Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan oleh bibir itu. Hanya senyuman manis tanda penyambut kasih saudara semuslim yang telah banyak membantunya mengharungi hari yang sungguh memenatkan. Tangan lembut itu digenggam erat lalu dicium tanda hormat serta kasihnya dia akan insan tersebut. Atikah menganggukkan kepalanya beberapa kali lalu melangkah pergi.
Sekilas dia menoleh semula ke belakang lalu melambai-lambaikan tangan kanannya. Lambaian tersebut disambut mesra oleh Cikgu Zaharah yang masih lagi memerhatikan langkah kaki anak gadis yang baru sahaja bergerak meninggalkan kawasan sekolah. Sesekali jiwa seorang guru diamuk kerisauan apabila mengenangkan nasib yang bakal menimpa anak muda tersebut. Perjalanannya masih panjang. Mampukah dia meneruskan hidup dengan segala keterbatasannya nanti? Cikgu Zaharah hanya mampu memanjatkan doa kepada pencipta seluruh umat manusia. Doanya agar gadis muda itu nanti dilimpahi dengan segala keberkatan dan dipermudahkan segala urusannya menghadapi dunia yang seringkali mengecam insan sepertinya.
**********************************************************************************
Batu-batu kecil di jalanan kini menjadi bahan permainan kepada kedua-dua kaki Atikah yang pantas melangkah, menongkah arus perjalanan. Wang ringgit bernilai RM50 yang baru sahaja diterima daripada Cikgu Zaharah sebentar tadi digenggamnya erat-erat. Sesekali dia tersenyum sendiri. Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya dia pada hari itu. Kuih jualannya yang dihantar ke sekolah pada pagi itu laku semuanya. Sama seperti hari-hari yang lainnya. Cuma sesekali, nasib tidak menyebelahinya. Namun begitu, Atikah tidak pernah patah semangat. Rezeki yang dicurahkan kepadanya kini adalah milik Allah semata-mata. Andai sedikit yang diterimanya pada hari itu, sedikit itu jugalah yang akan dihulurkan ke tangan nenek tercinta. Atikah redha. Segala usaha serta penat lelahnya tidak mungkin mampu tertandingi oleh senyuman indah Nek Jah. Insan yang selama ini telah memberikan nafas baru ke dalam hidupnya yang hampir sahaja musnah suatu ketika dahulu.
**********************************************************************************
Pintu rumah yang sudah agak usang diketuk perlahan. Sedikit demi sedikit, Atikah menolak daun pintu rumah tersebut. Anak matanya melilau-lilau mencari kelibat Nek Jah yang sepatutnya sudah menyambut kepulangannya seperti selalu. Pada waktu-waktu petang seperti itulah, Nek Jah akan menyambut kepulangannya dengan jari jemarinya yang sedang ligat mengasingkan sisik-sisik ikan yang telah dikeringkan. Sisik-sisik tersebut kemudiannya akan dicuci sebersihnya dan dicelup dengan warna yang pelbagai bagi menghasilkan kelopak bunga yang akan digubah seindah mungkin oleh wanita-wanita seusia Nek Jah yang turut menghabiskan masa-masa tua dengan aktiviti kraf tangan bagi menjana pendapatan.
Atikah segera melepaskan bakul di tangan dan melangkah laju ke dalam bilik. Susuk Nek Jah yang dilihatnya sedang berbaring kaku menimbulkan sedikit rasa tidak enak di benaknya. Perlahan-lahan Atikah menuju ke arah Nek Jah. Kepala wanita tua itu diusapnya perlahan. Terasa sedikit hangat daripada biasa. "Pasti tadi Nek Jah diserang pening-pening lagi," hati kecilnya berbisik.
Tatkala itu juga, hati kecil gadis muda itu dilanda sejuta kerisauan. Kebelakangan ini, Nek Jah selalu sahaja diserang pening-pening yang tidak tahu akar puncanya. Pantang berdiri lama sedikit, pasti Nek Jah akan rebah menyembah bumi. Nek Jah juga selalu mengadu bahawa pandangannya semakin hari semakin berpinar. Tidak setajam dahulu lagi. Namun begitu, Nek Jah tidak sedikitpun membenarkan perkara-perkara seperti itu menghalanganya daripada terus bekerja dan bergerak seperti biasa. Nek Jah tidak betah duduk-duduk sahaja di rumah.
