andai kau sudi

Saturday, December 25, 2010

LAMBAIAN PINTU RAUDHAH

   Assalamualaikum W.B.T..


   Kali ni sye x nk ckp bnyk..hri ni sye nk cerita pasal 1 dosa besar yg x mungkin dapat pengampunan andainya kta x bertaubat dgn taubat yang sebenar-benarnya....nauzubillah....semoga kita semua dijauhkn drpd dosa besar ini.....ambillah pengajaran drpd cerita yang bakal anda bca ni...maafkan sya andai ada sbarang kelemahan.....


Bismillahirrahmanirrahim......


   Seorang jejaka. Muda dan bergaya. Tampan dan sasa. Kehadirannya di lapangan terbang yang paling berprestij sekali di Malaysia menarik perhatian seluruh mata yang memandang. Setiap derap langkah kakinya menjadi perhatian seluruh telinga yang mendengar.


"Sungguh hebat jejaka itu. Beruntung sekali wanita yang dapat berjalan di sisinya. Andai saja dia menjadi milikku...." Itulah kata-kata yang kini membisik di hati setiap wanita yang telah terpandang akan susuk yang gagahlagi bergaya itu.


   Namun, di sebalik segala kemewahan yang ditonjolkan oleh jejaka tersebut, tersimpan sejuta rahsia yang tidak mungkin terungkai oleh siapapun. Begitu hebat sekali "topeng" yang dia kenakan. "Topeng" yang telah membutakan seluruh mata yang memandang.


   Azam. Dahulunya dia hanya seorang pemuda kampung. Pemuda kampung yang bekerja keras membanting tulang di bawah terik mentari. Pemuda kampung yang sering memecahkan keheningan subuh dengan laungan azan yang sungguh merdu. Laungan azan yang mengusik setiap jiwa yang merindukan kasih Allah. Laungan azan yang menyedarkan setiap manusia akan kewajipannya terhadap Yang Maha Esa. Betapa dirinya dahulu menjadi sanjungan kepada pemuda-pemuda yang lain di atas segala kelebihan dan ilmu yang ada padanya. Tidak kurang juga para Ustaz yang sering menjadikan Azam sebagai tempat rujukan. Azam. Pemuda soleh yang berilmu dan berwibawa.


   Pemergian Azam memberikan kesan yang besar kepada Kampung Seri Pinang serta seluruh jiwa yang bernafas di dalamnya. Tidak ada lagi suara merdu yang memecahkan keheningan pagi, tidak ada lagi bicara agama buat santapan rohani. Pemergian Azam menjadikan kampung yang dahulunya berseri sunyi sepi.


   Kini, setelah hampir lima tahun menuntut di luar negara, Azam kembali sebagai seorang insan yang serba baru. Kepulangannya sudah lama ditunggu-tunggu. Betapa penduduk di kampung tersebut rindu akan Azam. Rindu akan suaranya. Rindu akan bicaranya. Rindu akan wajahnya yang sentiasa tenang dan bercahaya.


   Azam tersenyum puas. Sudah lima tahun dia menahan gelodak jiwa yang ingin sekali bertemu keluarga tercinta. Kampungnya masih seperti dahulu. Tidak berubah walau sedikitpun. Cuma kini, ada sedikit kesunyian terasa. Mungkin kerana anak-anak muda yang lain sudah berpindah ke kota besar untuk mencari kerja dan meneruskan pelajaran. Azam merupakan salah seorang darinya.


   Rumah besar yang beratap biru tersebut ditenungnya lama-lama. Warnanya sudah semakin pudar. Sunyi. Langsung tidak ada seri lagi pada pandangannya.


" Mak, Ayah! Azam dah sampai!", nyaring sekali suara tersebut. Mak Kiah yang baru saja selesai menunaikan solat Zuhur cepat-cepat melipat sejadahnya.


" Azam! Azam anak Mak!", bercucuran air mata Mak Kiah apabila terlihat akan susuk yang cukup dikenalinya itu. Air mata rindu itu tidak berhenti-henti mengalir lewat matanya yang sudah agak cengkung dimamah usia. Susuk itu didakapnya erat-erat. Tidak akan dia lepaskan lagi. Rindunya dia pada Azam sehingga hampir sebulan dia terlantar sakit di hospital.


   Azam segera melepaskan diri daripada dakapan erat tersebut. Dia kelemasan. Ada sedikit ketidakselesaan di wajah tampan itu. Namun, dia cuba untuk tidak menunjukkannya.


