Buka blog sye, jumpalah sye kn? mne de jumpe org len...maybe ade post yg sblum ni sdikit menyakitkn hti...bagi sye, sye hanya menulis sebuah kebenaran...tp, andai para pembaca semua kurang suka, sye mungkin x tulis lagi...jadi, sye akn teruskan dgn cerpen sye....dan seperti biasa, temanya ialah CINTA....cinta....semua org suka kalau kita ckp pasal cinta....saya tahu..sbb tu, sye selalu gne tema ni dlm penulisan sye..tp, harus diingat, CINTA yg sye nk sampaikan ni, bkn sebarang cinta...moga2, drpdnya, kita dpt ambil pengajaran.....nak2 lagi, menulis malam2 jumaat gini, semoga kita semua mendapat barakah dari-Nya....
Bismillahirrahmanirrahim.....
" Dhia, petang ni kita jumpa kat kelas macam biasa. Ada discussions sikit nak buat tentang subjek Mathematics ni..."
Gadis Melayu berdarah Cina yang sedari tadi asyik membaca buku rujukan Sainsnya mengangguk perlahan. Begitu khusyu' sekali dia membaca sehingga dia tidak menyedari bahawa sudah hampir 3 jam dia duduk di dalam perpustakaan sekolah. Angin dingin yang "dihembuskan" oleh penghawa dingin dari segenap arah langsung tidak mengganggu tumpuannya.
"Assalamualaikum..."
Suara yang datang dari luar perpustakaan sedikit sebanyak membuatkan gadis berwajah lembut itu terganggu. Dia mengeluh di dalam hati. Salam yang diberikan dijawab perlahan. Dhia masih tidak mengangkat kepalanya. Tumpuannya kini diberikan sepenuhnya kepada buku yang ada di depannya.
Siapa tidak kenal Dhia Syarafana? Gadis yang mendapat gelaran "ulat buku" itu sukar sekali didekati kerana sikapnya yang sangat pemalu dan pendiam. Kulitnya yang putih dan mulus langsung tidak pernah dicemari oleh terangnya sinar mentari kerana pakaiannya yang sentiasa dilabuhkan. "Ustazah". Itulah gelaran yang turut menjadi milik gadis lembut yang kini sedang belajar di Sekolah Menengah Sultan Idris itu. Menjadi seorang pelajar Tingkatan Dua yang sentiasa mendapat keputusan cemerlang tidak pernah memberikan dirinya sebarang ruang untuk kegagalan.
Hidup di dalam keluarga yang mengutamakan disiplin menjadikan Dhia seorang gadis yang pendiam di sekolah. Dia ada nama yang harus dijaga. Tidak seperti pelajar perempuan lain sebayanya yang sedang asyik bercinta dan membuang masa berpeleseran di bandar-bandar besar di hujung minggu, Dhia lebih senang duduk di rumah sambil membaca buku dan menelaah pelajaran. Jika dia hendak keluar pun ,pasti ada yang akan mengiringinya. Sebagai satu-satunya pewaris harta yang tujuh keturunan banyaknya, Dhia sentiasa dijaga dengan baik dan sempurna. Datuk Hafiz sentiasa memastikan puteri tunggalnya itu mendapat didikan sempurna dari segenap aspek, ukhrawi mahupun duniawi. Kesibukan menguruskan harta yang berbilion-bilion banyaknya tidak pernah menjadikan Datuk Hafiz terlalu sibuk sehingga tidak mampu meluangkan masa untuk solat berjemaah bersama ahli keluarga di rumah. Agama tetap menjadi tonggak utama kepada "masjid" yang dia bina bertahun yang lalu.
" Dah berapa lama adik duduk kat dalam ni? Tak sejuk ke? Seorang diri pulak tu..."
Dhia tersentak. "Seorang diri?!" bisik keras hati kecilnya. Dhia mengangkat kepalanya perlahan-lahan.
