Assalamualaikum W.B.T....
Baru semalam bertemu...Alhamdullilah..Masih bernafas lagi hari ini untuk bertemu semula....Semoga kita semua berada di dalam redha dan ampunan-Nya selalu..cerita kali ni pendek sahaja. tapi, diharapkan yang pendek ini memberikan pedoman yang berpanjangan dalam hidup kita..
Bismillahirrahmanirrahim.....
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ya, benar. Bahunya sudah terasa benar-benar berat kini. Seperti sudah tidak mampu lagi rasanya memikul guni beras yang berkilo-kilo beratnya. Ditambah pula dengan terik mentari yang langsung tidak mempamerkan sebarang belas kasihan terhadap ibu tunggal yang sudah hampir lima tahun ditinggalkan suami tercinta. Bukan nyawa yang memisahkan, tetapi kerana rahsia hidup sang isteri yang tidak mungkin tertanggung oleh mana-mana suami sekalipun.
Jerih dan payah membesarkan empat orang anak lelaki seorang diri seringkali mematahkan semangat wanita muda itu. Namun, setiap kali terlihat akan wajah-wajah anak kecil yang masing-masing mengharapkannya, semangat yang luntur disimbah musibah terang semula.
" Ya Allah....Ampunilah dosa-dosaku yang lalu. Kuatkanlah aku dalam memdepani ujian dari-Mu. Berikanlah aku kekuatan agar terbela nasib anak-anakku ini......"
*****************************************************************
Menatap wajah anak-anak tercinta yang masing-masing sudah ketiduran benar-benar membuatkan hati kecilnya berasa sayu dan pilu. Baju-baju yang sudah selayaknya dibuang sahaja di dalam tong sampah masih lagi melekat di tubuh anak-anak kecil itu. Pedih. Sedih. Ketika anak-anak kecil yang lain sudah mula bersekolah dan mencorakkan masa depan masing-masing, anak-anaknya masih lagi berjemur di bawah terik mentari membantunya mencari sesuap nasi bagi mengenyangkan perut yang sentiasa minta diisi.
Apalah dosanya terhadap suami tercinta sehingga dia dihukum sebegini? Tidak ada lagikah rasa kasih yang dahulunya disemai bersama sehingga membuahkan butir-butir cinta yang kini hidup tersiksa? Ke mana hilang janji setia yang terpatri di saat lafaz akad menjadi bukti cinta kasih setia? Ke mana pergi rasa belas terhadap insan kecil bergelar anak yang lahir atas bukti cinta selama ini? Ke mana pergi semuanya? Ke mana hilang segalanya?
*****************************************************************
" Izzah tipu Abang! Izzah kata Izzah cinta Abang seorang! Lalu, ini siapa? Siapa Khairi ni?! " Keras sekali Zulhilmi membentak malam itu. Telefon bimbit yang sedari tadi digenggam seolah-olah ingin dihancurkan dihempaskan ke lantai sekuat-kuatnya. Terburai segala isi perut telefon bimbit Izzah. Izzah hanya mendiamkan diri. Tidak mungkin ada hujah pembelaan dapat membantunya kali ini. Seluruh tubuhnya sudah menggigil. Peluh membasahi wajahnya meskipun rumah gah itu lengkap dengan penghawa dingin yang menjadi saksi bisu kepada segala apa yang sudah terjadi dan bakal terjadi sebentar saja lagi.
Zulhilmi masih merenung tajam wajah Izzah. Memberikan sedikit ruang untuk sebarang penjelasan. Namun, Izzah sudah kehabisan kata-kata. Bukti sudah ada di depan mata. Apa lagi yang bisa dia katakan?
Lengannya ditarik keras. Diseret sehingga ke ruang tamu lalu dihempaskan ke lantai. Terasa sakit sekali. Kudrat seorang lelaki sememangnya tidak mungkin terlawan oleh seorang wanita lemah sepertinya. Zulhilmi kemudian duduk membatukan diri di atas sofa. Meluap-luap kemarahannya terhadap Izzah kini. Terasa panas seluruh badan dek kerana darah yang sudah mendidih bagai lahar yang menunggu masa untuk dimuntahkan. Kini, nafsu amarahnya dikuasai oleh syaitan sepenuhnya. Terpancar kemarahan yang meluap-luap dari tatapan tajam yang bisa menembusi jantung seorang wanita. Dan Izzah? Dialah yang akan menerima padahnya pada hari itu.
