"Assalamualaikum W.B.T......
Dear Ayah.....
Hari ni, Aisyah kena marah Abah lagi. Hmmmm... Tak tahulah kenapa dengan Abah tu. Hari-hari nak marah. Pantang Aisyah salah cakap sikit, pasti Abah nak marah. Sebiji macam Ayah. Tapi tak boleh nak salahkan Abah juga. Memang salah Aisyah pun. Aisyah sendiri suka sangat cari pasal.
Sampai sini saja ya Ayah. Abah dah panggil Aisyah tu. Tak tahulah kenapa. Tapi, Ayah doakan Aisyah ya. Jangan Aisyah salah tekan butang bom lagi kali ni. Ok. Wassalam..."
**********************************************************************************
Aisyah menuju ke bilik bacaan Abah dengan menatang dulang berisi segelas susu. Salam diucap dan pintu diketuk perlahan. Bimbang akan mengejutkan Abah.
"Masuk!" Terdengar suara garau Abah dari dalam bilik.
Tombol pintu dipulas seraya hati kecilnya berdoa agar kali ini dia tidak tersilap langkah mahupun terlepas cakap lagi. Helaian surat khabar dilipat kemas dan diletakkan di atas meja. Lelaki separuh abad itu membetulkan kaca matanya. Dia senyap seketika.
"Kamu buat apa berlama-lama dalam bilik tu? Dah naik serak suara Abah panggil kamu. Kamu tak dengar ke?" Sedikit keras nadanya. Kedengaran seperti Aisyah akan kena lagi kali ini.
"Eh, ya ke? Aisyah tak dengar pun? Kalau tak silap dengar Aisyah, Abah panggil Aisyah sekali aje." Ah! Terlalu polos anak itu. Jujur sekali jawapannya. Dan mengapa harus mulut lancangnya itu menjawab? Aduh! Pasti saja dia akan kena lagi!
Tuan Faizul hanya mendiamkan diri. Gelas susu di hadapannya langsung tidak disentuh. Panas hatinya apabila Aisyah menjawab lagi. Namun kali ini, dia cuba untuk tidak memarahi anak itu. Bilik Aisyah di tingkat tiga. Pantas saja dia tidak mendengar sekiranya dia memanggilnya. Lagipun, bukan dia tidak tahu apa yang dilakukan oleh Aisyah sekiranya dia sehingga tidak mengendahkan yang lain. Pasti saja dia sedang menulis diari buat Ayahnya. Tuan Faizul cuba untuk mengerti dan memahami.
"Yelah tu. Kamu ni, kalau tidak menjawab, memang tak sah. Pergilah naik atas balik. Sambung kerja kamu tu. Jangan sampai lewat tidur pula. Selepas solat Subuh esok, tolong Abah kemas-kemas pakaian sikit. Abah ada mesyuarat dekat Singapura. 3 hari. Flight Abah petang esok. sebelum tu, Abah akan hantar kamu ke rumah nenek. Taklah kamu duduk sorang-sorang dekat rumah ni."
Aisyah mengangguk perlahan. Seperti biasa, Abah akan pergi lagi. Tiap-tiap minggu Abah mesyuarat. Ke sini, ke sana. Selalu saja Aisyah dihantar ke rumah nenek. Tetapi lebih kerap lagi Aisyah ditinggalkan berseorangan di rumah agam milik Abah. Aisyah sunyi.
**********************************************************************************
"Alah... Aisyah nak pergi sekejap je. Lagipun, Aisyah nak jumpa kawan-kawan dekat kampung juga. Bukan selalu. Boleh kan?" Aisyah menggenggam erat lengan Ayah yang sedang menumpukan perhatian terhadap bacaannya.
"Ayah cakap tak payah, tak payahlah. Jangan ke kampung tu kalau Ayah tak bawa kamu. Ayah tak suka kamu bercampur dengan budak-budak yang tak tentu hala tu. Entah apa yang kamu buat kalau Ayah tak ada kat sana." Ayah masih meneruskan bacaannya. Rengekan Aisyah sebentar tadi langsung tidak dia pedulikan.
"Ayah ni kan.. Suka fikir yang bukan -bukan. Tak baik Ayah cakap macam tu tau. Nanti, kalau Aisyah betul-betul buat benda tak baik baru Ayah tau!"
Zapppp!!! Sebuah tamparan singgah di pipi kanannya. Aisyah terjelepok di atas lantai. Genggamannya tadi terlepas juga. Dia tertunduk-tunduk menahan sakit.