"Lelaki!" Dhia terkejut besar apabila mendapati sudah hampir setengah jam dia berdua-duaan bersama lelaki tersebut di dalam bilik perpustakaan yang sememangnya dari tadi lagi sudah kosong. Cepat-cepat dia mengemas buku kemudian berlalu pergi. Langsung tidak memperdulikan Hakim. Dia tidak mahu berlamaan-lamaan di dalam bilik itu lagi. Apa pula kata orang nanti andainya terlihat dia berduaan- duaan bersama lelaki tersebut di dalam sebuah bilik yang sejuk lagi sunyi? Dhia tidak mahu meletakkan dirinya di dalam situasi yang memudahkan dia difitnah oleh orang-orang di sekelilingnya.
Hakim hanya tersenyum sendiri. Sudah lama dia memerhatikan gadis tersebut. Perilakunya yang kelihatan seperti "jual mahal" pada kebanyakan pelajar lelaki sangat menarik hati Hakim. Hakim kagum akan sifatnya yang begitu mulia. Sangat menjaga diri dan maruahnya. Pasti sangat bertuah lelaki yang dapat menjadi pendampingnya nanti.
"Ah! Aku datang sini nak pinjam buku. Tak sangka pulak boleh terserempak dengan budak ni. Kalau baca buku sekarang pun tentu tak dapat tumpukan perhatian. Hehe..."
Hakim memang begitu. Suka bercakap sendirian. Rakan-rakan yang lain sudah lali dengan sikap anehnya itu. Tidak kurang juga yang menggelarkannya gila kerana terlalu tekun belajar. Al maklumlah, SPM dah dekat. Kalau ada cita-cita yang setinggi langit, mestilah "struggle". Itulah kata-kata yang "famous" dalam kalangan pelajar Tingkatan 5 pada waktu itu. Hakim segera mencapai buku yang memang sudah di"reserve"nya beberapa hari yang lalu. Sengaja dia meletakkan buku tersebut di tempat yang agak tersembunyi supaya tiada sesiapa dapat menemuinya.
Dhia....Sekali lagi wajah manis itu muncul di ruang fikirannya. Hakim sudah tidak boleh menangguhkan lagi keinginannya untuk mengenali Dhia. Hakim segera mengeluarkan telefon bimbit yang disimpan di dalam poket lalu menekan kekuncinya. Hanya Allah yang tahu apa yang sedang dirancang oleh otaknya yang sedang ligat berfikir itu.
Dhia merenung jam yang melingkar di pergelangan tangannya. " Janji pukul 3. Sekarang dah pukul 3.10. Ni yang aku tak suka..." keluh hati kecil Dhia. Dhia memang tidak suka menunggu. Memang Dhia seorang yang penyabar, tetapi tidak ada sebarang toleransi yang boleh diberikan terhadap orang yang tidak menepati masa. Masa sangat penting buat Dhia. Sepertimana dia tidak pernah melewatkan waktu solatnya, seperti itu jugalah dia tidak akan melewat-lewatkan urusan yang lain. "Masa itu emas".
" Sorry, Dhia. Sorry sebab lambat. Aku jumpa senior Form 5 tadi. Sebab tu lah lambat. Jangan marah ya...Please......" pujuk Nina apabila terkesan olehnya kemarahan di wajah Dhia. Ngeri. Tidak ada siapapun yang akan senang hati kalau Dhia sudah mula menunjukkan muka masamnya.
Walaupun sedikit marah, Dhia cuba memaniskan muka di hadapan sahabat karibnya itu. Ukhwah yang telah terbina sekian lamanya menjadikan Dhia begitu sukar untuk memarahi sahabatnya itu.Pahit. Itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan senyuman yang sengaja dibuat-buatnya. Tidak padan langsung dengan wajahnya yang manis itu. Nina segera melabuhkan punggung di sisi Dhia. Kemudian dia pun mengeluarkan sepucuk surat dari dalam beg kecilnya. Dihulurkan surat itu kepada Dhia. Dhia hanya membuat muka selamba. Surat itu dibuka dan dibacanya teliti.