" Izzah! Hanya orang yang benar-benar salah akan mendiamkan diri sepertimu. Kau tidak ada apa-apa yang mahu diperkatakan? Masih ada peluang buatmu andainya segala yang ku ketahui sebentar tadi kau katakan dusta belaka. Izzah! Katakan padaku! Engkau tidak mengenali lelaki itu. Khairi itu bukan siapa-siapa buatmu! Hanya sepatah ayat itu dan kau akan ku maafkan."
Tenang sekali. Meskipun tegas pada beberapa patah perkataan. Tidak ada lagi kata "sayang" yang menjadi pengikat cinta seperti hari-hari yang sebelumnya. Yang ada hanyalah kata "kau" dan "aku" yang menggambarkan dendam serta kemarahan yang membuak. Izzah tidak mungkin mampu menafikan rasa cintanya pada Khairi yang pernah wujud suatu ketika dahulu. Tidak sekali-kali. Malah dia sendiri tidak ingin melepaskan perasaan itu pergi sehinggalah Khairi hadir semula ke dalam hidupnya setelah dia menyempurnakan hidup bersama Zulhilmi.
" Izzah.....Izzah pernah cintakan Khairi. Kami sepatutnya berkahwin. Tetapi, Abang terlebih dahulu masuk meminang dan Izzah terpaksa menurut perintah ayah dan ibu. Tapi, segalanya sudah berlalu. Sudah tidak ada apa-apa lagi di antara Izzah dan Khairi. Segalanya sudah lama berakhir." Dalam tangisan, Izzah membuka segala rahsia.
Zulhilmi tidak ragu-ragu. Selama ini pun Izzah tidak pernah menipunya. Namun, hakikat bahawa Izzah "TERPAKSA" hidup bersamanya tidak langsung layak diberikan peluang untuk sebarang kemaafan. Keterpaksaan dalam berkasih sayang sesungguhnya sangat menyeksakan. Tiada gunanya hidup bersama andai hanya untuk menyeksa dan disiksa. Oleh itu, tanpa berfikir panjang, Zulhilmi melafazkan talak terhadap isterinya yang sudah tersedu-sedan di menahan tangis dalam kesakitan yang mencengkam jiwa.
*****************************************************************
Mereka sekeluarga terjaga dalam kebasahan subuh itu. Rupa-rupanya atap usang itu sudah bocor. Lubangnya besar sekali. Namun, Izzah langsung tidak mempunyai masa untuk kerja-kerja pembaikan seperti itu. Biarlah jiran sahaja yang membantunya nanti. Setelah ditinggalkan suami tercinta, Izzah dan anak-anak tersayang berpindah ke kampung. Tidak sanggup lagi rasanya hidup di bandar apabila kini dia terpaksa menanggung keempat-empat cahaya matanya yang masih kecil.
Lantai rumah yang sebahagian besarnya sudahpun basah dibanjiri air memaksa Izzah serta anak-anak lelakinya menunaikan solat subuh dalam kesejukan. Sudah hampir sejam juga Izzah cuba mengeringkan lantai rumah usang tersebut supaya tidak terlalu basah. Pilu hatinya melihat anak-anaknya yang masih kecil menggigil kesejukan dalam ketiduran.
*****************************************************************
" Mak, Iman lapar. Dari semalam lagi Iman tak makan nasi. Iman nak nasi...." Rintih si anak sulung yang baru sahaja berusia 10 tahun. Masih tidak mengerti apa itu susah mencari sesuap nasi yang kini sudah ditagih oleh perut kecilnya itu. Izzah bertambah resah kini. Bekalan beras sudah lama habis. Duit tabungannya juga tidak mahu bertambah, malah semakin berkurang dari sehari ke sehari. Yang ada hanyalah ubi kayu simpanan Izzah buat waktu-waktu terdesak nanti. Sudah tiga hari juga Izzah mengisi perut anak-anaknya dengan ubi kayu rebus sahaja. Masakan hari itu Iman serta adik-adiknya harus menelan ubi kayu lagi? Hujan pula tidak mahu berhenti. Sudah hampir seminggu Izzah tidak keluar mengetam padi dan menoreh getah. Sudah tentu dia tidak mendapat upah sekiranya tidak bekerja.
Akhirnya, demi anak-anak tercinta, terpaksa juga Izzah menagih kasih dari Nek Salmah yang selama ini memang sering membantunya. Betapa malunya rasa diri kerana terpaksa meminta-minta pada seorang nenek tua yang sepatutnya dia sendiri yang membantunya. Nek Salmah juga hidup susah dan sendirian sepertinya. Kerana itu mereka mudah rapat dan senang sekali bersama.
