Asslamualaikum W.B.T........
Para pembaca yang dikasihi Allah sekalian....semoga kalian sihat dan aman selalu...hari ni, cuba agak...saya nak cerita pasal apa pulak? tengok tajuk macam tahu dah...kalau cerita sebelum ni banyak mengisahkan pasal remaja bermasalah walaupun dibesarkan dalam keluarga yang hebat dan beragama, kali ni saya nak ubah sikit...saya nak cerita pasal remaja bermasalah yang dibesarkan oleh family yang "sporting"...."sporting" macam mana pulak tu? hmmmm.....pandai-pandailah tafsir sendiri ea...tapi, saya nak buat sedikit perubahan dalam cerita ni...family ni bukan sebarang sporting...dalam cerita kali ni, saya nak gambarkan remaja yang jadi mangsa kepada family yang sporting ni. tapi, bukan pula niat saya nak salahkan family...juz buat pedoman kita sahaja...kita nanti kan bakal ada family jugak....so, inilah situasinya nanti..tapi, yang ni lainlah...senang cerita, bacalah sampai habis....
Bismillahirrahmanirrahim..............
Langkahnya terasa lemah sekali. Seingat Linda, itulah kali pertama dia dipukul begitu teruk oleh seorang lelaki. Seorang lelaki yang selama ini mengasuh dan membesarkannya dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Seorang lelaki yang dahulunya dia anggap sebagai "hero" di dalam hidupnya. Baru sahaja 2 jam tadi dia diterajang dan dipukul teruk oleh lelaki itu. Masih terbayang lagi di fikirannya akan wajah lelaki bengis itu yang dahulunya penuh cahaya dan ketenangan.
" Apa nak jadi dengan kau ni, Lin?! Aku suruh buat "kerja" sikit pun tak dapat. Aku suruh kau goda si Norman tu sampai dia serahkan segala-galanya kepada kau! Bukan dia goda kau sampai kau serahkan segala-galanya pada dia! Mana kau simpan otak kau tu? Dah habis harta aku ni kau kikis buat jadi modal pikat si Norman tu. Tapi, satu sen pun tak pulang modal! Memang tak boleh diharap langsung!
Percintaan Norman dan Linda langsung tidak pernah mendapat tentangan daripada ayahnya, Datuk Hisyam. Beliau sangat senang akan Norman kerana bakal menantunya itu merupakan seorang jejaka yang baik dan bersopan. Namun, kebaikan dan kesopanan yang ditonjolkan oleh "pelakon" terkenal itu langsung tidak menarik perhatian Datuk Hisyam. Dia lebih tertarik akan kekayaan yang dimiliki oleh anak muda itu. Kehadiran anak muda itu ke rumah agamnya seringkali beliau sambut dengan penuh hormat dan kasih sayang. Linda juga diberikan segala-gala yang dia perlukan untuk memastikan Norman sentiasa berada di dalam genggamannya. Sumgguh tinggi cita-cita lelaki yang hanya melihat kepada kekayaan dunia itu. Sehingga tidak terlihat lagi olehnya akan urusan lain yang lebih perlu dan menjamin kejayaannya di akhirat kelak.
Namun, segala-galanya berubah apabila Datuk Hisyam mengetahui bahawa Norman, jejaka yang menjadi pendamping kepada satu-satunya puteri beliau merupakan anak kepada seorang lelaki yang pernah "meragut" kebahagiannya dahulu. Linda, satu-satunya waris beliau dilahirkan di dalam keadaan yang sangat perit setelah isterinya dilanggar oleh Datuk Rashid, ayah kepada Norman. Kerana kemalangan itu jugalah, beliau kini hidup menyendiri. Tidak ada lagi isteri yang suatu ketika dahulu pernah berkongsi tawa dan suka duka bersamanya. Datuk Hisyam juga tidak pernah berhenti menyalahkan takdir yang telah "meragut" nyawa isterinya. Beliau kini sudah hilang keyakinan kepada Allah. Jika dahulu, setiap masalahnya akan diadukan kepada Allah dan kemudian isterinya. Kini, beliau lebih suka memendam segala-galanya. Apa jua masalah yang beliau hadapi kini, Allah pasti tidak akan dapat membantunya. Itulah Datuk Hisyam yang baru. Datuk Hisyam yang sudah mampu mendepani segala-galanya tanpa bantuan dan pertolongan daripada Yang Maha Berkuasa. Datuk Hisyam yang sudah tidak percaya lagi kapada Allah.
Dendam kesumatnya terhadap Datuk Rashid tidak pernah sekalipun beliau lupakan. Sentiasa ada sahaja rancangan jahatnya untuk menjatuhkan Datuk Rashid dan Lindalah yang seringkali menjadi mangsa kepada rangcangan jahatnya itu. Percintaan Linda dan Norman yang dahulunya diisi dengan penuh keikhlasan dan kepercayaan kini telah Linda isi dengan seribu penipuan dan helah dusta. Datuk Hisyamlah yang menjadi dalang kepada segala-galanya. Beliau ingin sekali melihat Norman hancur sepertimana hancurnya hatinya saat ditinggalkan isteri tercinta.
" Ini bukan salah Lin, Ayah. Ini semua salah Ayah. Kalau Ayah tak bagi Lin keluar sesuka hati dengan Norman, pasti semuanya takkan jadi begini. Pasti sekarang ini Lin takkan terlanjur sampai mengandungkan anak luar nikah. Ini bukan salah Lin seorang! Ini salah Ayah juga. Ayah yang sibuk sangat dengan rancangan jahat Ayah sehingga Lin pun turut terjebak sama. Sekarang, Ayah lihat apa dah jadi! Ayah tak dapat apa-apa, Lin pula dah hilang segala-galanya.....", Linda merintih sedih. Hebat sekali pertengkaran kedua-duanya pada malam itu.
Datuk Hisyam pula semakin hilang sabar apabila Linda yang dahulunya pendiam dan menurut segala apa sahaja yang diperintahkan kepadanya kini sudah pandai menjawab. Dengan tidak semena-mena, satu lagi sepakan hebat singgah di kepala Linda. Amukannya pada malam itu sudah tidak terkawal lagi. Linda terus-menerus menjadi mangsa amarahnya. Sudah hampir patah riuk anak gadis itu dibelasah oleh kudrat lelakinya yang tidak terlawan oleh Linda. Hatinya sendiri juga merasa pedih. Bukan pedih kerana satu-satunya puteri beliau telah kehilangan maruahnya, tetapi sedih kerana selepas ini pasti tidak ada sesiapa lagi yang boleh diharapkan untuk menjalankan rancangan jahat beliau. Sungguh besar dendamnya terhadap Datuk Rashid sehingga beliau sanggup mengorbankan apa sahaja untuk memastikan Datuk Rashid hancur.
" Jangan kau nak menyalahkan aku. Dah cukup baik aku beri kau "green light". Salah kau sendiri kerana tak pandai menjaga diri. Aku tak pernah suruh kau berlebih-lebihan dalam percintaan kau tu. Aku cuma benarkan kau berjumpa dengannya supaya rancangan aku terlaksana. Tidak lebih dari itu. Sekarang, kau pergi dari rumah aku ni! Aku tak mahu simpan anak yang tak berguna macam kau ni! Buat menghabiskan duit aku saja. Sudahlah lembap, memalukan aku pula dengan mengandung anak luar nikah macam tu! Kau pergi sekarang. Kau pergi sebelum kawan-kawan aku semua tahu pasal ni. Sehingga kau "bersihkan" badan kau ni, jangan kau berani datang ke sini lagi. Kau pergi!!!!!!!", bentak Datuk Hisyam setelah puas melepaskan amarahnya terhadap anak gadisnya itu.
"Bersih"? Macam mana aku nak "bersihkan" diri aku yang dah tercemar ni? Apa yang patut aku buat?", persoalan itu tidak berhenti-henti menyerang kotak fikiran Linda. Langkahnya terasa semakin lemah. Dia tidak tahu harus ke mana lagi. Untuk pulang semula ke rumah itu? Tidak mungkin! Pasti jasadnya akan dikuburkan tidak bernisan andainya dia dibelasah untuk kali yang kedua.
" Sekejap!!!", terdengar suara lantang itu memecah keheningan malam. Shima yang sedari tadi asyik melayan kucing kesayangannya segera melangkah ke ruang tamu. Pintu yang sudah diketuk beberapa kali segera dibuka.
" Astargfirullahalazim..... Linda! Apa kau buat kat rumah aku malam-malam buta macam ni? Apa dah jadi dengan kau ni?", pertanyaan tersebut segera diajukan kepada Linda yang kelihatan lemah tidak bermaya. Linda masih tidak tahu apa yang harus diberitahukan kepada Shima. Fikirannya masih bercelaru. Dia buntu. Shima yang masih menunggu penjelasan daripada sahabatnya itu segera menarik tangan Linda lalu mengajaknya masuk ke dalam rumah. Tidak manis pula rasanya membiarkan tetamu berdiri di luar rumah sahaja tanpa dijemput masuk. Sedari kecil lagi, Shima telah dididik dengan cukup sempurna. Dari sekecil-kecil perkara, sehinggalah sebesar-besar perkara, semuanya telah diajarkan kepada Shima. Ibu serta ayah tercinta "pergi" dengan senyuman kerana mereka yakin bahawa Shima akan terus mendoakan mereka meskipun mereka tidak lagi di sisinya. Shima dan Linda. Kedua-duanya merupakan gadis yang cukup berbeza. Bersatu di atas takdir Allah.
" Aku...... Aku dan Norman... Kita orang dah buat "silap", perlahan-lahan Linda memulakan ceritanya.
Shima terkejut besar. Perkataan "silap" itu sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya.
" Sekejap. Biar aku teka. Kau dengan dia terlanjur......dan sekarang kau dah kena usir dengan ayah kau. Betul tak? Astarghfirullahalazim, Linda....Kenapa boleh jadi sampai macam ni?", Shima masih lagi di dalam keadaan terkejut.
Shima sudah puas menasihati Linda supaya berhati-hati dengan lelaki seperti Norman. Dia kerapkali menemui Norman berfoya-foya dengan perempuan lain di bandar. Sudah puas juga dia cuba memberi amaran kepada sahabatnya itu. Namun, Linda langsung tidak mempercayai biar apapun yang cuba dia khabarkan. Linda terlalu percayakan Norman. Sikap "sporting" ayahnya pada waktu itu juga telah disalahtafsirkan sama sekali.
" Bukan itu sahaja, Shima.... Aku sekarang dah mengandungkan anak Norman.....", Linda menyambung kata-katanya lagi.
" Astargfirullahalazim........", ucap Shima perlahan. Sungguh dia berasa belas kepada sahabatnya itu. Namun, sikap Linda terhadap segala amaran serta nasihatnya dahulu sedikit sebanyak membuatkan dia berasa marah terhadap sahabatnya itu. Mungkin inilah yang dikatakan orang hukuman. Hukuman yang didatangkan oleh Allah kepada hamba-Nya yang tidak pernah serik melakukan maksiat. Nauzubillah. Pintanya agar dirinya dijauhkan daripada semua itu. Sudah berbuih mulutnya menasihati Linda supaya menjauhkan diri daripada segala perlakuan yang boleh membuka lembaran maksiat ke dalam hidupnya. Dia juga kerapkali melarang Linda ketika Linda keluar bersama Norman sehingga larut malam. Dia bimbang jika nanti sesuatu yang tidak diingini berlaku. Tidak mungkin ada peneman lain kepada dua insan bercinta yang sering bertemu di tempat sunyi jika bukan syaitan laknatullah. Kini, segala kerisauannya telah menjadi kenyataan. Ternyata sahabatnya itu telah tumpas terhadap nafsu serakah yang dipandu oleh syaitan semata-mata.
" Shima....", bisik Linda perlahan. Shima masih lagi menatap wajah lemah itu.
" Boleh tolong aku tak? Aku nak pinjam duit kau sikit. Aku nak "buang" baby ni.....", perlahan sekali Linda menuturkan kata-kata tersebut.
Beristighfar panjang Shima apabila mendengar keputusan sahabatnya itu. Sudahlah terlanjur, kemudian hendak digugurkan pula kandungan itu. Kemarahannya terhadap Linda sudah tidak boleh dikawal lagi.
" Tidak Lin. Tidak! Aku takkan bantu kau sesen pun. Jangan kau harap apa-apa daripada aku. Jangan kau harap aku akan pinjamkan kau duit kalau kau nak gunakan duit itu untuk gugurkan kandungan kau tu. Tolonglah, Lin. Janganlah kau nak menambah dosa dengan menggugurkan kandungan kau tu. Ada nyawa yang sedang membesar di dalam rahim kau tu. Nyawa! Kau faham tak apa yang aku cakap ni?! Menggugurkan kandungan tu samalah macam kau membunuh anak itu.... Membunuh itu berdosa besar kau tahu tak?! Buruk azabnya pada kau nanti!", Shima terus-menerus menentang keputusan Linda. Dia berasa sangat terkilan kerana sahabatnya sanggup membuat keputusan seperti itu.