Setelah selesai membaca surat tersebut, Dhia segera menatap wajah yang ada di depannya.
"Hakim? Siapa Hakim ni? Aku tak pernah dengar pun?" soalnya agak laju. Mungkin sudah tidak sabar untuk mendengar cerita selanjutnya daripada Nina yang sudah tersengih-sengih di situ. Entah mengapa, isi surat tersebut sangat menarik perhatiannya untuk mengenali Hakim lebih lanjut. Sopan sekali isi surat tersebut. Walaupun begitu, Dhia sentiasa berhati-hati. Itu bukan surat pertama yang dia terima daripada seorang lelaki. Semuanya pandai bermain kata, pandai bermadah, pandai berpujangga. Tetapi, surat daripada Hakim sangat berbeza. Langsung tidak ada kata madah mahupun kata-kata manis yang bisa mencairkan hati lembut seorang perempuan sepertinya.
"Hakim tu senior kita. Dia pelajar Tingkatan 5. Ala...Anak Ustaz Kamal tu..Takkan kau tak kenal? Kau kan selalu jumpa Ustaz? Tak pernah nampak dia ke? Dia cakap tadi, dia nak kenal dengan engkau. Dah lama dia simpan hasrat dia tu..." panjang sekali penerangan yang Nina berikan.
" Nina, aku pergi jumpa Ustaz. Bukan jumpa anaknya. Nak apa tadi? Nak kenal?Aku tak naklah! Mesti lepas tu nak ajak couple kan? Cinta-cinta. Gelilah aku." agak keras nada suara Dhia apabila menuturkan kata-kata tersebut.
"Kau jangan salah faham. Kau ingat kau ni lawa sangat ke yang dia tu nak ajak kau couple? Hehe. Jangan marah. Aku bergurau. Bukanlah. Dia nak berkawan je. Bukan nak bercouple. Dia tu anak Ustaz. Dia tahulah apa yang boleh dan apa yang tak boleh. Kau ni pun...Sempit sangat pemikiran.." Nina membantah hujah-hujah Najwa kemudian dia ketawa kecil.
" Anak Ustaz pun manusia jugak, Nina. Jangan kau sempitkan pemikiran kau dengan anggapan bahawa anak Ustaz tu semuanya bagus. Bukan aku nak mengata. Tapi, itulah hakikatnya sekarang. Lelaki tetap lelaki. Bab-bab menanam tebu di tepi bibir ni serahkan saja pada lelaki. Memang takda lawannya." Itulah anggapan Dhia terhadap kebanyakan lelaki dek kerana terlalu kerap menerima surat-surat yang berisi kata-kata cinta daripada kaum rijal. Kadangkala, itu yang membuatkan Dhia semakin membenci lelaki. Macam mana hendak menjadi pemimpin kepada keluarga andai nafsu sendiri pun tidak terlawan? Lelaki seperti itu langsung tidak menarik perhatian Dhia.
Diskusi pada hari itu berjalan dengan lancar walaupun sesekali Dhia masih teringat akan isi surat yang begitu menyentuh hatinya itu. Teringin juga rasanya mengenali Hakim lebih lanjut kerana kali in dia yakin bahawa Hakim bukan lelaki biasa.
Usai solat Isya' malam itu, Dhia segera meneruskan pembacaannya sama seperti malam-malam yang lain. Hari itu, dia seorang diri di rumah. Datuk Hafiz dan Datin Sarah sudah berjam-jam meninggalkan rumah agam tersebut. Kedua-duanya ada urusan di luar kota. Yang ada di rumah pada waktu itu hanyalah tukang kebun dan Nek Mah yang lebih selesa dengan panggilan "bibik".