"Hey! Aku tak pernah ajar kau jadi jahat1 Sejahat-jahat aku dulu, tak pernah sekalipun aku cakap dengan Mak aku macam tu. Kau jangan nak cabar aku. Aku beri amaran pada kau ni! Kalau kau berani, kau cubalah cabar aku! Kalau nanti kau kena tahan polis sebab buat benda-benda yang tak elok, aku biar kau mati busuk dekat dalam penjara tu! Kalau polis lambat tangkap kau, aku sendiri yang akan hantar kau ke penjara! Jangan kau berani-berani nak cabar aku.!!"
Dengan tidak semena-mena, lengannya ditarik keras. Dia diseret ke luar pintu. Batang tubuhnya yang kurus melidi dihempukkan ke dalam kereta sebaik saja pintu kereta dibuka. Pak Seman menghidupkan enjin kereta. Aisyah yang masih terpinga-pinga hanya mendiamkan diri. Baru sahaja sebentar tadi dia ditampar. Hampir hilang seluruh ingatannya. Terasa bagaikan terburai seluruh isi kepalanya. Itulah padahnya jika berani mencabar kesabaran Ayah. Bukan Aisyah tidak pernah kena. Cuma dia tidak kenal erti serik. Tetapi kali ini, lain pula rupa hukumannya. Aisyah sendiri tidak tahu apa yang bakal terjadi sebentar sahaja lagi. Adakah Ayah akan memandu kereta selaju-lajunya kemudian membiarkan kereta itu menjuna ke dalam gaung, biar mereka sama-sama mati terbunuh? Aisyah sendiri tidak tahu.
**********************************************************************************
"Maafkan Aisyah, Ayah! Aisyah tak sedar! Aisyah tertidur! Maafkan Aisyah!" Bibirnya tidak putus-putus mengucap kata maaf. Berharap agar kesilapannya kali itu mendapat keampunan si Ayah.
"Kamu dah gila ke apa, hah?! Aku suruh kamu masak air! Bukan suruh kamu bakar dapur aku ni! Kecik-kecik tak nak mati! Dah besar-besar ni, rumah aku pulak yang kau nak bakar?!" Herdikan demi herdikan dilemparkan terhadap Aisyah, manakala tangannya masih sibuk memadamkan api yang sudah hampir memusnahkan separuh bahagian dapurnya. Sudah hampir habis terbakar segala perkakasan dapur.
Untung saja bukan Aisyah yang mati rentung dibakar api. Hanya Allah saja yang tahu betapa gelabahnya dia apabila dikhabarkan kepadanya asap berkepul-kepul keluar dari bahagian belakang rumahnya. Teringat dia bahawa Aisyah masih berada di rumah itu. Bagaimana saja keadaannya? Bergegas dia meninggalkan masjid. Sehingga tidak sempat berselipar. Berkaki ayam, berlari selaju-lajunya menuju ke rumah. Begitu dia sayang akan anak itu meskipun pada hakikatnya, lain yang dia paparkan pada papan dunia sebenar.
Sampai saja dia ke rumah, lega hatinya melihat anak itu baik-baik saja. Tidak tercalar sedikitpun. Jauh sekali terbakar. Namun, sebaik saja Aisyah mengakui akan kesilapan serta kecuaiannya, serta-merta hatinya menjadi panas. Sepanas api yang membakar. Semakin marak apabila mengenangkan kecuaian yang dia kira tidak patut berlaku. Baru sahaja sekejap dia meninggalkannya di rumah sendirian. Lain pula yang terjadi. Seperti tidak boleh diharapkan langsung!
**********************************************************************************
"Sudah! Kamu keluar dari kereta ni sekarang! Tadi kamu berani sangat mencabar aku. Makan minum pun aku yang tanggung! Sekarang ni aku nak tengok sendiri. Kalau aku biarkan kamu dekat sini, dapat ke tidak kamu hidup lagi. Keluar sekarang!!!!"
Aisyah tersentak dari lamunan. Jauh sekali dia kembali ke masa lampau sehingga tidak sedar akan hala tuju dia dan ayahnya. Tahu-tahu saja sudah sampai entah di mana dan dihalau keluar.
"Ayah! Kita kat mana ni? Takkan Ayah nak tinggalkan Aisyah sorang-sorang kat sini? Aisyah tak nak! Ayah!!" Aisyah tersedu-sedu menahan tangis. Tidak pula dia sangka sehingga begitu sekali dia dihukum kali ini. Begitu besarkah permintaannya untuk ke rumah nenek sebentar tadi? Dan begitu besarkah kesilapannya kerana menjawab sebentar tadi?
