andai kau sudi

Sunday, December 26, 2010

SINAR SECEBIS HARAPAN...

Assalamualaikum W.B.T.....


    Semoga para pembaca sekalian sentiasa berada di bawah rahmat dan perlindungan Allah....Apa khabar iman kalian semua hari ini?  Hendaknya sihatlah sentiasa. Bertemu semula kita pada hari ini untuk merenung semula. Untuk muhasabah diri. Cuba ingat kembali. Pernahkah suatu masa dahulu kita menghina seseorang di atas dosa-dosanya yang lalu???   Pernahkah kita mencacinya di atas segala kelemahanhya?   Ingatlah wahai temanku sekalian, Allah itu Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun. Pencipta kita ini Maha Pengasih terhadap setiap makhluk-Nya yang bertebaran di bumi ini. Maka, siapakah kita untuk tidak memberikan sebarang ruang dan kemaafan untuk insan lain yang pernah berbuat dosa?  Fikir-fikirkan semula. Siapakah kita???  Hari ini, di atas izin dan ilham yang Dia kurniakan, akan saya kongsikan sebuah kisah yang agak berbeza dari yang sebelumnya. Kisah mengenai sebuah harapan. Ingat...Setiap orang yang sudah berbuat dosa sentiasa ada ruang  dan kesempatan baginya untuk bertaubat. Sentiasa ada harapan buat kita. Semoga kita lebih menyayangi sesama muslim selepas membaca kisah ini....InsyaAllah....


Bismillahirrahmanirrahim.......


"Alhamdulillah......"
    Hanya itu yang mampu diucapkan oleh jejaka muda tersebut. Syukur dan lega. Itulah perasaan yang mula menapak dalam dirinya kini. Langit luas yang gemilang itu ditatapnya puas-puas. Tidak pernah dia melihat langit sebiru itu sepanjang 23 tahun dia bernafas di bumi milik Allah ini. Langit pada hari inilah yang paling biru dan paling cerah pada matanya. Maha Besar Allah yang menciptakan segala yang ada di langit mahupun di bumi.


   Kembalinya dia kali ini untuk membawa sebuah perubahan besar kepada seluruh ahli keluarganya. Pulangnya kali ini adalah untuk yang terakhir kalinya. Sudah tidak mungkin ada lagi kepulangan untuk kali kedua, ketiga, mahupun yang seterusnya. Itulah yang terakhir dan itulah azamnya. Dipahatkan sekukuhnya di dalam hatinya yang kini sudah "diperbaharui".


   Setiap langkah anak muda itu menarik perhatian seluruh mata yang kini tertumpu kepadanya. Ada yang sudah mula berbisik-bisik sesama sendiri. Ada juga yang memandangnya dengan penuh rasa dendam dan jijik. Namun, pemuda tinggi tersebut masih berjalan seperti biasa. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.


   " Hai orang -orang kampung! Lihatlah siapa yang datang. Dia sudah kembali. "SUPERMAN"  sudah kembali!", riuh sekali suara Pak Mail  "menyambut"  kepulangan  Syazwan. Berderai tawa orang-orang kampung yang sedang melepak di warungnya apabila nama "SUPERMAN" itu timbul kembali.


   Syazwan hanya tersenyum hambar. Sedikit tercuit hatinya tatkala mengenangkan kisah "SUPERMAN" itu. Memori pahit yang telah banyak mengubah dirinya itu masih segar lagi di ingatannya. Masih dia ingat suatu ketika dahulu bagaimana nyawanya hampir sahaja melayang apabila dia terjun daripada bangunan 5 tingkat itu. Bangunan yang tertinggi sekali di kampung itu. Apa puncanya? Ketagihan. Itulah puncanya.


   Syazwan memang cukup dikenali di kampung itu. Bukan sahaja di kampung itu, malah di kampung seberang juga. Di bandar juga namanya sudah mula "naik". Gelaran "penagih tegar" sudah sah menjadi miliknya apabila berkali-kali dia kembali ke pusat serenti yang sama. Hampir saja Syazwan dihalau kerana para pekerja di pusat itu sudah bosan melihat muka yang sama setiap kali. Tetapi, kali ini Syazwan sudah benar-benar berubah. Duduk di pusat serenti yang sama dan hidup dengan rutin yang sama selama bertahun-tahun benar-benar membuatkan dia serik.