Langsir bilik sengaja tidak ditariknya. Dhia lebih selesa membiarkan angin malam menderu masuk ke dalam biliknya. Lebih senang dan lebih menenangkan. Suasana yang cukup bagus sekali jika hendak menelaah.
Dhia yang sedang asyik membaca dikejutkan oleh bunyi yang datang dari telefon bimbitnya yang sengaja disembunyikan di bawah bantal. Bunyi halus itu tetap mengganggu tumpuannya.
Nombor yang tidak dikenali tertera di skrin telefon bimbitnya. Ada mesej buatnya.
"Assalamualaikum, Dhia. Saya Hakim. Saya yang bagi surat pada Dhia tadi petang."
Dhia terkejut besar. Dhia menjadi gugup. Entah mengapa tiba-tiba saja jari-jemarinya menjadi kaku dan peluh mula membasahi wajahnya. Dhia menekan kekuncinya perlahan-lahan.
"Waalaikumsalam. Saya tahu. Maafkan saya. Saya sedang belajar. Harap saudara Hakim mengerti". begitu sopan sekali isi mesej tersebut. Kalau boleh, Dhia tidak mahu menyakitkan hati sesiapa. Tidak ada ruang di hatinya untuk insan yang bergelar lelaki. Dia tidak percaya kepada lelaki! Itulah masalah terbesar Dhia. Dia tidak percaya kepada lelaki. Baginya, semua sama sahaja. Semua pandai bermain kata. Tanggapannya terhadap Hakim tadi siang mula berubah. Sangkaannya Hakim lelaki yang baik. Tetapi hati kecilnya kuat mengatakan bahawa Hakim tidak jauh bezanya berbanding lelaki-lelaki yang lain. Lihatlah sahaja bagaimana Hakim "mencuri" nombor telefonnya tanpa pengetahuan dan keizinannya. Dan tanggapan buruknya terhadap Hakim semakin bertambah apabila Hakim berani menghubunginya sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Lelaki seperti itu langsung tidak tahu menghormati wanita. Itulah tanggapan Dhia terhadap Hakim.
3 bulan berlalu. Cuti akhir tahun semakin hampir. Dhia yang dahulunya keras menentang gelodak jiwa yang ingin dicintai dan disayangi kini sudah tumpas pada hawa nafsu sendiri.Sikap kerasnya terhadap makhluk yang bergelar lelaki mula luntur. Sifat Hakim yang begitu prihatin terhadapnya menjadikan dia mabuk cinta. Mesej-mesej berisi peringatan yang dikirim oleh Hakim seringkali disalahtafsirkan oleh hati wanitanya. Lebih-lebih lagi apabila peringatan-peringtan tersebut mengandungi unsur-unsur cinta. Dhia kini sudah tidak kuat lagi. Kerapkali dia terkenangkan Hakim. Di dalam solat sekalipun dia sempat teringatkan Hakim. Lihatlah betapa parahnya penangan cinta lelaki buat seorang wanita yang lembut hatinya. Sungguhpun begitu, Dhia masih ingat siapa dirinya. Dhia dan Hakim langsung tidak pernah bertemu muka sepanjang perkenalan mereka. Hakim juga tidak pernah mengajaknya bertemu. Jangankan hendak duduk bersama, mendengar suara Hakim saja Dhia tidak pernah. Hakim lelaki yang baik dan berwibawa. Kerapkali sifat mulia Hakim menjadi topik perbualan dalam kalangan pelajar perempuan. "Memang padanlah jadi anak Ustaz"..itulah ayat-ayat yang sering menjadi tuturan para pelajar lain.
Kata orang, lelaki dan perempuan yang berkawan baik tidak mungkin akan berakhir sebagai kawan baik kerana pasti ada perasaan yang sewaktu dengannya. CINTA. Itulah perasaan yang mungkin berputik di hati masing-masing dan Hakim sendiri tidak mampu untuk menafikan rasa cintanya yang kini semakin mekar buat Dhia. Baginya, Dhia begitu mulia. Dhia wanita yang mempunyai maruah serta harga diri yang tinggi. Jika diizinkan Allah, akan dia angkat Dhia menjadi bidadarinya andai tiba masanya nanti. InsyaAllah.
