Assalamualaikum W.B.T......
para pembaca yang dirahmati Allah sekalian.....semoga sentiasa sihat dan sejahtera....cerita saya kali ini mengenai seorang pemuda....seorang pemuda yang mungkin pada kita banyak terdapat di muka bumi ini......tetapi, tidak semua pemuda sepertinya akan rugi kerana sentiasa ada peluang buat orang yang masih ingin berubah......diharapkan tulisan kali ini akan memberikan sedikit harapan kepada kita untuk terus berubah dan meninggalkan segala khilaf2 kita yang lalu...
Bismillahirrahmanirrahim.....
Pedal minyak ditekan keras. Sesekali Umairah memandang sekilas ke arah jam yang melingkar di pergelangan tangannya.
" Dah lambat! Minta-mintalah aku masih sempat", desis hati kecilnya.
Masjid yang kelihatan seperti sudah penuh sedikit sebanyak merisaukan Umairah. Dia bimbang kalau-kalau tidak ada lagi tempat untuknya nanti. Sambil memerhatikan orang ramai yang sudah berpusu-pusu masuk ke dalam masjid, matanya sempat melihat-lihat dan mencari tempat letak kereta yang masih kosong. Namun, tidak ada satu tempat pun yang tidak diisi. Semuanya sudah penuh.
Begitulah suasana di kampung tersebut setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan. Pasti setiap malam, masjid itu akan penuh. Penuh dengan orang ramai yang ingin menunaikan solat Tarawih bagi meraih keberkatan pada bulan yang penuh barakah itu.
Sudah hampir 10 minit Umairah mengelilingi kawasan masjid tersebut. Namun, masih tidak ada tempat kosong untuknya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga meletakkan keretanya jauh di luar kawasan masjid tersebut. Beg yang berisi telekung dicapainya. Dia segera keluar dari kereta lalu menuju ke masjid.
Tiba-tiba, lengannya ditarik keras oleh satu susuk yang sangat kuat lagi gagah. Umairah terkejut besar. Dia cuba untuk melawan. Namun, kudrat wanitanya tidak termampu. Serentak dengan itu juga, satu tumbukan hebat singgah di perut lelaki tersebut. Tumbukan hebat itu telah menyebabkan lelaki tersebut segera melarikan diri. Umairah masih lagi terkelu.
Di dalam kegelapan malam, dia cuba mengamati wajah pemuda yang telah membantunya tadi. Pemuda tersebut juga sepertinya. Sudah terlambat dan ingin menuju ke masjid secepat mungkin. Di dalam kesamaran, terlihat olehnya akan wajah itu. Wajah yang cukup dikenalinya suatu ketika dahulu.
" Abang Firdaus!"
Tatkala itu juga, pemuda itu menoleh ke arahnya. Pemuda itu kelihatan begitu terkejut sekali.
" Mai! Mai adik Abang!"
Mengalir air mata rindu Umairah apabila terlihat akan susuk itu. Sungguh dia rindu akan Firdaus. Sudah hampir 15 tahun mereka tidak bertemu. Wajah itu kini sudah tidak sama seperti dahulu lagi. Ada cahaya di wajah itu yang memberikan ketenangan kepada setiap insan yang melihatnya. Di kala itu juga, kenangan itu mengimbau kembali.
" Mai, nanti bagitahu Mak, Abang nak keluar kejap. Nak jumpa kawan-kawan kat pekan", tergopoh-gapah sekali Firdaus tatkala meninggalkan pesan kepada adik perempuannya itu.
Umairah hanya mengangguk perlahan. Dia tidak mahu bertanya lebih lanjut lagi. Pasti dia akan mendapat "habuan" besar andai dia cuba menjadi penyibuk. Bukan dia tidak tahu apa yang dilakukan oleh abangnya selama ini. Dia cuma terlalu takut untuk memberitahukan segala-galanya kepada ibunya yang selama ini sungguh sayang dan percaya akan abangnya itu.
Firdaus. Remaja yang berusia awal 20-an itu cukup terkenal sekali di pekan. Sebut sahaja lorong mana ataupun kelab apa, pasti namanya yang akan "naik" terlebih dahulu. Bukan itu sahaja, nama Firdaus juga cukup terkenal dalam kalangan gadis-gadis muda yang bekerja di lorong-lorong serta kelab-kelab tersebut. Manakan tidak? Orangnya tampan, bergaya, punya wang yang berjuta-juta dan pandai pula mengambil hati perempuan sehingga hampir kesemua gadis-gadis muda di kawasan itu telah ditidurinya. Sungguh hebat penangan cinta anak muda itu.