" Kau tak faham, Shima. Kau tak berada di tempat aku. Kau tak tahu macam mana perasaan aku sekarang ini. Kau tahu tak apa yang ayah aku cakap tadi? Dia cakap, selagi aku tak "bersihkan" badan aku ni, selagi itulah aku tak boleh pulang ke rumah. Macam mana lagi aku nak "bersihkan" diri aku ni kalau bukan dengan menggugurkan kandungan aku ni?", Linda masih tekad dengan keputusannya seperti tadi. Dia tetap akan meyakinkan Shima untuk membantunya kerana Shimalah satu-satunya sahabatnya kini.
" Sekarang aku nak tanya kau. Kalau kau buang baby tu, apa yang dapat kau "bersihkan"? Cuba kau beritahu aku. Apa yang akan bersih? Hakikat bahawa maruah kau sudah tergadai dan dosa kau takkan dapat hilang meskipun kau buang baby tu. Membunuh baby tu hanya akan buat diri kau bertambah kotor. Kotor dengan dosa kau yang tak tertebus ni! Linda... Bukan macam ini caranya untuk membersihkan diri. Bertaubatlah, Lin. Minta ampun pada Allah. Itulah satu-satunya cara untuk kau "bersihkan" diri kau dari segala dosa dan kesilapan kau. Lahirkan anak itu dan kemudian besarkan dia dengan sebaik-baiknya. Sekurang-kurangnya, tertebus juga dosa-dosa kau bila kau sudah jadi seorang ibu nanti. Kau tidak tahu betapa bertuahnya wanita yang diberikan peluang untuk menjadi seorang ibu. Setiap pengorbanan kau buat anak kau nanti semuanya mendapat pahala yang besar di sisi Allah. Kembalilah pada Allah... Tidak mungkin ada jalan lain....", berlinang air mata Shima tatkala mengenangkan azab yang bakal menimpa sahabatnya itu andai dia masih nekad dengan keputusannya untuk menggugurkan kandungan yang sudah berusia 2 bulan itu.
7 bulan berlalu dan segala-galanya kini sudah kelihatan semakin baik. Shima yakin bahawa dia sudah berjaya meyakinkan sahabatnya untuk melahirkan sahaja bayi itu. Mereka akan menjaganya bersama-sama kelak. Sejujurnya, Shima juga turut merasa bahagia kerana dia juga sangat suka akan anak kecil. Pasti rumahnya akan bertambah riuh nanti. Dia sudah tidak sabar untuk menanti kehadiran anak kecil yang akan mengisi hari-harinya dengan gelak tawa dan tangisan.
" Astargfirullahalazim..... Linda!", hampir pengsan Shima apabila terlihat olehnya akan Linda yang sudah berlumuran darah di dalam tandas. Baru sahaja sekejap dia keluar untuk membeli beberapa keperluan bagi menyambut kelahiran bayi itu nanti, Linda pula sudah menjadi begitu. Shima sendiri tidak tahu apa yang sudah dilakukan oleh sahabatnya itu. Hatinya tidak keruan apabila terlihat akan pisau tajam yang berada di dalam genggaman Linda. Linda sudah tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap panggilannya. Shima segera menghubungi ambulans.
3 jam Linda berada di dalam bilik pembedahan. Datuk Hisyam masih tidak menunjukkan mukanya di hospital itu. Sudah puas juga Shima menghubungi beliau, namun panggilannya dibiarkan tidak berjawab. Mesej pun sudah berkali-kali dihantar. Namun, satu pun tidak berbalas.
Tangisan bayi lelaki yang kedengaran memenuhi ruang hospital di subuh yang hening itu cukup menggembirakan Shima. Bayi lelaki itu dicium dan dipeluknya erat. Seketika, dia terlupa akan Linda yang masih berada di dalam bilik pembedahan.
" Datuk...", sopan sekali Shima menegur Datuk Hisyam yang baru sahaja menampakkan diri. Diserahkan bayi itu ke dalam pegangan Datuk Hisyam.
Mengalir air mata Datuk Hisyam apabila terlihat akan bayi yang lemah dan kecil itu. Masih dia ingat dahulu bagaimana dia menyambut kelahiran Linda meskipun pada waktu itu isterinya sudahpun tidak bernyawa lagi. Bayi itu diciumnya puas-puas. Sungguh pada waktu itu, lunturlah segala keegoannya selama ini. Lunturlah segala dendam kesumatnya terhadap Datuk Rasihd yang dia simpan selama bertahun-tahun lamanya. Lunturlah segala rasa bencinya terhadap Linda pada waktu itu. Segalanya ditenggelamkan oleh kelahiran bayi suci yang kini sedang lena tidur di dalam dakapannya. Dia kini sudah menjadi seorang datuk. Datuk kepada seorang cucu kecil yang akan dia besarkan dengan penuh kasih sayang bersama Linda nanti.
Katil Linda yang ditarik keluar segera menarik perhatian Datuk Hisyam dan Shima. Kedua-duanya sudah tidak sabar untuk menatap wajah gadis muda yang kini telah menjadi seorang ibu itu. Ada kegembiraan yang tidak tergambarkan oleh kata-kata di wajah kedua-duanya.
Namun, jasad Linda yang sudah ditutupi selimut putih itu segera merubah segala-galanya. Perlahan-lahan Datuk Hisyam menarik selimut itu. Dilihatnya wajah Linda yang sudah kebiruan dan tidak bermaya. Digenggamnya tangan sejuk itu. Kaku. Shima sudah tidak tertahan lagi. Jasad Linda dipeluk erat. Dia menangis tidak berhenti-henti.
Datuk Hisyam yang sedari tadi masih menggenggam tangan kaku puterinya itu segera berlalu pergi. Air matanya kian mencurah. Bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan masih berada di dalam dakapannya. Ditatapnya puas-puas bayi kecil yang sudah tidak beribu itu. Kemudian, perlahan-lahan azan dibisikkan di telinga bayi kecil itu.......................
Alhamdulillah......selesai 1 lagi cerpen...Sekarang, sudah bolehkah kita lihat dengan terang? Bahaya apa yang didatangkan oleh cinta yang disalurkan dengan cara yang salah ini? Bahaya apa yang bakal datang andainya ibu bapa bersikap terlalu "sporting" dan membiarkan anak-anak mereka keluar dengan lelaki bukan muhrimnya atas alasan untuk berkenal-kenalan? Bahaya kawan-kawan. Sangat bahaya. Saya selitkan sedikit unsur dendam di dalam cerpen ini untuk membuatkan cerita ini tambah menarik. Ini adalah situasi biasa pada zaman ini. Ibu bapa lebih selesa membiarkan anak-anak mereka keluar bersama dengan ikatan yang haram tanpa melihat kepada sebarang alternatif untuk menghalalkan perhubungan itu. Alasannya? " Mereka masih muda...Mana mungkin bisa dibiarkan berkahwin pada usia semuda itu...Ada baiknya dibiarkan mengenali sesama sendiri dahulu dengan lebih mendalam...Supaya tidak menyesal dan berantakan di kemudian hari.."
Itulah alasan yang paling popular pada zaman ini.. Anak-anak apa lagi? Segeralah mereka mengambil peluang itu untuk berkenal-kenalan. Ada yang terlebih kenal sehingga kenal inside out. Faham-fahamlah maksud inside out tu. Kemudian, akan lahirlah anak2 yang tidak beribu, tidak berbapa. Ada juga yang tidak sempat pun lahir ke dunia.
Akhir kalam, saya minta maaf di atas segala kekasaran yang mungkin terkesan oleh pembaca di dalam setiap patah perkataan yang saya ucapkan di sini. Bukan niat saya menulis untuk menyalahkan ibu bapa kerana bersikap "sporting". Saya menulis hanya kerana ingin kita semua memerhatikan sendiri dan memikirkan sendiri akan kesan kepada tabiat yang kita anggap biasa selama ini. Biasa maksudnya bahaya. Pengajaran yang selanjutnya, biarlah kita yang sudah dewasa ini fikirkan bersama-sama. Kisah ini tadi mengenai anak yang dipaksa oleh bapanya yang "sporting" sehingga terlanjur. Bagaimana pula dengan anak yang mendapat support sepenuhnya daripada keluarga tanpa sebarang paksaan ataupun helah lain? Hala tujunya mungkin berlainan, tetapi apa yang pasti ialah, sikap "sporting" ini lebih banyak mengundang masalah. Yang selebihnya, saya serahkan sendiri kepada pembaca untuk membuat penilaian. Semoga kita semua mampu menjadi ibu bapa yang mampu memberikan dan memutuskan yang terbaik untuk anak-anak kita nanti. Amin.....
Akhir sekali, sekali lagi saya minta maaf andainya ada yang tersinggung. Ini hanyalah cerpen rekaan yang langsung tidak menyentuh kehidupan peribadi sesiapa...wassalam...
Assalamualaikum W.B.T......
para pembaca yang dirahmati Allah sekalian.....semoga sentiasa sihat dan sejahtera....cerita saya kali ini mengenai seorang pemuda....seorang pemuda yang mungkin pada kita banyak terdapat di muka bumi ini......tetapi, tidak semua pemuda sepertinya akan rugi kerana sentiasa ada peluang buat orang yang masih ingin berubah......diharapkan tulisan kali ini akan memberikan sedikit harapan kepada kita untuk terus berubah dan meninggalkan segala khilaf2 kita yang lalu...
Bismillahirrahmanirrahim.....
Pedal minyak ditekan keras. Sesekali Umairah memandang sekilas ke arah jam yang melingkar di pergelangan tangannya.
" Dah lambat! Minta-mintalah aku masih sempat", desis hati kecilnya.
Masjid yang kelihatan seperti sudah penuh sedikit sebanyak merisaukan Umairah. Dia bimbang kalau-kalau tidak ada lagi tempat untuknya nanti. Sambil memerhatikan orang ramai yang sudah berpusu-pusu masuk ke dalam masjid, matanya sempat melihat-lihat dan mencari tempat letak kereta yang masih kosong. Namun, tidak ada satu tempat pun yang tidak diisi. Semuanya sudah penuh.
Begitulah suasana di kampung tersebut setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan. Pasti setiap malam, masjid itu akan penuh. Penuh dengan orang ramai yang ingin menunaikan solat Tarawih bagi meraih keberkatan pada bulan yang penuh barakah itu.
Sudah hampir 10 minit Umairah mengelilingi kawasan masjid tersebut. Namun, masih tidak ada tempat kosong untuknya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga meletakkan keretanya jauh di luar kawasan masjid tersebut. Beg yang berisi telekung dicapainya. Dia segera keluar dari kereta lalu menuju ke masjid.
Tiba-tiba, lengannya ditarik keras oleh satu susuk yang sangat kuat lagi gagah. Umairah terkejut besar. Dia cuba untuk melawan. Namun, kudrat wanitanya tidak termampu. Serentak dengan itu juga, satu tumbukan hebat singgah di perut lelaki tersebut. Tumbukan hebat itu telah menyebabkan lelaki tersebut segera melarikan diri. Umairah masih lagi terkelu.
Di dalam kegelapan malam, dia cuba mengamati wajah pemuda yang telah membantunya tadi. Pemuda tersebut juga sepertinya. Sudah terlambat dan ingin menuju ke masjid secepat mungkin. Di dalam kesamaran, terlihat olehnya akan wajah itu. Wajah yang cukup dikenalinya suatu ketika dahulu.
" Abang Firdaus!"
Tatkala itu juga, pemuda itu menoleh ke arahnya. Pemuda itu kelihatan begitu terkejut sekali.
" Mai! Mai adik Abang!"
Mengalir air mata rindu Umairah apabila terlihat akan susuk itu. Sungguh dia rindu akan Firdaus. Sudah hampir 15 tahun mereka tidak bertemu. Wajah itu kini sudah tidak sama seperti dahulu lagi. Ada cahaya di wajah itu yang memberikan ketenangan kepada setiap insan yang melihatnya. Di kala itu juga, kenangan itu mengimbau kembali.
" Mai, nanti bagitahu Mak, Abang nak keluar kejap. Nak jumpa kawan-kawan kat pekan", tergopoh-gapah sekali Firdaus tatkala meninggalkan pesan kepada adik perempuannya itu.
Umairah hanya mengangguk perlahan. Dia tidak mahu bertanya lebih lanjut lagi. Pasti dia akan mendapat "habuan" besar andai dia cuba menjadi penyibuk. Bukan dia tidak tahu apa yang dilakukan oleh abangnya selama ini. Dia cuma terlalu takut untuk memberitahukan segala-galanya kepada ibunya yang selama ini sungguh sayang dan percaya akan abangnya itu.
