Sejak pemergian sahabat setia, kekasih tercinta merangkap suami tersayang, Aisyah semakin kerap menyendiri. Siang dan malam menyendiri di rumah kosong yang tidak berpenghuni itu. Rumah kecil yang telah menjadi saksi kepada kisah-kisah cinta dia dan kekasihnya yang hanya berlanjutan sepurnama sahaja. Sejak kepergian itu, kegembiraan serta gelak tawa dahulu kini diganti dengan butir-butir air mata yang sering mencurah bagaikan air sungai setelah usai titisan hujan. Tidak pernah berhenti dan kekeringan.
Semakin ligat menulis, tekanan yang diberikan kepada batang pen yang sering menanggung siksa di atas kesedihan wanita muda itu semakin tidak stabil. Aisyah tetap meneruskannya. Meskipun tidak tahu akan berhenti di mana. Hanya itu sahaja yang bisa dilakukannya setelah kasih itu hilang. Dia hanya bisa menulis. Menulis sepanjang waktu. Kembali semula kepada rutinnya sebelum kasih itu dahulunya menjadi sebab kepadanya untuk berhenti menulis. Kini, setelah kasih itu pergi, dia kembali menulis.
Jari jemarinya suah semakin lemah. Perlahan-lahan batang pen itu dilepaskan daripada genggaman. Dilipat helaian-helaian kertas itu lalu disimpan di dalam sampul berwanran merah jambu yang semerbak mewangi. Ditulis nama pengirim serta penerimanya. Tidak beralamat sepertimana dahulu.
**********************************************************************************
" Sedang menulis apa, Aisyah?" suara lembut itu disertai usapan lembut di kepalanya. Aisyah sedikit kaget. Segera disembunyikan kertas yang telah hampir 2 jam menjadi tempat coretan luahan rasanya.Puan Asiah hanya tersenyum. Ditatapnya wajah muda yang berseri-seri itu. Masih menantikan sebarang jawapan. Sampul surat berwarna merah jambu yang masih tidak sempat disembunyikan menjadikan Puan Asiah semakin musykil dan ingin tahu.
" Menulis nota, ibu. Nota Cinta." Aisyah tersenyum manis. Pipinya kemerahan menahan rasa malu. Nota cinta pertama buat cinta pertama.Kepalanya ditundukkan. Tidak berani menata wajah ibu tercinta. Puan Aisyah sedikit terkejut. Nota cinta? Anak gadis yang berusia 17 tahun itu sudah bisa menulis nota cinta? Siapakah jejaka bertuah yang akan menjadi penerimanya? Puan Aisyah menjadi semakin ingin tahu.
" Buat siapa, nak? " lembut suara itu bertanya lagi. Rambut Aisyah yang ikal mayang itu diusap perlahan-lahan. Mengalir kasih suci ibu pada setiap celahan jari-jemari yang lembut membelai itu.
" Buat Abang Hakim. Orang yang Aisyah cinta!" ada sedikit nada keriangan pada kata-katanya. Serentak itu juga, Aisyah segera melompat ke atas katil. Wajahnya disembamkan pada bantal putih itu. Malu. Itu sahaja perasaannya ketika itu. Seseungguhnya, Aisyah tidak pernah merasakan apa yang dirasakannya pada Abang Hakim pada mana-mana lelaki.
Setiap kali bertemu, pasti jantungnya akan berdegup kencang. Pasti dia akan merasa cemas. Namun, di sebalik rasa cemas itu, ada rasa bahagia yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Tidak pernah dirasakan ketika bersama sahabat-sahabat lelaki yang lain. Perasaan pada Abang Hakim lain sekali. Hanya ketika bertemu Abang Hakim sahaja jantungnya akan berdebar-debar dan berdegup kencang. Memainkan irama cinta.
**********************************************************************************
Puan Asiah duduk di birai katil. Tersenyum sendiri melihat keletah Aisyah yang pastinya sedang disapa cinta pertama. Tidak ada apa yang harus dimarahkan bagi Puan Asiah kerana padanya, perasaan ingin mencintai dan dicintai pada anak remaja seusia Aisyah adalah fitrah kejadian manusia. Namun, ada sesuatu yang harus dikhabarkan kepada Aisyah tentang cinta supaya dia tidak jatuh ke dalam jurang cinta nafsu yang dalam lagi menyiksakan.