Sejak pemergian ayah tercinta, hidup Firdaus serta ibu dan adiknya terumbang-ambing. Meskipun harta yang ditinggalkan oleh ayahnya cukup banyak, namun segala-galanya tetap tidak akan sama lagi seperti dahulu. Mereka juga pernah gembira. Mereka juga pernah bahagia. Mereka juga pernah berkongsi derita bersama-sama. Mereka keluarga yang sempurna.
Kemalangan ngeri tersebut telah meragut nyawa ayahnya, meragut kebahagiaan keluarganya, meragut segala-galanya. Ayah tercinta pergi ketika mereka masih memerlukan belaian kasih sayangnya, ketika mereka masih merindukan peluk ciumnya, ketika mereka masih ingin tidur bersamanya di malam-malam yang menakutkan. Sejak dari saat itu juga, ibu tersayang mula jatuh sakit. Jatuh sakit kerana terlalu merindukan suami tercinta. Pada waktu itu, hidup Umairah serta Firdaus sangat tersiksa. Bukan kerana tidak punya harta untuk menyara keluarga, namun kerana ketandusan kasih sayang serta perhatian daripada kedua-dua orang yang sangat dicintai.
Hidup tanpa bimbingan dan perhatian daripada kedua-duanya menjadikan Firdaus seorang remaja yang liar. Dia seringkali ditangkap kerana didapati menagih dadah dan minum arak bersama beberapa orang pemuda kampung yang turut pincang akhlaknya. Namun, hidup selama beberapa bulan di penjara tidak pernah membuatkan pemuda degil itu serik. Kini, dia menjadi lebih "aktif" di pekan. Hampir setiap malam, ada sahaja gadis muda yang akan menjadi "mangsa" kepada nafsu mudanya yang rakus. Firdaus merasa bangga. Bangga akan dirinya yang digilai oleh gadis-gadis muda lagi cantik.
Bukan dia tidak tahu niat mereka menghampirinya. Mereka semua sama sahaja. Hanya ingin mengikis seluruh harta dan kekayaan miliknya. Namun, Firdaus tidak pernah kisah akan semua itu. Dia suka hidup bebas dan berfoya-foya. Dia suka berjalan-jalan di pekan dengan beberapa orang gadis mengiringinya. Dia selesa begitu. Kadangkala, sampai tidak pulang ke rumah selama beberapa hari kerana asyik melayan nafsu durjana yang dikuasai oleh syaitan semata-mata.
" Abang, tolonglah berhenti buat semua ni. Daripada Abang sibuk menghabiskan harta Ayah di luar, ada baiknya kalau Abang tolong Mai kat rumah ni. Tolong Mai jaga Mak. Mak tengah sakit teruk tu. Kalau dia tahu apa yang Abang buat ni, pasti bertambah-tambah sakitnya nanti", bicara Umairah pada suatu malam yang sepi.
Umairah juga sebenarnya sudah tidak tahan dengan sikap serta segala perbuatan terkutuk Firdaus selama ini. Hampir setiap malam, ada sahaja gadis muda yang akan dibawanya pulang ke rumah. Dibawanya masuk ke dalam bilik dan kemudian, hanya Allah sahaja yang tahu. Pernah suatu hari Umairah terserempak dengan abangnya yang sedang asyik melampiaskan hawa nafsunya bersama seorang gadis Cina. Sungguh sehingga saat ini, Umairah masih tidak dapat melupakan segala-gala yang telah terlihat oleh matanya pada hari itu.
Hampir setiap malam juga Umairah berdoa dan mengadu kepada Allah. Pintanya agar masih dibukakan hati Firdaus untuk kembali ke pangkal jalan. Doanya agar pintu taubat masih terbuka untuk satu-satunya abangnya itu. Kerapkali Umairah merintih sedih kerana satu-satunya abang yang diharapkannya akan membantunya untuk menjaga ibu yang sedang sakit tenat sudah tidak boleh dipercayai lagi. Umairah sendiri juga sering menjadi mangsa amarah Firdaus yang tidak bertepi. Tamparan serta pukulan daripada Firdaus sudah sangat sebati dengannya. Beberapa kali dia terpaksa ke klinik untuk membeli ubat kerana pukulan yang terlalu teruk sehingga boleh mematahkan tulang andainya diberikan pada anak kecil.
Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangat Umairah untuk terus menasihati serta mengingatkan Firdaus akan azab Allah yang akan menimpanya di akhirat kelak. Sungguh Umairah kasih akan abangnya itu dan di atas sebab itulah, walau sesiksa apapun dia akan tetap menasihati Firdaus. Firdaus pula tidak pernah percaya akan semua itu. Baginya, segala azab serta hukuman yang akan ditimpakan ke atasnya di hari itu kelak adalah dusta semata-mata. Dia lngsung tidak percaya akannya.
" Kalau Allah itu benar-benar wujud ,apa buktinya?! Selama ni, aku buat dosa, aku berzina, aku minum arak, aku berjudi. Jangankan kelima-limanya, untuk satu perbuatan aku tu pun aku tak pernah lagi dihukum. Kau jangan nak membuang masa aku dengan cerita-cerita kosong yang tak berasas ni, Mai. Aku ada banyak lagi urusan yang lebih penting daripada mendengar kau membebel sepanjang hari", bentak Firdaus pada suatu petang. Sakit telinganya apabila pulang-pulang sahaja, Umairah sudah mula "berkhutbah" di hadapannya. Bukan hendak menyambut kepulangannya dengan senyuman , malah siap membebel dan merepek lagi. Oleh sebab itulah, Firdaus jarang sekali pulang ke rumah. Kalau ada pun hanya sekadar untuk melihat-lihat keadaan ibunya sahaja. Kemudian, dia akan keluar semula.
2 bulan selepas itu, ibu tercinta pula pergi menyahut seruan Ilahi. Kesedihan yang ditanggung oleh Umairah pada waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu. Firdaus pula masih tidak jauh berubah. Pemergian ibu tersayang tidak sedikitpun mempengaruhi kehidupannya. Dia masih hidup bebas. Umairah ditinggalkan seorang diri untuk menghadapi segala-galanya sehinggalah dia membuat keputusan untuk pergi ke bandar dan tinggal bersama pak ciknya pada suatu hari.
Firdaus menjadi semakin bebas sejak pemergian Umairah. Kini, tidak ada sesiapa lagi yang akan membebel dan meleter kepadanya. Harta ayahnya juga sudah semakin berkurangan. Gadis-gadis muda yang selama ini begitu senang mendekatinya semua sudah melarikan diri kerana Firdaus kini sudah tidak punya wang lagi. Kalau dulu, gadis keliling pinggang. Kini, hutang keliling pinggang. Kalah judi di sana sini. Akhirnya, untuk makan pun dia sudah tidak punya duit lagi.
Musibah yang menimpa dirinya menjadikan Firdaus mabuk setiap malam. Tabiat buruknya itu masih tidak berubah lagi. Sama ada duit ada ataupun tidak, arak tetap menjadi makanan sehari-hari. Yang penting, ada arak. Itu pun sudah cukup untuk mengenyangkan perut. Betapa dirinya pada ketika itu sudah kotor kerana mergelumang dengan dosa serta minuman syaitan itu.
Pada suatu malam yang sunyi, Firdaus menunggang motosikal dalam keadaan mabuk. Sebuah kereta yang meluncur laju di atas jalan raya merempuhnya sehingga dia terpelanting ke tengah jalan. Betul-betul di hadapan masjid kampung tersebut. Pada ketika itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup menghampirinya. Dia begitu kotor dan jijik. Firdaus pengsan tidak sedarkan diri di tengah jalan.
" Firdaus....", bisik suara itu.
" Ibu!!", Firdaus kelihatan terkejut sekali. Apakah segala-galanya benar ataupun ilusi semata-mata? Ibunya yang sudah meninggal beberapa bulan yang lalu kini berada di hadapannya.
" Jangan begini, nak. Jangan buat semua ni lagi. Kembalilah seperti dahulu. Ibu rindu sekali akan anak ibu yang dahulu. Firdaus yang sopan dan lembut. Firdaus yang sangat mengambil berat akan adiknya. Ketahuilah Firdaus....Sesungguhnya azab Allah itu benar. Kiamat itu benar. Siksa kubur itu benar. Ibu sendiri sudah melihatnya, nak. Tidak mungkin akan tertanggung oleh kau nanti. Kembalilah nak...Kembalilah semula ke pangkal jalan. Masih ada ruang dan masa buat kau. Bertaubatlah, nak. Ibu tak mahu kau tersiksa nanti. Jangan sampai segala-galanya terlambat buat kau, nak. Allah itu benar, nak.....", perlahan sekali bisikan itu.
Susuk yang diselubungi kain putih itu berlalu pergi. Seketika kemudian, susuk itu menoleh ke arahnya semula.