" Ayah mana, Mak? Mak sihat? Dah lama Azam tak tengok Mak. Semakin cantik pulak Mak Azam ni", Azam cuba untuk bergurau. Mak Kiah tersenyum senang. Azam masih tidak  berubah di matanya. Masih seperti Azam yang dahulu. Masih pandai bergurau dan mengambil hatinya. Betapa dia kasih akan Azam. Anak kecil yang ditinggalkan di depan rumahnya. Anak kecil yang diasuhnya dengan penuh cinta dan kasih sayang. Anak kecil yang dia sendiri tidak tahu siapa ibu serta bapa kandungnya.


   Namun, semua itu tidak pernah dia jadikan sebagai alasan untuk tidak memberikan Azam kasih sayang serta seluruh perhatiannya. Naluri keibuannya yang begitu kuat menjadikan Azam seorang manusia yang berjaya hari ini. Begitu dia kasihkan Azam meskipun keputusannya untuk menjadikan Azam sebagai anak angkat mendapat tentangan hebat daripada suami tercinta suatu ketika dahulu.


" Ayah mana, Mak?", sekali lagi pertanyaan itu diajukan kepada ibunya. Mak Kiah tersenyum lagi.


" Ayah kat rumah Ustaz Kassim. Ada hal kat sana. Kejap lagi dia baliklah. Dia pun dah tak sabar nak jumpa kau, nak. Semalaman dia tak tidur sebab tunggu kau. Dia dah berubah , nak. Dia tak macam dulu lagi. Dia dah boleh terima kau", panjang sekali jawapan yang diberikan oleh Mak Kiah. Sesekali dia terbatuk kecil.


"  Baguslah kalau macam tu", pendek saja jawapan Azam. Sebenarnya dia agak kepenatan. Berjam-jam berada di dalam kapal terbang menjadikan tulang belakangnya sedikit kaku. Dia segera menuju ke biliknya. Mak Kiah hanya mampu tersenyum. Azam memang selalu begitu. Kadangkala dia periang. Ada pula waktu-waktunya dia boleh menjadi seperti tadi. Acuh tidak acuh saja. Namun, Mak Kiah tidak pernah sedikitpun berkecil hati dengan sikap Azam yang sentiasa berubah-ubah dan terkadang sukar difahami. Baginya, Azam anak yang soleh dan taat. Apa jua kesalahan Azam sentiasa mendapat keampunannya. Tidak dia sanggup melihat Azam menderita hanya kerana dosa-dosanya terhadap seorang ibu sepertinya. Sungguh kasihnya dia pada Azam sehingga dia sanggup berkorban nyawa untuknya.


   Malam itu, Ustaz Akhil bersiap sedia untuk ke masjid seperti biasa. Dia menjadi agak terkilan kerana ajakannya ke masjid tadi petang ditolak bulat-bulat oleh Azam. Namun begitu, dia tidak semudah-mudahnya menyerahkan emosinya kepada syaitan yang sentiasa bersedia untuk menjalankan tugasnya. Dia cuba untuk menjadi seorang ayah yang memahami. " Mungkin Azam masih kepenatan", begitulah fikirnya.


   Perut yang sudah berkeroncong memaksa Azam keluar dari biliknya. Mak Kiah sudah lama duduk di dapur menunggu Azam.


" Makanlah, nak. Ayah kau baru je ke masjid tadi. Duduk sini. Biar Mak yang teman kau malam ni", lembut sekali bicara Mak Kiah. Sepertimana dia sering menemani Azam makan di waktu-waktu kecilnya dahulu, seperti itu jugalah dia akan terus menemaninya sehingga ke hari ini.


   Azam duduk di sisi ibunya. Perlahan-lahan dia mengunyah lauk yang masih bersisa di dalam mulutnya. Mak Kiah hanya mendiamkan diri. Dia masih berkira-kira sebenarnya. Bagaimana harus dia mengkhabarkan berita itu nanti. Dan, bagaimana pula penerimaan Azam nanti?


" Azam, Mak ada sesuatu nak bagitahu kau ni", perlahan-lahan Mak Kiah mengatur kata-katanya. Azam masih menumpukan perhatian terhadap santapannya malam itu. Dia merenung Mak Kiah sejenak.


" Tadi pagi, Ayah kau pergi jumpa Ustaz Kassim. Dia.....Dia pergi pinangkan Laila buat kau. Kau...",


   Belum pun sempat Mak Kiah menyambung bicaranya, Azam sudah tersedak di sisinya. Mak Kiah sedikit terkejut. Reaksi seperti itu memang sudah dia jangkakan.


" Mak! Kenapa tak bagitahu Azam dulu? Macam mana Mak ni? Janganlah buat Azam macam ni. Tak boleh! Azam tak setuju!"


   Mak Kiah sedikit terkejut. Memang selama ini Azam pernah memberontak, tetapi tidak pernah sekalipun Azam meninggikan suara terhadap dirinya. Mak Kiah sedikit tersentak. Tersentak dengan perubahan Azam yang agak mendadak. Sebenarnya, sejak Azam sampai petang tadi lagi Mak Kiah sudah musykil. Musykil terhadap sikapnya yang aneh dan agak pemarah. Sikap Azam terhadap ayahnya tadi petang juga sudah agak kasar.


" Kenapa, nak? Kau tak suka ke? Laila tu baik orangnya. Sopan pulak tu. Tak macam kebanyakan budak perempuan kat dalam kampung ni. Beruntung kau kalau dia jadi isteri kau nak", Mak Kiah masih cuba untuk meyakinkan Azam untuk menerima keputusan yang telah dibuat oleh suaminya seminggu sebelum kepulangan Azam.


" Azam tak nak. Mungkin Azam tak pernah bagitahu Mak lagi sebelum ni. Mak, Azam dah kahwin. Azam kahwin kat sana. Dengan perempuan yang study satu kolej dengan Azam. Dah 2 tahun kita orang kahwin".


   Mak Kiah terkejut besar. Matanya  yang sedari tadi kuyu kini besar dan bulat. Azam ditatapnya lama-lama. Di sebalik kesedihan yang sedang berkubu di hatinya kini, ada sedikit kegembiraan yang sedikit sebanyak menenggelamkan kesedihan itu. Kegembiraan untuk mengetahui bahawa ada menantu yang akan Azam bawa ke rumahnya nanti. Mak Kiah memaniskan mukanya. Dia tidak mahu kelihatan terkejut di depan Azam. Mak Kiah menguatkan dirinya untuk terus bersuara.


" Siapa menantu Mak ni? Macam mana orangnya, nak? Dan yang paling penting, sudahkah kau Islamkan dia sebelum kau mengahwininya?


   Soalan terakhir itu sebenarnya tidak perlu untuk ditanyakan lagi kerana Mak Kiah pasti bahawa wanita tersebut sudahpun diislamkan sebelum Azam mengahwininya lagi.


" Tak. Maksud Azam, dia bukan Islam", selamba Azam menjawab pertanyaan ibunya.


   Mak Kiah menjadi sedikit hairan. Bagaimana bisa Azam mengahwini seorang wanita bukan Islam? Dia menjadi bertambah musykil. Namun, Mak Kiah tidak sewenang-wenagnya menyrang Azam dengan seribu pertanyaan yang mungkin akan merunsingkan anak itu. Betapa besarnya kasih Mak Kiah terhadap Azam. Mak Kiah masih memberi ruang kepada Azam untuk sebarang penjelasan.


" Sebenarnya........Azam "convert", Mak".


   Sebaik sahaja Azam menghabiskan kata-katanya, satu tamparan hebat singgah di pipi kanannya. Azam terjelepok di atas lantai. Tanpa disedari, Ustaz Akhil sudah lama mencuri dengar akan perbualan kedua-duanya. Sudah setengah jam Ustaz Akhil berdiri di sisi pintu rumah sambil menahan kemarahannya. Begitu dia hampir hilang sabar saat Azam mengatakan bahawa dia sudahpun berkahwin di sana. Ustaz Akhil langsung tidak menyangka bahawa anak yang selama ini taat dan patuh terhadapnya akan membelakangkan dirinya sebagai seorang ayah. Dan yang paling memedihkan hatinya adalah untuk menerima hakikat bahawa anak yang selama ini dia didik dengan segala ilmu ukhrawi yang ada pada dirinya kini sudah berani membelakangkan Allah. Penciptanya sendiri. Anak itu kini sudah selayaknya dia bunuh sahaja.


