andai kau sudi

Tuesday, December 28, 2010

TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR...TERLAJAK "TERLANJUR"????

Asslamualaikum W.B.T........


   Para pembaca yang dikasihi Allah sekalian....semoga kalian sihat dan aman selalu...hari ni, cuba agak...saya nak cerita pasal apa pulak?  tengok tajuk macam tahu dah...kalau cerita sebelum ni banyak mengisahkan pasal remaja bermasalah walaupun dibesarkan dalam keluarga yang hebat dan beragama, kali ni saya nak ubah sikit...saya nak cerita pasal remaja bermasalah yang dibesarkan oleh family yang "sporting"...."sporting" macam mana pulak tu? hmmmm.....pandai-pandailah tafsir sendiri ea...tapi, saya nak buat sedikit perubahan dalam cerita ni...family ni bukan sebarang sporting...dalam cerita kali ni, saya nak gambarkan remaja yang jadi mangsa kepada family yang sporting ni. tapi, bukan pula niat saya nak salahkan family...juz buat pedoman kita sahaja...kita nanti kan bakal ada family jugak....so, inilah situasinya nanti..tapi, yang ni lainlah...senang cerita, bacalah sampai habis....


  Bismillahirrahmanirrahim..............


   Langkahnya terasa lemah sekali. Seingat Linda, itulah kali pertama dia dipukul begitu teruk oleh seorang lelaki. Seorang lelaki yang selama ini mengasuh dan membesarkannya dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Seorang lelaki yang dahulunya dia anggap sebagai "hero" di dalam hidupnya. Baru sahaja 2 jam tadi dia diterajang dan dipukul teruk oleh lelaki itu. Masih terbayang lagi di fikirannya akan wajah lelaki bengis itu yang dahulunya penuh cahaya dan ketenangan.


   " Apa nak jadi dengan kau ni, Lin?! Aku suruh buat "kerja" sikit pun tak dapat. Aku suruh kau goda si Norman tu sampai dia serahkan segala-galanya kepada kau! Bukan dia goda kau sampai kau serahkan segala-galanya pada dia! Mana kau simpan otak kau tu? Dah habis harta aku ni kau kikis buat jadi modal pikat si Norman tu. Tapi, satu sen pun tak pulang modal! Memang tak boleh diharap langsung!


   Percintaan Norman dan Linda langsung tidak pernah mendapat tentangan daripada ayahnya, Datuk Hisyam. Beliau sangat senang akan Norman kerana bakal menantunya itu merupakan seorang jejaka yang baik dan bersopan. Namun, kebaikan dan kesopanan yang ditonjolkan oleh "pelakon" terkenal itu langsung tidak menarik perhatian Datuk Hisyam. Dia lebih tertarik akan kekayaan yang dimiliki oleh anak muda itu. Kehadiran anak muda itu ke rumah agamnya seringkali beliau sambut dengan penuh hormat dan kasih sayang. Linda juga diberikan segala-gala yang dia perlukan untuk memastikan Norman sentiasa berada di dalam genggamannya. Sumgguh tinggi cita-cita lelaki yang hanya melihat kepada kekayaan dunia itu. Sehingga tidak terlihat lagi olehnya akan urusan lain yang lebih perlu dan menjamin kejayaannya di akhirat kelak.


   Namun, segala-galanya berubah apabila Datuk Hisyam mengetahui bahawa Norman, jejaka yang menjadi pendamping kepada satu-satunya puteri beliau merupakan anak kepada seorang lelaki yang pernah "meragut" kebahagiannya dahulu. Linda, satu-satunya waris beliau dilahirkan di dalam keadaan yang sangat perit setelah isterinya dilanggar oleh Datuk Rashid, ayah kepada Norman. Kerana kemalangan itu jugalah, beliau kini hidup menyendiri. Tidak ada lagi isteri yang suatu ketika dahulu pernah berkongsi tawa dan suka duka bersamanya. Datuk Hisyam juga tidak pernah berhenti menyalahkan takdir yang telah "meragut" nyawa isterinya. Beliau kini sudah hilang keyakinan kepada Allah. Jika dahulu, setiap masalahnya akan diadukan kepada Allah dan kemudian isterinya. Kini, beliau lebih suka memendam segala-galanya. Apa jua masalah yang beliau hadapi kini, Allah pasti tidak akan dapat membantunya. Itulah Datuk Hisyam yang baru. Datuk Hisyam yang sudah mampu mendepani segala-galanya tanpa bantuan dan pertolongan daripada Yang Maha Berkuasa. Datuk Hisyam yang sudah tidak percaya lagi kapada Allah.