" Sampaikan salam Ibu kepada Umairah ya, nak. Ibu sayang kamu berdua...."
Firdaus tersentak. Dia kini berada di tempat yang sungguh asing. Segalanya kelihatan berwarna putih.
" Assalamualaikum, Firdaus.... Bagaimana keadaanmu kini? Masih sakit di mana-mana?
Wajah Ustaz Kamal melegakan Firdaus. Fikirnya, dia sudahpun berada di alam barzakh tadi. Dia teringat semula akan pesan ibunya. Dia kemudian mula menangis. Menangis kerana mengenankan segala kesilapannya selama ini. Menangis kerana mengenangkan dirinya yang tidak sempat menemui ibu tercinta pada saat-saat akhirnya di muka bumi. Menangis kerana kegagalannya menjadi seorang pemimpin kepada adiknya, Umairah.
" Sudahlah, nak. Lupakan apa yang sudah terjadi. Yang lalu biarkan berlalu. Tidak mungkin kau boleh mengubahnya lagi. Berubahlah, nak. Sentiasa ada ruang di sisi-Nya buat orang-orang yang benar-benar ingin bertaubat. Jangan kau risau, nak. Andai kau perlukan apa-apa nanti, Ustaz akan bantu kau....."
Sungguh mulia sekali insan itu. Insan itulah yang banyak membantunya sepanjang tempoh kritikalnya sebagai seorang muslim. Dia diajarkan semula cara menunaikan solat. Dia diajarkan semula cara membaca al-quran. Dia diajarkan semula segala-galanya tentang Islam. Segala-gala yang pernah dia pelajari suatu ketika dahulu dan kemudian dia tinggalkan kerana dia sudah punya teman yang lebih istimewa. Syaitan. Itulah teman-teman yang sentiasa menemaninya suatu ketika dahulu. Membisikkan kepadanya supaya meninggalkan solat. Membisikkan kepadanya supaya berbuat zina. Membisikkan kepadanya supaya terus hanyut sehingga dia lupa kepada Allah.
Namun, bisikan-bisikan itu tidak lagi dengan sewenang-wenangnya menembusi hatinya kini kerana dia kini sudah menjadi lebih kuat. Dia kini sudah berubah. Dia bukan lagi Firdaus yang lemah dan lalai.
Mereka berdua berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Ditatapnya lagi wajah yang bersih itu. Di dalam hati, Umairah tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada Allah kerana dipertemukan semula dengan abang tersayang pada bulan yang penuh barakah itu. Dipertemukan semula pula dengan abangnya yang kini sudah jauh berubah. Dia kini sedang berdiri di sebelah lelaki soleh yang suatu hari nanti akan menjadi seorang imam yang hebat kepada "masjid" yang akan dia bina nanti.
Setibanya di perkarangan masjid, Firdaus berhenti seketika. Direnungnya wajah manis adiknya itu. Kemudian dia pun bersuara setelah dari tadi diam seribu bahasa.
" Oh ya, Mai. Abang ada jumpa ibu. Dia kirim salam pada Mai.........", sekuntum senyuman manis terukir di bibirnya.
Alhamdulillah....selesai 1 lagi cerpen...sekali lagi, pengajaran besar yang sungguh bermakna buat kita telah kita dapat hari ini....mungkin kita pernah tersesat sehingga tidak ketemu jalan pulang...namun, di sebalik kegelapan itu, pasti ada sedikit cahaya yang boleh kita jadika sebagai panduan untuk menemui jalan yang betul....ikutlah cahaya itu...nescaya kita tidak akan tersesat lagi...
Akhir kalam....saya juga seorang insan biasa yang sangat lemah dan tidak pernah terlepas dari berbuat dosa...ditakdirkan tangan ini masih terus menulis adalah untuk peringatan kepada saya sendiri dan juga para pembaca...tidak mungkin ada manusia yang begitu sempurna di dunia ini..ingatlah wahai temanku semua.....andai kita pernah menghina atau merasakan bahawa seseorang itu teruk sehingga dia tidak layak untuk mengajar orang lain....tolonglah tinggalkan pemikiran seperti itu.....setiap manusia masing-masing mempunyai hak untuk prihatin kepada orang lain tidak kira siapapun dia.....ikhlaskanlah diri dalam memaafkan kesilapannya yang lalu....jangan pernah merasakan diri kita terlalu mulia sehingga tidak terlihat lagi kebaikan orang lain di mata kita..akhir sekali, maafkan saya atas segala silap dan salah....barakallah...wassalam...
oleh: khairunnisa' mohammad
No comments:
Post a Comment