   Ustaz Akhil sudah tidak boleh bersabar lagi. Lengan Azam ditariknya keras. Diseretnya Azam ke luar pintu lalu ditolaknya ke luar rumah. Mak Kiah sudah tidak berdaya lagi. Sungguh dia ingin sekali membantu anak kesayangannya itu. Namun, untuk berdiri saja dia sudah tidak mampu. Hakikat itu terlalu berat untuk dia terima. Dari tadi, dia hanya mampu berdoa agar kesilapan terbesar Azam itu diampunkan. Agar dibukakan hati Azam untuk kembali ke pangkal jalan.


" Kau keluar dari rumah aku ni! Mulai dari hari ni, jangan kau berani jejakkan kaki ke tanah ni lagi. Jangan kau berani lagi datang ke kampung ni! Kau pergi sekarang! Sekali lagi aku nampak kau datang ke kampung ni, akan ku pancung kepala kau dengan parang besar aku kat belakang rumah tu! Anak tak mengenang budi! Kalau tak kerana takdir Allah kau dibuang kat depan rumah aku ni, dah lama kau mati agaknya. Bila dah besar macam ni, kau murtad pulak! Ingat pesan aku ni! Selagi kau tak bertaubat, selagi kau tak kembali pada agama kau, selagi kau tak mintak keampunan Pencipta kau, jangan kau mengaku pernah jadi anak aku! Sekarang kau pergi! Kau pergi!!!!!!!!!!!"


   Bergema kampung itu dengan suara Ustaz Akhil yang gegak gempita kuatnya. Hampir terangkat atap rumahnya yang sudah rapuh itu. Kini, satu kampung sudah tahu bahawa pemuda yang dahulunya sering menjadi penyeri kepada surau-surau serta masjid seluruh kampung sudah tidak lagi boleh diharapkan. Dia sudah MURTAD. Dosa besar yang sukar sekali mendapat keampunan Allah andainya dia tidak bertaubat tepat pada waktunya. Bertaubat dengan taubat nasuha. Taubat yang sebenar-benarnya.


   Menyirap darah muda Azam apabila menerima tamparan daripada bapanya tadi. Kata-kata yang diucapkan oleh Ustaz Akhil sebentar tadi langsung tidak masuk di kepalanya. Dia terlalu marah. Marah kerana ayahnya sudah berani menamparnya. Selama ini, tidak ada satu insan pun yang berani menyentuhnya, apalagi untuk menamparnya. Dia dibesarkan dengan penuh cinta dan kasih sayang. Kasih sayang daripada seorang ibu mulia seperti Mak Kiah. Namun, ternyata kasih sayang itu langsung tidak dihargainya. Dia kini sudah menjadi anak yang biadab serta kurang ajar.


    Betapa Azam kini sudah jauh berubah. Dia kini sudah berani berfikiran seperti itu. Tinggal jauh daripada pengawasan kedua-duanya orang tuanya menjadikan Azam seorang pemuda yang liar. Pemikirannya kini sudah dijajah oleh bahana yang datang dari dunia Barat. Azam sudah lama mati. Yang ada kini hanyalah seorang jejaka yang mati hatinya. Seorang jejaka yang sudah lupa siapa dirinya sehingga dia lupa akan Penciptanya.


   Azam sudah tidak peduli lagi. Dia segera lari meninggalkan rumah usang tersebut. Langkahnya dilajukan kerana dirinya kini sudah menjadi tumpuan penduduk kampung. Dia malu. Bukan malu kerana dosanya kepada Allah, tetapi malu kerana maruahnya tercalar dek kerana ditampar oleh ayahnya sendiri. Betapa tingginya ego anak muda itu.


   Mak Kiah yang sedari tadi kaku di sisi suaminya terus berlari ke luar rumah. Dilihatnya Azam sudah jauh sekali. Dia cuba berlari sepantas mungkin. Setelah 5 tahun Azam pergi, tidak mungkin dia boleh kehilangan Azam sekali lagi.


" Azam! Azam anak Mak! Jangan pergi, nak. Jangan tinggalkan Mak. Mak sayangkan kau. Kau tetap anak Mak!", laungan tersebut kedengaran sayup-sayup dari kejauhan. Azam yang sedang dikuasai  kemarahan langsung tidak memperdulikan ibunya lagi. Ibu yang dahulu bersusah payah membesarkannya. Ibu yang dahulu seringkali mempertahankannya sewaktu dia pernah dihina kerana statusnya sebagai "anak kutip". Ibu yang kini sudah tidak wujud lagi di hatinya.