"Aik?! Tadi aku ingat kamu dah besar sangat sampai berani nak melawan cakap aku?! Sekarang ni, aku nak tinggalkan dekat sini sorang-sorang, tahu pulak kamu takut?! Sekarang ni, aku tak kira. Kamu takut ke, apa ke, kamu keluar!! Anak tak tahu diuntung macam kamu ni memang patut kena ajar!" Pak Seman masih mengeraskan suaranya meskipun dia tidak benar-benar memaksudkan kata-katanya sebentar tadi. Dia hanya sekadar ingin menakutkannya sajaha. Biar dia sedar akan kesilapannya.
Kadangkala Pak Seman sendiri tidak habis fikir. Mengapa anak itu sukar sekali mengalah. Ada-ada sahaja yang ingin dibantahnya. Tidakkah dia tahu bahawa ayahnya itu sangat mengasihinya? Dan oleh kerana itu dia tegas sekali menjaganya. Dia mahu Aisyah menjadi MANUSIA. Aisyah membesar di dalam dakapannya sendiri. Tanpa ibu dan siapa-siapa juga yang menyerupai ibu. Sedaya upaya Pak Seman melengkapinya dengan kasih sayang kedua-duanya. Dialah ayah, dialah ibu. Dia menyayangi anak itu lebih daripada dia menyayangi dirinya sendiri. Mengapa Aisyah tidak mahu mengerti?
Sewaktu kecilnya, Aisyah dimanjakan selayaknya seorang bayi yang perlukan kasih sayang serta perhatian. Tidak pernaha sekalipun Pak Seman berjauhan darinya. Cuma, masa berlalu dan Aisyah menjadi dewasa. Sudah pasti cara mendidik anak gadis yang berusia 16 tahun tidak akan sama dengan cara memanjakan anak yang berusia 5 tahun. Atau, adakah dia yang sudah tersilap mendidik Aisyah? Terlalu kasarkah dia selama ini? Atau terlalu lembutkah dia dahulu?
**********************************************************************************
Aisyah melangkah keluar dari kereta perlahan-lahan. Jika itu hukuman bagi kesilapannya kali ini, dia akan menurut. Hatinya sudah hancur luluh. Tidak pernah dia menyangka bahawa sampai begitu sekali Ayah membencinya. Sehingga sanggup membiarkan dia sendiri entah di mana-mana. Bagaimana jika dia diganggu orang asing di jalanan? Bagaimana jika dia diculik? Tidakkah Ayah terfikirkan itu? Atau Ayah sememangnya menginginkan perkara seperti itu terjadi kepadanya? Supaya Ayah tidak perlu lagi menjaga anak yang degil sepertinya?
Pak Seman tersentak apabila mendengar pintu kereta ditutup. Dipandangnya ke tempat duduk belakang, anak gadisnya itu sudah tiada. KELUAR seperti yang dikehendakinya sebentar tadi. Sejujurnya, dia tidak pernah berniat untuk meninggalkannya di situ. Namun bila difikirkan semula, itu sahaja cara yang terlintas di fikirannya. Dia sendiri sudah tidak tahu lagi bagaimana seharusnya dia melenturkan kedegilan Aisyah. Namun, terfikir juga dia. Betulkah tindakannya itu? Patutkah dia meninggalkannya sendirian di situ? Bagaimana jika dia diganggu orang asing di jalanan? Bagaimana jika dia diculik?
Tidak! Dia harus kuat! Dia harus mendidik anak itu. Kerana seringkali Aisyah mengaku bahawa dirinya sudah cukup dewasa untuk melakukan itu dan ini. Dirinya sudah cukup dewasa untuk bergerak sendiri. Dirinya sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri. Tapi baginya, dewasa bukan bererti bebas keluar ke sana sini. Dewasa bukan bererti bebas melakukan itu dan ini. Dan kali ini, Pak Seman akan membiarkan dia menikmati kedewasaan itu sendiri. Nikmatilah kedewasaan dan kebebasan yang dia sebut-sebutkan selama ini. Dia ingin melihat sendiri sejauh mana kedewasaan itu akan melindunginya nanti. Hanya pada Allah S.W.T. doa dipanjatkan agar anak itu sentiasa dilindungi.
**********************************************************************************
Setengah jam Aisyah termangu-mangu di tepi jalan. Dia hanya duduk sahaja di atas penghadang jalan. Dia mati akal. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sesekali kelihatan beberapa buah kereta berhenti di tepi jalanan. Mungkin sahaja membetulkan enjin atau apa-apa sahaja yang membuatkan mereka terhenti di situ.
Dan pada masa yang sama, akan ada beberapa orang lelaki muda datang menghampirinya. Tersenyum-senyum dengan sorot mata yang begitu menjengkelkan. Entah apa yang sedang bermain di fikiran mereka. Untung saja jalan sibuk hari itu. Makanya, dia tidak berasa sunyi. Terasa sedikit terlindung di sebalik keriuhan. Satu jam berlalu dan Aisyah sudah kebasahan di tepi jalan. Puas juga dia cuba mencari tempat berlindung daripada hujan lebat yang seakan-akan mengerti akan kesedihannya kerana ditinggalkan seorang diri di situ.
"Andai saja Ayah ada.... Pasti tidak akan ada yang berani mengganggunya tadi. Andai saja Ayah ada.... Pasti Ayah sudah terkocoh-kocoh berlari semata-mata untuk mendapatkan payung untuknya. Andai saja Ayah ada di sini.... Di mana Ayah? Mengapa Ayah masih tidak mengambilnya. Masih marahkah Ayah padanya?" hati kecilnya sudah mula berbisik. Menangis sendiri di dalam kebasahan hujan. Nah! Lihatlah! Baru dia tahu mengapa Allah memberikannya seorang Ayah di sisi. Tidak dilahirkan ke dunia terkontang-kanting seorang diri.
**********************************************************************************
"Macam mana kamu boleh tersadai dekat tepi jalan ni? Dalam hujan-hujan macam ni... Hish kamu ni.." Cikgu Zaleha mengeluh panjang. Terkejut apabila menemukan Aisyah kehujanan di tepi jalan.
"Cikgu....." Lega apabila mendengarkan anak itu bersuara. Dia kira sudah bisu dek kesejukan.
"Cikgu sayang tak dengan ayah Cikgu?" Aisyah sekadar berbasa-basi.
"Eh! Sudah tentu-tentulah sayang! Siapa tak sayang Ayah sendiri?" Cikgu Zaleha hanya tersenyum sumbing apabila soalan itu ditujukan kepadanya. Soalan yang dia kira jawapannya sudah sangat pasti dan jelas.
"Selalu, cikgu rasa rindu. Bila balik kampung, jumpa ibu, memang gembira. Tapi, lain rasanya kalau ada ayah. Memang tak meriah. Tapi cikgu rasa selamat. Rasa lega. Bila buka mata aje, lepas tidur, tengok ayah masih ada. Memang lain sangat dari sekarang. Sekarang ni, ayah dah tak ada. Bila balik kampung, tak nampak ayah. Ada gambar ayah aje. Kadang-kadang rasa nak pegang ayah. Tapi dah tak ada kan? Nak pegang, nak salam, nak hidangkan air, nak dengar suara, semua tak dapat. Jiwa tak tenang. Pasal ayah dah tak ada..." Cikgu Zaleha cuba menahan sebak di dada. Namun dia tidak bisa. Dadanya terasa sesak. Lantas dibiarkan sahaja air matanya mengalir. Itulah perasaannya bila menatap gambar ayahnya. Hanya ada gambar sahaja. Orangnya sudah tiada. Ingin berjumpa, ingin berbicara, tetapi sudah tiada. Terasa siksa.
"Sebab itulah cikgu selalu pesan pada kamu semua. Sayangilah ibu dan ayah kamu dan hargailah mereka ketika mereka masih ada di depan mata. Biarlah seburuk dan sejahat apapun mereka, mereka tetap ayah dan ibu kamu. Darah daging kamu. Mereka yang melahir dan membesarkan kamu. Susah payah mereka, kamu tak pernah tahu. Kadang-kadang sampai tersungkur, berjaga siang malam untuk mengisi perut kamu. Supaya kamu mampu tersenyum macam sekarang. Sihat, DEWASA. Usia muda mereka dihabiskan untuk memastikan kamu membesar. Sehingga tahu0tahu aje, mereka dah tua. Kadang-kadang, kita ni tak sedar semua tu sebab kita tak nampak. Mereka korbankan usia muda mereka untuk kita menikmati usia muda kita. Bila kita dah senang, kita lupakan mereka. Kita nak hidup BEBAS, dengan alasan kita dah DEWASA. Tak perlu dikongkong macam budak-budak. Padahal mereka hanya berniat melindungi kita. Cikgu dulu pun macam tu jugak. Kadang-kadang terasa diri dah dewasa sangat. Cikgu nak buat ikut suka cikgu aje. Cikgu tengok kawan-kawan keluar ramai-ramai, cikgu pun nak ikut. Sampai cikgu bantah cakap ayah cikgu. Dengan alasan cikgu dah 17 tahun. Dah dewasa."
Aisyah tergamam seketika. Apa yang baru sahaja melepasi corong telinganya tadi begitu persis akan dirinya sendiri. Ingin bebas dan menikmati usia remaja.
"Sekarang ni, bila dah dewasa, baru Cikgu sedar. Cikgu masih perlukan ayah cikgu. Ayah buat cikgu bahagia walau dengan hanya menatap wajah ayah. Tapi apa lagi yang cikgu boleh buat sekarang? Ayah dah tak ada. Cikgu kena terima walaupun kadang-kadang Cikgu rasa macam nak simpan je Ayah dekat rumah. Biar tak bernyawa sekalipun. Asalkan ayah ada depan mata cikgu. Tapi Aisyah, kita tak boleh buat macam tu. Apa yang sudah tidak ada, kita terima ketiadaannya. Apa yang masih ada, kita jaga, kita sayang, kita hargai, supaya kita tak menyesal di kemudian hari..."
Aisyah tersedu-sedan dengan tangisnya di sebelah Cikgu Zaleha. Wanita berusia 30-an itu mengusap lembut bahu anak muridnya itu. Dia tahu Aisyah sedih. Dia tahu siapa Aisyah. Dia mengerti benar akan masalah dan dilema gadis muda itu. Dia kenal siapa ayahnya. Dan dia juga tahu mengapa Aisyah berhujanan di tepi jalan.
Baru kini Aisyah melihat bukti kasih sayang ayahnya. Meskipun tidak indah caranya, namun begitu bereti dan dalam maksudnya. Semuanya untuk memastikan dia menjadi anak yang berguna. Semuanya untuk kebahagiaan dia sendiri. Kini, dia ingin sekali bertemu ayahnya. Ingin meminta maaf di atas segala kekasaran dan kedegilannya selama ini.
*********************************************************************************
Pak Seman masih mencari-cari kelibat anaknya di tepi jalan. Penglihatannya terganggu dek hujan lebat yang tak ubah seperti jarum-jarum halus menikam cermin keretanya. Ke mana agaknya Aisyah? Adakah sesuatu yang buruk telah berlaku kepadanya? Menyesal rasanya kerana menghukum Aisyah sebentar tadi. Kini dia pula yang tidak senang hati.
Hujan pula semakin lebat. Jalan yang semakin licin menambah kesukaran Cikgu Zaleha untuk mengawal stereng keretanya. Dia baru sahaja lulus ujian memandu. Masih baru lagi. Kilat sabung menyabung sedikit sebanyak membuatkan dia terkejut. Bergetar jari jemarinya menahan kesejukan. Kakinya pula semakin lemah. Rasanya dia diserang kekebasan lagi. Pada Allah dia meminta agar sempat tiba ke rumah Aisyah sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Aisyah yang sudah tidur di dalam kebasahan dibiarkan begitu sahaja. Tidak sampai di hatinya membangunkan anak muda itu.
**********************************************************************************
Kereta Wira Aeroback merah yang tersadai di tepi jalan menarik perhatian seluruh mata yang memandang. Orang ramai sudah mula berkumpul di tapak kemalangan. Pemandunya hilang entah ke mana. Penumpangnya juga langsung tidak kelihatan.
Pihak polis berjaya menemukan maklumat mengenai mangsa kemalangan dari dalam kereta. Kelihatan sekeping kad pengenalan biru terletak kemas di dalam sehelai bungkusan lutsinar. Tertera nama yang tidak jelas kelihatan. Namun terlihat wajah pemiliknya. Seorang wanita. Masih muda. Usia belasan tahun. Dan di dalam kereta yang sama, ditemukan satu lagi kad pengenalan yang sama warnanya. Biru. Pasti milik mangsa kedua. Begitulah fikir orang ramai yang menyaksikan kemalangan tragis tersebut.
*********************************************************************************
Jasad kaku itu ditatapnya puas-puas. Ubun-ubunnya dicium buat kali terakhir. Dengan tidak semena-mena, dadanya berombak. Terasa sesak sekali. Sesak dengan lava penyesalan. Terasa seperti ingin meletup! Saat itu juga tangisannya tumpah. Dia menangis semahu-mahunya.
"Ayahhhhh!!!!! Ampunkan Aisyah Ayah!!! Aisyah berdosa!! Bangunlah Ayah!! Ampunkan Aisyah...!!! "
Aisyah terus-menerus meratapi jasad kaku yang sudah tidak bernyawa itu. Baru kini dia mengerti akan maksud Cikgu Zaleha. Baru kini dia tahu akan rasa sesak yang dia maksudkan. Baru kini dia tahu rasa sakitnya untuk menatap wajah yang sudah tidak mampu lagi tersenyum kepadanya, apalagi untuk memarahinya. Baru kini dia tersedar. Namun segala-galanya sudah terlambat. Jasad itu akan dikuburkan sebentar sahaja lagi. Tidak akan ada lagi jasad itu bersamanya.
Dahulu, setiap kali tangan Ayah menghingapi tubuhnya, setiap kali itu jugalah dia berharap alangkah indahnya dunia jika dia tidak tinggal bersama ayahnya. Alangkah seronoknya andai ayah tiada. Tidak akan ada yang memukul dan memarahinya. Allah S.W.T. sudahpun mengabulkan doanya. Namun, kini dia berasa sesak. Dia ingin Ayah hidup kembali! Biarlah jika Ayah memukulnya sehingga patah riuk sekalipun, dia ingin melihat Ayah sekali lagi! Ayah belum sempat melihatnya bahagia! Dia juga belum sempat membahagiaan Ayah! Dia belum sempat itu dan ini! Saat itu juga, dia rebah di sisi jasad kaku Ayah.
**********************************************************************************
"Dear Ayah....
Maafkan Aisyah sebab tinggalkan Ayah sebentar tadi. Abah panggil. Katanya, esok nak ke Singapura. Mesyuarat lagi. Macam tulah hidup Aisyah sejak tinggal dengan Tuan Faizul, ayah kandung Aisyah. Selalu aje sorang-sorang. Tapi, Abah tak pernah tangankan Aisyah.
Ayah ingat tak dulu? Ayah tampar Aisyah sebab Aisyah melawan? Aisyah tak kisah pun Ayah. Sebab Ayah tak pernah tinggalkan Aisyah macam Abah selalu buat. Sunyi tau. Sorang-sorang dalam rumah besar macam ni. Terasa macam rumah ni angker aje kadang-kadang. Rumah Ayah dulu lain. Kecil aje. Tapi tak sunyi sebab Ayah selalu ada.
Tapi, tak kisahlah. Mungkin Allah nak hukum Aisyah. Dulu bila Ayah ada, Aisyah harapkan Ayah tak ada. Sekarang, bila Abah selalu tak ada, Aisyah pula yang sunyi. Maafkan Aisyah, Ayah. Aisyah tak sempat nak minta ampun dengan Ayah. Tapi, Aisyah tetap bersyukur. Allah masih kasi Aisyah peluang kedua. Kali ni kan Ayah, Aisyah janji takkan ingkar dekat Abah macam Aisyah buat pada Ayah dulu. Aisyah akan jaga Abah baik-baik. Aisyah takkan sia-siakan Abah.
Tapi Ayah jangan risau. Tempat Ayah dia hati Aisyah, takkan ada yang dapat ganti. Terima kasih kerana terima budak yang degil macam Aisyah ni jadi anak Ayah sewaktu Abah berikan Aisyah pada Ayah dulu. Terima kasih kerana besarkan Aisyah. Aisyah tetap sayang Ayah walaupun Ayah bukan ayah kandung Aisyah. Terima kasih pada Allah.
Nanti kita jumpa lagi ya, Ayah. Aisyah kena masuk tidur dah ni. Esok nak kena tolong Abah. Aisyah nak jadi anak yang lebih baik. Jumpa lagi, Ayah. Sayangggg Ayah!! Wassalam."
Diari ditutup dan diletakkan kemas di atas meja. Hari ini sudah hampir berlalu pergi dan InsyaAllah hari esok... Aisyah akan cuba jadi anak Abah yang lebih baik lagi! Kerana Allah S.W.T.... Kerana Ayah....
P/S: SEMOGA BEROLEH PENGAJARAN YA SEMUA.... INSYAALLAH....