Cuti akhir tahun berlalu tanpa disedari. Hakim kini meneruskan pelajarannya di Tingkatan 6. Kembali ke sekolah sudah lama menghiasi mimpi malamnya kerana dia ingin sekali menatap wajah kesayangannya itu. Wajah lembut lagi manis itu. Biar walau hanya sesaat, dia tetap rasa bahagia. Namun begitu, wajah itu langsung tidak ditemuinya di mana-mana hari itu. Puas sudah dia mengelilingi sekolah tersebut, namun kelibat Dhia masih tidak kelihatan. Hakim mula merasa resah. Mungkinkah Dhia sudah berpindah sekolah?
"Ah! Tidak mungkin! Kalau ada, sudah pasti dia akan memberitahu aku terlebih dahulu." itulah tanggapan Hakim. Andaian yang sengaja dibuat-buat untuk menenangkan hatinya.
Sementara itu pula, Dhia kini sudah berada jauh sekali. Jauh yang langsung menghalangnya untuk bertemu semula dengan Hakim. Dia kini meneruskan perjuangannya di Tingkatan 3 di sebuah sekolah yang lain. Sebuah sekolah elit yang terletak jauh di kota besar. Sebagai seorang anak yang patuh dan taat terhadap orang tuanya, Dhia tidak mampu menghalang perintah ayahnya untuk berpindah setelah perniagaannya kini berkembang maju. Hampir setiap malam Dhia menangisi keputusan ayahnya itu. Dhia terlalu sedih kerana terpaksa berjauhan dari Hakim. Solatnya kini pun sudah tidak terjaga lagi. Bagaikan orang putus cinta, Dhia kini sudah hilang semangat untuk hidup. Cintanya kepada Hakim terlalu tinggi.
Sudah hampir 6 bulan Hakim tidak menghubungi Dhia. Dhia juga tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk menghubungi Hakim. CINTA dan PELAJARAN. Kedua-duanya tidak boleh bergerak seiring. Itulah prinsip baru dalam hidup Dhia kini. Dhia melihat sendiri bagaimana pelajarannya mula merosot pada bulan-bulan pertama kerana terlalu asyik memikirkan Hakim yang kini sudah tidak ada lagi di depan mata. Dhia sangat benci akan dirinya yang menjadi hamba cinta insan yang belum tentu menjadi miliknya. Dalam tempoh 6 bulan tersebut, Dhia kerap bermuhasabah diri. Dikenangnya kembali saat-saat dia mula membuka batas-batas yang tidak sepatutnya dia buka buat lelaki. Bertahun-tahun dia membina batas yang akhirnya runtuh apabila dia mengenali Hakim. Meskipun begitu, dia tidak pernah sekalipun menyalahkan Hakim. Masalahnya ada pada dirinya sendiri. Dia yang lemah. Dia yang berdosa kerana membiarkan dirinya hanyut dalam mimpi cinta yang dia ciptakan sendiri. Baginya, Hakim seorang jejaka yang terlalu baik. Sepanjang tempoh mengenali Hakim, tidak pernah sekalipun Hakim mengucapkan kata-kata cinta kepadanya. Hakim seringkali mengingatkannya supaya hidup dan mati hanya untuk Ilahi. Kemuliaan Hakim menjadi sanjungannya dan dia dahulu pernah rasa seperti hendak hidup dan mati hanya untuk Hakim. "Ya Allah..Betapa besarnya dosaku terhadap-Mu.." keluh Dhia hampir setiap malam. Sepanjang tempoh itu jugalah hidupnya tidak pernah keruan. Memang benar dia bahagia. Tetapi, hatinya rasa bagai dibelenggu. Dibelenggu oleh rasa berdosanya terhadap Allah kerana telah merendahkan martabatnya sebagai seorang wanita di hadapan seorang lelaki yang tidak sepatutnya. Sepanjang tempoh itu juga, dia sering berfikir.