   Sungguhpun begitu, dia tetap bersyukur kerana baginya, jejaka yang terpilih untuk masuk ke pusat itu adalah insan yang bertuah. Insan yang dikasihi Allah. Kerana kasihnya Allah pada dialah dia dimasukkan ke pusat itu berkali-kali. Dihantarkan dirinya ke tempat itu berkali-kali bukan di atas alasan yang sia-sia. Dia dihantar ke tempat itu untuk mengubah diri. Untuk "memperbaharui" hati. Untuk "memperbaharui" iman. Untuk "memperbaharui" segala-galanya. Di pusat itu, Syazwan diajar bermacam-macam perkara. Dia belajar bertukang, dia belajar menjahit, dia belajar segala-galanya. Apa yang paling penting ialah dia belajar mengenali dirinya. Dia belajar mengenali agamanya. Dia belajar mengenali Penciptanya. Dia belajar mengenali Allah. Allah yang sungguh mengasihi insan-insan bertuah sepertinya.


   " Assalamualaikum...." ucapan lembut itu diiringi oleh senyuman manis yang mula menguntum di bibirnya.


   " Waalaikumsalam..." salam yang diberikan oleh pemuda itu disambut beramai-ramai. Seolah-olah sedikit menyindir nadanya. Namun begitu, Syazwan tetap tersenyum mesra. Dia bukan Syazwan yang dahulu lagi. Dia bukan lagi Syazwan yang ego dan pemarah. Dia kini sudah menjadi insan yang serba baru. Dia kini lebih penyabar. Allah sentiasa ada di hatinya.


   " Hai Wan..Hidup lagi kau rupanya. Alhamdulillah... Nasib baik kau tak mati waktu kau nak "terbang" hari tu. Aku dah cakap. Kalau ilmu tak cukup, jangan cuba nak terbang. Patutnya, dadah tu, kau sedut banyak-banyak. Baru ada "kick". Baru dapat "terbang". Taklah jatuh macam hari tu."


   Berderai lagi tawa orang kampung apabila Pak Mail sudah mula membuat lawak tidak masuk akal yang sedikit sebanyak menyinggung hati Syazwan. Syazwan hanya mampu beristighfar panjang. Dia cuba untuk terus bersabar. Dia sudah dapat "melihat" syaitan-syaitan di sekelilingnya yang bersedia untuk menarik kesabaran itu bila-bila masa sahaja. Cepat-cepat dia mengingati Allah. Jangan sampai dia hilang sabar lagi kali ini.


   " Assalamualaikum, Ustaz. Lama dah tak jumpa Ustaz..." perlahan Syazwan menegur Ustaz Zamri yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Sesekali dia tersenyum.


   " Waalaikumsalam..Duduklah dulu Wan.....", Ustaz Zamri mempelawa Syazwan dengan penuh sopan dan hormat. Status Syazwan sebagai "bekas penagih" langsung tidak mengubah sikapnya terhadap Syazwan. Syazwan tetap mendapat tempat yang istimewa di hatinya. Entah mengapa. Tetapi, itulah hakikatnya. Dia begitu sayang akan anak muda itu. Kasih yang dihadirkan Allah ke dalam hati tua itulah yang membantu Syazwan untuk terus hidup dan bertahan sehingga ke hari ini.


   Syazwan melabuhkan punggungnya di sisi Ustaz Zamri. Tangan tua itu disalami kemudian dicium. Direnungnya wajah suci yang sudah dimamah usia itu. Selama ini, wajah itulah yang selalu ada di sisinya di saat dia benar-benar tersiksa. Wajah itulah yang seringkali dia lihat ada di sisinya di saat dia tersedar daripada kemabukan. Wajah itu. Wajah yang tidak pernah dia lupakan di saat dia berada di pusat tersebut. Sungguh dia kasih akan pemilik wajah itu.


   " Apa lagi kali ni, Wan? Datang untuk kembali lagi ke tempat tu? Atau datang untuk terus tinggal di kampung ni? ", sidikit keras nada Ustaz Zamri kali ini. Syazwan hanya terdiam. Dia tidak hairan jika Ustaz Zamri marah akannya. Ustaz Zamri sudah banyak menanggung susah kerananya dahulu.


   " Aku bukan nak marahkan kau, Wan. Aku ni, dah lama jaga kau. Sejak bapak kau dah takda lagi. Aku sayang dengan kau macam aku sayang dengan anak aku sendiri. Anak aku si Rosyam tu. Dah lama pergi tinggalkan aku. Kau sajalah anak yang aku ada sekarang ni. Pulangnya kau kali ni, aku harap untuk selamanya...", nada keras tadi mula kedengaran sedikit kendur.


   " Ustaz..... Wan dah taubat. Wan dah tak nak ambil benda tu lagi. Wan dah tahu macam mana siksanya dan Wan dah betul-betul serik. Wan janji. Wan janji pada Ustaz, lepas ni Wan takkan dekati benda tu lagi. Wan janji....",  di dalam kesedihan itu, ada kesungguhan yang meyakinkan Ustaz Zamri akan janji yang diucapkan oleh Syazwan yang telah dia anggap seperti anaknya sendiri.


   " Hei, Wan!  Kau nampak tak longkang besar kat depan tu? Nampak? Kau ambil janji kau tu tadi, lepas tu kau humban kat dalam longkang tu. Longkang jijik macam tu lah tempat yang paling sesuai untuk janji orang macam kau ni!  Tak boleh pakai sikit pun!",  keras sekali suara Pak Mail ketika menuturkan kata-kata tersebut. Dia memang sangat benci akan Syazwan. Pantang ada kesilapan sedikit, pasti Syazwan akan dihentamnya cukup-cukup.


   Syazwan hanya mendiamkan diri. Kepalanya ditundukkan. Ada air mata suci menitik lewat mata yang sudah kemerahan itu. Hatinya sedih. Sedih sekali kerana kata-kata Pak Mail yang terang-terang menghinanya. Orang-orang kampung yang sedari tadi asyik ketawa turut mendiamkan diri. Terkesan oleh mereka keterlampauan dalam kata-kata yang dituturkan oleh lelaki yang sememangnya terkenal dengan mulutnya yang berbisa. Bisanya mengalahkan mulut perempuan.


   Ustaz Zamri segera membawa Syazwan pergi dari tempat itu. Dia sendiri sudah tidak kuasa untuk mendengar  "celoteh" lelaki separuh abad itu. Sudah berbuih mulutnya menasihati orang tua tersebut, namun dia masih tidak mahu berubah. Masih dengan sikapnya yang selalu menghina serta mendiskriminasi jejaka-jejaka muda seperti Syazwan. Mereka berdua segera menuju ke masjid yang terletak tidak jauh dari warung Pak Mail. Ada kewajipan yang harus dilaksanakan. Kewajipan terhadap Sang Pencipta.


   Usai solat Zuhur, Ustaz Zamri terus menoleh ke arah Syazwan yang masih mendiamkan diri di sebelahnya. Dilihatnya bibir berwarna gelap itu terkumat-kamit. Ustaz Zamri tersenyum senang. Sesungguhnya, dia tidak pernah meragui kata-kata anak muda itu. Dia tahu bahawa Syazwan kini sudah benar-benar berubah. Dia yakin. Dia yakin bahawa masih ada secebis harapan buat anak muda itu. Kini, segala-galanya terserah pada dirinya. Dia yang akan memberi sinar kepada harapan itu agar terang di mata Syazwan nanti. Setiap malam, Ustaz Zamri tidak pernah sekalipun lupa untuk mengutus doa kepada Allah buat Syazwan. Doanya agar Syazwan sentiasa diberikan ruang dan kasih di sisi-Nya. Agar Syazwan sentiasa dikuatkan hati untuk bertahan dan terus berubah.


