andai kau sudi

Monday, December 27, 2010

KALA CINTA MENYAPA....

Assalamualaikum W.B.T.....


   Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian..... Semoga sentiasa sihat selalu...Hari ni, saya rasa nak kembali semula pada tema yang agak famous sebelum ni.... CINTA....Mesti semua suka kan? Tapi, macam biasa, ini bukan sebarang cinta. Nak tahu cinta apa? Bacalah sampai habis. Semoga terhibur dan yang paling penting...Semoga kita semua mendapat pengajaran penting setelah membacanya...Cerpen kali ni agak simple....Saya cuba untuk menggunakan bahasa yang agak biasa dan mudah....Tukar sikit...Apa-apapun, diharap para pembaca semua berpuas hati. Andai ada sebarang komen penambahbaikan, silakan post sahaja. Saya sangat menghargainya...


Bismillahirrahmanirrahim...


" Bukan aku tak nak. Aku tak berani. Aku rasa aku tak ready lagi", kata-kata itu benar-benar mengejutkan Najib yang sedari tadi memberikan sepenuh perhatian kepada Iqbal yang kelihatan begitu runsing di hadapannya. Ada keresahan di wajah itu. Dahinya juga mula berkerut-kerut.


" Habis tu, kau nak buat apa?  Kau nak tunggu 10 tahun lagi ke? Aku ni Iqbal, bukan apa. Kau bukan tak tahu. Zulaikha tu, ramai yang suka. Orangnya baik. Cantik lagi tu. Aku takut.....Kalau kau lambat......", Iqbal mematikan kata-katanya di situ. Dia tidak mahu berbicara lebih lanjut lagi. Dia yakin bahawa Iqbal mengerti maksudnya.


   Siti Zulaikha. Itulah nama yang diberikan kepada gadis manis yang kini sudah mencecah usia 23 tahun itu. Orangnya sedang-sedang cantik. Sopan ada, manis pun ada. Tingkah lakunya sangat terkawal dan memikat hati. Kelembutan serta keindahan akhlaknya menjadi igauan kepada setiap jejaka yang mendambakan seorang wanita solehah sebagai zaujahnya.


   Iqbal juga tidak ketinggalan. Dia ingin sekali mengenali gadis lembut itu dengan lebih mendalam. Namun, itu bukan caranya. Dia berpegang teguh dengan prinsip hidup yang sering dia sebut-sebutkan selama ini.


" Kalau aku dah jumpa dengan perempuan yang aku suka nanti, aku akan terus melamarnya. Aku akan "minta" dia daripadanya bapanya sendiri. Selagi aku tak dapat keizinan daripada orang tuanya, selagi itulah aku takkan usik dia. Tiada cinta sebelum nikah dalam kamus hidup aku".


   Bersungguh sekali Iqbal menyatakan prinsipnya tatkala ditanyakan tentang cinta. Dia sejujurnya tidak mahu merosakkan kesucian cinta itu sendiri. Biarlah cintanya nanti hanya untuk seorang insan yang bergelar isteri. Keberkatan dalam perhubungan. Itulah yang dia cari-cari selama ini. Sehingga tiba waktu itu, dia tidak akan mengusik mana-mana wanita. Darjat seorang wanita itu terlalu tinggi baginya. Sebagai seorang lelaki yang berwibawa, dia tidak mungkin memulakan apa-apa dengan mana-mana wanita andai dia masih belum bersedia. Pergaulannya dengan kaum wanita juga dikawal ketat. Andai tidak ada keperluan yang mendesak, dia tidak akan mengganggu mana-mana wanita di kolej itu. Sungguh dia kasih akan ciptaan Allah yang bernama wanita itu. Oleh sebab itu, dia harus menjadi pelindung kepada mereka. Melindungi mereka dengan tidak mengganggu dan melalaikan mereka. Melindungi mereka dengan menahan nafsunya. Melindungi mereka dengan mengawal dirinya. Sungguh dia hormat akan kaum wanita.


