andai kau sudi

Tuesday, November 15, 2011

Alissa dan Atok

   Galak matanya bertentang dengan jelingan anak kecil tersebut. Bola kecil berwarna kuning yang baru sahaja menghempas pipinya sebentar sahaja tadi digenggamnya erat. Anak kecil itu masih lagi memandangnya dengan pandangan tidak bersalah. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang telah berlaku. Padahal baru sahaja sebentar tadi dia mengejutkan wanita muda itu dengan sepakan keras mengenai bola tersebut yang kemudiannya terus singgah menampar pipi wanita muda yang sedang asyik melayan perasaan.

    Alissa memang pantang sekali jika berhadapan dengan anak-anak kecil yang nakal dan berani. Jika diikutkan hati, ingin sahaja dia melempar bola tersebut sejauh-jauhnya ke dalam laut yang terbentang luas di hadapannya. Tetapi, apabila melihat wajah ibu serta bapa anak kecil tersebut yang sudah mula merenung ke arahnya dari kejauhan, segera Alissa membatalkan niatnya "mengajar" anak kecil tersebut. 

    Dengan senyuman manis yang sengaja dibuat-buat, Alissa menghampiri anak kecil tersebut. Bola kuning yang sudah kebasahan dek peluh dari tangannya yang kehangatan menahan amarah diserahkan semula kepada anak kecil tersebut. Kemudian, diusapya lembut wajah anak kecil yang sudah mula tersenyum-senyum setelah mendapat semula apa yang dihajati. 

"Ah! Akulah manusia yang paling hipokrit sekali dalam bumi ni." Alissa mengomel sendrian di dalam hati.

**********************************************************************************

    Langkahnya perlahan menuju ke arah chalet yang menempatkan dia dan ibunya. Pipinya yang sudah kemerahan dan sedikit membengkak diusap perlahan-lahan. Keinginannya untuk berlama-lama di tepi laut terkubur semula setelah kejadian tersebut. "Terbang" menghilang ke tengah-tengah lautan yang tidak berpenghujung.

    Daun pintu dikuak perlahan. Selangkah demi selangkah, dia masuk ke dalam bilik. Seperti pencuri lagaknya. Hatinya masih lagi panas. Jika diikutkan hati, dia tidak mahu bertembung muka dengan ibunya saat ini. Khuatir jika terucap pula perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya lewat bibir yang sedang dikawal oleh hati yang sedang marah. Dia tidak mahu menambah luka di hati ibu yang baru sahaja dia calarkan tadi. Dia calarkan dengan kata-kata tajam ibarat pisau yang baru sahaja bertemu batu asah.

"Dia kan ayah ibu? Kenapa pulak Alissa yang nak kena jaga? Owhhh... Waktu atok sihat dulu, elok je ibu layan atok. Sekarang ni, atok dah nyanyuk, ibu "pass-pass" lagi dengan pak cik dan mak cik. Sekarang ni, Alissa pulak yang kena."

"Aduh! Kenapalah aku kena cakap macam tu tadi?," getus hati kecilnya.

   Meskipun hatinya kuat tidak mahu menafikan akan kebenaran kata-katanya sebentar tadi, dia tetap rasa bersalah kerana telah mengucapkannya. Sepatutnya dia simpan sahaja segalanya. Dia anak ibu. Sudah sepantasnya dia mentaati ibu dan menurut segala perintah ibu. Jika sekalipun ibu tidak mentaati atok, bukan urusannya untuk menghukum ibu. Urusannya adalah mentaati ibu. Itu yang paling penting sekali.

**********************************************************************************

    Wajah ibu ditatapnya dalam-dalam. Meskipun ibu tidak memberikan sebarang respon terhadap tatapannya, Alissa tetap ingin menatap wajah itu. Cuba mencari segala perhatian yang ibu tumpukan kepada lingkaran jalan yang terhampar di hadapan mata. Ibu masih tidak memberikan sebarang respon. Alissa ingin meminta maaf di atas keterlanjurannya sebentar tadi. Namun bibirnya berat menutur kata maaf.
berat dek ego darah muda. Akhirnya Alissa menyerah dengan ketegasan ibu. 

    Ya! Dia sudah dewasa kini. Maka, tidak mungkin bisa dimanja-manjakan seperti dahulu lagi. Walaupun sejujurnya dia masih sedikit keanak-anakan. Angka 18 itu langsung tidak mengubah sikapnya yang manja dan suka meminta-minta. Alissa anak tunggal. Dilahirkan pula dalam keluarga kaya yang serba serbi ada. Tidak pernah merasa susah dan terbeban dengan perkara yang bernama duit. Walaupun ayahnya langsung tidak dia kenali, Alissa tidak pernah pula tertanya-tanya akan siapa ayahnya. Di mana keberadaannya dan apakah masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Kemewahan serta kasih sayang insan bernama ibu membuatkan Alissa tidak pernah ketandusan segala rasa sehingga dia ingin kasih sayang daripada seorang ayah. Apa yang penting ialah, di dalam kad pengenalannya, tertera nama Alissa Suraya binti Muhammad Syukri Ardimansyah. Itulah sahaja yang dia tahu tentang ayahnya. Ardimansyah. Itu nama keluarga, kata ibu.

**********************************************************************************

    Alissa masih lagi asyik mengelamun. Jari kelingking ibunya digenggam erat. Bimbang tersesat pula. Begitulah kerenah Alissa setiap kali berjalan bersama ibu. Dia rajin sekali mengelamun. Ada kalanya dia akan "tersangkut" di mana-mana. Sibuk melihat apa sahaja yang menangkap perhatiannya. Sehingga pernah suatu saat dia terlepas daripadanya pandangan ibunya dan tersesat di dalam pasar raya. Cemas sudah semestinya! Namun begitu, Alissa bijak dan tenang orangnya. Apabila sudah mati jalan dan mati akal, resolusi terakhir adalah untuk terus menuju ke tempat parkir kereta. Dua jam dia termangu sendirian, menanti kedatangan ibunya. Untung ibunya masih belum selesai membeli-belah. Jika tidak, pasti dia kepayahan seorang diri.

    Bau ubat-ubatan dan bahan kimia mula menerobosi lubang hidungnya. Alissa cukup tidak suka akan bau-bau tersebut. Bau hospital. Rimas dan menyesakkan. Di sana sini, hanya dinding putih sahaja. Memang padan jika dikaitkan dengan bilik mayat dan kisah-kisah seram.

    Puan Rozita pula masih mendiamkan diri. Masih tercari-cari akan bilik yang menempatkan ayahnya. Sejujurnya, dia sendiri suda lupa akan nombor bilik tersebut. Terlalu banyak wad VIP dan sudah terlalu lama dia tidak melawat ayahnya. Sehingga dia terlupa pula akan keberadaannya. Dia juga masih berfikir-fikir sebenarnya. Bolehkah Alissa menerima datuknya nanti? Seingatnya, Alissa tidak pernah sekalipun melihat akan keadaan datuknya setelah beliau sakit dan hilang kewarasan. Bimbang pula jika dia akan terkejut nanti.

**********************************************************************************

"Dah sampai, Alissa. Atok kat dalam. Masuklah dahulu. Ibu ada urusan dengan doktor sekejap. Nak bawa atok balik rumah terus."

     Alissa hanya mengangguk perlahan. Anak matanya dilarikan daripada panahan mata ibu tanda tidak bersetuju dengan arahan yang diberikan sebentar tadi. Walau bagaimanapun, dia tetap menguatkan hati untuk mematuhi ibunya.

    Tanpa mengucap salam, Alissa segera masuk ke dalam bilik tersebut. Dilihatnya susuk tua yang sedang duduk membatukan diri di atas kerusi roda. Pandangannya dilemparkan ke luar tingkap. 

"Entah apalah yang orang tua nyanyuk ni sedang fikir.." hati kecil Alissa sudah mula membisikkan suara-suara sumbang mengenai datuknya sendiri.

   Hendak ditegur, bimbang akan "naik gila" pula datuknya nanti. Alissa sebenarnya cukup paranoid dengan istilah nyanyuk. Baginya, nyanyuk itu samalah dengan gila. Dan orang gila memang selalu akan "naik gila" jika diganggu. Ya! Segala ilmu sesat yang telah merasuk ke dalam fikirannya. Terima kasih kepada para sahabat yang "rajin" mengisi kenaifannya dengan perkara-perkara yang menakutkan. Lebih-lebih lagi setelah mereka mengetahui bahawa Alissa akan menjaga seorang datuk yang nyanyuk.

"Pasti seru dehhh!!" sorak rakan-rakan sekolah yang mula menggunakan bahasa Indonesia, pengaruh sinetron yang sememangnya menjadi "pop culture" pada ketika itu.

**********************************************************************************

"Atok!!!! Hish! Kenapa kencing dekat sini! Kalau nak kencing, panggillah Alissa tadi. Atok ni!! Macam budak-budaklah!" 

    Alissa bertempik geram apabila melihat akan air kencing yang sudah mula meleleh membasahi tangga rumah yang menyambung tingkat satu dengan tingkat dua rumahnya. Sehari suntuk Alissa mengemop tangga tersebut. Dari atas sampailah ke bawah. Tidak cukup dengan itu, setelah dimop, dilapnya lagi dengan tangan satu-persatu anak-anak tangga tersebut. Cukup Alissa tidak tahan dengan bau hancing akibat kerenah atok. Sejenak Alissa terlupa akan datuknya yang sudah mula menghilangkan diri daripada pandangan mata.

    Setelah terpandang akan kerusi roda yang kosong, barulah Alissa teringat akan datuknya. Datuknya sudah boleh berjalan. Jalannya pun tidak terhencut-hencut seperti dahulu lagi. Namun begitu, Alissa lebih suka jika datuknya duduk sahaja di atas kerusi roda tersebut. Lebih senang diurus. Tidak banyak membuat masalah. Begitulah fikirnya.

    Langkahnya dilajukan mencari kelibat atok yang sudah mula menghilangkan diri lagi. Apalagi masalahnya kali ini? Alissa sudah mula mengeluh lagi. Turun naik nafasnya menahan marah tadi yang masih bersisa. Pandangannya tiba-tiba tertancap ke arah sekujur tubuh yang sedang bersujud di atas sejadah. Susuk itu kemudiannya berdiri semula. Untuk rakaat yang ke berapa kalinya, Alissa sendiri juga tidak pasti. Bukan pertama kali dia melihat datuknya menunaikan solat seperti ini. Dia tidak akan berhenti selagi tidak penat. Sudahnya, Alissa akan melihat sahaja. Hendak dihentikan tidak sampai pula di hatinya. Jika dihentikan sekalipun, atok tetap akan terus solat. Langsung tidak terganggu oleh Alissa. Kadang-kadang, sampai tertidur-tidur atok di atas sejadah. Kepenatan.

    Ada pula waktu-waktunya, atok akan ditemukan memotong rumput di luar rumah. Rumput buatan yang dibeli ibu untuk menghias rumah. Namun tidak pernah pula ibu marah. Ibu terlalu sibuk sehingga bila ibu pulang ke rumah pun Alissa tidak perasan. Terasa seperti Alissa dan atok sahaja yang menghuni rumah tersebut.

    Pada suatu malam, atok jatuh pengsan. Pada ketika itu, Alissa betul-betul mati akal. Nombor telefon ambulans, nombor telefon ibu, baik nombor telefon polis, semua tidak terlintas di fikiran Alissa. Bersusah payah Alissa membaringkan atok di atas lantai. Hendak diangkat, tidak pula termampu kudrat wanita Alissa. Sedar-sedar sahaja, atok terus minta air. Terkapai-kapai tangan atok mahukan air. Ternganga-nganga mulutnya. Pada waktu-waktu seperti itu, tumpah juga air mata Alissa melihat akan keadaan atok yang sangat menyedihkan. Pilu hati Alissa mengenangkan atok yang telah disisihkan anak sendiri. Ibu jarang-jarang sekali meluangkan masa untuk atok. Pak cik dan mak cik jauh sekali. Batang hidung pun tak pernah nampak. Terfikir Alissa jika suatu hari nanti, dia juga akan menjadi tua. Mungkinkah dia juga akan menjadi "budak-budak" seperti atok? Apa yang paling menakutkan ialah, mungkinkah dia juga akan bersendiri seperti atok? Hidup mati tidak ada yang mahu ambil peduli. Alissa tidak tahu. 

    Dengan tidak semena-mena, atok tersedak akibat terlalu gelojoh menghirup air. Dadanya mula turun naik. Nafasnya tersekat-sekat. Puas Alissa mengurut-urut dada atok. Namun, atok masih juga seperti itu. Seperti ikan yang dipisahkan dari air. Tercungap-cungap. Sehingga tiba suatu saat, dada atok berhenti berombak. Mulutnya ternganga luas. Cuma matanya yang pejam celik. Merah berair. Pada ketika itu, Alissa semakin cemas. Alissa banyak menonton drama. Jika sudah begitu keadaannya, pasti sekejap lagi akan dijemput "pulang". Segera Alissa mengenakan telekung dan membaca Yasin di sisi atok. Tidak terlintas langsung di fikiran Alissa untuk meminta pertolongan daripada jiran sebelah menyebelah. Alissa seperti sudah merelakan sekiranya atok dijemput pulang saat itu. Jika atok ingin pergi, biarlah wajahnya yang atok tatap buat kali terakhir. Biarlah wajahnya yang menjadi peneman saat-saat akhir atok. Begitu Alissa sayang pada atok walaupun ada waktu-waktunya atok sangat menjengkelkan dengan sifatnya yang suka membuat masalah. Atok pula tidak bergerak-gerak. Dari keadaan yang paginya sihat dan segar-bugar, atok bertukar menjadi seperti mayat hidup pada malam itu.

    Puas Alissa cuba menghubungi ibunya. Namun, satupun paggilannya tidak berjawab. Mesej-mesejnya pula tidak berbalas. Alissa terus-terusan membaca Yasin sehingga akhirnya dia kepenatan dan tertidur di atas lantai di sisi atok. Esok paginya, tempat atok kosong. Dilihatnya atok sudah mula memotong rumput di luar rumah.

"Astargfirullahala'zim!"  Alissa beristighfar panjang. Dia kira atoknya akan "pergi" pada malam itu. Namun, lain pula jadinya. Atok sihat seperti sediakala. Tidak nampak seperti orang yang sakit. Bukan Alissa tidak gembira, dia cuma terkejut. Entah bagaimana dia boleh terfikir sejauh itu sehingga berkali-kali dia membaca Yasin untuk atok seolah-olah atok sedang menghadap sakaratul maut. Entah apa yang merasuk fikirannya malam itu. Dia sendiri pun tidak pasti.

    Segera Alissa berlari ke arah atok yang tertunduk-tunduk memotong rumput dengan memggunakan pemotong kuku. Pelik. Tapi Alissa sudah biasa melihatnya. Alissa berteleku di sisi atok. Atok masih tidak memperdulikan akan kehadiran Alissa di sisinya. Dia sedang "sibuk". Tidak mahu diganggu.

"Atok...Atok dah sihat ke ni? Lapar tak? Jom kita makan dulu. Dari semalam atok tak makan apa-apa...." lembut sekali bicara Alissa pada atok. Sudah tidak sekasar dahulu lagi. Atok memandang Alissa sambil tersenyum. Kemudian atok menyambung semula "kerjanya".

    Hidup menjaga atok mengajar Alissa untuk menjadi lebih dewasa dan matang. Jika dahulu, menjaga diri sendiri pun Alissa tidak mampu. Kini, Alissa sudah boleh menjaga atok. Meskipun dirinya sendiri kadangkala tidak terurus. Tidak mengapa. Yang penting atok terurus. Begitulah matangnya Alissa kini. Tidak lagi mementingkan diri dan manja seperti dahulu. Tidak lagi pemarah, tapi penyabar. Terima kasih kepada Allah kerana mendatangkan atok ke dalam hidup Alissa. Atas sebab dan alasan yang tidak sia-sia.

    Solat pun Alissa tak pernah tinggal sejak atok ada. Kerana, bila melihat atok solat, Alissa akan turut segera solat bila masuk waktu. Atok buat Alissa sedar. Sedangkan atok yang sakit pun boleh solat, kenapa Alissa tak boleh? Solat itu kewajipan. Tidak ada alasan untuk tidak solat. Sejak kedatangan atok juga, Alissa sudah pandai memasak. Hari-hari Alissa masak untuk atok. Bukan ibunya tidak cukup kaya untuk mengupah orang gaji untuk menjaga dia dan atok di rumah, ibunya cuma terlalu takut dan tidak percayakan orang luar. Lagipula, Alissa kan ada? Kebetulan pula Alissa baru sahaja selesai mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sedang bercuti. Jadi, ada baiknya jika Alissa sahaja yang menjaga atok. Sekurang-kurangnya, masa Alissa terisi. Begitulah pesan ibu selalu. Isilah masa untuk aktiviti yang berfaedah dan produktif. Walaupun ibu sendiri tidak pernah meluangkan masa bersama Alissa dan atok. 

**********************************************************************************

   Sebulan berlalu begitu sahaja. Atok sudah pulih seperti biasa. Sudah bisa bercakap dan memahami kata-kata Alissa. Alissa sudah jauh berubah. Atok juga sudah jauh berubah. Namun ibu langsung tidak berubah. Tetapi Alissa tidak kisah. Jika ibu sibuk, tidak ada masa untuk diluangkan bersama atok, Alissa yang akan menjaga atok. Biar sampai bila-bila.

   Petang itu, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Alissa dan atok duduk di balkoni. Menikmati minum petang. Atok pandang Alissa dengan sekuntum senyuman manis mula menghiasi bibir tuanya. Diusap kepala Alissa. Alissa hanya tersenyum sahaja. Sudah lama tidak ada yang mengusap kepalanya seperti itu.


"Alissa.....
Maafkan atok kerana datang ke dalam hidup Alissa dan ibu. Atok tak berniat nak menyusahkan Alissa dan ibu. Tapi, atok dah tak ada siapa-siapa lagi di dunia ni selain Alissa dan ibu Alissa. Anak-anak atok yang lain semua dah tinggalkan atok." Tiba-tiba atok bersuara. Alissa mengatur kedudukan kerusi menghadap atok. 

"Atok tahu. Alissa pasti tak suka atok, kan? Atok selalu kencing merata-rata. Berak pun tak tentu hala. Maafkan atok kerana selalu buat Alissa susah. Kadang-kadang, atok rasa kasihan bila lihat Alissa bersusah-payah urus atok. Terima kasih, Alissa. Terima kasih kerana tak tinggalkan atok. Atok tak minta Alissa susah payah untuk atok. Alissa ada di sisi atok pun atok dah cukup bersukur. Atok dah tak ada sesiapa lagi, nak. Mungkin sebab atok jahat, Allah hukum atok. Semua orang tak suka atok. Dulu ayah Alissa, atok yang halau dia. Atok marah dia sampai dia lari tinggalkan Alissa dan ibu Alissa. Sekali lagi, maafkan atok. Kerana perbuatan atok, Alissa membesar tanpa ayah. Atok faham jika sekarang Alissa dan ibu Alissa marahkan atok. Atok terima. Memang salah atok."  Alissa mendengar sahaja. Tidak mahu menjawab. Segala kisah silam yang atok rungkaikan, Alissa sudah lama tahu. Ibu yang sampaikan kepada Alissa. Dan kerana itu juga, ibu kata, ibu masih tak dapat terima atok. 

"Atok dah tua, Alissa. Dah senja. Tunggu masa nak dijemput pulang. Atok tak ada apa-apa nak tinggalkan pada Alissa. Cuma atok harap, Alissa maafkan atok. Jangan lupakan atok. Terima kasih kerana jaga atok. Dulu, atok teringin sangat nak cakap dengan Alissa macam sekarang. Tapi,  atok malu. Atok malu sebab atok rasa bersalah. Dulu atok senang, atok sisihkan orang. Sekarang, bila atok susah, orang sisihkan atok. Mungkin ini balasan Allah pada atok. Ingat Alissa. Kesilapan atok, Alissa jangan ulang. Jangan sekali-kali sisihkan insan-insan terdekat dalam hidup kita. Kalau bukan keluarga, kita tak ada sesiapa lagi selain Allah. Jangan pernah marah dan benci ibu. Mungkin ibu jarang dengan Alissa, tapi ibu sayangkan Alissa lebih daripada ibu sayangkan benda-benda lain dalam dunia ni. Ingat pesan atok Alissa. Syurga Alissa, bawah telapak kaki ibu..."


   Alissa hanya mengangguk tanda mengerti. Ibu pun selalu pesan macam atok. Jangan sisihkan saudara. Susah senang, tetap saudara. Tinggi rendah, kaya hina, tetap saudara. Harta kekayaan tak mampu beli pertalian darah. Itulah pesan ibu. 

**********************************************************************************

   Sudah setahun atok pergi meninggalkan Alissa dan ibunya. Atok pergi tanpa mewariskan apa-apa kepada Alissa dan ibunya. Atok bukan orang berada. Yang berada adalah ibunya. Satu-satunya warisan yang ditinggalkan oleh atok adalah segala kenangan manis, suka dan duka sewaktu Alissa menjaganya dahulu. Segala sifat-sifat mahmudah yang atok tanamkan di dalam jiwa Alissa sewaktu menjaganya dahulu. Harta berharga yang pada Alissa tidak diwariskan kepada ibunya. Kenangan indah yang ibu tidak ada kerana ibu tidak ada bersama atok.

     Mengalir air mata kasih Alissa buat atok yang kesekian kalinya. dulu, sewaktu atok pergi, Alissa tidak dapat menangis. Alissa jadi kaku dan lesu. Tenggelam dalam kesedihan yang tidak terluah. Kini, segala-galanya tidak dpaat ditahan lagi. Alissa menangis semahu-mahunya. Sedih hatinya mengenangkan atok yang tetap bersusah payah membersihkan halaman rumah, sedangkan untuk memegang sudu pun atok tidak mampu pada ketika itu. Sampai tumpah-tumpah makanan atok. Sampai marah-marah Alissa kerana atok makannya menceceh-ceceh. Tumpah sana, tumpah sini. Sampai Alissa nak makan pun tak selera bila nampak air liur atok atas meja. Alissa geli.

"Ya Allah!!" Alissa merayu perlahan. Air mata penyesalannya mencurah-curah.

"Ampunkan dosa-dosa atok, Ya Allah. Kau tempatkanlah dia bersama-sama insan-insan yang Kau redhai Ya Allah. Ampunkan hamba Ya Allah...."

    Bunyi enjin kereta ibu di luar rumah mengejutkan Alissa. Segera Alissa berlari menuju ke pintu. Alissa ingin memeluk ibu. Sudah lama Alissa tidak memeluk ibu. Surat atok masih Alissa genggam erat.