Firdaus. Remaja yang berusia awal 20-an itu cukup terkenal sekali di pekan. Sebut sahaja lorong mana ataupun kelab apa, pasti namanya yang akan "naik" terlebih dahulu. Bukan itu sahaja, nama Firdaus juga cukup terkenal dalam kalangan gadis-gadis muda yang bekerja di lorong-lorong serta kelab-kelab tersebut. Manakan tidak? Orangnya tampan, bergaya, punya wang yang berjuta-juta dan pandai pula mengambil hati perempuan sehingga hampir kesemua gadis-gadis muda di kawasan itu telah ditidurinya. Sungguh hebat penangan cinta anak muda itu.
Sejak pemergian ayah tercinta, hidup Firdaus serta ibu dan adiknya terumbang-ambing. Meskipun harta yang ditinggalkan oleh ayahnya cukup banyak, namun segala-galanya tetap tidak akan sama lagi seperti dahulu. Mereka juga pernah gembira. Mereka juga pernah bahagia. Mereka juga pernah berkongsi derita bersama-sama. Mereka keluarga yang sempurna.
Kemalangan ngeri tersebut telah meragut nyawa ayahnya, meragut kebahagiaan keluarganya, meragut segala-galanya. Ayah tercinta pergi ketika mereka masih memerlukan belaian kasih sayangnya, ketika mereka masih merindukan peluk ciumnya, ketika mereka masih ingin tidur bersamanya di malam-malam yang menakutkan. Sejak dari saat itu juga, ibu tersayang mula jatuh sakit. Jatuh sakit kerana terlalu merindukan suami tercinta. Pada waktu itu, hidup Umairah serta Firdaus sangat tersiksa. Bukan kerana tidak punya harta untuk menyara keluarga, namun kerana ketandusan kasih sayang serta perhatian daripada kedua-dua orang yang sangat dicintai.
Hidup tanpa bimbingan dan perhatian daripada kedua-duanya menjadikan Firdaus seorang remaja yang liar. Dia seringkali ditangkap kerana didapati menagih dadah dan minum arak bersama beberapa orang pemuda kampung yang turut pincang akhlaknya. Namun, hidup selama beberapa bulan di penjara tidak pernah membuatkan pemuda degil itu serik. Kini, dia menjadi lebih "aktif" di pekan. Hampir setiap malam, ada sahaja gadis muda yang akan menjadi "mangsa" kepada nafsu mudanya yang rakus. Firdaus merasa bangga. Bangga akan dirinya yang digilai oleh gadis-gadis muda lagi cantik.
Bukan dia tidak tahu niat mereka menghampirinya. Mereka semua sama sahaja. Hanya ingin mengikis seluruh harta dan kekayaan miliknya. Namun, Firdaus tidak pernah kisah akan semua itu. Dia suka hidup bebas dan berfoya-foya. Dia suka berjalan-jalan di pekan dengan beberapa orang gadis mengiringinya. Dia selesa begitu. Kadangkala, sampai tidak pulang ke rumah selama beberapa hari kerana asyik melayan nafsu durjana yang dikuasai oleh syaitan semata-mata.
" Abang, tolonglah berhenti buat semua ni. Daripada Abang sibuk menghabiskan harta Ayah di luar, ada baiknya kalau Abang tolong Mai kat rumah ni. Tolong Mai jaga Mak. Mak tengah sakit teruk tu. Kalau dia tahu apa yang Abang buat ni, pasti bertambah-tambah sakitnya nanti", bicara Umairah pada suatu malam yang sepi.
Umairah juga sebenarnya sudah tidak tahan dengan sikap serta segala perbuatan terkutuk Firdaus selama ini. Hampir setiap malam, ada sahaja gadis muda yang akan dibawanya pulang ke rumah. Dibawanya masuk ke dalam bilik dan kemudian, hanya Allah sahaja yang tahu. Pernah suatu hari Umairah terserempak dengan abangnya yang sedang asyik melampiaskan hawa nafsunya bersama seorang gadis Cina. Sungguh sehingga saat ini, Umairah masih tidak dapat melupakan segala-gala yang telah terlihat oleh matanya pada hari itu.
Hampir setiap malam juga Umairah berdoa dan mengadu kepada Allah. Pintanya agar masih dibukakan hati Firdaus untuk kembali ke pangkal jalan. Doanya agar pintu taubat masih terbuka untuk satu-satunya abangnya itu. Kerapkali Umairah merintih sedih kerana satu-satunya abang yang diharapkannya akan membantunya untuk menjaga ibu yang sedang sakit tenat sudah tidak boleh dipercayai lagi. Umairah sendiri juga sering menjadi mangsa amarah Firdaus yang tidak bertepi. Tamparan serta pukulan daripada Firdaus sudah sangat sebati dengannya. Beberapa kali dia terpaksa ke klinik untuk membeli ubat kerana pukulan yang terlalu teruk sehingga boleh mematahkan tulang andainya diberikan pada anak kecil.
Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangat Umairah untuk terus menasihati serta mengingatkan Firdaus akan azab Allah yang akan menimpanya di akhirat kelak. Sungguh Umairah kasih akan abangnya itu dan di atas sebab itulah, walau sesiksa apapun dia akan tetap menasihati Firdaus. Firdaus pula tidak pernah percaya akan semua itu. Baginya, segala azab serta hukuman yang akan ditimpakan ke atasnya di hari itu kelak adalah dusta semata-mata. Dia lngsung tidak percaya akannya.
" Kalau Allah itu benar-benar wujud ,apa buktinya?! Selama ni, aku buat dosa, aku berzina, aku minum arak, aku berjudi. Jangankan kelima-limanya, untuk satu perbuatan aku tu pun aku tak pernah lagi dihukum. Kau jangan nak membuang masa aku dengan cerita-cerita kosong yang tak berasas ni, Mai. Aku ada banyak lagi urusan yang lebih penting daripada mendengar kau membebel sepanjang hari", bentak Firdaus pada suatu petang. Sakit telinganya apabila pulang-pulang sahaja, Umairah sudah mula "berkhutbah" di hadapannya. Bukan hendak menyambut kepulangannya dengan senyuman , malah siap membebel dan merepek lagi. Oleh sebab itulah, Firdaus jarang sekali pulang ke rumah. Kalau ada pun hanya sekadar untuk melihat-lihat keadaan ibunya sahaja. Kemudian, dia akan keluar semula.
2 bulan selepas itu, ibu tercinta pula pergi menyahut seruan Ilahi. Kesedihan yang ditanggung oleh Umairah pada waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu. Firdaus pula masih tidak jauh berubah. Pemergian ibu tersayang tidak sedikitpun mempengaruhi kehidupannya. Dia masih hidup bebas. Umairah ditinggalkan seorang diri untuk menghadapi segala-galanya sehinggalah dia membuat keputusan untuk pergi ke bandar dan tinggal bersama pak ciknya pada suatu hari.
Firdaus menjadi semakin bebas sejak pemergian Umairah. Kini, tidak ada sesiapa lagi yang akan membebel dan meleter kepadanya. Harta ayahnya juga sudah semakin berkurangan. Gadis-gadis muda yang selama ini begitu senang mendekatinya semua sudah melarikan diri kerana Firdaus kini sudah tidak punya wang lagi. Kalau dulu, gadis keliling pinggang. Kini, hutang keliling pinggang. Kalah judi di sana sini. Akhirnya, untuk makan pun dia sudah tidak punya duit lagi.
Musibah yang menimpa dirinya menjadikan Firdaus mabuk setiap malam. Tabiat buruknya itu masih tidak berubah lagi. Sama ada duit ada ataupun tidak, arak tetap menjadi makanan sehari-hari. Yang penting, ada arak. Itu pun sudah cukup untuk mengenyangkan perut. Betapa dirinya pada ketika itu sudah kotor kerana mergelumang dengan dosa serta minuman syaitan itu.
Pada suatu malam yang sunyi, Firdaus menunggang motosikal dalam keadaan mabuk. Sebuah kereta yang meluncur laju di atas jalan raya merempuhnya sehingga dia terpelanting ke tengah jalan. Betul-betul di hadapan masjid kampung tersebut. Pada ketika itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup menghampirinya. Dia begitu kotor dan jijik. Firdaus pengsan tidak sedarkan diri di tengah jalan.
" Firdaus....", bisik suara itu.
" Ibu!!", Firdaus kelihatan terkejut sekali. Apakah segala-galanya benar ataupun ilusi semata-mata? Ibunya yang sudah meninggal beberapa bulan yang lalu kini berada di hadapannya.
" Jangan begini, nak. Jangan buat semua ni lagi. Kembalilah seperti dahulu. Ibu rindu sekali akan anak ibu yang dahulu. Firdaus yang sopan dan lembut. Firdaus yang sangat mengambil berat akan adiknya. Ketahuilah Firdaus....Sesungguhnya azab Allah itu benar. Kiamat itu benar. Siksa kubur itu benar. Ibu sendiri sudah melihatnya, nak. Tidak mungkin akan tertanggung oleh kau nanti. Kembalilah nak...Kembalilah semula ke pangkal jalan. Masih ada ruang dan masa buat kau. Bertaubatlah, nak. Ibu tak mahu kau tersiksa nanti. Jangan sampai segala-galanya terlambat buat kau, nak. Allah itu benar, nak.....", perlahan sekali bisikan itu.
Susuk yang diselubungi kain putih itu berlalu pergi. Seketika kemudian, susuk itu menoleh ke arahnya semula.
" Sampaikan salam Ibu kepada Umairah ya, nak. Ibu sayang kamu berdua...."
Firdaus tersentak. Dia kini berada di tempat yang sungguh asing. Segalanya kelihatan berwarna putih.
" Assalamualaikum, Firdaus.... Bagaimana keadaanmu kini? Masih sakit di mana-mana?
Wajah Ustaz Kamal melegakan Firdaus. Fikirnya, dia sudahpun berada di alam barzakh tadi. Dia teringat semula akan pesan ibunya. Dia kemudian mula menangis. Menangis kerana mengenankan segala kesilapannya selama ini. Menangis kerana mengenangkan dirinya yang tidak sempat menemui ibu tercinta pada saat-saat akhirnya di muka bumi. Menangis kerana kegagalannya menjadi seorang pemimpin kepada adiknya, Umairah.
" Sudahlah, nak. Lupakan apa yang sudah terjadi. Yang lalu biarkan berlalu. Tidak mungkin kau boleh mengubahnya lagi. Berubahlah, nak. Sentiasa ada ruang di sisi-Nya buat orang-orang yang benar-benar ingin bertaubat. Jangan kau risau, nak. Andai kau perlukan apa-apa nanti, Ustaz akan bantu kau....."
Sungguh mulia sekali insan itu. Insan itulah yang banyak membantunya sepanjang tempoh kritikalnya sebagai seorang muslim. Dia diajarkan semula cara menunaikan solat. Dia diajarkan semula cara membaca al-quran. Dia diajarkan semula segala-galanya tentang Islam. Segala-gala yang pernah dia pelajari suatu ketika dahulu dan kemudian dia tinggalkan kerana dia sudah punya teman yang lebih istimewa. Syaitan. Itulah teman-teman yang sentiasa menemaninya suatu ketika dahulu. Membisikkan kepadanya supaya meninggalkan solat. Membisikkan kepadanya supaya berbuat zina. Membisikkan kepadanya supaya terus hanyut sehingga dia lupa kepada Allah.
Namun, bisikan-bisikan itu tidak lagi dengan sewenang-wenangnya menembusi hatinya kini kerana dia kini sudah menjadi lebih kuat. Dia kini sudah berubah. Dia bukan lagi Firdaus yang lemah dan lalai.
Mereka berdua berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Ditatapnya lagi wajah yang bersih itu. Di dalam hati, Umairah tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada Allah kerana dipertemukan semula dengan abang tersayang pada bulan yang penuh barakah itu. Dipertemukan semula pula dengan abangnya yang kini sudah jauh berubah. Dia kini sedang berdiri di sebelah lelaki soleh yang suatu hari nanti akan menjadi seorang imam yang hebat kepada "masjid" yang akan dia bina nanti.
Setibanya di perkarangan masjid, Firdaus berhenti seketika. Direnungnya wajah manis adiknya itu. Kemudian dia pun bersuara setelah dari tadi diam seribu bahasa.
" Oh ya, Mai. Abang ada jumpa ibu. Dia kirim salam pada Mai.........", sekuntum senyuman manis terukir di bibirnya.
Alhamdulillah....selesai 1 lagi cerpen...sekali lagi, pengajaran besar yang sungguh bermakna buat kita telah kita dapat hari ini....mungkin kita pernah tersesat sehingga tidak ketemu jalan pulang...namun, di sebalik kegelapan itu, pasti ada sedikit cahaya yang boleh kita jadika sebagai panduan untuk menemui jalan yang betul....ikutlah cahaya itu...nescaya kita tidak akan tersesat lagi...