**********************************************************************************
Atikah tidak ke sekolah seperti biasa pada hari itu. Dia merancang untuk membawa Nek Jah ke klinik yang terletak agak jauh di pekan. Sudah agak lama Nek Jah meninggalkan ubat-ubatan yang sepatutnya dicerna oleh tubuh tuanya setiap hari. Ubat-ubatan Nek Jah terlalu mahal. Atikah hanya mampu mengunjungi klinik tersebut setelah sebulan dia berniaga. Itupun jika rezekinya mengizinkan. Jika tidak, Atikah hanya mampu mengalirkan air mata sebak setiap kali Nek Jah rebah menyembah bumi seperti selalu. Hendak dikhabarkan kepada jiran sebelah menyebelah, rumahnya pula terletak jauh di hujung kampung.Terpencil sekali. Hendak dijerit-jerit meminta pertolongan, dia pula bisu, tidak mungkin mampu mengeluarkan waima sepatah kata sekalipun.
Sesekali, terlihat akan kelibat Atikah berlari-lari dari kejauhan. Terputus-putus nafasnya. Pasti rumah Cikgu Zaharah yang menjadi sasarannya jika Nek Jah tidak sedarkan diri lagi. Jika Cikgu Zaharah tidak ada di rumah, dia akan berpindah pula ke rumah Abang Azam. Jiran yang paling hampir dengannya, meskipun dia terpaksa melalui denai yang agak berbahaya untuk menuju ke rumah tersebut. Abang Azam pula tidak pernah terlalu sibuk atau terlalu kedekut untuk membantunya. Oleh kerana itu, dalam diam Atikah mengagumi insan tersebut yang dianggapnya mulia.
**********************************************************************************
" Mengapa bersedih, Atikah?," Cikgu Zaharah sudah dapat mengesan kecelaruan di wajah gadis muda itu. Ditenungnya dalam-dalam wajah itu. Cuba untuk menangkap anak matanya, meraih sejuta penjelasan. Atikah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Wajah lembut yang diselubungi kesedihan yang mendalam itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuan Cikgu Zaharah terhadap urusannya di kantin sekolah.
" Nek Jah masuk hospital lagi," lontaran suara dari arah belakang Atikah mengejutkan kedua-duanya. Kehadiran keduanya ke sekolah pada pagi tersebut adalah semata-mata untuk mengkhabarkan berita buruk tersebut kepada Cikgu Zaharah yang sudah dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga Nek Jah sendiri. Sama seperti Abang Azam.
" Ya Allah! Betul ke, Azam? Nek Jah pengsan lagi?", Cikgu Zaharah semakin tidak keruan. Meskipun dia sudah dapat mengagaknya dari awal lagi, sedikit sebanyak, dia tetap terkejut apabila Azam memberitahukan berita tersebut kepadanya. Atikah yang sedari tadi hanya menundukkan kepalanya mengangguk perlahan. Matanya sudah mula berkaca. Bibirnya diketap menandakan penyesalan yang tidak terhingga kerana meninggalkan Nek Jah sendirian di rumah semalam.
Cikgu Zaharah melepaskan sebuah keluhan berat. Kekerapan Nek Jah pengsan dalam bulan itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan dia semakin risau. Pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan Nek Jah. Namun, mereka sendiri masih tidak dijelaskan mengenai penyakit sebenar yang sedang dihadapi oleh Nek Jah kerana Nek Jah selalu saja menghilangkan diri dari hospital sebaik sahaja matanya celik.
**********************************************************************************
Daun pintu ditutup perlahan-lahan. Cikgu Zaharah segera menghidupkan enjin keretanya. Atikah yang masih lena dibuai mimpi langsung tidak menyedari akan setiap tindak-tanduk Cikgu Zaharah. Perlahan-lahan kereta Zaharah meninggalkan kawasan rumahnya dan meluncur laju di atas jalan raya.
Cikgu Zaharah memang sengaja tidak membangunkan Atikah kerana dia terlalu kasihankan gadis muda itu. Atikah sudah kepenatan sepanjang hari. Malam itu, biarlah dia pula yang mengambil tugas untuk menjaga Nek Jah. Tambahan pula, ada sesuatu yang harus dia selidik sendiri daripada doktor yang menguruskan Nek Jah di hospital tersebut. Dia tidak akan berpuas hati selagi tidak mendengar sendiri segala penjelasan daripada doktor itu sendiri.
**********************************************************************************
Cikgu Zaharah keluar daripada bilik doktor dengan wajah yang masam mencuka. Setiap bait-bait perkataan yang baru sahaja menerobosi ruang telinganya tadi benar-benar membuatkan hati wanitanya berkecamuk. Lemah seluruh langkah kakinya yang kini melangkah dengan segala sisa kekuatan menuju ke wad yang menempatkan Nek Jah. Sungguhpun begitu, Cikgu Zaharah cuba untuk kelihatan sekuat mungkin. Setelah ini, besar kemungkinan, dia yang akan mengambil tanggungjawab untuk menjaga Atikah, gadis muda yang sudah dianggap sebagai adik sendiri.
Segala kekurangan serta keterbatasan insan seperti Atikah tidak pernah membuatkan Cikgu Zaharah terlalu jijik untuk bersamanya walau di manapun dia berada. Sebaliknya, dia semakin mengasihani Atikah serta insan-insan lain yang kurang upaya sepertinya. Melalui insan seperti Atikah, Cikgu Zaharah belajar menghargai setiap anugerah yang telah dikurniakan Allah kepadanya. Di sebalik segala kemampuannya, tidak pernah pula dia mengecam segala kekurangan insan istimewa seperti Atikah. Betapa dia bersyukur kerana dilahirkan di dalam keadaan yang sempurna. Sedaya upaya, Cikgu Zaharah mencuba untuk memahami segala bahasa badan yang dituturkan oleh Atikah. Memahami setiap pergerakan Atikah bukanlah mudah. Namun, setelah hampir 9 tahun mengenali Atikah, Cikgu Zaharah sendiri sudah mampu mengagak setiap kehendak Atikah walaupun dia masih belum menggayakannya.
**********************************************************************************
"Zaharah, Nek Jah ni dah tua. Macam matahari, dah nak ke ufuk barat pun. Tak lama lagi, nak tenggelam dah. Tapi, Nek Jah tak kisah kalau umur Nek Jah tak panjang lagi. Memang dah fitrah hidup. Yang hidup, pasti akan mati juga. Cuma, Nek Jah risaukan Atikah tu. Kalau Nek Jah takda, siapa nak jaga dia nanti? Nek Jah tak rasa tenang nak "pergi" kalau terpaksa tinggalkan Atikah seorang diri," perlahan sekali suara Nek Jah menyusun kata-kata. Ada air mata suci mengalir lewat mata tuanya yang sudah semakin mengecil. Terbayang wajah Atikah lewat mata tersebut. Jiran-jiran di katil sebelah menyebelah turut melahirkan rasa simpati terhadap Nek Jah. Masing-masing mendiamkan diri apabila mendengar cerita Nek Jah.
" Nek Jah, tak baik cakap macam ni. Nek Jah tak usah risau. Walau sampai bila-bila sekalipun, kita tetap satu keluarga. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga Atikah." Tangan Nek Jah digenggam erat. Terasa sejuk seluruh anggota badannya.
Cikgu Zaharah sudah tidak mampu menahan air matanya lagi. Dia menangis semahu-mahunya. Di tengah kepekatan malam, tiada satu suara pun yang berbisik, seolah-olah sedang memberi ruang kepada Cikgu Zaharah untuk meluahkan segala kedukaan yang sudah sekian lama terpendam di dalam hati. Sehingga akhirnya, dia tertidur di sisi katil Nek Jah dengan selaut air mata membanjiri jiwanya.
**********************************************************************************
Jenazah Nek Jah baru sahaja selamat dikebumikan. Meskipun sudah banyak kaki melangkah pergi meninggalkan tanah perkuburan Kampung Jerampai, Atikah masih lagi setia menanti di bawah terik mentari. Langsung tidak berganjak walau sedikitpun. Dia kini sudah berada di dalam dunia sendiri. Tenggelam di dalam kesedihan yang hanya Allah mengerti.
Ditatapnya dalam-dalam batu nisan putih yang tertulis nama Nek Jah. Diramas-ramasnya tanah perkuburan yang masih merah menyala. Terasa panas. Seolah-olah Nek Jah masih bernafas di dalamnya. Tiada setitik air mata yang dititiskan. Hanya kesedihan menggunung yang dicurahkan melalui raut wajah yang tidak mungkin mampu ditafsirkan oleh sesiapapun. Dipancarkan melalui sinar mata yang kelihatan sirna cahanya.