   Azam segera masuk ke dalam teksi yang berhenti betul-betul di hadapannya. Mak Kiah cuba menahan anaknya. Ditariknya tangan Azam. Kuat sekali. Namun, dengan penuh rasa marah, Azam menendang ibunya. Tendangan yang sungguh kuat. Cukup kuat sehingga jasad tua itu tergolek ke tengah jalan lalu....


   Zappppppp!!!!! Jasad tua itu terpelanting beberapa meter jauhnya. Azam tergamam. Perlahan-lahan dia keluar dari teksi. Perlahan- lahan dia menuju ke arah jasad yang sudah berlumuran darah itu. Jasad itu masih bernyawa lagi. Masih bergetar-getar.


   Azam mula tersedar. Tersedar dari amuknya sebentar tadi. Dia sudah dapat melihat wajah ibunya kini. Ibu yang sebentar tadi dia anggap sudah mati akibat terlalu marah dan terlalu ikutkan hati yang sudah dikuasai syaitan. Jasad lemah itu dirangkulnya perlahan-lahan.


" Mak! Bangun, Mak! Jangan tinggalkan Azam! Azam dah takda sesiapa lagi selain Mak. Ampunkan Azam, Mak. Ampunkan Azam....",   Azam merintih tidak berhenti-henti. Digoncang-goncangnya jasad lemah itu. Mak Kiah masih cuba untuk mengumpul tenaganya yang masih bersisa. Ingin sekali dia meninggalkan sedikit pesa buat anak itu. Pesan buat yang terakhir kalinya. Dengan segala kudrat yang masih ada, Mak Kiah pun bersuara.




" Azam....Tolonglah dengar dan ingat pesan Mak yang terakhir ni, nak. Bertaubatlah, nak. Kembali pada Allah. Kembali pada agamamu. Mak tak mahu kau tersiksa kelak, nak. Mak sembah kaki kau, nak. Tolonglah bertaubat. Sebelum mak pergi...Janji dengan Mak, nak....Jangan kau risau. Dosa kau, dari kecik sampailah sekarang, Mak ampunkan semuanya, nak...Syurga Mak masih buat kau, nak...Sekarang ni, kau mintak ampun pada Allah...mintak ampun pada Dia......."


" Mak.......masihkah ada syurga untuk Azam? Masihkah ada ruang di sisi Allah untuk orang yang berdosa besar seperti Azam?"  Azam terus merintih sedih. Sungguh dia kini menyesal di atas segala perbuatannya. Allah telah menunjukkan balasan kepada dosanya dengan mengambil nyawa insan yang paling dia sayang. Andai saja waktu bisa diundurkan semula. Pasti dia tidak akan membiarkan dirinya jatuh di dalam jurang itu. Jurang yang dipenuhi syaitan laknatullah.


" Kau bertaubatlah, nak.....Jangan kau ulang lagi perbuatan kau ni....sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun..sebesar apapun dosa kau, andai kau benar-benar bertaubat, percayalah nak.....masih ada syurga buat kau...."


   Azam mendengar syahadat terakhir yang diucapkan oleh ibunya. Dia sudah tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Jasad ibunya masih lagi erat di dalam pelukannya. Pandangannya berpinar. Tatkala itu juga, dia rebah di sisi jasad yang sudah tidak bernyawa itu.........




Alhamdulillah...selesai jugak akhirnya...besar pengajaran dlm cerita kali ni..tidak ada manusia yang terlepas dari  melakukan dosa. Tetepai, segeralah kembali ke jalan Allah. Ingatlah siapa diri kita. Ingatlah siapa Pencipta kita..ingat teman2...jgn sampai kita membelakangkan Allah...berdosa besar! buruk azabnya di akhirat kelak....jgn sampai kta menderhaka kpd ibu bapa....siksanya nanti...hanya Allah yang tahu.....


Sesungguhnya, Allah itu Maha Pengampun....bertaubatlah selagi ada masa....percayalah bahawa masih ada peluang buat kita andainya kita bertaubat...bertaubat dengan taubat nasuha..pintu taubat itu sentiasa terbuka utnuk hamba2-Nya yang benar2 ingin bertaubat......


Akhir kalam.......maafkan sya andai ada kelemahan dlm penulisan kali ini...sebarang komen utk penambahbaikan amatlah dialu-alukan....laz skali..doakan sye menjadi mukmin sejati...syukran..barakallah...wassalam...


oleh: khairunnisa' mohammad