   Dendam kesumatnya terhadap Datuk Rashid tidak pernah sekalipun beliau lupakan. Sentiasa ada sahaja rancangan jahatnya untuk menjatuhkan Datuk Rashid dan Lindalah yang seringkali menjadi mangsa kepada rangcangan jahatnya itu. Percintaan Linda dan Norman yang dahulunya diisi dengan penuh keikhlasan dan kepercayaan kini telah Linda isi dengan seribu penipuan dan helah dusta. Datuk Hisyamlah yang menjadi dalang kepada segala-galanya. Beliau ingin sekali melihat Norman hancur sepertimana hancurnya hatinya saat ditinggalkan isteri tercinta.


   " Ini bukan salah Lin, Ayah. Ini semua salah Ayah. Kalau Ayah tak bagi Lin keluar sesuka hati dengan Norman, pasti semuanya takkan jadi begini. Pasti sekarang ini Lin takkan terlanjur sampai mengandungkan anak luar nikah. Ini bukan salah Lin seorang! Ini salah Ayah juga. Ayah yang sibuk sangat dengan rancangan jahat Ayah sehingga Lin pun turut terjebak sama. Sekarang, Ayah lihat apa dah jadi! Ayah tak dapat apa-apa, Lin pula dah hilang segala-galanya.....", Linda merintih sedih. Hebat sekali pertengkaran kedua-duanya pada malam itu.


   Datuk Hisyam pula semakin hilang sabar apabila Linda yang dahulunya pendiam dan menurut segala apa sahaja yang diperintahkan kepadanya kini sudah pandai menjawab. Dengan tidak semena-mena, satu lagi sepakan hebat singgah di kepala Linda. Amukannya pada malam itu sudah tidak terkawal lagi. Linda terus-menerus menjadi mangsa amarahnya. Sudah hampir patah riuk anak gadis itu dibelasah oleh kudrat lelakinya yang tidak terlawan oleh Linda. Hatinya sendiri juga merasa pedih. Bukan pedih kerana satu-satunya puteri beliau telah kehilangan maruahnya, tetapi sedih kerana selepas ini pasti tidak ada sesiapa lagi yang boleh diharapkan untuk menjalankan rancangan jahat beliau. Sungguh besar dendamnya terhadap Datuk Rashid sehingga beliau sanggup mengorbankan apa sahaja untuk memastikan Datuk Rashid hancur.


   " Jangan kau nak menyalahkan aku. Dah cukup baik aku beri kau "green light". Salah kau sendiri kerana tak pandai menjaga diri. Aku tak pernah suruh kau berlebih-lebihan dalam percintaan kau tu. Aku cuma benarkan kau berjumpa dengannya supaya rancangan aku terlaksana. Tidak lebih dari itu. Sekarang, kau pergi dari rumah aku ni! Aku tak mahu simpan anak yang tak berguna macam kau ni! Buat menghabiskan duit aku saja. Sudahlah lembap, memalukan aku pula dengan mengandung anak luar nikah macam tu! Kau pergi sekarang. Kau pergi sebelum kawan-kawan aku semua tahu pasal ni. Sehingga kau "bersihkan" badan kau ni, jangan kau berani datang ke sini lagi. Kau pergi!!!!!!!", bentak Datuk Hisyam setelah puas melepaskan amarahnya terhadap anak gadisnya itu.


   "Bersih"? Macam mana aku nak "bersihkan" diri aku yang dah tercemar ni? Apa yang patut aku buat?", persoalan itu tidak berhenti-henti menyerang kotak fikiran Linda. Langkahnya terasa semakin lemah. Dia tidak tahu harus ke mana lagi. Untuk pulang semula ke rumah itu? Tidak mungkin! Pasti jasadnya akan dikuburkan tidak bernisan andainya dia dibelasah untuk kali yang kedua.


   " Sekejap!!!", terdengar suara lantang itu memecah keheningan malam. Shima yang sedari tadi asyik melayan kucing kesayangannya segera melangkah ke ruang tamu. Pintu yang sudah diketuk beberapa kali segera dibuka.


   " Astargfirullahalazim..... Linda! Apa kau buat kat rumah aku malam-malam buta macam ni? Apa dah jadi dengan kau ni?", pertanyaan tersebut segera diajukan kepada Linda yang kelihatan lemah tidak bermaya. Linda masih tidak tahu apa yang harus diberitahukan kepada Shima. Fikirannya masih bercelaru. Dia buntu. Shima yang masih menunggu penjelasan daripada sahabatnya itu segera menarik tangan Linda lalu mengajaknya masuk ke dalam rumah. Tidak manis pula rasanya membiarkan tetamu berdiri di luar rumah sahaja tanpa dijemput masuk. Sedari kecil lagi, Shima telah dididik dengan cukup sempurna. Dari sekecil-kecil perkara, sehinggalah sebesar-besar perkara, semuanya telah diajarkan kepada Shima. Ibu serta ayah tercinta "pergi" dengan senyuman kerana mereka yakin bahawa Shima akan terus mendoakan mereka meskipun mereka tidak lagi di sisinya. Shima dan Linda. Kedua-duanya merupakan gadis yang cukup berbeza. Bersatu di atas takdir Allah.


   " Aku...... Aku dan Norman... Kita orang dah buat "silap", perlahan-lahan Linda memulakan ceritanya.


   Shima terkejut besar. Perkataan "silap" itu sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya.


   " Sekejap. Biar aku teka. Kau dengan dia terlanjur......dan sekarang kau dah kena usir dengan ayah kau. Betul tak? Astarghfirullahalazim, Linda....Kenapa boleh jadi sampai macam ni?", Shima masih lagi di dalam keadaan terkejut.


   Shima sudah puas menasihati Linda supaya berhati-hati dengan lelaki seperti Norman. Dia kerapkali menemui Norman berfoya-foya dengan perempuan lain di bandar. Sudah puas juga dia cuba memberi amaran kepada sahabatnya itu. Namun, Linda langsung tidak mempercayai biar apapun yang cuba dia khabarkan. Linda terlalu percayakan Norman. Sikap "sporting" ayahnya pada waktu itu juga telah disalahtafsirkan sama sekali.


   " Bukan itu sahaja, Shima.... Aku sekarang dah mengandungkan anak Norman.....", Linda menyambung kata-katanya lagi.


   " Astargfirullahalazim........", ucap Shima perlahan. Sungguh dia berasa belas kepada sahabatnya itu. Namun, sikap Linda terhadap segala amaran serta nasihatnya dahulu sedikit sebanyak membuatkan dia berasa marah terhadap sahabatnya itu. Mungkin inilah yang dikatakan orang hukuman. Hukuman yang didatangkan oleh Allah kepada hamba-Nya yang tidak pernah serik melakukan maksiat. Nauzubillah. Pintanya agar dirinya dijauhkan daripada semua itu. Sudah berbuih mulutnya menasihati Linda supaya menjauhkan diri daripada segala perlakuan yang boleh membuka lembaran maksiat ke dalam hidupnya. Dia juga kerapkali melarang Linda ketika Linda keluar bersama Norman sehingga larut malam. Dia bimbang jika nanti sesuatu yang tidak diingini berlaku. Tidak mungkin ada peneman lain kepada dua insan bercinta yang sering bertemu di tempat sunyi jika bukan syaitan laknatullah. Kini, segala kerisauannya telah menjadi kenyataan. Ternyata sahabatnya itu telah tumpas terhadap nafsu serakah yang dipandu oleh syaitan semata-mata.


   " Shima....", bisik Linda perlahan. Shima masih lagi menatap wajah lemah itu.


   " Boleh tolong aku tak? Aku nak pinjam duit kau sikit. Aku nak "buang" baby ni.....", perlahan sekali Linda menuturkan kata-kata tersebut.


   Beristighfar panjang Shima apabila mendengar keputusan sahabatnya itu. Sudahlah terlanjur, kemudian hendak digugurkan pula kandungan itu. Kemarahannya terhadap Linda sudah tidak boleh dikawal lagi.


   " Tidak Lin. Tidak! Aku takkan bantu kau sesen pun. Jangan kau harap apa-apa daripada aku. Jangan kau harap aku akan pinjamkan kau duit kalau kau nak gunakan duit itu untuk gugurkan kandungan kau tu. Tolonglah, Lin. Janganlah kau nak menambah dosa dengan menggugurkan kandungan kau tu. Ada nyawa yang sedang membesar di dalam rahim kau tu. Nyawa! Kau faham tak apa yang aku cakap ni?! Menggugurkan kandungan tu samalah macam kau membunuh anak itu.... Membunuh itu berdosa besar kau tahu tak?! Buruk azabnya pada kau nanti!", Shima terus-menerus menentang keputusan Linda. Dia berasa sangat terkilan kerana sahabatnya sanggup membuat keputusan seperti itu.