" Ibu, Aisyah suka Abang Hakim. Suka sangat. " Terlihat cahaya di dalam anak matanya yang polos itu. Ada kebahagiaan yang berbeza pada senyuman yang menguntum di bibir mulusnya.
" Kalau jumpa Abang Hakim, Aisyah rasa jantung Aisyah ni berdebar-debar. Aisyah rasa macam nak pengsan, tapi Aisyah gembira. Esoknya, Aisyah rasa macam nak jumpa Abang Hakim lagi. Kawan-kawan cakap, kalau jantung kita berdegup kencang untuk seseorang lelaki, itu tandanya kita sudah jatuh cinta pada lelaki itu. Betulkah, ibu? Itukah cinta, ibu?" Mata bening itu tidak berkerdip sekalipun tatkala menantikan jawapan kepada setiap persoalannya.
" Ya, nak. Itulah cinta. Cinta pandang pertama. Ibu juga pernah rasa begitu. Pada ayahmu dahulu. Tetapi, itu sudah lama berlalu." Sejujurnya, Puan Asiah tidak mahu mengiakan segala pertanyaan Aisyah tadi. Kerana dia sendiri tahu bahana apa yang dibawakan oleh cinta para remaja pada masa kini. Namun, dia tidak mahu menunjukkan rasa resahnya itu dengan cara yang salah. Perasaan Aisyah itu adalah sesuatu yang normal. Biarlah dia terus merasakannya asalkan dia mampu mengawalnya. Mengawalnya sehingga hanya kebaikan yang akan didatangkan oleh cinta itu. Lagi pula, cinta anak gadis seperti Aisyah biasanya bersifat sementara. Apabila sudah tiba waktunya, pasti cinta itu akan pergi jua.
" Tapi, nak. Harus diingat. Bersama cinta itu, bukan datang kebahagiaan sahaja. Di pertengahannya, pasti akan dilanda badai juga. Keteguhanmu dalam melewati badai itu nanti akan menentukan pengakhirannya. Jangan sampai tertipu oleh cinta, nak. Jangan sampai cinta yang suci itu kau tukarkan menjadi cinta nafsu yang dipenuhi rayuan-rayuan syaitan yang akan menyesatkanmu nanti, nak. Ibu tidak mahu kau lemas sehingga melupakan cinta yang paling agung itu, nak. Cintamu pada Yang Maha Esa."
Kegembiraan pada wajah Aisyah tadi menjadi sedikit kendur. Sukar memahami setiap bait-bait kiasan ibu tercinta, namun dia cuba untuk mentafsirkannya satu-persatu. Sedikit demi sedikit, dia mulai mengerti maksud ibunya. Lantas, timbul sedikit kesedihan di hati yang diperlihatkan oleh wajahnya. Terkesan oleh Puan Asiah akan kesedihan itu, Namun, sebagai seorang ibu, dia tidak akan menyerah pada pujukan kesedihan itu. Dia harus kuat dalam mendidik puterinya itu. Bahana cinta bukan sembarangan. Jurangnya yang dalam pasti tidak akan memberi sebarang belas kasihan kepada gadis muda seperti Aisyah. Puan Asiah tidak mahu puterinya lemas di dalam laut cinta itu sehingga jatuh ke lemah kehinaan cinta nafsu yang dipandu oleh panahan syaitan semata-mata.
" Ketahuilah, Aisyah. Andai saja nota cinta itu tadi kau berikan kepada Hakim, belum tentu dia akan membalasnya, nak. Belum tentu dia mampu membaca cintamu itu. Tetapi, andainya nota cinta itu kau tukarkan menjadi doa dan rayuan kepada Tuhanmu, ketahuilah bahawa cintamu itu akan sentiasa mendapat balasaan dari-Nya. Kalau kita mencari cinta pada manusia, belum tentu kita temui cinta sejati. Belum tentu kita temui balasannya. Namun, kalau kita mencari cinta pada Ilahi, Dia pasti akan menerimanya dan itulah cinta yang hakiki. Kau sudah dewasa, nak. Perasaanmu pada Hakim, ibu mengerti. Cinta di usiamu adalah perkara biasa. Namun, ibu khuatir kau tidak mampu mengawalnya nanti. Sesungguhnya, cinta itu indah, nak. Tapi, keindahannya hanya akan terlihat andai kau memberikannya pada yang selayaknya...."
**********************************************************************************
Aisyah tersedar dari lena. Pesanan arwah ibu tercinta mendatangi mimpinya lagi malam itu. Ditarik laci di sebelah katil perlahan-lahan. Longgokan surat cinta yang tidak pernah sampai ke tangan Hakim dibaca semula satu-persatu. Bermacam-macam kata cinta ada di dalamnya. Sesungguhnya, tidak ada satupun surat-surat cinta itu pernah sampai ke tangan Hakim sendiri meskipun setelah Hakim menjadi raja di istananya. Surat-surat itu disimpan sebaik-baiknya di tempatnya.
Pesanan Puan Aisyah dan perkhabarannya tentang cinta menjadikan Aisyah takut dan tersedar. Perbuatannya mengirimkan surat cinta kepada Hakim mungkin akan membuka lembaran dosa buat mereka berdua. Lantas, dia lupakan sahaja mengenai surat-surat cinta itu. Nota-nota cinta itu dia tukarkan menjadi doa buat Sang Pencipta. Doa yang dia kirimkan kepada Sang Pencipta di setiap sujudnya. Doa agar dia dan Hakim disatukan. Doa agar Hakim juga mampu merasakan apa yang dirasakannya. Sehinggalah Allah menunjukkan sendiri kuasa sebuah doa itu. Dengan kehendak-Nya, mereka berdua disatukan di dalam ikatan cinta suci yang tidak ternoda oleh sebarang racun dosa.
Namun, kebahagiaan itu tidak lama. Di atas kehendak-Nya jua, ditarik semula kasih itu daripadanya dan sehinggalah ke hari ini, Aisyah menanggung kesedihan yang tiada tara atas pemergian cinta itu. Cinta yang dahulunya begitu dia dambakan dan betapa peritnya dia memendam rasa demi meraih cinta yang suci itu. Begitu sukarnya dia menahan diri daripada mencurahkan segala rasa kepada Abang Hakim dahulu. Kerana takutnya pada Allah dan takutnya pada jurang cinta nafsu itu sendiri. Kerana takutnya pada dosa-dosa yang didatangkan oleh cinta nafsu itu. Segala pengorbanannya berbalas jua. Meskipun hanya seketika cuma, dia tetap bahagia kerana memiliki cinta itu.
**********************************************************************************
Kini, segala-galanya sudah jauh berubah. Cintanya bukan lagi pada Abang Hakim semata-mata. Nota-nota cinta tulisannya tidak lagi buat Abang Hakim yang sudah tiada. Tetapi kini, dia menulis nota-nota cinta buat yang sentiasa ada. Yang kekal, yang tidak pernah pergi meninggalkannya di saat dia gembira mahupun kesedihan. Yang dahulu menyahut doanya dan menjadikan impiannya suatu kenyataan. Yang kini dia rasakan mekar cintanya di dalam hatinya. Cinta Abang Hakim yang telah pergi itu digantikan pula dengan cinta yang sesungguhnya benar-benar suci. Sesuci baldu. Cinta yang hakiki. Cinta hakiki yang membawa ikatan maknawi yang kukuh dan teguh , antara dia dengan hakikat yang teragung iaitu Allah S.W.T. Pada setiap sujudnya, akan dia tukarkan nota-nota cinta itu menjadi bisik-bisik suci cinta pada Allah satu-satunya. Tidak pernah dia berhenti menulis nota-nota cinta buat-Nya kerana dia yakin bahawa Dia sentiasa ada. Meskipun sehingga akhir nyawa, Aisyah tidak akan pernah berhenti menulis. Menulis nota-nota cinta kasih buat Yang Satu.....kerana dia tahu bahawa nota-nota cinta itu sentiasa berbalas....
4 comments:
Assalamua'laikum,
apa maksud..
Cinta hakiki yang membawa ikatan maknawi?
Hebat cinta Aisyah..
waalaikumsalam w.b.t..
huhu..klo dh tulis gne bhse2 yg puitis ni,,maksud pun sush nk tafsir..
mksudnye lbh kurg gni la..cinta sebenar kpd Sang Pencipta yang merupakan ikatan yg berharga dan bermakna. berbeza dgn ikatan yg terbina melalui cinta kpd makhluk...
kalo ade maksud yg lbh tepat lgi,,sila share ya....syukran..
dapat iham dari lagu nota2 cinta ekh??
hehe..
hm..THUMBS UP tok akak..
best..:D
alhamdulillah....syukran...tau2 je dpt dr ctu..mmg dr lgu tu pun.. :)
Post a Comment