Akhir kalam....saya juga seorang insan biasa yang sangat lemah dan tidak pernah terlepas dari berbuat dosa...ditakdirkan tangan ini masih terus menulis adalah untuk peringatan kepada saya sendiri dan juga para pembaca...tidak mungkin ada manusia yang begitu sempurna di dunia ini..ingatlah wahai temanku semua.....andai kita pernah menghina atau merasakan bahawa seseorang itu teruk sehingga dia tidak layak untuk mengajar orang lain....tolonglah tinggalkan pemikiran seperti itu.....setiap manusia masing-masing mempunyai hak untuk prihatin kepada orang lain tidak kira siapapun dia.....ikhlaskanlah diri dalam memaafkan kesilapannya yang lalu....jangan pernah merasakan diri kita terlalu mulia sehingga tidak terlihat lagi kebaikan orang lain di mata kita..akhir sekali, maafkan saya atas segala silap dan salah....barakallah...wassalam...
oleh: khairunnisa' mohammad
Assalamualaikum W.B.T.....
Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian..... Semoga sentiasa sihat selalu...Hari ni, saya rasa nak kembali semula pada tema yang agak famous sebelum ni.... CINTA....Mesti semua suka kan? Tapi, macam biasa, ini bukan sebarang cinta. Nak tahu cinta apa? Bacalah sampai habis. Semoga terhibur dan yang paling penting...Semoga kita semua mendapat pengajaran penting setelah membacanya...Cerpen kali ni agak simple....Saya cuba untuk menggunakan bahasa yang agak biasa dan mudah....Tukar sikit...Apa-apapun, diharap para pembaca semua berpuas hati. Andai ada sebarang komen penambahbaikan, silakan post sahaja. Saya sangat menghargainya...
Bismillahirrahmanirrahim...
" Bukan aku tak nak. Aku tak berani. Aku rasa aku tak ready lagi", kata-kata itu benar-benar mengejutkan Najib yang sedari tadi memberikan sepenuh perhatian kepada Iqbal yang kelihatan begitu runsing di hadapannya. Ada keresahan di wajah itu. Dahinya juga mula berkerut-kerut.
" Habis tu, kau nak buat apa? Kau nak tunggu 10 tahun lagi ke? Aku ni Iqbal, bukan apa. Kau bukan tak tahu. Zulaikha tu, ramai yang suka. Orangnya baik. Cantik lagi tu. Aku takut.....Kalau kau lambat......", Iqbal mematikan kata-katanya di situ. Dia tidak mahu berbicara lebih lanjut lagi. Dia yakin bahawa Iqbal mengerti maksudnya.
Siti Zulaikha. Itulah nama yang diberikan kepada gadis manis yang kini sudah mencecah usia 23 tahun itu. Orangnya sedang-sedang cantik. Sopan ada, manis pun ada. Tingkah lakunya sangat terkawal dan memikat hati. Kelembutan serta keindahan akhlaknya menjadi igauan kepada setiap jejaka yang mendambakan seorang wanita solehah sebagai zaujahnya.
Iqbal juga tidak ketinggalan. Dia ingin sekali mengenali gadis lembut itu dengan lebih mendalam. Namun, itu bukan caranya. Dia berpegang teguh dengan prinsip hidup yang sering dia sebut-sebutkan selama ini.
" Kalau aku dah jumpa dengan perempuan yang aku suka nanti, aku akan terus melamarnya. Aku akan "minta" dia daripadanya bapanya sendiri. Selagi aku tak dapat keizinan daripada orang tuanya, selagi itulah aku takkan usik dia. Tiada cinta sebelum nikah dalam kamus hidup aku".
Bersungguh sekali Iqbal menyatakan prinsipnya tatkala ditanyakan tentang cinta. Dia sejujurnya tidak mahu merosakkan kesucian cinta itu sendiri. Biarlah cintanya nanti hanya untuk seorang insan yang bergelar isteri. Keberkatan dalam perhubungan. Itulah yang dia cari-cari selama ini. Sehingga tiba waktu itu, dia tidak akan mengusik mana-mana wanita. Darjat seorang wanita itu terlalu tinggi baginya. Sebagai seorang lelaki yang berwibawa, dia tidak mungkin memulakan apa-apa dengan mana-mana wanita andai dia masih belum bersedia. Pergaulannya dengan kaum wanita juga dikawal ketat. Andai tidak ada keperluan yang mendesak, dia tidak akan mengganggu mana-mana wanita di kolej itu. Sungguh dia kasih akan ciptaan Allah yang bernama wanita itu. Oleh sebab itu, dia harus menjadi pelindung kepada mereka. Melindungi mereka dengan tidak mengganggu dan melalaikan mereka. Melindungi mereka dengan menahan nafsunya. Melindungi mereka dengan mengawal dirinya. Sungguh dia hormat akan kaum wanita.
Cahaya cinta kelihatan begitu sirna sekali di mata Iqbal. Jejaka muda itu langsung tidak pernah "disapa" oleh perasaan yang namanya cinta. Tidak di sekolah rendah, tidak juga di sekolah menengah. Pemuda sederhana ini begitu sibuk membentuk masa depannya sehingga tidak terlihat lagi olehnya akan urusan-urusan yang lain. Cinta? Itu tidak mungkin. Hidupnya yang sebatang kara memaksa dia untuk berusaha teguh demi mencapai cita-cita dan mengubah nasib sendiri. Dia tidak kisah jika tidak ada sesiapa di sisinya. Yang penting, Allah sentiasa ada. Allah sentiasa menemaninya. Kepercayaan itulah yang membantu Iqbal menghadapinya hari-harinya yang penuh cabaran selama ini.
Namun begitu, segala-galanya berubah apabila dia mengenali Siti Zulaikha. Gadis lembut yang dia temui sewaktu sedang menjalani praktikal sebagai doktor pelatih di hospital kerajaan berdekatan kolejnya. Pertemuan pada kali pertama sudah cukup untuk membuatkan Iqbal kenal apa itu cinta. Hatinya berasa bagai direntap. Direntap oleh keinginannya untuk menjadikan Zulaikha sebagai permaisuri yang akan bersemayam di singgahsana indah yang akan dia bina andai hidupnya sudah terjamin nanti. InsyaAllah.
Namun begitu, perasaan yang dia anggap cinta itu ternyata seketika cuma. Semakin hari, ingatannya terhadap Zulaikha semakin pudar. Kesibukan melengkapkan tesis pada tahun terakhir sebagai pelajar dalam bidang kedoktoran menjadikan tempat Zulaikha di hatinya semakin kecil. Semakin kecil sehingga dia akhirnya tidak lagi memperdulikan perasaan cinta yang dihadirkan oleh insan yang bernama Zulaikha. Dia ada banyak urusan lain yang lebih penting daripada cinta. Dia ada gunung tinggi yang harus didaki dan "bekalan" bernama cinta itu hanya akan melambatkan perjalanannya. Cinta itu ada baiknya ditinggalkan sahaja. Terlalu berat. Tidak mungkin dia dapat sampai ke puncak gunung andai cinta turut bersamanya.
Tesisnya sudah hampir selesai. Cuma perlu diberikan sedikit "last touch" sebelum segala-galanya sempurna. Professor Abraham juga sudah berkali-kali memberi amaran kepada para pelajarnya. "Date line" sudah hampir. Apa-apa juga alasan selepas itu tidak akan diterima lagi. Iqbal yang sudah lama menyempurnakan tesisnya segera berjumpa dengan Professor Abraham. Kalau boleh, dia ingin menyerahkan tesisnya kepada Professor Abraham hari itu juga. Dia sudah tidak sanggup untuk menyimpan dan menatap "benda" itu lagi.
Pantas sekali langkahnya hari itu. Cukup pantas sehingga susuk yang dilanggarnya jatuh menyembah bumi.
" Maaf. Maafkan saya. Saya tak......."
Perlahan-lahan gadis itu mengangkat kepalanya.
" Zulaikha!", desis hati kecil Iqbal.
Tatkala itu juga, perasaan yang selama ini telah semakin pudar mekar kembali. Cinta. Cinta telah menyapanya sekali lagi. Kertas yang tadinya bertaburan segera dikumpul dan diserahkan semula kepada Zulaikha. Terketar-ketar tangannya saat menyerahkan kertas-kertas tersebut kepada gadis yang kini sedang berada begitu dekat sekali dengannya. Ada peluh menitik dari dahinya. Gementar. Itulah perasaannya ketika itu.Sungguh selama ini dia tidak pernah berhadapan dengan seorang wanita sedekat itu. Hakikat bahawa dia kini sedang berhadapan dengan wanita yang telah mencuri hatinya membuatkan dia semakin gugup. Itulah kali pertama wajah manis itu ditatapnya begitu dekat. Cukup dekat sehingga kepala lututnya terasa lemah.
Zulaikha tersenyum hambar. Ada ketegangan di wajah tegasnya. Mungkin agak marah kerana dirinya dilanggar dari belakang. Kertas-kertas itu dicapainya. Tanpa mengucapkan terima kasih, dia terus berlalu pergi. Gadis muda itu memang cukup pendiam. Sukar sekali hendak mendengar suaranya. Kalau ada pun, ketika benar-benar terdesak sahaja. Kalau tidak, dia lebih suka mendiamkan diri dan mendengar sahaja.
Orangnya mungkin kelihatan mudah didekati. Penampilannya yang begitu "simple" dan kelihatan polos menjadikan dia kelihatan seperti "mangsa mudah" di mata kebanyakan kaum lelaki yang seringkali merendahkan martabat seorang wanita yang kelihatan lemah.Tetapi, tidak ada sesiapapun yang berani mendekatinya lagi andai dia sudah mula berkat-kata. Manakan tidak? Setiap lelaki yang berani mengganggunya dengan niat mempermainkan perasaan kaum wanita semua mendapat "hadiah" yang cukup besar daripadanya. Zulaikha cukup tidak suka dengan kaum lelaki yang tidak tahu malu dan tidak tahu pula menghormati kaum wanita.
" Kalau suka, jumpalah orang tua! Kalau mahu, buatlah dengan cara yang betul! Kalau belum bersedia, ada baiknya pergi sahaja. Mengapa harus mendekati wanita itu lalu dipermainkan perasaannya?! Maaf. Saya tidak sudi."
Wah! Pedas sekali kata-kata itu. Kata-kata yang tidak sekalipun pernah dijangka akan keluar dari mulut seorang gadis polos seperti Zulaikha. Zulaikha sudah bertekad. Cintanya hanya buat insan yang bergelar suami.
Hanya yang berani dan benar-benar layak saja yang pantas mendapat cintanya. Dia bukannya seperti kebanyakan perempuan yang sewenang-wenangnya boleh dipermainkan.
Iqbal tersentak. Tepukan kuat yang singgah di bahunya benar-benar membuatkan dia tersedar dari lamunan.
" Macam mana sekarang? Tesis dah selesai. Waktu-waktu kritikal sudah berlalu. Apa lagi yang kau tunggu?", pertanyaan itu terus- menerus menyerang gegendang telinganya.
" Aku tak berani. Aku takut. Aku takut ayah dia tak dapat terima aku."
Iqbal semakin runsing. Najib tidak berhenti-henti mendesaknya. Dia kelemasan. Lemas di dalam laut persoalan dan dilema. Kerjayanya masih belum terjamin. Duit pun masih belum cukup. Mungkinkah keluarga Zulaikha sanggup menerima jejaka yang serba "tidak cukup" sepertinya? Persoalan tersebut tidak berhenti-henti menyerang kotak fikirannya.
" Macam ni lah. Kalau kau takut, biar aku je yang pergi. Lagipun........aku macam ada sikit suka dengan dia tu. Macam ada sikit........sikit......"
Serentak dengan itu juga, satu tepukan lembut singgah di kepalanya. Najib tersentak. Kemudian dia ketawa kecil.
" Kau.....jangan..... Jangan kau berani usik dia. Kalau tidak.....Kita putus kawan!" keras sekali nada Iqbal ketika memberi amaran kepada sahabatnya itu. Najib masih lagi ketawa. Keletah Iqbal benar-benar mencuit hatinya.
Seminggu berlalu begitu sahaja. Dalam tempoh itu, Iqbal sudah banyak berfikir dan beristikharah. Keputusannya kali ini sudah bulat. Dia nekad. Hari ini, dia akan segera ke rumah Zulaikha untuk menyampaikan hajatnya mengahwini Zulaikha sesuai waktu.