" Terima kasihlah nek. Izzah ni, semenjak datang sini, tak pernah nak tolong nenek. Menyusahkan lagi ada. Malu rasanya kalau selalu macam ni". Tertunduk sahaja Izzah setelah menghabiskan kata-katanya. Air mata yang sedari tadi ditahan mencurah juga. Sebak. Sebak kerana kadangkala Izzah terasa seperti sudah tidak sanggup lagi menanggung segala-galanya. Terasa bagaikan amat berat sekali. Beban yang menghimpit-himpit.
Tangan Izzah digenggam erat. Sesungguhnya, betapa Nek Jah mengerti akan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh wanita muda itu. Dia juga pernah susah suatu ketika dahulu. Malah, lebih daripada itu. Namun, tidak pernah dia ceritakan kepada sesiapa kerana tidak mahu menagih simpati. Sebaliknya, bila bertemu dengan Izzah, dia bagaikan melihat dirinya yang dahulu juga seperti itu. Membesarkan anak-anak seorang diri tanpa belaian serta kasih sayang seorang suami. Sehinggalah anak-anaknya besar-besar belaka. Dan sebagai balasan di atas segala pengorbanannya sebagai seorang ibu, dia ditinggalkan seorang diri kini. Sesekali Nek Jah merasa sedih. Namun, dia redha. Mungkin dia sedang dihukum di atas kesilapannya yang lalu. Menjadi anak durhaka yang sanggup membelakangkan ibu sendiri demi mengejar kemewahan serta cinta seorang lelaki kaya yang akhirnya memakan diri.
" Jangan menangis, nak. Hidup memang tak pernah sunyi dari ujian. Jangan pernah sesekali kau putus pengharapan pada Allah. Ingatlah nak...Allah tidak akan mendatangkan ujian ini kepadamu jika kau tidak mampu menanggungnya. Berbahagialah kerana kau masih punya anak-anak untuk menemanimu kelak. Anak-anak yang akan mendoakanmu kelak. Didiklah mereka sebaiknya. Jangan kerana kau ibu tunggal, kau merasa lemah.
"Nek Jah tak kisah. Selagi ada, Nek Jah akan tolong kau. Kalau bukan kau dan anak-anakmu, siapa lagi yang sanggup menemani nenek yang sudah tua dan miskin macam ni? Rezeki nenek ni milik Allah. Untuk kita kongsi bersama. Takkan mampu nenek habiskan seorang diri dan takkan luak pun kalau dikongsi bersama. Mungkin tidaklah banyak, tetapi kalau setakat nak membantu meringankan beban kau dan anak-anak, cukuplah dengan apa yang nenek ada ni.". Not RM 100 dihulurkan ke dalam genggaman Izzah. Izzah capai juga not tersebut walaupun hatinya merasa berat.
Izzah memeluk erat wanita tua itu. Betapa berdosanya rasa diri kerana sering saja mempersoalkan ujian dari Allah yang datang bertimpa-timpa. Padahal, dia tahu bahawa tidak akan didatangkan ujian-ujian tersebut kepadanya andai dia tidak mampu menanggungnya. Tangisannya tumpah di ribaan Nek Jah yang setia mendengar segala keluh-kesah wanita muda itu. Sayu juga hatinya apabila melihat keadaan Izzah yang tidak berdaya, serba serbi kekurangan, ditambah pula dengan anak-anak kecil yang masing-masing masih terlalu muda untuk mengerti apa itu hidup serta tangisan jerih payah seorang ibu.
*****************************************************************
Nek Salmah sememangnya tidak pernah terlalu kedekut untuk memberi. Andai ada kemampuan pada dirinya, sudah pasti dia akan membantu keluarga itu. Keluarga itu sudah dia anggap seperti anak-anaknya sendiri. Nek Salmah juga sering membantu Izzah menjaga anak-anaknya yang masih kecil di rumah. Oleh kerana tidak bersekolah, Iman, Ihsan, Ilyas dan Ildas duduk sahaja di rumah. Kadangkala turun ke sawah membantu Izzah. Ada pula waktu-waktunya bermain-main di tepi sungai. Dan lebih selalu lagi menemani Nek Salmah di rumahnya sambil mendengar kisah-kisah para nabiya dan belajar mengaji di sana. Keikhlasan serta segala pengertian Nek Salmah sentiasa mendapat doa daripada Izzah. Doanya agar wanita tua itu ditempatkan bersama insan-insan yang beruntung di akhirat kelak.