   " Wan.... Aku tahu kau betul-betul dah berubah. Aku yakin pada kau, Wan. Aku berikan seluruh kepercayaan aku pada kau. Jangan kau khianati kepercayaan yang aku berikan tu. Aku tahu masih ada harapan buat kau. Jangan kau jadikan sinar harapan yang terang itu sirna. Percayalah, Wan. Allah masih sayangkan kau....", kata-kata itu benar-benar membuatkan Syazwan tersentuh. Hanya Allah yang tahu betapa dia bersyukur kerana masih ada saudara semuslim yang kasih dan percaya akannya di saat seluruh dunia menentangnya. Dipeluknya erat-erat susuk tua itu. Betapa kasih seorang ayah kuat dia rasakan dalam diri lelaki tua tersebut.


   " Mari kita pulang, Wan. Isteri aku dah lama menunggu kita di rumah. Dia pun rindu nak jumpa kau, Wan", perlahan Ustaz Zamri menuturkan kata-kata tersebut.


   Dahulunya, Mak Nab langsung tidak ada bezanya dengan orang-orang kampung yang lain. Dia juga benci akan Syazwan. Namun, sikap sabar Ustaz Zamri dalam mendepani kerenah isterinya itu benar-benar telah melembutkan hati Mak Nab yang turut dibutakan oleh syaitan yang sentiasa berusaha untuk memecahbelahkan umat manusia. Syazwan kini dia anggap seperti anaknya sendiri. Anak yang dihadirkan Allah untuk menggantikan tempat Rosyam yang telah lama pergi meninggalkan dia dan suaminya. Mak Nab menerima Syazwan apa adanya dia.


   Pagi itu, kampung riuh rendah kerana berlaku kekecohan di masjid. Ustaz Zamri terkejut besar apabila melihat Syazwan dipukul dan disepak oleh orang-orang kampung. Dia segera menuju ke tempat kejadian. Langkahnya yang sudah agak terhencut-hencut cuba dilajukan. Berlinang air matanya melihat anak muda itu dipukul sebegitu rupa. Sebagai seorang insan yang telah lama hidup bersama Syazwan, dia turut merasakan kepedihannya ketika itu.


   " Astarghfirullahalazim....! Berhenti! Berhenti! Apa kena dengan kamu semua ni?! Apa salah budak ni yang kamu semua beria-ia memukulnya?!  Dia baru saja pulang semalam. Kamu semua dah nak bunuh dia pulak hari ni?! ", keras sekali nada Ustaz Zamri. Sungguh sakit hatinya melihat Syazwan yang dipukul separuh mati. Lebam seluruh badannya. Ada darah merah mengalir lewat kepala yang luka akibat dihentam teruk dengan kayu.


   " Dia ni bawak bala, Ustaz. Duit tabung masjid semua dah hilang. Mesti dia yang curi! Al maklumlah... Nak mintak duit dengan Ustaz untuk beli benda tu, dia segan. Sebab tu dia curi! Kita hantar je dia ni ke balai Ustaz! Baru je sampai dah berani buat onar. Memang patut mati je dulu. Hidup pun menyusahkan orang!" kata-kata keras itu diiringi oleh satu ludahan kasar. Tepat mengenai muka Syazwan.


   " Mana kau orang tahu dia yang curi? Siapa yang pandai-pandai menyebar fitnah ni? Ada orang nampak ke?", sakit sungguh hati Ustaz Zamri apabila Syazwan difitnah sebegitu.


   Ustaz Zamry segera membantu anak muda yang sudah lemah itu. Serban yang dia kenakan di kepalanya ditanggalkan. Dilapnya darah yang sudah mengalir deras lewat luka yang agak dalam itu.


   " Kita orang bukan cakap sembarangan, Ustaz. Kita orang ada bukti. Lepas solat subuh tadi, dia sorang je yang ada kat masjid ni! Siapa lagi yang curi kalau bukan dia, Ustaz? Siapa lagi?!", orang kampung terus-menerus membentak dan membantah setiap hujah-hujah pembelaan yang diutarakan oleh Ustaz Zamri. Kini, kebencian mereka terhadap "mat gian" seperti Syazwan semakin memuncak. Jika Ustaz Zamri tidak datang tepat pada masanya, sudah pasti jasad Syazwan yang dipukul teruk itu tidak bernyawa lagi.


"Selagi tidak ada mata yang melihat Syazwan mencuri duit tersebut, selagi itulah kamu semua tidak berhak untuk menuduhnya. Aku tahu, Syazwan memang pernah melakukan kesilapan suatu ketika dahulunya. OLeh kerana itu, kamu semua hilang kepercayaan terhadapnya. Tapi, sekarang dia sudah berubah. Dia bukan lagi Syazwan yang kamu kenal dahulu. Berilah peluang kepadanya untuk berubah. Bantulah dia. Maafkan dia. Sedangkan nabi pun ampunkan umat, apalagi kita semua, manusia yang sentiasa melakukan kesilapan.\" Ustaz Zamri mengalirkan airmata penyesalan. Dia menangis di atas segala kelemahannya yang tidak mampu untuk membantu mereka semua mengubah persepsi terhadap Syazwan. Dia menangis di atas kegagalannya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Dia menangis kerana dia gagal untuk membantu Syazwan sendiri, anak muda yang telah diamanahkan kepadanya suatu ketika dahulu. 


   Sebulan berada di hospital benar-benar membuatkan hidup Syazwan tidak keruan. Dia tidak biasa duduk-duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa. Dia ingin sekali kembali ke kampung untuk menolong Ustaz Zamri mengajar anak-anak kecil mengaji di masjid. Syazwan pemuda yang lembut hati. Anak-anak kecil di kampung itu sangat suka akannya. Sungguh pandai Syazwan melayani kerenah mereka sehingga mereka sanggup mengikut Syazwan walau ke manapun dia pergi. Tetapi, itu semua sudah berlalu. Sejak dia terperangkap di lembah hina yang tidak berpenghujung itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup meletakkan anak-anak mereka di bawah jagaan Syazwan lagi. Mereka tidak mahu anak-anak mereka mengikut jejak langkah Syazwan. Menjadi "penagih" dan "sampah masyarakat" yang tidak selayaknya hidup di muka bumi ini. Itulah tanggapan mereka terhadap Syazwan sejak Syazwan mula aktif dalam aktiviti terkutuk tersebut. Ustaz Zamri turut terkena tempiasnya. Orang-orang kampung juga sudah mula memandang serong terhadapnya kerana dia rajin sekali membantu pemuda itu.


   Syazwan sememangnya pemuda yang baik sejak dari dulu lagi. Semua orang kampung cukup sayang akan Syazwan. Status Syazwan sebagai anak yatim tidak pernah menjadikan dirinya hina pada pandangan mata orang kampung. Cuma, itulah kata orang. Andai sudah terjerat dengan "benda itu" tidak mungkin ada jalan keluar yang mudah. Buktinya, Syazwan sendiri. Sudah hampir 5 kali dia keluar masuk pusat serenti akibat ketagihannya yang tidak terlawan. Betapa Syazwan tersiksa di waktu itu. Dan pada waktu-waktu seperti itu, tidak ada seorang pun yang sanggup menghampirinya kecuali Ustaz Zamri. Dengan penuh kesabaran, Ustaz Zamri cuba membawa Syazwan kembali semula ke pangkal jalan. Ke sana, ke sini Ustaz Zamri mengejar Syazwan yang pada ketika itu sering melarikan diri kerana otaknya yang sudah terganggu kesan daripada dadah yang telah banyak membunuh anak-anak muda di kampung itu.


   Mengalir air mata Syazwan apabila teringat akan kisahnya bersama Ustaz Zamri dahulu. Masih dia ingat bagaimana bersungguhnya Ustaz Syazwan memandikannya ketika dia tengah benar-benar "gian".  "Gian" sehingga tidak tertolong lagi. Betapa kasihnya Ustaz Zamri kepadanya sehingga dia sanggup berulang-alik ke rumah Syazwan bagi memastikan solat 5 waktu Syazwan sentiasa penuh. Setelah itu, Ustaz Zamri  sendiri akan membimbing  Syazwan ketika membaca al-quran. Hampir setiap hari Ustaz Zamri mengulangi rutin yang sama. Tidak pernah sekalipun Syazwan mendengar rungutan keluar daripada bibir yang sentiasa mengucapkan kata-kata peringatan kepadanya dan seluruh umat Islam yang berjemaah di masjid kampungnya.


   " Semoga Engkau menempatkan Ustaz Zamri dalam kalangan orang-orang yang berjaya di akhirat kelak. Tempatkanlah dia di syurga-Mu Ya Rabb.. Rahmati dan berkatilah dia serta seluruh ahli keluarganya...."


   Mengalir air mata penyesalan Syazwan tatkala dia memanjatkan doa tersebut. Tangan kanan dan kaki kirinya sudah patah akibat terlalu teruk dipukul oleh orang-orang kampung. Sungguhpun begitu, dia tidak sedikitpun menyalahkan orang-orang kampung kerana orang yang hina dan tidak berguna sepertinya sudah selayaknya diperlakukan sebegitu rupa. Andai hukuman seperti itu mampu mengubahnya, dia rela.


   Malam itu, usai solat Isya' di masjid, Syazwan masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia ingin duduk lebih lama di masjid itu. Sudah hampir sebulan dia tidak ke masjid itu. Rindu sekali dia akan "rumah Allah" itu. Begitu sejuk dan menenangkan. Hatinya senang berada di situ.


   Jam sudah menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Syazwan bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Al-quran yang telah dibaca tadi diletakkan semula ke tempat asalnya. Dia merenung langit masjid itu seketika. Terniat juga di hatinya untuk membaiki bumbung yang sudah bocor di sebelah kanannya.


   " Mungkin esok sahaja. Sudah agak lewat sekarang. Pasti Ustaz Zamri sudah menungguku di rumah..."
   Sebenarnya, Syazwan ingin sekali menggelar Ustaz Zamri dengan panggilan "ayah". Namun, dia masih merasakan bahawa dirinya masih belum layak memiliki ayah seperti itu. Sebaik dan semulia Ustaz Zamri.


   Bekalan elektrik yang terputus secara tiba-tiba membuatkan Syazwan sedikit terkejut. Ada keriuhan di luar masjid. Segera dia berlari ke luar untuk mencari puncanya. Di dalam kepekatan malam, terlihat samar-samar akan dua susuk yang sedang bergelut hebat di atas tanah. Segera dia menghampiri susuk-susuk tersebut.


   " Pak Mail!", bisik keras hati kecilnya. Meskipun daya penglihatannya kurang baik, dia masih mampu mengenali susuk itu.


   Pak Mail sedang bergelut dengan seorang pemuda. Syazwan segera menerkam ke arah pemuda tersebut. Mereka bertiga bergelut di dalam kepekatan malam. Tidak terlihat oleh sesiapapun.


   Dengan tidak semena-mena, terpercik darah panas di wajah Syazwan. Dia terkejut dan tergamam. Tatkala itu juga, bekalan elektrik pulih semula. Orang-orang kampung sudah mula memenuhi perkarangan masjid. Pemuda asing yang disyaki cuba mencuri duit tabung masjid segera dikejar. Sudah agak jauh dia melarikan diri.


   Pak Mail sudah kelihatan semakin lemah. Syazwan masih lagi terkejut. Ada darah pekat mengalir lewat dada itu. Pekat dan banyak sekali. Syazwan hampir saja pengsan. Dia tidak pernah melihat darah sebanyak itu seumur hidupnya.


   " Syazwan!",  dari jauh Ustaz Zamri terhencut-hencut menerpa ke arahnya. Dada Syazwan yang sudah dibelah parang kelihatan begitu ngeri sekali. Syazwan masih lagi terkejut.


   " Ayah...."  akhirnya, kalimat agung itu keluar dari mulutnya.
  " Pak Mail...Pak Mail.....", lemah sekali suara itu. Terputus-putus nadanya.


   " Astargfirullahalazim.... Sabar, nak. Mengucap banyak-banyak..Mengucap, nak....."


   Ustaz Zamri sudah bercucuran air mata. Pak Mail juga segera menerpa ke arah Syazwan dengan tenaga yang masih tersisa.


   " Wan! Wan! Ampunkan aku, Wan. Aku berdosa. Aku berdosa.....", Pak Mail terus merintih tidak berhenti-henti.


   Niatnya pada malam itu untuk menangkap Syazwan yang disyakinya akan mencuri lagi berakhir dengan satu pertumpahan darah. Pertumpahan darah yang meragut maut seorang insan mulia. Syazwan yang selama ini dia fitnah dengan bermacam-macam tuduhan telah menjadi penyelamatnya malam itu. Sungguh dia berasa berdosa kerana telah memfitnah seorang jejaka mulia seperti Syazwan. Air mata penyesalannya berlinang. Pemuda yang kini sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu dipeluknya erat-erat. Tidak dia memperdulikan lagi Ustaz Zamri yang masih cuba menenangkan Syazwan yang sudah hampir menemui ajalnya itu. Dicium-ciumnya kaki Syazwan. Besarnya dosa dirinya terhadap Syazwan sehingga tidak terampun lagi rasanya.


   " Ayah......",  Syazwan masih mampu berkata-kata walaupun mulutnya kini sudah dipenuhi darah.


   Disebalik kesedihan yang sudah hampir membunuhnya, Ustaz Zamri masih mampu kelihatan tenang. Kepala Syazwan diusapnya lembut. Diciumnya dahi panas itu. Diucapkan kalimah syahadat di telinga anak muda itu. Syahadat teragung yang terakhir.


   Wajah Pak Mail dipandangnya dengan penuh senyuman. Syazwan mengenggam erat tangan Pak Mail. Sungguh dia selama ini tidak pernah berdendam sedikitpun terhadap orang tua itu. Malah, dia sangat hormat akannya. Kasih akannya.


   " Ayah....", bisik Syazwan sambil cuba mengumpul nafas-nafas terakhirnya.


   " Terima kasih, ayah. Terima kasih di atas segala-galanya.......",  sudah hampir habis hembusnya.


   Syahadat terakhirnya diucap dengan begitu mudah dan lancar sekali. Matanya dipejam perlahan-lahan. Tenang sekali wajah itu. Setenang wajah anak kecil yang sedang diulit mimpi indah. Pak Mail masih menangis di sisi anak muda itu.


   Ustaz Zamri tersenyum senang. Senang melihat ketenangan di wajah anaknya itu. Doanya agar syurga firdausi menjadi tempat anak mulia itu. Air mata kasih mengalir di matanya. Jatuh di atas pipi cengkung anak muda itu. Gerimis mula membasahi perkarangan masjid As-Syafie. Seolah-olah sedang menangisi pemergian anak muda tersebut..... 


Alhamdulillah...selesai satu lagi kisah kali ini....semoga kita semua mendapat pedoman yang besar darinya. ingatlah wahai teman.......jangan pernah sekali-kali kita menghina sesama muslim walau apapun kurangnya dia. apapun kesalahannya, berilah peluang kepadanya untuk berubah...lihatlah pada Syazwan......begitu besar pengorbanannya....sehingga terpisah nyawa dari jasad semata-mata untuk menyelamatkan saudara semuslimnya dari bahaya........ketahuilah bahawa setiap orang itu berhak untuk bersangka baik dan mendapat sangkaan baik...jangan pernah menghina orang yang sudah berbuat dosa.....Nabi pun mengampunkan umatnya...apalagi manusia yang lemah dan hina seperti kita semua....


    Akhir kalam.....maafkan saya di atas segala kekurangan....semoga kita semua berada di bwh rahmat-Nya....amin....barakallah...wassalam...




Oleh: khairunnisa' mohammad...


2 comments:

ChyNaluri said...

assalamualaikum...

terkesan saya dengan cerita ni..=)

Semoga penulisan sebegini diteruskan..ameen..

KHAIRUNNISA' said...

waalaikumsalam....insyaAllah...selagi diizinkan Allah....ana akan terus menulis buat peringaatan kita semua...semoga kita semua sentiasa berada di bawah rahmat serta perlindungan-Nya..amin..