**********************************************************************************
" Sudah! Sudah! Pergi sana! Tidak ada kerja kosong di sini! Kalau adapun, bukan untuk orang bisu seperti kau ni!"
Keras sekali kata-kata yang baru sahaja menendang gegendang telinganya. Atikah masih tidak mahu berganjak dari tempat tersebut. Ditarik-tariknya lengan wanita separuh abad yang menjadi "owner" kepada gerai makan di tepi jalan yang begitu sibuk. Kini, seluruh mata melirik tajam ke arah "drama" yang dilakonkan oleh keduanya. Tidak ada sesiapapun yang berani mencampuri urusan pemilik gerai kerana kesemuanya tidak mahu menanggung malu jika harus terlibat di dalam kekecohan tersebut.
" Ish! Pergi sanalah! Rimas aku! Mesti si bisu ni pekak. Sebab tu tak faham-faham bahasa! Bagus sangatlah tu. Sudahlah bisu, pekak pula. Package!" Serentak dengan itu, satu hempasan kuat dilayangkan ke arah Atikah. Tepat mengenai wajahnya. Atikah jatuh terjelepok di atas lantai. Di sebalik segala keriuhan yang sedang berlaku, tidak ada satu jiwa pun di dalam gerai tersebut yang meringankan tangan untuk membantu Atikah. Sebaliknya, lebih ramai yang buat-buat tidak tahu sahaja. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Entah ke mana hilangnya rasa belas kesemuanya terhadap makhluk yang turut dilahirkan atas nama cinta dan kasih sayang.
Perlahan-lahan Atikah bangun semula. Pilu sekali hatinya kerana diperlakukan sebegitu rupa. Dia tahu, siapalah dirinya jika hendak dibandingkan dengan insan yang sempurna susuk fizikal serta kemampuannya. Namun, tidak pula dia suka apabila insan-insan istimewa sepertinya diperlekehkan dan diperkotak-katikkan.
Dengan langkah yang lemah longlai, Atikah meninggalkan gerai makan tersebut. Dia menoleh sekilas ke belakang. Tuan punya gerai masih lagi memandang ke arahnya dengan pandangan yang tajam sekali. Sama seperti sorot mata yang diterimanya apabila mencuba nasib di tempat-tempat yang lain.
**********************************************************************************
Suda lewat pukul 12.30 malam. Suami tercinta masih lagi belum pulang ke rumah. Usai solat Isyak lagi Atikah sudah duduk termangu di anjung rumah, menanti kepulangan Azam. Azam yang dengan rela hatinya mengambil dia sebagai isteri setelah Cikgu Zaharah berumahtangga. Betapa Atikah bersyukur kerana masih ada insan yang sanggup mengahwininya walaupun dia tidak sempurna. Langsung tidak ada riak keterpaksaan di wajah Azam tatkala cincin disarungkan di jari manisnya tanda ikatan pernikahan mereka berdua. Setelah selesai segala urusan di kampung, Atikah mengikut Azam berpindah ke bandar. Kata Azam, peluang untuk insan sepertinya meneruskan hidup di bandar lebih cerah. Dia juga boleh menyambung belajar semula. Sudah agak lama Atikah meninggalkan sekolah. Kali terakhir dia ke sekolah adalah sewaktu di Tingkatan 3 dahulu. Itupun hanya buat semntara waktu sahaja. Kesukaran hidup yang menghimpit menyebabkan Atikah terpaksa berhenti sekolah demi untuk menyara Nek Jah dan dirinya sendiri. Di kampung itu pula, tidak ada sekolah untuk insan istimewa sepertinya. Yang ada hanyalah sekolah biasa yang menempatkan pelajar-pelajar yang sempurna pendengaran, pertuturan serta penglihatan. Jadi, tidak mungkin pula untuk Atikah menghabiskan pelajarannya di tempat seperti itu.
"Assalamualaikum..."
Ucapan salam yang diberikan Azam menyentap Atikah daripada lamunannya. Terasa sedikit aneh pula. Jarang sekali Azam pulang pada waktu-waktu sebegitu. Sebagai seorang isteri, timbul sedikit keraguan di hati Atikah terhadap sikap suaminya yang baru-baru ini sudah kelihatan agak berubah daripada yang sebelumnya. Namun begitu, Atikah tidak pula mahu menyatakan rasa tersebut, baik melalui riak wajah mahupun perbuatannya. Jauh sekali kata-kata. Kerana dia sendiri memang tidak pernah bisa mengeluarkan walau sepatah perkataan pun sejak matanya celik melihat dunia.