Agak lama dia duduk menyerah diri di atas sejadah subuh itu. Dia masih berdoa. Doanya agar dia diberikan kekuatan dan keberanian untuk menemui ayah Zulaikha nanti. Boleh saja dia menemui Zulaikha sendiri untuk menyampaikan hasratnya. Tetapi, itu bukan caranya. Dia tidak mungkin melanggar prinsip hidupnya sendiri. Dia mahu segala-galanya dilakukan mengikut cara yang betul dan sempurna. Jika lamarannya nanti ditolak, cukuplah sekadar dia meminta keizinan bapa Zulaikha untuk mengenali anaknya dengan lebih dekat. Bila dia sudah lebih bersedia, dia akan datang melamarnya lagi.
Perjalanan ke rumah Zulaikha yang agak jauh di pedalaman, mengambil masa selama 3 jam. Dalam tempoh itu, Iqbal tidak putus-putus berdoa. Pintanya pada Allah agar dipermudahkan segala urusannya nanti.
Perkarangan rumah yang mempunyai rekaan ala Minangkabau itu dihampirinya perlahan-lahan. Matanya tertancap ke arah satu susuk yang cukup dikenalinya. Dia tersenyum sendirian. Susuk itu segera masuk ke dalam rumah apabila terlihat akan dirinya.
Perjalanan pulang semula ke rumah sewanya di bandar terasa pendek sekali. Setibanya di rumah, Iqbal segera melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Badannya terasa penat sekali. Dia menarik nafas panjang. Dihembuskan perlahan-lahan. Lega. Masih terngiang-ngiang lagi di telinganya kata-kata bapa Zulaikha 4 jam yang lalu.
" Minta maaf lah, nak. Bukan pak cik tak nak terima pinangan kau. Masalahnya sekarang, pak cik baru saja terima pinangan pemuda kampung sebelah semalam. Kalaulah kau datang lagi cepat dari dia..... Kau terlambat sikit saja. Pak cik harap kau faham. Maafkan pak cik sekali lagi. Mungkin dah tak ada jodoh kau dengan dia....."
Matanya sudah mula berkaca kini. Ditenungnya sekali lagi cincin yang sedari tadi berada di dalam genggamannya. Cincin itu kemudiannya dilemparkan jauh-jauh....
Alhamdulillah......
Selesai 1 lagi cerpen. Apa macam? Ada bez? Bagi mana-mana kaum rijal yang dah berkenan pada mana-mana kaum nisa' ada berani ka???? Haaaaa..... Kalau tak berani, jangan mulakan apa-apa. Payah nak berhenti nanti. Tapi, kalau dah tekad, dah yakin, ada baiknya pergi cepat......sebelum dikebas orang!
Saya tulis cerpen ni pun sebab tadi, saya terdengar adik lelaki saya nyanyi 1 lagu ni ha...
" Jangan tunggu lama-lama. Nanti lama-lama. Dia diambil orang"
Agak funny lagu tu. Tapi, itulah hakikatnya...... Cinta itu indah. Tapi cinta yang baik adalah cinta yang disalurkan dengan cara yang betul...Lihatlah betapa kukuhnya prinsip kedua-dua watak dalam cerpen ni. CINTA HANYA UNTUK SUAMI SERTA ISTERI MASING-MASING. Tidak ada jalan lain untuk sebuah perkahwinan serta prhubungan yang berkat kecuali nikah. Cinta sebelum itu? Mengundang bahaya.
Akhir sekali, terima kasih kerana terus support karya-karya saya yang masih sangat lemah ni. Ambillah pengajaran daripada cerpen ni tadi. Cerpen ni tidak menggalakkan cinta sebelum nikah ya. Jangan disalahtafsirkan. Kalau sudah suka dan sudah ada hati, dan sudah pula bersedia, go on! Tetapi, kalau belum bersedia, ada baiknya jangan dimulakan. Buruk akibatnya nanti.
Akhir kalam, saya minta maaf di atas segala silap dan salah. Doakan saya menjadi mukmin sejati. Semoga kalian semua mendapat rahmat serta barakah dari-Nya...Amin....Barakallah...Wassalam...
Oleh: khairunnisa' mohammad
Asslamualaikum W.B.T......
Semoga para pembaca sekalian sentiasa berada di bawah limpah dan kurnia-Nya. Hari ni, saya nak cerita pasal 1 lagi anugerah yang ada pada kaum wanita. Satu anugerah milik Allah yang mungkin telah banyak kita cabuli selama ini....Walau apapun, bacalah dengan hati terbuka....Mintak2 takda yang tersinggung...Niat saya hanya ingin berkongsi sedikit kisah buat tatapan kita semua...Semoga apa yang baik itu dapat kita simpan buat pegangan hidup...
Bismillahirrahmanirrahim......
Atikah sudah bersiap-siap. Gincu berwarna merah muda dicalitkan di bibirnya yang mulus itu. Dia merenung sekilas ke arah cermin yang berada di sisinya. Dia tersenyum puas. Puas kerana penampilannya pada hari itu sudah cukup sempurna pada pandangannya. Rambut yang telah siap didandan di salon pagi tadi dibetulkan sedikit. Parasnya yang sudah sememangnya cantik itu semakin berseri apabila dia menggayakan baju kebaya moden yang baru saja ditempahnya beberapa hari yang lalu.
Hari ini, dia akan menghadiri majlis perkahwinan kakaknya di kampung. Lagu nyanyian Maher Zain yang berkumandang di radio segera menarik perhatiannya. Dia turut menyanyi mengikut rentak lagu tersebut. Atikah memang suka menyanyi. Sebut saja nama Atikah di kampung, pasti suaranya yang merdu dan menawan itu akan terngiang-ngiang di telinga para teruna yang telah terdengar akan suara itu. Suara yang mendapat sambutan hangat setiap kali ia "dijual". Tidak ubah seperti pisang goreng yang dijual di gerai-gerai di tepi jalan. Begitulah "lakunya" suara Atikah yang turut menjadi igauan gadis-gadis sebayanya di kampung.
Kehadiran Atikah segera menarik perhatian setiap mata yang tadinya tertumpu kepada bakal "raja sehari". Atikah tampak lebih cantik daripadanya kakaknya sendiri. Tempat pengantin perempuan pada hari itu sudah selayaknya dia gantikan sahaja. Dia begitu cantik. Ditambah pula dengan suaranya yang memikat kalbu. Tidak ubah bagai bidadari yang turun dari kayangan. Begitu mempesonakan.
Perhatian kini tertumpu sepenuhnya kepada gadis Melayu yang sedang mengalunkan lagu "Selamat Pengantin Baru" di atas pentas yang telah dihias gah itu. Suaranya dialunkan sesuai lenggokan badan yang membutakan setiap mata yang memandang. Ramai pemuda kampung sudah hampir hilang "sabar" apabila terlihat akan susuk yang dilenggang-lenggokkan sesuai mengikut rentak lagu.
Atikah merasa puas apabila tepukan gemuruh diberikan selesai saja dia menyanyikan lagu tersebut. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia menyanyi sepanjang tempoh majlis itu berlangsung. Namun, dia tidak mungkin semudah-mudahnya "menjual" suaranya dengan harga semurah itu. Dia ingin penduduk kampung sendiri yang mencarinya. Dia ingin mereka mabuk rindu kerana terlalu ingin mendengar suaranya. Begitulah "mahalnya" suara Atikah.
Sejak dari kecil lagi, Atikah dan kakaknya hidup sebatang kara. Pemergian ibu serta ayah tercinta telah menjadikan hidup mereka berdua bagai rumput di tepi jalan. Pada ketika itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup membantu mereka berdua. Hidup melarat dan merempat sehinggalah pada suatu hari apabila Atikah mula menyanyi di kelab-kelab dangdut bagi menanggung hidupnya serta kakak tercinta. Sejak dari hari itu, nama Atikah mula dikenali ramai. Bukan senang untuk mencari seorang penyanyi yang cukup "pakej". Bak kata orang kampung " Rupa ada, suara pun ada. Two in one. Memang sempurnalah!"
Tetapi, segala-galanya berubah apabila Atikah berpindah ke bandar. Baginya, hidup di kampung terlalu merugikan. Orang yang cantik dan berbakat sepertinya tidak patut disimpan saja di kampung itu. Oleh itu, dia berpindah ke bandar untuk mencuba nasibnya di sana. Mencari kerja di bandar agak sukar kerana bukan seorang sahaja gadis cantik yang mempunyai suara sepertinya. Di bandar, ada banyak perempuan sepertinya. Malah, lebih cantik dan lebih berbakat daripadanya. Oleh itu, Atikah sudah cukup berpuas hati andai ada hotel-hotel yang sanggup memanggilnya untuk menyanyi pada malam-malam yang istimewa. Tidak kurang juga kelab-kelab ekslusif yang ingin mengupah Atikah. Upah yang dia dapat daripada "menjual suaranya" di tempat-tempat seperti itu sudah cukup untuk membuatkan dia hidup bagai permaisuri di bandar.
Duduk seminggu di kampung sudah cukup untuk membuatkan Atikah berasa lemas. Lemas dengan suasana kampung yang serba kekurangan. Lemas dengan pemuda-pemuda di kampung yang asyik mengganggunya. Lemas dengan keadaan rumah kakaknya yang panas dan sempit. Dia ingin segera pulang, namun tidak pula dia sanggup meninggalkan kakaknya seorang diri menghadapi hari-hari awalnya sebagai isteri orang. Biarlah dia mengalah dengan egonya dan duduk di kampung untuk seminggu lagi.
Cahaya mentari yang terik serta menghangatkan memaksa Atikah keluar untuk mencari tempat yang lebih sejuk dan selesa. Atikah segera melangkah keluar. Agak perlahan langkahnya. Dilihatnya satu-persatu rumah yang telah terbina sekian lama di kampung itu. Semuanya masih cantik dan setiap satunya mempunyai gaya yang tersendiri. Hanya itu sajalah yang menarik perhatiannya di kampung. Rumah-rumah orang kampung yang kebanyakannya masih mengekalkan rekaan serta tradisi lama. Masih dia teringat bagaimana dahulu dia dan kakaknya juga punya rumah seperti itu. Rumah kecil, tetapi penuh kehangatan dan kasih sayang. Rumah kecil yang sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dia dan ibunya. Rumah kecil tempat dia dan kakaknya diasuh serta dibesarkan. Tetapi, semuanya itu tidak kekal lama. Kemalangan ngeri yang telah meragut nyawa ayah serta ibu tercinta meninggalkan dia dan kakaknya dengan seribu kepayahan sehingga rumah itu akhirnya terpaksa dijual untuk menampung hidup mereka berdua. Setelah itu, mereka menumpang kasih di rumah mak ciknya yang juga tinggal di kampung itu. Sehinggalah dia berpindah ke bandar dan kakaknya kini pula sudah berumah tangga.
Tiba-tiba, matanya tertancap ke arah suatu susuk yang amat menarik. Sangat cantik sehingga seorang perempuan sepertinya pun boleh tertawan. Inikan pula lelaki. Susuk yang sedang termenung sendiri di bawah pohon rendang itu didekatinya. Rasanya, wanita muda itu hanya beberapa tahun sahaja tua darinya.
" Assalamualaikum, Kak....", sopan sekali Atikah menegur wanita cantik yang kelihatan begitu tenang itu.
Wanita itu memandangnya sekilas lalu tersenyum. Manis. Manis sekali senyuman itu.
" Suaranya pasti lebih manis daripada itu..", itulah tanggapan Atikah pada kali pertama dia melihat wanita itu.
Wanita itu masih tersenyum. Pandangannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada langit Ilahi yang terbentang luas di depan matanya. Langit itu ditenung sejenak. Kemudian kedua-dua telapak tangannya diangkat dan ditadahkan menghadap langit yang luas itu. Ada rintihan kecil datang daripada wanita tersebut. Diiringi linangan air mata yang semakin hebat bercucuran. Kemudian, wanita itu menjadi semakin tidak terkawal.
Atikah yang sedari tadi duduk di sisi wanita itu segera angkat kaki. Dia tidak mahu lagi berlama-lamaan di situ. Perihal wanita itu sungguh menakutkannya. Tidak ubah seperti orang-orang gila yang dia jumpa di bandar. Kadang-kadang tersenyum sendiri. Kadang-kadang menangis tidak tentu hala. Ada pula waktu-waktunya mereka mengganggu orang lain yang lalu-lalang di kawasan tersebut.
" Gila agaknya perempuan ni. Takda angin, takda ribut, tiba-tiba saja menangis. Menakutkan betul! Dekat kampung yang tenang macam ni pun ada jugak orang gila rupanya....", Atikah terus-menerus merungut di dalam hati. Boleh trauma kalau dia masih lagi mahu duduk di tempat itu sambil melayan kerenah perempuan yang menakutkan itu.
" Kak, tadi Ika keluar jalan-jalan keliling kampung. Ika jumpa seorang perempuan ni. Cantik orangnya, Kak. Baya-baya akak jugak. Tapi, dia.......dia macam tak betul je...", Atikah yang lebih selesa dengan panggilan Ika segera mengkhabarkan kepada kakaknya mengenai kejadian yang menimpanya hari itu.
" Owh. Rumah kat hujung kampung tu ke? Isma. Isma namanya. Dia dulu pun macam kau. Pandai menyanyi. Orangnya pun memang sudah cantik. Banyak sekali pemuda kampung ni yang ingin mengambilnya sebagai isteri. Tetapi, semua ditolaknya....", sambil bercerita, kakaknya masih terus melipat baju yang sudah berlonggok di hadapannya. Atikah mendengar dengan penuh teliti. Dia masih menunggu untuk cerita yang selanjutnya.
" Kau tahu-tahulah kan... Perempuan cantik macam tu.. Mana mungkin nak berdampingan dengan lelaki yang miskin macam pemuda-pemuda kat kampung ni. Semua pinangan yang datang dia tolak. Pinangan dari anak Tok Imam pun dia tolak tau...", perhatiannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada cerita yang bakal disampaikan. Kain baju yang dilipat tadi ditinggalkan seketika.
Imran. Imran anak Tok Imam. Imran yang memang terkenal dengan sifat sopan dan merendah diri. Pernah juga suatu ketika dahulu Atikah tergila-gila akan pemuda itu. Namun, perasaan itu cepat sahaja berlalu seiring waktu. Kini, citarasanya sudah jauh berubah. Dia lebih selesa bermesra-mesraan dengan anak-anak Datuk yang datang ke kelab-kelab di bandar untuk mendengar nyanyiannya.
Atikah memang pandai sekali "berlakon". Apa sahaja pekerjaannya di bandar, langsung tidak pernah diketahui oleh kakaknya. Satu-satunya yang diberitahu adalah dia menjadi penyanyi "part time" di hotel-hotel mewah. Kerja-kerja "part time" yang lain ada baiknya disembunyikan sahaja. Begitulah pendapat Atikah. Dia tidak mahu kakaknya naik angin apabila mendapat tahu bahawa dia masih lagi menyanyi di kelab-kelab dangdut yang dipenuhi oleh lelaki-lelaki gatal yang penuh helah. Helah licik yang telah banyak menghancurkan gadis-gadis muda yang cantik seperti Atikah. Tetapi, tidak pula Atikah pernah takut dengan semua itu. Asalkan pandai berhati-hati, pasti tidak ada apa-apa akan berlaku. Atikah memang seorang yang "optimistik" sekali.
Sekali lagi wajah kakaknya ditatap. Dia tidak puas hati mendengar cerita yang masih tergantung. Kakaknya
menarik nafas panjang seketika. Bagai orang yang hendak berenang lagaknya.
" Entah mengapa. Suatu hari tu, dia bangun dari tidur seperti biasa. Kau nak tahu apa terjadi? Suaranya. Suaranya sudah takda. Maksud akak, hilang! Hilang macam tu saja. Ada yang cakap, dia jadi macam tu sebab terkena buatan orang. Al maklumlah, banyak yang berdendam dengannya. Satu, sebab dia cantik dan sempurna. Satu lagi, sebab pinangan budak-budak kampung ni banyak yang dia tolak. Tapi, akak tak percayalah ada orang yang sanggup nak "buatkan" dia sampai jadi macam tu sekali. Kata orang-orang tua yang lain, itulah padahnya kalau suara tu "dijual" merata-rata....", tatkala itu juga, sebuah pandangan tajam diberikan kepada Atikah yang kelihatan sedikit terkejut.
" Ika.... Akak dah lama suruh kau berhenti menyanyi kan? Tapi, akak tak nampak seperti kau nak berhenti pun. Akak kahwin hari tu pun kau yang beria-ia nak menyanyi. Kau tahu kan , Ika? Suara ni seperti apa bagi kaum perempuan? Suara ni berharga, Ika. Salah jadinya kalau dilenggok-lenggokkan sehingga menarik perhatian kaum lawan jenismu. Kau tengoklah sendiri apa dah jadi dengan si Isma tu. Sejak dari hari tu lah dia terus jadi macam tu. Hari-hari tenung langit sambil menadah tangan. Lepas tu menangis-nangis dan merintih -rintih tak tentu hala. Akak tak tahulah dia tadah tangan tu nak mintak ampun pada Allah atau nak mintak suara dia dikembalikan. Tapi, apa yang akak nak kasi tau kau sekarang ni....Hargailah anugerah yang ada pada kau ni. Bukan semua orang ada anugerah macam kau. Suara yang merdu dan menawan ni sepatutnya kau perdengarkan kepada orang yang layak sahaja. Tak lain, tak bukan, suami kau, Ika. Akak tak larang kalau kau nak menyanyi waktu kau sorang-sorang kat rumah ni. Biar akak yang dengar. Tapi, tolonglah berhenti, Ika. Tolonglah berhenti "menjual" suara kau kat luar tu buat santapan lelaki-lelaki lain. Akak tahu...Mungkin ni saja cara kau nak cari rezeki. Tapi, kalau dah salah caranya, rezeki yang kau dapat pun tak berkat. Tak berkat, Ika. Akak tak nak kau dapat azab nanti kerana suara kau ni. Akak sayang kau, Ika...Jangan sampai suara kau pun ditarik balik macam si Isma tu.......", perlahan sekali nada suara kakaknya. Dia cuba menasihati adiknya dengan cara yang penuh lembut dan berhikmah. Agar mudah masuk di kepalanya nanti. Agar diingati dan disematkan terus di dalam hati.
Sudah 2 tahun berlalu. Ika tidak menyanyi lagi. Pakaian serta penampilannya kini pun sudah berubah sama sekali. Dia sudah bertaubat. Sejak mendengar kisah mengenai Isma, Ika menjadi takut sekali. Takut akan azab Allah nanti. Sungguh dia tidak mahu menerima balasan buruk seperti Isma. Masih dia ingat dahulu bagaimana dia diserang demam panas dan batuk-batuk sehingga tidak dapat bersuara selama 3 hari. Hidupnya pada waktu itu sungguh tersiksa. Rasa seperti hendak meraung-raung. Lihatlah. Untuk kehilangan suara selama 3 hari pun dia sudah tidak sanggup. Apalagi untuk kehilangan suaranya buat selama-lamanya seperti Isma. Pasti dia juga akan menjadi gila. Mugkin lebih teruk dari itu. Bila terlihat akan artis-artis yang menyanyi di televisyen, Atikah teringat akan dirinya. Dahulu, dia juga seperti itu. Berpakaian serba cantik dan bergaya. Cuma, dia tidaklah pernah muncul di televisyen seperti artis-artis tersebut. Walaupun begitu, permintaan terhadap suara merdunya tidak kurang hebatnya. Kadangkala, sehingga dia tidak sempat untuk menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Jangankan 5 waktu, 1 waktu pun kadang-kadang tak lepas. Begitulah sibuknya dia "menjual suara" sehingga dia lupa sama sekali pada Allah. Berlinangan air matanya tatkala dia teringat akan dosa-dosanya yang lalu.
" Ika......" bisik suara itu di suatu malam yang tenang.
" Boleh nyanyi untuk Abang tak? Satu lagu je.... Ika ni..Kalau dalam tandas tu, rajin je meraung-raung dan bersenandung. Siap bersyair lagi Abang dengar. Tapi, kat depan Abang, satu lagu pun tak pernah Ika nyanyi. Abang cemburu tau dengan tandas tu.....Lain kali, kalau Ika masuk tandas, biar Abang teman je. Dapatlah jugak menumpang kasih tandas tu untuk dengar suara Ika yang manis rupawan ni...."
Ika hanya tersenyum manis apabila mendengarkan lawak yang sungguh mencuit hatinya itu. Diberikan satu cubitan manja kepada susuk yang sedari tadi asyik membuat dia ketawa.
Imran terus-terusan membuat lawak. Senang hatinya melihat isteri tercinta tersenyum gembira. Ika yang datang hampir setiap hari ke masjid untuk belajar mengaji telah berjaya menarik hatinya. Ika yang selalu berjumpa ayahnya untuk bertanyakan perihal serta hukum-hukum agama terus dia ambil menjadi isterinya. Kini, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai suami untuk mendidik Ika. Dia sendiri yang akan membimbing Ika. Dia sendiri yang akan memimpin tangan Ika ketika mereka sama-sama menuju ke syurga nanti. Atikah... Wanita solehah yang kini menjadi pendampingnya.
Alhamdulillah.......
Selesai 1 lagi cerita...... Apa yang kita semua dah dapat hari ni ek? Mesti banyak kan? Ingat lagi tak dialog Ustaz Asyraf dalam rancangan Soal Asyraf? Saya sungguh tertarik dengan ayat ni..........." tetapi, suara yang dilenggok-lenggokkon itulah aurat..." Haaaaa..... Inilah yang beliau cakap...Tak usah Ustaz Asyraf cakap pun kita semua pasti dah tahu tentang ni kan? Ingat lagi tak bila kita call boyfren dan bermanja-manja dengannya melalui telefon??? Salah tu kawan-kawan. Suara kita yang sememangnya diperlengkapkan dengan nada manja ni memang mudah sekali mencairkan hati-hati lelaki yang sedang sakit. Jadi, hendaklah kita berhati-hati apabila berbicara....Lihatlah, ketika berbicara pun nak kena berhati-hati.... Macam mana pulak kalau menyanyi dan diperdengarkan kepada kaum lawan jenis kita????? Saya rasa semua orang pun dah tahu kan? Yang sudah salah, janganlah kita ulangi lagi andainya kita pernah melakukannya. Apa yang penting ialah, pengajaran yang kita dapat daripada cerita ni tadi.......Semoga lepas ni, kita lebih menghargai anugerah yang kita ada ni...Setiap apa yang kita ada ni anugerah tau. Even hembusan nafas kita sekarang ni pun anugerah....Semuanya milik Allah...Maka, janganlah kita mencabulinya dengan menggunakan anugerah tersebut ke arah keburukan. Janganlah kita lalai dan saling melalaikan......
Akhir kalam, ampun dan maaf saya pinta andai ada terkasar bahasa tersilap bicara. Saya tidak berniat untuk membuat sesiapa berkecil hati. Cerita ini, saya tulis hanya buat pedoman kita semua sahaja. Tidak ada niat buruk yang lain. Jika ada sebarang komen untuk penambahbaikan pada cerpen ni atau cerpen2 yang sebelumnya, boleh je post kat sini..kalau tak pun, boleh je kasi tau kat fb. Saya sangat menghargainya. Saya pun bukanlah mulia dan bagus sangat. Saya juga baru bermula...Sama seperti anda semua. Sama2lah kita mencapai redha Allah...Sama2lah kita berubah ke arah kebaikan. Semua cerpen yang saya tulis ni pun tidak lain tidak bukan buat pedoman dan peringatan kepada saya sendiri dan pembaca sekalian yang dikasihi Allah.....terima kasih kerana terus support karya-karya saya. saya akan terus menulis selagi masih ada yang nak baca...insyaAllah...doakan saya menjadi muslimah sejati...syukran..barakallah...wassalam....
oleh: khairunnisa' mohammad
Assalamualaikum W.B.T.....
Semoga para pembaca sekalian sentiasa berada di bawah rahmat dan perlindungan Allah....Apa khabar iman kalian semua hari ini? Hendaknya sihatlah sentiasa. Bertemu semula kita pada hari ini untuk merenung semula. Untuk muhasabah diri. Cuba ingat kembali. Pernahkah suatu masa dahulu kita menghina seseorang di atas dosa-dosanya yang lalu??? Pernahkah kita mencacinya di atas segala kelemahanhya? Ingatlah wahai temanku sekalian, Allah itu Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun. Pencipta kita ini Maha Pengasih terhadap setiap makhluk-Nya yang bertebaran di bumi ini. Maka, siapakah kita untuk tidak memberikan sebarang ruang dan kemaafan untuk insan lain yang pernah berbuat dosa? Fikir-fikirkan semula. Siapakah kita??? Hari ini, di atas izin dan ilham yang Dia kurniakan, akan saya kongsikan sebuah kisah yang agak berbeza dari yang sebelumnya. Kisah mengenai sebuah harapan. Ingat...Setiap orang yang sudah berbuat dosa sentiasa ada ruang dan kesempatan baginya untuk bertaubat. Sentiasa ada harapan buat kita. Semoga kita lebih menyayangi sesama muslim selepas membaca kisah ini....InsyaAllah....
Bismillahirrahmanirrahim.......
"Alhamdulillah......"
Hanya itu yang mampu diucapkan oleh jejaka muda tersebut. Syukur dan lega. Itulah perasaan yang mula menapak dalam dirinya kini. Langit luas yang gemilang itu ditatapnya puas-puas. Tidak pernah dia melihat langit sebiru itu sepanjang 23 tahun dia bernafas di bumi milik Allah ini. Langit pada hari inilah yang paling biru dan paling cerah pada matanya. Maha Besar Allah yang menciptakan segala yang ada di langit mahupun di bumi.
Kembalinya dia kali ini untuk membawa sebuah perubahan besar kepada seluruh ahli keluarganya. Pulangnya kali ini adalah untuk yang terakhir kalinya. Sudah tidak mungkin ada lagi kepulangan untuk kali kedua, ketiga, mahupun yang seterusnya. Itulah yang terakhir dan itulah azamnya. Dipahatkan sekukuhnya di dalam hatinya yang kini sudah "diperbaharui".
Setiap langkah anak muda itu menarik perhatian seluruh mata yang kini tertumpu kepadanya. Ada yang sudah mula berbisik-bisik sesama sendiri. Ada juga yang memandangnya dengan penuh rasa dendam dan jijik. Namun, pemuda tinggi tersebut masih berjalan seperti biasa. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
" Hai orang -orang kampung! Lihatlah siapa yang datang. Dia sudah kembali. "SUPERMAN" sudah kembali!", riuh sekali suara Pak Mail "menyambut" kepulangan Syazwan. Berderai tawa orang-orang kampung yang sedang melepak di warungnya apabila nama "SUPERMAN" itu timbul kembali.
Syazwan hanya tersenyum hambar. Sedikit tercuit hatinya tatkala mengenangkan kisah "SUPERMAN" itu. Memori pahit yang telah banyak mengubah dirinya itu masih segar lagi di ingatannya. Masih dia ingat suatu ketika dahulu bagaimana nyawanya hampir sahaja melayang apabila dia terjun daripada bangunan 5 tingkat itu. Bangunan yang tertinggi sekali di kampung itu. Apa puncanya? Ketagihan. Itulah puncanya.
Syazwan memang cukup dikenali di kampung itu. Bukan sahaja di kampung itu, malah di kampung seberang juga. Di bandar juga namanya sudah mula "naik". Gelaran "penagih tegar" sudah sah menjadi miliknya apabila berkali-kali dia kembali ke pusat serenti yang sama. Hampir saja Syazwan dihalau kerana para pekerja di pusat itu sudah bosan melihat muka yang sama setiap kali. Tetapi, kali ini Syazwan sudah benar-benar berubah. Duduk di pusat serenti yang sama dan hidup dengan rutin yang sama selama bertahun-tahun benar-benar membuatkan dia serik.
Sungguhpun begitu, dia tetap bersyukur kerana baginya, jejaka yang terpilih untuk masuk ke pusat itu adalah insan yang bertuah. Insan yang dikasihi Allah. Kerana kasihnya Allah pada dialah dia dimasukkan ke pusat itu berkali-kali. Dihantarkan dirinya ke tempat itu berkali-kali bukan di atas alasan yang sia-sia. Dia dihantar ke tempat itu untuk mengubah diri. Untuk "memperbaharui" hati. Untuk "memperbaharui" iman. Untuk "memperbaharui" segala-galanya. Di pusat itu, Syazwan diajar bermacam-macam perkara. Dia belajar bertukang, dia belajar menjahit, dia belajar segala-galanya. Apa yang paling penting ialah dia belajar mengenali dirinya. Dia belajar mengenali agamanya. Dia belajar mengenali Penciptanya. Dia belajar mengenali Allah. Allah yang sungguh mengasihi insan-insan bertuah sepertinya.
" Assalamualaikum...." ucapan lembut itu diiringi oleh senyuman manis yang mula menguntum di bibirnya.
" Waalaikumsalam..." salam yang diberikan oleh pemuda itu disambut beramai-ramai. Seolah-olah sedikit menyindir nadanya. Namun begitu, Syazwan tetap tersenyum mesra. Dia bukan Syazwan yang dahulu lagi. Dia bukan lagi Syazwan yang ego dan pemarah. Dia kini sudah menjadi insan yang serba baru. Dia kini lebih penyabar. Allah sentiasa ada di hatinya.
" Hai Wan..Hidup lagi kau rupanya. Alhamdulillah... Nasib baik kau tak mati waktu kau nak "terbang" hari tu. Aku dah cakap. Kalau ilmu tak cukup, jangan cuba nak terbang. Patutnya, dadah tu, kau sedut banyak-banyak. Baru ada "kick". Baru dapat "terbang". Taklah jatuh macam hari tu."
Berderai lagi tawa orang kampung apabila Pak Mail sudah mula membuat lawak tidak masuk akal yang sedikit sebanyak menyinggung hati Syazwan. Syazwan hanya mampu beristighfar panjang. Dia cuba untuk terus bersabar. Dia sudah dapat "melihat" syaitan-syaitan di sekelilingnya yang bersedia untuk menarik kesabaran itu bila-bila masa sahaja. Cepat-cepat dia mengingati Allah. Jangan sampai dia hilang sabar lagi kali ini.
" Assalamualaikum, Ustaz. Lama dah tak jumpa Ustaz..." perlahan Syazwan menegur Ustaz Zamri yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Sesekali dia tersenyum.
" Waalaikumsalam..Duduklah dulu Wan.....", Ustaz Zamri mempelawa Syazwan dengan penuh sopan dan hormat. Status Syazwan sebagai "bekas penagih" langsung tidak mengubah sikapnya terhadap Syazwan. Syazwan tetap mendapat tempat yang istimewa di hatinya. Entah mengapa. Tetapi, itulah hakikatnya. Dia begitu sayang akan anak muda itu. Kasih yang dihadirkan Allah ke dalam hati tua itulah yang membantu Syazwan untuk terus hidup dan bertahan sehingga ke hari ini.
Syazwan melabuhkan punggungnya di sisi Ustaz Zamri. Tangan tua itu disalami kemudian dicium. Direnungnya wajah suci yang sudah dimamah usia itu. Selama ini, wajah itulah yang selalu ada di sisinya di saat dia benar-benar tersiksa. Wajah itulah yang seringkali dia lihat ada di sisinya di saat dia tersedar daripada kemabukan. Wajah itu. Wajah yang tidak pernah dia lupakan di saat dia berada di pusat tersebut. Sungguh dia kasih akan pemilik wajah itu.
" Apa lagi kali ni, Wan? Datang untuk kembali lagi ke tempat tu? Atau datang untuk terus tinggal di kampung ni? ", sidikit keras nada Ustaz Zamri kali ini. Syazwan hanya terdiam. Dia tidak hairan jika Ustaz Zamri marah akannya. Ustaz Zamri sudah banyak menanggung susah kerananya dahulu.
" Aku bukan nak marahkan kau, Wan. Aku ni, dah lama jaga kau. Sejak bapak kau dah takda lagi. Aku sayang dengan kau macam aku sayang dengan anak aku sendiri. Anak aku si Rosyam tu. Dah lama pergi tinggalkan aku. Kau sajalah anak yang aku ada sekarang ni. Pulangnya kau kali ni, aku harap untuk selamanya...", nada keras tadi mula kedengaran sedikit kendur.
" Ustaz..... Wan dah taubat. Wan dah tak nak ambil benda tu lagi. Wan dah tahu macam mana siksanya dan Wan dah betul-betul serik. Wan janji. Wan janji pada Ustaz, lepas ni Wan takkan dekati benda tu lagi. Wan janji....", di dalam kesedihan itu, ada kesungguhan yang meyakinkan Ustaz Zamri akan janji yang diucapkan oleh Syazwan yang telah dia anggap seperti anaknya sendiri.
" Hei, Wan! Kau nampak tak longkang besar kat depan tu? Nampak? Kau ambil janji kau tu tadi, lepas tu kau humban kat dalam longkang tu. Longkang jijik macam tu lah tempat yang paling sesuai untuk janji orang macam kau ni! Tak boleh pakai sikit pun!", keras sekali suara Pak Mail ketika menuturkan kata-kata tersebut. Dia memang sangat benci akan Syazwan. Pantang ada kesilapan sedikit, pasti Syazwan akan dihentamnya cukup-cukup.
Syazwan hanya mendiamkan diri. Kepalanya ditundukkan. Ada air mata suci menitik lewat mata yang sudah kemerahan itu. Hatinya sedih. Sedih sekali kerana kata-kata Pak Mail yang terang-terang menghinanya. Orang-orang kampung yang sedari tadi asyik ketawa turut mendiamkan diri. Terkesan oleh mereka keterlampauan dalam kata-kata yang dituturkan oleh lelaki yang sememangnya terkenal dengan mulutnya yang berbisa. Bisanya mengalahkan mulut perempuan.
Ustaz Zamri segera membawa Syazwan pergi dari tempat itu. Dia sendiri sudah tidak kuasa untuk mendengar "celoteh" lelaki separuh abad itu. Sudah berbuih mulutnya menasihati orang tua tersebut, namun dia masih tidak mahu berubah. Masih dengan sikapnya yang selalu menghina serta mendiskriminasi jejaka-jejaka muda seperti Syazwan. Mereka berdua segera menuju ke masjid yang terletak tidak jauh dari warung Pak Mail. Ada kewajipan yang harus dilaksanakan. Kewajipan terhadap Sang Pencipta.
Usai solat Zuhur, Ustaz Zamri terus menoleh ke arah Syazwan yang masih mendiamkan diri di sebelahnya. Dilihatnya bibir berwarna gelap itu terkumat-kamit. Ustaz Zamri tersenyum senang. Sesungguhnya, dia tidak pernah meragui kata-kata anak muda itu. Dia tahu bahawa Syazwan kini sudah benar-benar berubah. Dia yakin. Dia yakin bahawa masih ada secebis harapan buat anak muda itu. Kini, segala-galanya terserah pada dirinya. Dia yang akan memberi sinar kepada harapan itu agar terang di mata Syazwan nanti. Setiap malam, Ustaz Zamri tidak pernah sekalipun lupa untuk mengutus doa kepada Allah buat Syazwan. Doanya agar Syazwan sentiasa diberikan ruang dan kasih di sisi-Nya. Agar Syazwan sentiasa dikuatkan hati untuk bertahan dan terus berubah.
" Wan.... Aku tahu kau betul-betul dah berubah. Aku yakin pada kau, Wan. Aku berikan seluruh kepercayaan aku pada kau. Jangan kau khianati kepercayaan yang aku berikan tu. Aku tahu masih ada harapan buat kau. Jangan kau jadikan sinar harapan yang terang itu sirna. Percayalah, Wan. Allah masih sayangkan kau....", kata-kata itu benar-benar membuatkan Syazwan tersentuh. Hanya Allah yang tahu betapa dia bersyukur kerana masih ada saudara semuslim yang kasih dan percaya akannya di saat seluruh dunia menentangnya. Dipeluknya erat-erat susuk tua itu. Betapa kasih seorang ayah kuat dia rasakan dalam diri lelaki tua tersebut.
" Mari kita pulang, Wan. Isteri aku dah lama menunggu kita di rumah. Dia pun rindu nak jumpa kau, Wan", perlahan Ustaz Zamri menuturkan kata-kata tersebut.
Dahulunya, Mak Nab langsung tidak ada bezanya dengan orang-orang kampung yang lain. Dia juga benci akan Syazwan. Namun, sikap sabar Ustaz Zamri dalam mendepani kerenah isterinya itu benar-benar telah melembutkan hati Mak Nab yang turut dibutakan oleh syaitan yang sentiasa berusaha untuk memecahbelahkan umat manusia. Syazwan kini dia anggap seperti anaknya sendiri. Anak yang dihadirkan Allah untuk menggantikan tempat Rosyam yang telah lama pergi meninggalkan dia dan suaminya. Mak Nab menerima Syazwan apa adanya dia.
Pagi itu, kampung riuh rendah kerana berlaku kekecohan di masjid. Ustaz Zamri terkejut besar apabila melihat Syazwan dipukul dan disepak oleh orang-orang kampung. Dia segera menuju ke tempat kejadian. Langkahnya yang sudah agak terhencut-hencut cuba dilajukan. Berlinang air matanya melihat anak muda itu dipukul sebegitu rupa. Sebagai seorang insan yang telah lama hidup bersama Syazwan, dia turut merasakan kepedihannya ketika itu.
" Astarghfirullahalazim....! Berhenti! Berhenti! Apa kena dengan kamu semua ni?! Apa salah budak ni yang kamu semua beria-ia memukulnya?! Dia baru saja pulang semalam. Kamu semua dah nak bunuh dia pulak hari ni?! ", keras sekali nada Ustaz Zamri. Sungguh sakit hatinya melihat Syazwan yang dipukul separuh mati. Lebam seluruh badannya. Ada darah merah mengalir lewat kepala yang luka akibat dihentam teruk dengan kayu.
" Dia ni bawak bala, Ustaz. Duit tabung masjid semua dah hilang. Mesti dia yang curi! Al maklumlah... Nak mintak duit dengan Ustaz untuk beli benda tu, dia segan. Sebab tu dia curi! Kita hantar je dia ni ke balai Ustaz! Baru je sampai dah berani buat onar. Memang patut mati je dulu. Hidup pun menyusahkan orang!" kata-kata keras itu diiringi oleh satu ludahan kasar. Tepat mengenai muka Syazwan.
" Mana kau orang tahu dia yang curi? Siapa yang pandai-pandai menyebar fitnah ni? Ada orang nampak ke?", sakit sungguh hati Ustaz Zamri apabila Syazwan difitnah sebegitu.
Ustaz Zamry segera membantu anak muda yang sudah lemah itu. Serban yang dia kenakan di kepalanya ditanggalkan. Dilapnya darah yang sudah mengalir deras lewat luka yang agak dalam itu.
" Kita orang bukan cakap sembarangan, Ustaz. Kita orang ada bukti. Lepas solat subuh tadi, dia sorang je yang ada kat masjid ni! Siapa lagi yang curi kalau bukan dia, Ustaz? Siapa lagi?!", orang kampung terus-menerus membentak dan membantah setiap hujah-hujah pembelaan yang diutarakan oleh Ustaz Zamri. Kini, kebencian mereka terhadap "mat gian" seperti Syazwan semakin memuncak. Jika Ustaz Zamri tidak datang tepat pada masanya, sudah pasti jasad Syazwan yang dipukul teruk itu tidak bernyawa lagi.
"Selagi tidak ada mata yang melihat Syazwan mencuri duit tersebut, selagi itulah kamu semua tidak berhak untuk menuduhnya. Aku tahu, Syazwan memang pernah melakukan kesilapan suatu ketika dahulunya. OLeh kerana itu, kamu semua hilang kepercayaan terhadapnya. Tapi, sekarang dia sudah berubah. Dia bukan lagi Syazwan yang kamu kenal dahulu. Berilah peluang kepadanya untuk berubah. Bantulah dia. Maafkan dia. Sedangkan nabi pun ampunkan umat, apalagi kita semua, manusia yang sentiasa melakukan kesilapan.\" Ustaz Zamri mengalirkan airmata penyesalan. Dia menangis di atas segala kelemahannya yang tidak mampu untuk membantu mereka semua mengubah persepsi terhadap Syazwan. Dia menangis di atas kegagalannya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Dia menangis kerana dia gagal untuk membantu Syazwan sendiri, anak muda yang telah diamanahkan kepadanya suatu ketika dahulu.
Sebulan berada di hospital benar-benar membuatkan hidup Syazwan tidak keruan. Dia tidak biasa duduk-duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa. Dia ingin sekali kembali ke kampung untuk menolong Ustaz Zamri mengajar anak-anak kecil mengaji di masjid. Syazwan pemuda yang lembut hati. Anak-anak kecil di kampung itu sangat suka akannya. Sungguh pandai Syazwan melayani kerenah mereka sehingga mereka sanggup mengikut Syazwan walau ke manapun dia pergi. Tetapi, itu semua sudah berlalu. Sejak dia terperangkap di lembah hina yang tidak berpenghujung itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup meletakkan anak-anak mereka di bawah jagaan Syazwan lagi. Mereka tidak mahu anak-anak mereka mengikut jejak langkah Syazwan. Menjadi "penagih" dan "sampah masyarakat" yang tidak selayaknya hidup di muka bumi ini. Itulah tanggapan mereka terhadap Syazwan sejak Syazwan mula aktif dalam aktiviti terkutuk tersebut. Ustaz Zamri turut terkena tempiasnya. Orang-orang kampung juga sudah mula memandang serong terhadapnya kerana dia rajin sekali membantu pemuda itu.
Syazwan sememangnya pemuda yang baik sejak dari dulu lagi. Semua orang kampung cukup sayang akan Syazwan. Status Syazwan sebagai anak yatim tidak pernah menjadikan dirinya hina pada pandangan mata orang kampung. Cuma, itulah kata orang. Andai sudah terjerat dengan "benda itu" tidak mungkin ada jalan keluar yang mudah. Buktinya, Syazwan sendiri. Sudah hampir 5 kali dia keluar masuk pusat serenti akibat ketagihannya yang tidak terlawan. Betapa Syazwan tersiksa di waktu itu. Dan pada waktu-waktu seperti itu, tidak ada seorang pun yang sanggup menghampirinya kecuali Ustaz Zamri. Dengan penuh kesabaran, Ustaz Zamri cuba membawa Syazwan kembali semula ke pangkal jalan. Ke sana, ke sini Ustaz Zamri mengejar Syazwan yang pada ketika itu sering melarikan diri kerana otaknya yang sudah terganggu kesan daripada dadah yang telah banyak membunuh anak-anak muda di kampung itu.
Mengalir air mata Syazwan apabila teringat akan kisahnya bersama Ustaz Zamri dahulu. Masih dia ingat bagaimana bersungguhnya Ustaz Syazwan memandikannya ketika dia tengah benar-benar "gian". "Gian" sehingga tidak tertolong lagi. Betapa kasihnya Ustaz Zamri kepadanya sehingga dia sanggup berulang-alik ke rumah Syazwan bagi memastikan solat 5 waktu Syazwan sentiasa penuh. Setelah itu, Ustaz Zamri sendiri akan membimbing Syazwan ketika membaca al-quran. Hampir setiap hari Ustaz Zamri mengulangi rutin yang sama. Tidak pernah sekalipun Syazwan mendengar rungutan keluar daripada bibir yang sentiasa mengucapkan kata-kata peringatan kepadanya dan seluruh umat Islam yang berjemaah di masjid kampungnya.
" Semoga Engkau menempatkan Ustaz Zamri dalam kalangan orang-orang yang berjaya di akhirat kelak. Tempatkanlah dia di syurga-Mu Ya Rabb.. Rahmati dan berkatilah dia serta seluruh ahli keluarganya...."
Mengalir air mata penyesalan Syazwan tatkala dia memanjatkan doa tersebut. Tangan kanan dan kaki kirinya sudah patah akibat terlalu teruk dipukul oleh orang-orang kampung. Sungguhpun begitu, dia tidak sedikitpun menyalahkan orang-orang kampung kerana orang yang hina dan tidak berguna sepertinya sudah selayaknya diperlakukan sebegitu rupa. Andai hukuman seperti itu mampu mengubahnya, dia rela.
Malam itu, usai solat Isya' di masjid, Syazwan masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia ingin duduk lebih lama di masjid itu. Sudah hampir sebulan dia tidak ke masjid itu. Rindu sekali dia akan "rumah Allah" itu. Begitu sejuk dan menenangkan. Hatinya senang berada di situ.
Jam sudah menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Syazwan bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Al-quran yang telah dibaca tadi diletakkan semula ke tempat asalnya. Dia merenung langit masjid itu seketika. Terniat juga di hatinya untuk membaiki bumbung yang sudah bocor di sebelah kanannya.
" Mungkin esok sahaja. Sudah agak lewat sekarang. Pasti Ustaz Zamri sudah menungguku di rumah..."
Sebenarnya, Syazwan ingin sekali menggelar Ustaz Zamri dengan panggilan "ayah". Namun, dia masih merasakan bahawa dirinya masih belum layak memiliki ayah seperti itu. Sebaik dan semulia Ustaz Zamri.
Bekalan elektrik yang terputus secara tiba-tiba membuatkan Syazwan sedikit terkejut. Ada keriuhan di luar masjid. Segera dia berlari ke luar untuk mencari puncanya. Di dalam kepekatan malam, terlihat samar-samar akan dua susuk yang sedang bergelut hebat di atas tanah. Segera dia menghampiri susuk-susuk tersebut.
" Pak Mail!", bisik keras hati kecilnya. Meskipun daya penglihatannya kurang baik, dia masih mampu mengenali susuk itu.
Pak Mail sedang bergelut dengan seorang pemuda. Syazwan segera menerkam ke arah pemuda tersebut. Mereka bertiga bergelut di dalam kepekatan malam. Tidak terlihat oleh sesiapapun.
Dengan tidak semena-mena, terpercik darah panas di wajah Syazwan. Dia terkejut dan tergamam. Tatkala itu juga, bekalan elektrik pulih semula. Orang-orang kampung sudah mula memenuhi perkarangan masjid. Pemuda asing yang disyaki cuba mencuri duit tabung masjid segera dikejar. Sudah agak jauh dia melarikan diri.
Pak Mail sudah kelihatan semakin lemah. Syazwan masih lagi terkejut. Ada darah pekat mengalir lewat dada itu. Pekat dan banyak sekali. Syazwan hampir saja pengsan. Dia tidak pernah melihat darah sebanyak itu seumur hidupnya.
" Syazwan!", dari jauh Ustaz Zamri terhencut-hencut menerpa ke arahnya. Dada Syazwan yang sudah dibelah parang kelihatan begitu ngeri sekali. Syazwan masih lagi terkejut.
" Ayah...." akhirnya, kalimat agung itu keluar dari mulutnya.
" Pak Mail...Pak Mail.....", lemah sekali suara itu. Terputus-putus nadanya.
" Astargfirullahalazim.... Sabar, nak. Mengucap banyak-banyak..Mengucap, nak....."
Ustaz Zamri sudah bercucuran air mata. Pak Mail juga segera menerpa ke arah Syazwan dengan tenaga yang masih tersisa.
" Wan! Wan! Ampunkan aku, Wan. Aku berdosa. Aku berdosa.....", Pak Mail terus merintih tidak berhenti-henti.
Niatnya pada malam itu untuk menangkap Syazwan yang disyakinya akan mencuri lagi berakhir dengan satu pertumpahan darah. Pertumpahan darah yang meragut maut seorang insan mulia. Syazwan yang selama ini dia fitnah dengan bermacam-macam tuduhan telah menjadi penyelamatnya malam itu. Sungguh dia berasa berdosa kerana telah memfitnah seorang jejaka mulia seperti Syazwan. Air mata penyesalannya berlinang. Pemuda yang kini sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu dipeluknya erat-erat. Tidak dia memperdulikan lagi Ustaz Zamri yang masih cuba menenangkan Syazwan yang sudah hampir menemui ajalnya itu. Dicium-ciumnya kaki Syazwan. Besarnya dosa dirinya terhadap Syazwan sehingga tidak terampun lagi rasanya.
" Ayah......", Syazwan masih mampu berkata-kata walaupun mulutnya kini sudah dipenuhi darah.
Disebalik kesedihan yang sudah hampir membunuhnya, Ustaz Zamri masih mampu kelihatan tenang. Kepala Syazwan diusapnya lembut. Diciumnya dahi panas itu. Diucapkan kalimah syahadat di telinga anak muda itu. Syahadat teragung yang terakhir.
Wajah Pak Mail dipandangnya dengan penuh senyuman. Syazwan mengenggam erat tangan Pak Mail. Sungguh dia selama ini tidak pernah berdendam sedikitpun terhadap orang tua itu. Malah, dia sangat hormat akannya. Kasih akannya.
" Ayah....", bisik Syazwan sambil cuba mengumpul nafas-nafas terakhirnya.
" Terima kasih, ayah. Terima kasih di atas segala-galanya.......", sudah hampir habis hembusnya.
Syahadat terakhirnya diucap dengan begitu mudah dan lancar sekali. Matanya dipejam perlahan-lahan. Tenang sekali wajah itu. Setenang wajah anak kecil yang sedang diulit mimpi indah. Pak Mail masih menangis di sisi anak muda itu.
Ustaz Zamri tersenyum senang. Senang melihat ketenangan di wajah anaknya itu. Doanya agar syurga firdausi menjadi tempat anak mulia itu. Air mata kasih mengalir di matanya. Jatuh di atas pipi cengkung anak muda itu. Gerimis mula membasahi perkarangan masjid As-Syafie. Seolah-olah sedang menangisi pemergian anak muda tersebut.....
Alhamdulillah...selesai satu lagi kisah kali ini....semoga kita semua mendapat pedoman yang besar darinya. ingatlah wahai teman.......jangan pernah sekali-kali kita menghina sesama muslim walau apapun kurangnya dia. apapun kesalahannya, berilah peluang kepadanya untuk berubah...lihatlah pada Syazwan......begitu besar pengorbanannya....sehingga terpisah nyawa dari jasad semata-mata untuk menyelamatkan saudara semuslimnya dari bahaya........ketahuilah bahawa setiap orang itu berhak untuk bersangka baik dan mendapat sangkaan baik...jangan pernah menghina orang yang sudah berbuat dosa.....Nabi pun mengampunkan umatnya...apalagi manusia yang lemah dan hina seperti kita semua....
Akhir kalam.....maafkan saya di atas segala kekurangan....semoga kita semua berada di bwh rahmat-Nya....amin....barakallah...wassalam...
Oleh: khairunnisa' mohammad...