   " Kau tak faham, Shima. Kau tak berada di tempat aku. Kau tak tahu macam mana perasaan aku sekarang ini. Kau tahu tak apa yang ayah aku cakap tadi? Dia cakap, selagi aku tak "bersihkan" badan aku ni, selagi itulah aku tak boleh pulang ke rumah. Macam mana lagi aku nak "bersihkan" diri aku ni kalau bukan dengan menggugurkan kandungan aku ni?", Linda masih tekad dengan keputusannya seperti tadi. Dia tetap akan meyakinkan Shima untuk membantunya kerana Shimalah satu-satunya sahabatnya kini.


   " Sekarang aku nak tanya kau. Kalau kau buang baby tu, apa yang dapat kau "bersihkan"? Cuba kau beritahu aku. Apa yang akan bersih? Hakikat bahawa maruah kau sudah tergadai dan dosa kau takkan   dapat hilang meskipun kau buang baby tu. Membunuh baby tu hanya akan buat diri kau bertambah kotor. Kotor dengan dosa  kau yang tak tertebus ni! Linda... Bukan macam ini caranya  untuk membersihkan diri. Bertaubatlah, Lin. Minta ampun pada Allah. Itulah satu-satunya cara untuk kau "bersihkan" diri kau dari segala dosa dan kesilapan kau.  Lahirkan anak itu dan kemudian besarkan dia dengan sebaik-baiknya. Sekurang-kurangnya, tertebus juga dosa-dosa kau bila kau sudah jadi seorang ibu nanti. Kau tidak tahu betapa bertuahnya wanita yang diberikan peluang untuk menjadi seorang ibu. Setiap pengorbanan kau buat anak kau nanti semuanya mendapat pahala yang besar di sisi Allah. Kembalilah pada Allah... Tidak mungkin ada jalan lain....", berlinang air mata Shima tatkala mengenangkan azab yang bakal menimpa sahabatnya itu andai dia masih nekad dengan keputusannya untuk menggugurkan kandungan yang sudah berusia 2 bulan itu.


   7 bulan berlalu dan segala-galanya kini sudah kelihatan semakin baik. Shima yakin bahawa dia sudah berjaya meyakinkan sahabatnya untuk melahirkan sahaja bayi itu. Mereka akan menjaganya bersama-sama kelak. Sejujurnya, Shima juga turut merasa bahagia kerana dia juga sangat suka akan anak kecil. Pasti rumahnya akan bertambah riuh nanti. Dia sudah tidak sabar untuk menanti kehadiran anak kecil yang akan mengisi hari-harinya dengan gelak tawa dan tangisan.


   " Astargfirullahalazim..... Linda!", hampir pengsan Shima apabila terlihat olehnya akan Linda yang sudah berlumuran darah di dalam tandas. Baru sahaja sekejap dia keluar untuk membeli beberapa keperluan bagi menyambut kelahiran bayi itu nanti, Linda pula sudah menjadi begitu. Shima sendiri tidak tahu apa yang sudah dilakukan oleh sahabatnya itu. Hatinya tidak keruan apabila terlihat akan pisau tajam yang berada di dalam genggaman Linda. Linda sudah tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap panggilannya. Shima segera menghubungi ambulans.


   3 jam Linda berada di dalam bilik pembedahan. Datuk Hisyam masih tidak menunjukkan mukanya di hospital itu. Sudah puas juga Shima menghubungi beliau, namun panggilannya dibiarkan tidak berjawab. Mesej pun sudah berkali-kali dihantar. Namun, satu pun tidak berbalas.


   Tangisan bayi lelaki yang kedengaran memenuhi ruang hospital di subuh yang hening itu cukup menggembirakan Shima. Bayi lelaki itu dicium dan dipeluknya erat. Seketika, dia terlupa akan Linda yang masih berada di dalam bilik pembedahan.


   " Datuk...", sopan sekali Shima menegur Datuk Hisyam yang baru sahaja menampakkan diri. Diserahkan bayi itu ke dalam pegangan Datuk Hisyam.


   Mengalir air mata Datuk Hisyam apabila terlihat akan bayi yang lemah dan kecil itu. Masih dia ingat dahulu bagaimana dia menyambut kelahiran Linda meskipun pada waktu itu isterinya sudahpun tidak bernyawa lagi. Bayi itu diciumnya puas-puas. Sungguh pada waktu itu, lunturlah segala keegoannya selama ini. Lunturlah segala dendam kesumatnya terhadap Datuk Rasihd yang dia simpan selama bertahun-tahun lamanya. Lunturlah segala rasa bencinya terhadap Linda pada waktu itu. Segalanya ditenggelamkan oleh kelahiran bayi suci yang kini sedang lena tidur di dalam dakapannya. Dia kini sudah menjadi seorang datuk. Datuk kepada seorang cucu kecil yang akan dia besarkan dengan penuh kasih sayang bersama Linda nanti.


   Katil Linda yang ditarik keluar segera menarik perhatian Datuk Hisyam dan Shima. Kedua-duanya sudah tidak sabar untuk menatap wajah gadis muda yang kini telah menjadi seorang ibu itu. Ada kegembiraan yang tidak tergambarkan oleh kata-kata di wajah kedua-duanya.


   Namun, jasad Linda yang sudah ditutupi selimut putih itu segera merubah segala-galanya. Perlahan-lahan Datuk Hisyam menarik selimut itu. Dilihatnya wajah Linda yang sudah kebiruan dan tidak bermaya. Digenggamnya tangan sejuk itu. Kaku. Shima sudah tidak tertahan lagi. Jasad Linda dipeluk erat. Dia menangis tidak berhenti-henti.


   Datuk Hisyam yang sedari tadi masih menggenggam tangan kaku puterinya itu segera berlalu pergi. Air matanya kian mencurah. Bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan masih berada di dalam dakapannya. Ditatapnya puas-puas bayi kecil yang sudah tidak beribu itu. Kemudian, perlahan-lahan azan dibisikkan di telinga bayi kecil itu.......................


Alhamdulillah......selesai 1 lagi cerpen...Sekarang, sudah bolehkah kita lihat dengan terang? Bahaya apa yang didatangkan oleh cinta yang disalurkan dengan cara yang salah ini? Bahaya apa yang bakal datang andainya ibu bapa bersikap terlalu "sporting" dan membiarkan anak-anak mereka keluar dengan lelaki bukan muhrimnya atas alasan untuk berkenal-kenalan? Bahaya kawan-kawan. Sangat bahaya. Saya selitkan sedikit unsur dendam di dalam cerpen ini untuk membuatkan cerita ini tambah menarik. Ini adalah situasi biasa pada zaman ini. Ibu bapa lebih selesa membiarkan anak-anak mereka keluar bersama dengan ikatan yang haram tanpa melihat kepada sebarang alternatif untuk menghalalkan perhubungan itu. Alasannya? " Mereka masih muda...Mana mungkin bisa dibiarkan berkahwin pada usia semuda itu...Ada baiknya dibiarkan mengenali sesama sendiri dahulu dengan lebih mendalam...Supaya tidak menyesal dan berantakan di kemudian hari.."
Itulah alasan yang paling popular pada zaman ini.. Anak-anak apa lagi? Segeralah mereka mengambil peluang itu untuk berkenal-kenalan. Ada yang terlebih kenal sehingga kenal inside out. Faham-fahamlah maksud inside out tu. Kemudian, akan lahirlah anak2 yang tidak beribu, tidak berbapa. Ada juga yang tidak sempat pun lahir ke dunia.


Akhir kalam, saya minta maaf di atas segala kekasaran yang mungkin terkesan oleh pembaca di dalam setiap patah perkataan yang saya ucapkan di sini. Bukan niat saya menulis untuk menyalahkan ibu bapa kerana bersikap "sporting". Saya menulis hanya kerana ingin kita semua memerhatikan sendiri dan memikirkan sendiri akan kesan kepada tabiat yang kita anggap biasa selama ini. Biasa maksudnya bahaya. Pengajaran yang selanjutnya, biarlah kita yang sudah dewasa ini fikirkan bersama-sama. Kisah ini tadi mengenai anak yang dipaksa oleh bapanya yang "sporting" sehingga terlanjur. Bagaimana pula dengan anak yang mendapat support sepenuhnya daripada keluarga tanpa sebarang paksaan ataupun helah lain? Hala tujunya mungkin berlainan, tetapi apa yang pasti ialah, sikap "sporting" ini lebih banyak mengundang masalah. Yang selebihnya, saya serahkan sendiri kepada pembaca untuk membuat penilaian. Semoga kita semua mampu menjadi ibu bapa yang mampu memberikan dan memutuskan yang terbaik untuk anak-anak kita nanti. Amin.....


Akhir sekali, sekali lagi saya minta maaf andainya ada yang tersinggung. Ini hanyalah cerpen rekaan yang langsung tidak menyentuh kehidupan peribadi sesiapa...wassalam...



3 comments:

irfie_92.blogspot.com said...

once again i feel i wanna cry..huhuhuh..gud job friend!

Nurul Syahida Binti Mat Rodzi said...

tahniah ... mmg sedih citer ni .. dan penuh dengan dengan pengajaran ..

KHAIRUNNISA' said...

alhamdulillah..syukran..semoga membawa seribu pengajaran buat pedoman hidup..insyaAllah..