Azam terus menuju ke arah bilik. Wajahnya kelihatan lemah sekali. Mungkin saja dia kepenatan kerana seperti Atikah, dia juga sudah seharian mencuba nasibnya di mana-mana ceruk di kota besar tersebut. Sudah hampir sebulan agaknya. Namun, kedua-duanya masih belum mampu mencari apa-apa pekerjaan. Melalui air muka Azam sebentar tadi, Atikah sudah dapat mengagak hasilnya. Pasti gagal juga seperti dirinya sebentar tadi. Malah mungkin lebih berat lagi bagi Azam, kerana sebagai seorang suami, dia seharusnya sudah mempunyai status kewangan yang kukuh untuk menyara isterinya.
**********************************************************************************
Atikah hanya tunduk membatukan diri. Sudah hampir 3 hari Azam tidak bertegur sapa dengannya. Apa pula masalah yang dihadapi olehnya sekarang? Atikah sendiri tidak mampu untuk meneka. Hendak ditanyakan kepada tuan punya badan, Atikah pula terlalu takut. Bimbang jika Azam akan naik darah lagi. Kebelakangan ini, Azam sering sahaja naik darah jika pulang ke rumah. Pasu-pasu bunga yang berada di halaman rumah sewanya pasti akan menjadi bahan sepakan kaki lelakinya andai saja dia berasa tidak keruan. Setelah itu, dia akan meninggalkan rumah tanpa sebarang penjelasan.
Jika diikutkan hati, ingin saja Atikah menghubungi Cikgu Zaharah untuk mengkhabarkan masalah yang kini sedang melanda bahteranya. Namun, dia tidak sanggup untuk menggangu Cikgu Zaharah kerana dia tahu bahawa Cikgu Zaharah baru sahaja selamat melahirkan bayi keduanya dan kini sedang berada dalam keadaan berpantang. Pasti badan serta mindanya masih terlau lemah untuk menerima masalah Atikah. Hanya kepada Allah Atikah mengadukan segala masalahnya kini. Hampir setiap malam Atikah menadah tangan memohon doa agar dikembalikan semula ketenangan alam pernikahannya, sama seperti di waktu awalnya dahulu. Puas dia menangis di setiap sujudnya, meminta agar dilembutkan semula hati Azam dan diampunkan segala dosa andainya dia telah gagal menjadi seorang isteri yang baik buat Azam, lantas Azam memperlakukannya sebegitu rupa.
**********************************************************************************
Atikah menggenggam erat tangan suami tercinta. Sejak keduanya melangkah ke alam perkahwinan, itulah kali pertama Azam memandangnya dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Itulah kali pertama dia merasakn ketulusan pada cinta Azam dan itulah kali pertama Azam membawanya keluar berjalan-jalan di tepi pantai. Keduanya hanyut dibuai perasaan masing-masing. Perubahan sikap Azam yang agak ketara sebelum ini sedikit sebanyak meninggalkan kotak memori Atikah. Baginya, Azam kini sudah kembali seperti sediakala.
Bayu pantai yang menghembus lembut begitu mengasyikkan. Camar-camar yang berterbangan kelihatan seperti dedaunan yang ditiup angin di kejauhan. Atikah mencapai sebatang ranting bengkok lalu digoreskan di atas pepasir putih yang halus. Setiap alunan tersebut kemudiannya membentuk dua buah nama.
"ATIKAH CINTA AZAM"
Sebuah pandangan cinta singgah, melewati mata Azam yang kini turut memandang ke arahnya. Seolah-olah sedang mengatakan betapa dia mencintai lelaki yang kini sedang menatapnya itu. Meskipun tiada kata-kata manis sebagai penyambung bicara, namun hati yang saling mencintai pasti boleh membicarakan rasa cintanya sendiri. Bicara dari hati ke hati. Bibir Azam yang mengukir senyuman manis menambah rasa cinta yang kini sedang bergelora di dalam hati wanita muda itu. Tulus buat insan bergelar suami.
Saat Atikah terbuai di dalam anganan, tidak semena-mena, Azam melepaskan genggaman tangannya. Wajahnya berkerut-kerut. Perutnya ditekan-tekan tanda kesakitan yang sudah tidak mampu ditahan lagi.
"Atikah tunggu di sini ya. Abang nak pergi tandas sekejap. Ada "urusan". Azam menjentik lembut hidung Atikah lalu meninggalkan isterinya di tepi pantai tersebut. Laju sekali kakinya melangkah, meredah pepasiran yang menyelimuti pantai tersebut.
**********************************************************************************
Matahari sudah hampir terbenam ke ufuk barat. Atikah ingin sekali menikmati saat itu bersama Azam, namun Azam masih tidak kunjung kembali. Sudah tiga jam agaknya Azam pergi meninggalkannya. Pantai juga sudah menjadi semakin lengang.
" Di mana agaknya Abang Azam?," tanpa sebarang keraguan, Atikah berbisik sendiri di dalam hati.
Sepasang mata sedang galak memerhatikan Atikah dari balik pokok. Bersiap sedia untuk memberikan kejutan terbesar buat gadis muda yang sedang keresahan itu. Perlahan-lahan kakinya melangkah menuju ke arah Atikah. Tidak kedengaran walau sedikit bunyi sekalipun. Persis seorang anggota polis profesional yang sedang menjalankan tugasnya.
Kedua-dua tangan Atikah ditarik dari arah belakang. Atikah terkejut besar. Mulutnya yang sudah dicekup dengan kain putih menghalangnya daripada mengeluarkan walau sedikit bunyi seklaipun. Keadaan yang sudah agak kegelapan menutup segala pergelutan di antara Atikah dan lelaki tersebut. Atikah pula menjadi semakin lemah akibat terhidu cecair "chloroform" di atas kain putih tersebut. Pandangannya berpinar. Beberapa minit kemudian, dia lesap, lesap dari dunia nyata, tidak sedarkan diri.
**********************************************************************************
Berat sekali kelopak matanya. Kepalanya juga terasa agak kepeningan. Kejadian sebentar tadi di pantai masih lagi berada di dalam kotak memorinya. Di manakah Azam? Masakan Azam yang membuat kejutan tersebut? Jika Azam, mengapa kasar sekali genggamannya? Terasa seperti hendak patah tulang-temulangnya apabila harus bergelut dengan lelaki tersebut.
Di dalam keadaan separuh sedar dan mulut terikat dengan kain, Atikah meronta-ronta, cuba untuk melepaskan kedua-dua tangannya dariapada ikatan tali yang membelit.
" Azam tu bodoh. Kalau tahu tak mampu bayar hutang, mengapa nak berhutang? Tengoklah sekarang. Bila dah tak ada duit, si bisu itu dia jual pada kita. Apalah sangat yang dapat dibuat dengan si bisu ni?", kepala yang tidak berambut digaru meskipun tidak ada rasa gatal. Segalanya berlaku secara spontan.
" Engkau pun bodoh macam Azam! Apa guna perempuan bila ada lelaki seperti kita?," keningnya diangkat-angkat. Terpancar kejahatan lewat raut wajahnya yang berparut di sana-sini. Kedua-duanya tersenyum sinis. Tanpa membuang masa, mereka berdua berlari ke arah bilik yang menempatkan Atikah. Merempuh masuk lewat pintu yang tidak berkunci.
Atikah yang sedari tadi asyik meronta tersentak. Tersentak dengan kehadiran lelaki-lelaki asing yang langsung tidak dikenali. Dia menjadi panik. Peluh memercik lewat dahinya yang licin. Kedua-dua lelaki tersebut menghampirinya lalu duduk di sisinya.
" Siapa nama tadi? Atikah? Owh... Atikah... Lawa Atikah ni. Abang berdua, nak "spotcheck" Atikah kejap lagi. Manalah tau, Atikah ada bawa senjata berbahaya ke... Atikah dok diam-diam. Jangan nakal-nakal. Jangan buat bising ya....."
" Oi! Ape bengapnya kau ni? Dia ni bisulah. Pekak. Kalau kau cakap pun, dia faham ke? Lainlah kalau kau guna bahasa isyarat. Alah, sekolah biasa pun tak lepas. Tak payah sebutlah sekolah Atikah ni. Hahahaha.."
Kedua-duanya saling menggayakan bahasa isyarat yang langsung tidak difahami oleh Atikah. Kemudian mereka berdua ketawa sepuas-puasnya. Geli hati dengan tingkah laku sendiri. Kain putih yang mengisi rongga mulut Atikah ditarik keluar. Atikah sudah tahu. Pasti ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku ke atas dirinya sebentar lagi. Dia cuba meronta sekuatnya apabila kedua-dua lelaki tersebut bertindak semakin biadap ke atasnya.
Sejenak kemudian, sepasang tangan hinggap di atas bahunya lalu dengan ganasnya mengoyakkan kedua-dua lengan bajunya.
"ALLAH!!!!!!!!!!!!!!!!!!"
Atikah menjerit sekuat hatinya. Kedua-dua lelaki tersebut tergamam seketika. Serentak dengan itu juga, sekumpulan anggota polis merempuh masuk ke dalam bilik tersebut. Kedua-dua lelaki tersebut segera menarik tangan masing-masing, bersedia untuk membuka langkah seribu. Namun, di saat keduanya sudah bersedia untuk berlari, kedua-dua kaki terasa kebas. Tidak berangkat walau sedikitpun. Kaku. Mereka saling berpandangan. Atikah masih lagi menggigil ketakutan. Kumpulan anggota polis tersebut turut berpandangan sesama sendiri. Masih cuba mentafsir segala kejadian yang baru sahaja dilihat sebentar tadi.
Kedua-dua lelaki asing tersebut masih tidak mahu menyerah kalah. Sedaya-upaya, keduanya cuba untuk turun dari katil tersebut. Masing-masing jatuh terjelepok di atas lantai. Dengan keadaan kaki yang sudah kaku, keduanya cuba mengengsot ke hadapan. Terasa perit sekali. Tidak bergerak walau sedikitpun.
Tanpa membuang masa, kumpulan anggota polis tersebut segera memberkas kedua-dua pemjenayah yang sememangnya selama ini sedang dikejar dan dicari-cari oleh pihak polis. Kedua-duanya cuba untuk meronta dan menjerit-jerit. Namun, dengan kuasa Allah, tidak sebutir pun perkataan keluar daripada mulut mereka berdua. Seolah-olah sudah hilang kotak suaranya. Masing-masing yang berada di dalam bilik tersebut beristighfar panjang. Memohon keampunan di atas segala dosa yang telah dilakukan. Yang sedar mahupun yang tidak diketahui. Kejadian yang baru sahaja dialami sebentar tadi telah menunjukkan kepada kesemuanya. Bagaimana Yang Maha Berkuasa itu mampu untuk menarik segala nikmat yang diberikan oleh-Nya pada bila-bila masa sahaja dan bagaiman pula Dia berkuasa untuk memberikannya kepada sesiapa sahaja. Dengan penuh penyesalan menyelubungi jiwa, mereka semua meninggalkan kawasan tersebut. Betapa besar pengajaran yang diperoleh pada hari iut dan tidak mungkin akan dilupakan oleh sesiapapun.
**********************************************************************************
" Atikah! Atikah!"
Cikgu Zaharah berlari ke arah Atikah di tengah pekat malam. Susuk yang lemah itu kemudian dipeluknya erat-erat.
Dengan segala kudrat yang ada, Atikah cuba mengumpul sisa-sisa suaranya, dibawa ke anak tekak lalu dilontarkan oleh mulut tersebut buat julung kalinya di hadapan Cikgu Zaharah.
"Cik....Cikgu...Cikgu Zaharah!." dia tersenyum mesra. Tergagap-gagap dia menuturkan nama Cikgu Zaharah.
Anak mata cikgu Zaharah semakin membesar. Benarkah apa yang baru sahaja didengarnya sebentar tadi? Atikah sudah boleh berkata-kata? Wajah Atikah diusapnya benar-benar. Bagaikan tidak percaya.
"Subhanallah! Atikah! Kamu sudah punya suara!" di sebalik segala kejadian tersebut, timbul sejuta rasa syukur di hatinya buat Sang Pencipta. Mengalir air mata kesyukuran buat Atikah, insan yang selama ini dirinduinya.
" Allah...ka...si...sua..ra...A..A..ti...kah!" dengan linangan air mata yang mencurah-curah, Atikah memeluk Cikgu Zaharah. Sujud syukurnya tatkala itu di atas segala anugerah yang telah dikurniakan oleh Yang Maha Berkuasa buatnya. Setiap mata yang menjadi saksi kepada kejadian malam itu turut memanjatkan sejuta kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana telah mengembalikan nikmat-Nya buat wanita muda tersebut. Semoga dengan apa yang telah terjadi pada malam itu, dapatlah dijadikan pedoman dan pengajaran agar semakin dekat pada Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment