyaknya cuti..." Itu kata hati saya. Hati insan lain pasti ada yang berkata begini, " Yeay! Seronoknya cuti! Dapat balik kampung jumpa mak ayah! Yooo Hoooo..!!"  Lebih kurang macam itulah bunyinya. (Dan ada gaya macam hepy feet nih!)




   Kalau insan-insan lain berasa sangat gembira, mengapa pula nada saya tadi menggambarkan kebosana ataupun jika diselami yang tersirat, lebih kepada kesedihan? Hanya ada satu jawapannya saudaraku semua..Kerana bukan setiap cuti itu diisi dengan kegembiraan dan kebahagiaan bersama keluarga tercinta.

   Terkadang, cuti itu lebih banyak dihabiskan bersama sahabat-sahabta seperjuangan yang juga merantau sepertiku. Jauh..Jauh sekali daripada pandangan mata bening insan-insan yang dikasihi. Berada di rantau orang tidak pernah ku rasakan susah sedikitpun kerana kemahiran mengadaptasi kepada sesuatu situasi atau suasana baru itu sudah ku benih dan semaikan sehingga begitu subur sekali di dalam batin ini.

   Namun, sesekali, kesedihan itu menyapa jua. Bukan untuk sebulan dua berpisah dengan keluarga tercinta, tetapi bertahun-tahun lamanya. Sehingga otak yang kejam ini sudah bisa terlupa bagaimana rupa ayah dan ibu tercinta sehingga aku terpaksa menatap gambar-gambarnya untuk meneliti semula raut wajah yang mulia itu.



   Ada pula waktu-waktunya insan-insan ini akan muncul di dalam mimpiku. Tidaklah selalu kerana jarang sekali aku bermimpi. Tetapi, ketika mana aku sudah "jauh" daripada mengingati mereka, di saat itu jugalah Allah akan mengingatkan aku semula. Dihantar-Nya wajah-wajah mulia itu untuk menghiasi mimpiku sehingga aku tersedar semula. Tersedar semula daripada hari-hariku yang kadangkala terlalu sibuk sehingga terlupa untuk sesaat mengingati mereka.

   Bersama mimpi itu, dihembuskan rasa rindu. Angin rindu yang kuat sekali. Tika di tengah malam aku terjaga kerana mimpi itu, saat itu juga aku rasa ingin kembali ke "syurga" yang telah ku tinggalkan itu. AKU INGIN PULANG...... Sama seperti yang kurasakan di saat ini. Ketika semua sahabat-sahabat yang pada waktu ini pasti sudah berada di pangkuan keluarga masing-masing, aku terasa seperti INGIN PULANG. Pulang menemui mereka walau  untuk sejenak. Ingin menatap wajah mereka yang selalu aku lupakan. Ingin berbicara dan bergelak ketawa bersama mereka meskipun aku sukar sekali bercakap. Itu ayah. Ayah sudah ada di dalam diriku. Wajah ini yang kerap mengukir senyuman, itu ibu. Ibu juga ada di dalam diriku.



   Cuti, cuti dan cuti lagi. Aku selalu bersendiri di waktu-waktu seperti ini. Di waktu malam, ku jenguk ke bilik sebelah, gelap! Bilik di hadapan juga, gelap! Semuanya gelap! Tidak ada gelak tawa dan hingar bingar seperti hari-hari kuliah yang biasa. Pada waktu-waktu inilah aku akan berasa SUNYI. Sunyi sekali. Bukan sunyi kerana tidak berteman, tetapi sunyi yang teramat berbeza sehingga tidak mampu ku gambarkan dengan kata-kata. Sunyi yang memakan di dalam diri. Dan lagi, aku terasa seperti ingin pulang....



   " Alah. Kau dan keluargamu tidaklah sejauh mana. Naik flight, tak samapi 2 jam sudah sampai rumah. Apa yang jauhnya? Lainlah aku. Aku kena naik KTM, lepas tu naik bas lagi. 7-8 jam baru sampai rumah. Kalau malam, sudah tengah hari baru aku sampai rumah. Aku lagi jauh."  Kata-kata sahabat tercinta yang sememangnya penduduk asal tanah semenanjung ini.

   Bila ku renung kembali, ada  benarnya juga kata-katanya itu. Secara logiknya, jarak itu memanglah sangat jauh, namun waktu untuk mendekatkan, sangatlah pendek. Kadangkala, kata-kata seperti itu membuatkan semangatku pulih semula. Kerana aku tahu bahawa kami sebenarnya tidak jauh, malah sangat dekat. Sedekat 2 jam perjalanan. Ketika itu aku akan tersenyum semula.



   Peluang berada jauh begini bukan ada selalu. Meskipun kerap aku terasa seperti ingin pulang, saat itu juga aku akan segera menyedarkan diri. Masa yang ada ini biarlah ku gunakan untuk mendewasakan diri. Mendisiplinkan diri meskipun tanpa teguran keras dan berbisa daripada ayah. Itu ayah. Dan "ayah itu" ada juga di dalam diriku. Namun, jarang sekali ku perlihatkan. Hanya ketika di waktu-waktu memaksa sahaja. Sahabat-sahabat sekuliah sahaja yang tahu bila. Namun, aku tidak mahu memperlihatkannya selalu. Kerana bisa bikin semua takut padaku nanti! Biarlah aku memperlihatkan "ibu" sahaja. Ibu yang sentiasa tersenyum dan begitu mesra dengan insan-insan lain meskipun baru pertama kali bersua. Mesra. Itu ibu. "Ibu" itu yang masih tiada di dalam jiwaku. Akan ku pupuk seiring waktu. Kerna ku tahu, aku bakal menjadi seorang guru. Seorang guru tidak boleh terlalu pemalu.



   Cuti lagi...Cuti ini tidak datang sendiri dan kosong begitu sahaja. Cuti kali ini pasti tidak akan sesunyi dan sebosan dahulu kerana sudah ada begitu banyak assignment dan kertas kerja yang harus disempurnakan. Mana mungkin kebosanan dan kesunyian bisa menyelitkan diri di celah-celah kesibukan itu. Tidak ada ruang untuk kedua-duanya. Kalau adapun, itulah gunanya Celcom dan Digi. Connecting people. Hahah. (Aik! Makin hampir kepada penutup makin lain pula nadanya. Musykil dehhh..Never mind. Nggak bisa sirius terus..Hepy sikit k..)




   Ok. Pada kawan-kawan yang juga senasib, janganlah sedih. Yang tumpah darahnya di Sarawak, iboh nangis. Iboh sedih-sedih. Kita sik jauh. 2 jam jak. Dekat nak?. Sahabat-sahabat dari Sabah pula...Ok bah kalau kau! Jangan sedih bah..Relaks sak. Next cuti, kalau ada chance, kita pulang sama-sama. Kalau tiada peluang, kita duduk di sini lagi. Juga sama-sama.

   Lastly, minta maaf ya semua andai ada tersalah bahasa, terkasar bicara, terpukul di mana-mana. Tidak terniat di hati saya. Cuti-cuti begini, jangan lupa jaga harta-harta kita. Iman. Itu paling penting. Jaga mata juga. Telinga. Mulut. Kaki dan tangan. Jaga semuanya daripada perkara-perkara yang tak bawa manfaat. Semoga istiqamah dalam ibadah. Semoga sentiasa selamat sepanjang tempoh bercuti dan dirahmati hendaknya.  Amin.....Wassalam....



p/s : pssssstttt!!  Cerita Tentang Aina tu, teruskan ikut ya. Maaf ku pinta kalau asyik terlambat untuk update.
       Cerita itu adalah kontrak seumur hidup!

Jawapan kepada soalan daripada pembaca : Gambar??? Heheh. Mesti hairan kan? Takda satupun gambar saya mahupun gambar-gambar sahabat dan keluarga tercinta. Gambar keluarga dan sahabat banyak sihh..Tapi, tidak elok pula rasanya hendak memaparkannya di sini tanpa kerelaan  tuan punya badan dan setiap jiwa yang ada di dalam gambar tersebut. Jadi, ada baiknya saya simpan sahaja. InsyaAllah, kalau ada jodoh,kita semua pasti dipertemukan....



No comments: