andai kau sudi

Tuesday, March 15, 2011

Bicara Hati Yang Dibelenggu

 


Assalamualaikum W.B.T......


   Buat sahabat setia, teman sejiwa yang sentiasa dekat di hati. Kesejahteraanmu, kebahagiaanmu serta kedamaianmu sentiasa menjadi warkah perutusanku buat Dia yang Maha Mendengar. Moga bait-bait utusan rinduku pada-Nya sentiasa mendapat kurnia serta rahmat dari-Nya. Agar terus engkau bahagia meskipun sejuta badai melanda....


   Wahai teman yang dekat di hati...
Perutusanku kali ini, besar harapanku agar engkau mengerti. Perutusanku kali ini bacalah dengan mata hati. Agar kau tidak tersilap lagi dalam mentafsir igauan sebuah mimpi. Nukilanku kali ini adalah bicara sebuah hati. Hati yang terbelenggu olehmu, duhai teman.


Kau datang seperti bayu pantai. Menghembus lembut sebuah jiwa halus yang rindu dibelai. Dibelai dan dikasihi oleh insan sepertimu. Di saat itu aku jatuh, leka dan lalai. Sungguh teman, tidak ku sandarkan khilaf itu ke atas dirimu. Namun, segalanya ku letakkan di atas pundakku sendiri. Silapku kerana menyalahertikan setiap kata-katamu.


Cita-citaku tinggi teman. Aku ingin ke syurga. Ke syurga sebagai seorang wanita yang mendapat tempat terbaik di sisi-Nya setelah diredhakan oleh suaminya kepergiannya. Aku ingin menjadi seperti wanita itu. Lantas, ku bina tembok yang cukup tinggi. Kukuh lagi teguh. Setiap sapaan syaitan itu ku tepis dengan penuh kekuatan, sehingga aku merasakan bahawa aku sudah cukup kuat untuk menangkis segala pujuk rayu yang membisik-bisik di kala aku merebahkan tembok itu.


Namun, segala-galanya berubah sekelip mata semenjak engkau tiba. Tembok kukuh itu runtuh bagai dilanda badai. Badai lembut yang kau hembuskan. Besi-besi kukuh yang yang telah ku canai dan bakar dengan api yang panas membakar, cair kembali  setelah kau hembuskan nafas hangatmu berserta kata-kata indah yang melemahkan jiwa. Sekali lagi teman, tidak ku sandarkan kesilapan itu padamu.


   Wahai teman, sahabat sejati...
Bukan dirimu seorang yang datang mencuri hati. Bukan dirimu seorang yang hadir membawa mimpi. Setiap satu yang datang padaku, semuanya hadir dengan belenggu. Satu-satu belenggu itu dirantaikan ke hati kecil ini. Satu-satu tiap yang datang menuntut tempat di hati ini. Satu-satu tiap yang hadir ku biarkan bermaharajalela, membina singgahsana masing-masing di istana hati ini. Dan kau teman, turut hadir pada tapak yang sama, bersama belenggu yang kau ikat teguh, membelit di hati kecil ini. Hingga tiba satu saat di mana aku sudah tidak mampu menanggungnya lagi. Hingga tiba satu saat di mana aku rasa lemas dan rimas. Tidak ketemu ruang untuk bernafas. Hati ini terasa berat, berat seperti dibelenggu. Bukan satu, tetapi beribu-ribu.


Kematangan mengajarku erti sebuah kehidupan. Cabaran serta dugaan yang menyapa mengajarku erti indahnya kesabaran. Bersama segala cubaan dan dugaan, datang engkau dengan sebuah harapan. Ku hargai teman, segala kenangan yang telah kita lakarkan. Indah saat itu di kala aku merasakan bahawa engkaulah insan yang layak ku kurniakan tempat di hati ini. 


Dengan takdir-Nya teman, ditiupkan ke batin ini sekelumit kekuatan. Kekuatan untuk melepaskan diri. Kekuatan yang selama ini aku tergapai-gapai di dalam kegelapan untuk mencari. Kekuatan itu, ku genggam teguh. Ku perkemaskan langkahku. Menuju ke lubuk hati sendiri.  Satu-persatu mahligai yang dibina berasas belenggu rasa aku musnahkan. Satu-persatu raja-raja yang bermaharajalela aku tumpaskan. Tidak kurang juga syaitan-syaitan yang bertopengkan para perwira aku usir pergi. Sehingga mereka menyerah pada keteguhanku. Sehingga akhrinya belenggu-belenggu itu mereka buka sendiri. Sedikit demi sedikit, hati dilepaskan pergi. 


Namun, teman. Masih ada satu. Satu yang tinggal memohon untuk dirungkaikan. Dan oleh itu teman, aku merayu! Merayu padamu. Tolong! Tolong bukakan belenggu itu dan biarkan aku terbang bebas menggapai cita-cita. Biarkan aku ringan semula untuk terbang setinggi-tingginya. Kerna aku percaya, padamu insan, masih ada rasa belas kasihan buat aku yang perlukan bantuan. Kerna belenggu itu engkau yang ikat sendiri, kini aku menagih semula hati dengan harapan agar engkau membukanya kembali.


   Wahai teman yang sudah mengerti...
Kini, segalanya sudah jelas bagiku. sudah terang bersuluhkan pelita iman dan sinar hidayah. Lembaran dosa-dosa yang lalu, ku pohon bersama kita menutupnya. Kita bukakan lembaran baru. Kita hiasi dengan lukisan indahnya syurga. Warna-warni seperti kuntuman bunga di taman raudhah.


Kini, aku sudah dewasa. Sudah mampu melihat ke dalam segalanya. Segala coretan hati dan luahan rasa, ku mohon jangan engkau salah mentafsir maksudnya. Hati ini kini sudah lepas bebas. Tidak mungkin akan terbelenggu lagi. Ku mohon curahan hati yang bebas ini kau baca dengan mata. Mata hati. Jangan sampai terpedaya. Pada kiasan kata-kata yang berbau cinta namun hakikatnya tidak membawa apa-apa makna. Kerna sudah menjadi kebiasaan bagiku menulis kata-kata cinta buat pedoman dan renungan bersama, ku harap jangan sampai engkau terlihat akan lain maksudnya....


   Wahai teman sahabat seperjuangan...
Ku harap engkau sudah mampu melihat kini. Aku kini hanya insan biasa yang menurut kata hati untuk terus melakar bait-bait cinta suci buat tatapan para insani, buat pengertian sang sanubari, namun itu bukan tandanya aku dahagakan cinta itu sendiri. Aku menulis buat bacaan para insani. Yang juga sepertiku...Punya hati, punya rasa.....


Sampai di sini saja bicara hati. Dari hati ini, ku sampaikan ke hatimu. Agar engkau mengerti bahawa aku bukan seperti dahulu lagi. Agar jangan sekali kau tersalah erti. Sehingga waktu menetukan, kita pasti bertemu lagi. Ingatlah, meskipun tanpa bait-bait indah pengisi hari-hari, engkau tetap SAHABATKU yang sejati... Wassalam.....





2 comments:

Mohammad said...

Fuh~~~..mendalam anti..ana bekalkan anti dengan kata-kata kepada anti dari Ibnu A'thoilah assakandary bahawa tanda celiknyanya mata hati bila mana melakukan sesuatu kesalahan dan perlanggaran dosa,nescaya dia berasa resah dan gelisah,sebaliknya,bagi mereka yang buta akan mata hatinya,bila mana melakukan sesuatu perlanggaran dosa,nescaya dia berasa sudah biasa dan tiada apa-apa erti baginya..jazakallah..

penuntut syurga firdaus said...
This comment has been removed by a blog administrator.