   Cahaya cinta kelihatan begitu sirna sekali di mata Iqbal. Jejaka muda itu langsung tidak pernah "disapa" oleh perasaan yang namanya cinta. Tidak di sekolah rendah, tidak juga di sekolah menengah. Pemuda sederhana ini begitu sibuk membentuk masa depannya sehingga tidak terlihat lagi olehnya akan urusan-urusan yang lain. Cinta?  Itu tidak mungkin. Hidupnya yang sebatang kara memaksa dia untuk berusaha teguh demi mencapai cita-cita dan mengubah nasib sendiri. Dia tidak kisah jika tidak ada sesiapa di sisinya. Yang penting, Allah sentiasa ada. Allah sentiasa menemaninya. Kepercayaan itulah yang membantu Iqbal menghadapinya hari-harinya yang penuh cabaran selama ini.


   Namun begitu, segala-galanya berubah apabila dia mengenali Siti Zulaikha. Gadis lembut yang dia temui sewaktu sedang menjalani praktikal sebagai doktor pelatih di hospital kerajaan berdekatan kolejnya. Pertemuan pada kali pertama sudah cukup untuk membuatkan Iqbal kenal apa itu cinta. Hatinya berasa bagai direntap. Direntap oleh keinginannya untuk menjadikan Zulaikha sebagai permaisuri yang akan bersemayam di singgahsana indah yang akan dia bina andai hidupnya sudah terjamin nanti. InsyaAllah.


   Namun begitu, perasaan yang dia anggap cinta itu ternyata seketika cuma. Semakin hari, ingatannya terhadap Zulaikha semakin pudar. Kesibukan melengkapkan tesis pada tahun terakhir sebagai pelajar dalam bidang kedoktoran menjadikan tempat Zulaikha di hatinya semakin kecil. Semakin kecil sehingga dia akhirnya tidak lagi memperdulikan perasaan cinta yang dihadirkan oleh insan yang bernama Zulaikha. Dia ada banyak urusan lain yang lebih penting daripada cinta. Dia ada gunung tinggi yang harus didaki dan "bekalan" bernama cinta itu hanya akan melambatkan perjalanannya. Cinta itu ada baiknya ditinggalkan sahaja. Terlalu berat. Tidak mungkin dia dapat sampai ke puncak gunung andai cinta turut bersamanya.


   Tesisnya sudah hampir selesai. Cuma perlu diberikan sedikit "last touch" sebelum segala-galanya sempurna. Professor Abraham juga sudah berkali-kali memberi amaran kepada para pelajarnya. "Date line" sudah hampir. Apa-apa juga alasan selepas itu tidak akan diterima lagi. Iqbal yang sudah lama menyempurnakan tesisnya segera berjumpa dengan Professor Abraham. Kalau boleh, dia ingin menyerahkan tesisnya kepada Professor Abraham hari itu juga. Dia sudah tidak sanggup untuk menyimpan dan menatap "benda" itu lagi.


   Pantas sekali langkahnya hari itu. Cukup pantas sehingga susuk yang dilanggarnya jatuh menyembah bumi.


" Maaf. Maafkan saya. Saya tak......."


   Perlahan-lahan gadis itu mengangkat kepalanya.


" Zulaikha!",  desis hati kecil Iqbal.


   Tatkala itu juga, perasaan yang selama ini telah semakin pudar mekar kembali. Cinta. Cinta telah menyapanya sekali lagi. Kertas yang tadinya bertaburan segera dikumpul dan diserahkan semula kepada Zulaikha. Terketar-ketar tangannya saat menyerahkan kertas-kertas tersebut kepada gadis yang kini sedang berada begitu dekat sekali dengannya. Ada peluh menitik dari dahinya. Gementar. Itulah perasaannya ketika itu.Sungguh selama ini dia tidak pernah berhadapan dengan seorang wanita sedekat itu. Hakikat bahawa dia kini sedang berhadapan dengan wanita yang telah mencuri hatinya membuatkan dia semakin gugup. Itulah kali pertama wajah manis itu ditatapnya begitu dekat. Cukup dekat sehingga kepala lututnya terasa lemah.