*****************************************************************
" Izzah minta tolong nenek tengokkan anak-anak Izzah hari ni. Izzah nak ke pekan sekejap. Nak ambil upah mengetam dari tuan tanah. Lepas itu nak beli barang-barang keperluan rumah dan ubat nenek sekali. Boleh ya nek?" Lembut sekali bicara Izzah pada wanita tua yang sudah dianggap seperti ibu sendiri. Nek Salmah hanya tersenyum. Sudah pasti dia yang akan menjaga keempat-empat anak kecil yang nakal itu. Hanya dia yang tahu bagaimana cara untuk melenturkan kenakalan keempat-empatnya. Izzah sendiri juga kadangkala tidak menang tangan melayan kerenah anak-anaknya. Hanya apabila Nek Salmah ke rumahnya, barulah anak-anak kecil itu tahu apa maknanya diam dan mendengar.
*****************************************************************
Sudah maghrib. Izzah masih tidak pulang lagi. Nek Salmah sudah keresahan. Mungkinkah sesuatu telah berlaku di pekan? Naudzubillah...Semoga Izzah sentiasa dijauhkan dari segala malapetaka.
Menjelang isya', rumah usang itu sudah mula sesak. Jenazah Izzah yang baru sahaja selesai dikapankan diletakkan di tengah rumah. Anak-anak kecil itu merenung wajah Izzah yang sudah kebiruan akibat terlalu lama berendam di dalam air. Mayat Izzah ditemui hanyut dibawa arus sungai. Hanya Allah yang tahu apa sesungguhnya yang telah terjadi kepada wanita muda itu.
Iman sudah mula menangis-nangis. Meskipun dia masih sangat muda, dia tahu bahawa ibunya sudah tiada. Ihsan pula masih terkebil-kebil. Cukup dia tidak faham dengan kerenah abang sulongnya yang menangis tanpa sebab.
" Abang, mak kenapa? Kenapa mak tak pujuk abang Iman? Kan mak selalu pujuk kalau abang Iman menangis?" Ilyas sudah mula bertanya. Wajah Ihsan ditatap dalam. Menantikan jawapan.
Ihsan juga tidak pasti. Ildas yang masih lena tidur di dalam pangkuan Nek Salmah direnungnya sekilas. Kemudian, dilemparkan pula pandangannya ke arah Iman yang sedari tadi meratap di sisi ibu tercinta sambil jari-jemarinya mengusap-usap wajah ibu yang sudah kebiruan. Tetapi, mengapa ibu tidak menjawab? Sedang tidurkah ibu? Dipandang semula wajah Ilyas yang masih menanti jawapan dengan penuh pengharapan. Wajahnya tersenyum-senyum memandang orang-orang kampung yang jarang sekali datang ke rumah tersebut. Anak kecil itu pemalu orangnya. Sesekali wajahnya disembunyikan di balik baju Ihsan. Orang-orang kampung pula hanya mampu melahirkan rasa sebak dan sedih melalui linangan air mata. Sedih mengenangkan anak-anak kecil yang masih tidak mengerti akan hakikat kejadian wanita yang sudah berbalut kain putih tersebut.
" Mak tidur tu. Sebab itu mak tak dengar abang nangis. Em.... Mak tidur. Jangan bising ya. Nanti mak bangun. Kesian Mak. Mesti Mak penat. Sampai biru-biru muka dan tangan Mak. Nanti kita sama-sama urut Mak kalau Mak bangun. Mesti Mak suka." Ihsan kemudiannya tersenyum. Begitu juga dengan Ilyas. Nek Salmah hanya mampu mengalirkan air mata. Iman masih juga tidak berhenti-henti menangis di sisi mayat ibunya. Disaksikan oleh warga kampung yang turut mengerti akan peritnya penderitaan yang dia rasakan kini. Ihsan dan Ilyas masing-masing sudah mengatur langkah ke pinggir rumah. Mula bermain-main dan bergelak ketawa sesama sendiri.
Alhamdulillah.....ibu....ibu...engkaulah ratu hatiku....hmmm...lama dah tak dengar lagu ni...lepas ni, siapalah yang nak jaga adik-beradik tu ea? mak dah takda. Nek Salmah pun dah tak mampu. kesian...kali ni, saya hanya nak bercerita sahaja. yang selebihnya, kita fikirkan sendiri. walau apapun, semoga cerita ini membawa perubahan dan juga pengajaran besar dalam hidup kita..hargailah anugerah Allah yang satu ini...IBU....
wassalam...
2 comments:
Assalamua'laikum..
memang menusuk dikalbu..
hebat bahasa yang dicoret..
tapi cuba selitkan 1@2 hadis atau ayat Al-Quran
sedikit sebanyak pembaca dapat membaca hadis dan tafsir Al-Quran
maaf,ia sekadar cadangan..
waalaikumsalam...
syukran utk suggestion nya..
utk penambahbaikan d masa hadapan.. =)
Post a Comment