" Layakkah dirinya buat seorang lelaki mulia seperti Hakim? Hakim tidak pernah putus-putus memberikan peringatan kepadanya. Niat suci Hakim itu sering disalahertikan.Peringatan yang diberikan kerapkali disalahtafsirkan sehingga akhirnya dia jatuh ke dalam jurang cinta yang paling dalam. Jurang yang dia sendiri terjun ke dalamnya. Hakim tidak bersalah. Niatnya suci. Dia yang terlalu lemah. Lemah dalam menangkis godaan serta bisikan syaitan untuk terus hanyut di dalam ruang cinta yang dipenuhi pintu-pintu zina."
Pemikiran seperti itu kerapkali menyerang kotak fikirannya. Masih dia teringat betapa dia dahulu pernah mabuk cinta sehingga solat pun tidak sempurna. Sehingga dia membelakangkan cintanya terhadap Sang Pencipta. Sang Pencipta yang telah meniupkan roh ke dalam jasadnya sehingga dia kenal apa itu cinta. Namun begitu, tidak pula dia pernah bersyukur terhadap anugerah yang bernama CINTA itu. Sebaliknya, dia mencabulinya dengan memberikan hatinya kepada syaitan untuk dimanipulasikan. Dia merasa malu. Malu pada Allah kerana telah melanggar prinsip hidup yang pernah dia pegang teguh suatu masa dahulu. CINTANYA HANYA BUAT INSAN YANG BERGELAR SUAMI.
Kini, Dhia sudah berubah. Dhia tidak mahu mabuk cinta lagi. Perjalanannya masih jauh. Hakim? Bagaimana dengan Hakim? Hakim terlalu sempurna. Perempuan yang lemah sepertinya tidak sesuai bergandingan dengan Hakim. Dengan linangan air mata, dia menulis sepucuk surat.
" Assalamualaikum W.B.T...
Buat Abang Hakim yang kukasihi....
Maafkan Dhia kerana tidak pernah mengirim berita kepada Abang selama ini. Dhia terlalu sibuk. Kini, Dhia sudah jauh. Jauh yang tidak memungkinkan kita untuk bertemu. Abang, selama ini, Abang cukup baik kepada Dhia. Segala peringatan dan ilmu yang pernah kita kongsikan bersama tidak pernah Dhia lupakan. Begitu Dhia menghargainya sehingga mesej-mesej Abang yang berisi peringatan yang baik masih Dhia simpan sehingga ke hari ini buat tatapan dan pedoman hidup Dhia. Abang cukup sempurna di mata Dhia. Selama kita bersahabat, Dhia tidak pernah tahu apa perasaan Abang terhadap Dhia. Tetapi, jujur Dhia katakan, Dhia sangat kasihkan Abang. Dhia tidak pernah menyatakan perasaan Dhia kepada Abang kerana Dhia takut hubungan persahabatan kita akan terjejas. Biarlah perasaan itu Dhia simpan andai meluahkannya memungkinkan Dhia kehilangan Abang. Biarlah kita terus menjadi sahabat. Abang, Dhia sentiasa mendoakan kesejahteraan Abang di sini. Tidak pernah sesaatpun Dhia meninggalkan Abang di dalam setiap doa Dhia. Tetapi, Dhia rasa Dhia tidak padan dengan Abang. Abang sangat sempurna. Lupakanlah Dhia. Lupakanlah segala-galanya tentang kita. Dhia takkan lupakan jasa baik Abang. Peringatan daripada Abang akan Dhia simpan seumur hidup Dhia. Doa Dhia agar Abang menemui seorang wanita yang luar biasa dan pada saat itu nanti Dhia lah insan yang paling bahagia andainya Abang sudah menemui kebahagiaan Abang...