   Zulaikha tersenyum hambar. Ada ketegangan di wajah tegasnya. Mungkin agak marah kerana dirinya dilanggar dari belakang. Kertas-kertas itu dicapainya. Tanpa mengucapkan terima kasih, dia terus berlalu pergi. Gadis muda itu memang cukup pendiam. Sukar sekali hendak mendengar suaranya. Kalau ada pun, ketika benar-benar terdesak sahaja. Kalau tidak, dia lebih suka mendiamkan diri dan mendengar sahaja.


   Orangnya mungkin kelihatan mudah didekati. Penampilannya yang begitu "simple" dan kelihatan polos menjadikan dia kelihatan seperti "mangsa mudah" di mata kebanyakan kaum lelaki yang seringkali merendahkan martabat seorang wanita yang kelihatan lemah.Tetapi, tidak ada sesiapapun yang berani mendekatinya lagi andai dia sudah mula berkat-kata. Manakan tidak? Setiap lelaki yang berani mengganggunya dengan niat mempermainkan perasaan kaum wanita semua mendapat "hadiah" yang cukup besar daripadanya. Zulaikha cukup tidak suka dengan kaum lelaki yang tidak tahu malu dan tidak tahu pula menghormati kaum wanita.


" Kalau suka, jumpalah orang tua! Kalau mahu, buatlah dengan cara yang betul! Kalau belum bersedia, ada baiknya pergi sahaja. Mengapa harus mendekati wanita itu lalu dipermainkan perasaannya?! Maaf. Saya tidak sudi."


   Wah! Pedas sekali kata-kata itu. Kata-kata yang tidak sekalipun pernah dijangka akan keluar dari mulut seorang gadis polos seperti Zulaikha. Zulaikha sudah bertekad. Cintanya hanya buat insan yang bergelar suami.
Hanya yang berani dan benar-benar layak saja yang pantas mendapat cintanya. Dia bukannya seperti kebanyakan perempuan yang sewenang-wenangnya boleh dipermainkan.


   Iqbal tersentak. Tepukan kuat yang singgah di bahunya benar-benar membuatkan dia tersedar dari lamunan.


" Macam mana sekarang?  Tesis dah selesai. Waktu-waktu kritikal sudah berlalu. Apa lagi yang kau tunggu?", pertanyaan itu terus- menerus menyerang gegendang telinganya.


" Aku tak berani. Aku takut. Aku takut ayah dia tak dapat terima aku."


   Iqbal semakin runsing. Najib tidak berhenti-henti mendesaknya. Dia kelemasan. Lemas di dalam laut persoalan dan dilema. Kerjayanya masih belum terjamin. Duit pun masih belum cukup. Mungkinkah keluarga Zulaikha sanggup menerima jejaka yang serba "tidak cukup" sepertinya? Persoalan tersebut tidak berhenti-henti menyerang kotak fikirannya.


" Macam ni lah. Kalau kau takut, biar aku je yang pergi. Lagipun........aku macam ada sikit suka dengan dia tu. Macam ada sikit........sikit......"


   Serentak dengan itu juga, satu tepukan lembut singgah di kepalanya. Najib tersentak. Kemudian dia ketawa kecil.


" Kau.....jangan..... Jangan kau berani usik dia. Kalau tidak.....Kita putus kawan!" keras sekali nada Iqbal ketika memberi amaran kepada sahabatnya itu. Najib masih lagi ketawa. Keletah Iqbal benar-benar mencuit hatinya.


   Seminggu berlalu begitu sahaja. Dalam tempoh itu, Iqbal sudah banyak berfikir dan beristikharah. Keputusannya kali ini sudah bulat. Dia nekad. Hari ini, dia akan segera ke rumah Zulaikha untuk menyampaikan hajatnya mengahwini Zulaikha sesuai waktu.