Wassalam....."
Tersentap hati lelaki Hakim apabila membaca surat tersebut. Sungguh dia tidak pernah menyangka bahawa Dhia juga punya perasaan yang sama sepertinya. Sesalnya dia kerana tidak pernah menyatakan hasratnya untuk menikahi Dhia sesuai masa di saat mereka masih dekat dahulu. Hancur luluh hatinya. Pengakhiran yang perit itu begitu menyakitkan. Terasa mencucuk-cucuk sehingga ke ulu hati. Pedih sekali. Dia tidak mampu menahan perasaannya. Dia menangis semahu-mahunya. Namun, andai itu pinta Dhia, tidak ada apa-apa lagi yang mampu dia lakukan. Dengan kudrat yang sudah banyak terbuang akibat banyak menangis sebentar tadi, Hakim mencapai sebatang pen dan sehelai kertas. Dia termenung seketika. Hatinya masih terasa pedih.
" Assalamualaikum, Dhia..
Harapan Abang agar Dhia bahagia di samping keluarga tercinta. Abang hargai hubungan kita selama ini, Dhia. Abang tak mungkin dapat lupakan Dhia kerana Dhia punya tempat yang istimewa di hati Abang. Ini mungkin pesanan terakhir Abang buat Dhia. Kata orang, "tuntutlah ilmu sampai ke negeri China"....tapi, Dhia jangan tuntut ilmu sampai ke negeri China je. Pergilah jauh dalam mengejar cita-cita Dhia. Bumi Allah ni luas, Dhia. Ilmu-Nya ada di mana-mana. Jangan pernah lupakan Allah kerana setiap hembusan nafas Dhia sehingga ke hari ini adalah milik Allah satu-satunya...Hiasi bibir Dhia dengan zikrullah...tangisilah sepertiga malam Dhia kerana mengenang Allah..jangan pernah lupakan Dia ketika bahagia dan ingatlah bahawa Dia sentiasa ada di sisi Dhia di kala duka..mintalah pada-Nya kerana Dia Maha Pemurah lagi Maha Pengasih terhadap makhluk-Nya....Akhir kata, andai ada jodoh daripada Allah kita pasti akan disatukan semula dalam ikatan yang sah dan diredhai-Nya....InsyaAllah.......
Menggenggam janji cinta ini...
Bertemu kasih tanpa jasad...
Bicara tanpa suara...
Hanya tulisan bahasa indah...
Mengeratkan antara kita...
Hinggalah ke akhirnya.....
Yang sentiasa mendoakanmu....Hakim...
Mengalir air mata kasih Dhia apabila menerima surat tersebut tersebut. Di dalam hati kecilnya berdoa agar mereka berdua akan disatukan suatu hari nanti.
Berita mengenai kejayaan cemerlang Dhia sebagai pelajar terbaik PMR pada tahun itu kini sudah heboh serata Malaysia. Hakim turut merasa gembira di atas kejayaan sahabat istimewanya itu. Walaupun mereka tidak lagi berhubung setelah itu, jauh di sudut hati, Hakim berdoa agar masih ada ruang untuk dirinya di hati Dhia. Sesungguhnya, dia tidak pernah melupakan Dhia, gadis luar biasa yang sehingga kini masih memiliki hatinya.
Sudah 15 tahun berlalu. Hakim merantau jauh dalam usahanya menyebarkan dakwah, sesuai pesanan arwah ayahnya sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya dalam pangkuan Hakim sendiri. Pesanan tersebut sentiasa disematkan di dalam hati agar perjuangannya tidak menjadi kosong tanpa haluan. Ayahnya pergi menyahut seruan Ilahi dan sebagai seorang muslim sejati, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk terus menyebarkan Islam di bumi Allah yang luas ini. Dia kini sudah menjadi seorang lelaki muda yang dikagumi dalam kalangan para sahabat yang seangkatan dengannya. Jauh dia merantau mencari serta menyebarkan ilmu. Umurnya juga semakin meningkat. Namun begitu, dia masih menyendiri. Hatinya masih buat Dhia. Tidak pernah berubah.
Dhia pula tidak pernah putus-putus mencuba untuk menghubungi Hakim. Namun, usahanya tidak pernah berhasil.
" Mungkin sudah tidak ada jodoh di antara kita..." itulah kata-kata yang sering diucapkan oleh Dhia.
Dhia tersedar dari lamunannya. Hakim...Hakim...Hakim....Bila lagi baru dia bisa melupakan Hakim....
Jam di tangan direnung lagi. Dia segera berlalu. Dia tidak mahu lagi ditinggalkan oleh kumpulannya seperti semalam. Hari ini, dia akan ke Masjidil Haram. Dia seringkali tersesat kerana selalu saja mengelamun ketika bergerak bersama kumpulannya.
"Assalamualaikum....."
Suara itu! Suara itu yang pernah menegurnya 15 tahun yang lalu. Dia masih ingat lagi.
Hakim tersenyum mesra. Meskipun wajah mulus itu ditutupi purdah berwarna gelap, dia tidak akan pernah melupakan sinar mata yang penuh cahaya itu. Sinar mata yang lembut namun penuh ketegasan. Ada butir-butir suci mengalir lewat mata itu.
"Bangun sayang...dah masuk waktu subuh.." Hakim berbisik lembut di telinga wanita yang masih lena dibuai mimpi itu. Wanita tersebut membuka matanya perlahan-lahan dan segera menyiapkan diri dalam keadaan kelam kabut. Hakim hanya tersenyum manja memerhatikan keletah wanita muda itu.
Usai solat subuh bersama, tangan yang panas itu disalami dan dikucup lama. Sungguh kasih Dhia akan lelaki yang kini menjadi imamnya. Lelaki yang dahulu dia sebutkan namanya setiap kali dia "menemui" Allah. Lelaki yang dahulunya tidak pernah lupa untuk mengisi hari-harinya dengan peringatan yang penuh makna. Kini, lelaki itu sudah menjadi miliknya. Pertemuan agung di hadapan pintu Masjidil Haram telah mengakhiri segala-galanya. Dia pulang semula ke Malaysia dengan Hakim sah sebagai suaminya. Kini, mereka bersama-sama hanyut di dalam laut cinta yang tidak terenang lagi. Hanyut di dalam laut cinta Ilahi.......
Alhamdulillah....selesai juga cerpen kali ni...puas memerah otak..rsenya sesetgh scene mcm kurg emosi(sbb adik2 ku sdg tgk org wrestling, jd, nk emo pun susah..aishhhh)......
Dah dpt sesuatu tak? sya ada! kata org " kalau sudah jodoh, takkan ke mana".....haaa....cinta itu indah...kasihilah seseorang insan itu kerana Allah, nescaya kamu akan bahagia...sentiasa ada harapan buat yang masih percaya...jika sudah jatuh cinta pada seseorang, mintalah hatinya dari Allah terlebih dahulu....setelah itu, serahkanlah segala-galanya kpd Allah..andai dia sudah ditentukan buat kamu, pasti akan bersatu juga biarpun berapa jauh jarak memisahkan......insyaAllah...
Akhir kalam......saya ucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi kekuatan sehingga ke hari ini untuk terus menulis buat tatapan dan pedoman kita semua.....dan buat seorang teman yang memberikan sumbangan terbesar dalam penulisan kali ini....terima kasih yang tidak terhingga buatnya...moga beliau sentiasa di bwh perlindungan Allah selalu....dan buat kalian semua, moga sentiasa diberkati Allah...minta maaf di atas segala kekurangan dlm cerpen ini...sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan....
Barakallah...wassalam....
No comments:
Post a Comment