   Agak lama dia duduk menyerah diri di atas sejadah subuh itu. Dia masih berdoa. Doanya agar dia diberikan kekuatan dan keberanian untuk menemui ayah Zulaikha nanti. Boleh saja dia menemui Zulaikha sendiri untuk menyampaikan hasratnya. Tetapi, itu bukan caranya. Dia tidak mungkin melanggar prinsip hidupnya sendiri. Dia mahu segala-galanya dilakukan mengikut cara yang betul dan sempurna. Jika lamarannya nanti ditolak, cukuplah sekadar dia meminta keizinan bapa Zulaikha untuk mengenali anaknya dengan lebih dekat. Bila dia sudah lebih bersedia, dia akan datang melamarnya lagi.


   Perjalanan ke rumah Zulaikha yang agak jauh di pedalaman, mengambil masa selama 3 jam. Dalam tempoh itu, Iqbal tidak putus-putus berdoa. Pintanya pada Allah agar dipermudahkan segala urusannya nanti.


   Perkarangan rumah yang mempunyai rekaan ala Minangkabau itu dihampirinya perlahan-lahan. Matanya tertancap ke arah satu susuk yang cukup dikenalinya. Dia tersenyum sendirian. Susuk itu segera masuk ke dalam rumah apabila terlihat akan dirinya.


   Perjalanan pulang semula ke rumah sewanya di bandar terasa pendek sekali. Setibanya di rumah, Iqbal segera melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Badannya terasa penat sekali. Dia menarik nafas panjang. Dihembuskan perlahan-lahan. Lega. Masih terngiang-ngiang lagi di telinganya kata-kata bapa Zulaikha 4 jam yang lalu.


" Minta maaf lah, nak. Bukan pak cik tak nak terima pinangan kau. Masalahnya sekarang, pak cik baru saja terima pinangan pemuda kampung sebelah semalam. Kalaulah kau datang lagi cepat dari dia.....  Kau terlambat sikit saja. Pak cik harap kau faham. Maafkan pak cik sekali lagi. Mungkin dah tak ada jodoh kau dengan dia....."


   Matanya sudah mula berkaca kini. Ditenungnya sekali lagi cincin yang sedari tadi berada di dalam genggamannya. Cincin itu kemudiannya dilemparkan jauh-jauh....


Alhamdulillah......
Selesai 1 lagi cerpen. Apa macam? Ada bez? Bagi mana-mana kaum rijal yang dah berkenan pada mana-mana kaum nisa' ada berani ka????  Haaaaa..... Kalau tak berani, jangan mulakan apa-apa. Payah nak berhenti nanti. Tapi, kalau dah tekad, dah yakin, ada baiknya pergi cepat......sebelum dikebas orang!
Saya tulis cerpen ni pun sebab tadi, saya terdengar adik lelaki saya nyanyi 1 lagu ni ha...


" Jangan tunggu lama-lama. Nanti lama-lama. Dia diambil orang"


Agak funny lagu tu. Tapi, itulah hakikatnya...... Cinta itu indah. Tapi cinta yang baik adalah cinta yang disalurkan dengan cara yang betul...Lihatlah betapa kukuhnya prinsip kedua-dua watak dalam cerpen ni. CINTA HANYA UNTUK SUAMI SERTA ISTERI MASING-MASING. Tidak ada jalan lain untuk sebuah perkahwinan serta prhubungan yang berkat kecuali nikah. Cinta sebelum itu?  Mengundang bahaya.


Akhir sekali, terima kasih kerana terus support karya-karya saya yang masih sangat lemah ni. Ambillah pengajaran daripada cerpen ni tadi. Cerpen ni tidak menggalakkan cinta sebelum nikah ya. Jangan disalahtafsirkan. Kalau sudah suka dan sudah ada hati, dan sudah pula bersedia, go on! Tetapi, kalau belum bersedia, ada baiknya jangan dimulakan. Buruk akibatnya nanti.


Akhir kalam, saya minta maaf di atas segala silap dan salah.  Doakan saya menjadi mukmin sejati. Semoga kalian semua mendapat rahmat serta barakah dari-Nya...Amin....Barakallah...Wassalam...



Oleh: khairunnisa' mohammad
  




No comments: