andai kau sudi

Friday, January 7, 2011

NUR KASIH

 Assalamualaikum W.B.T....


   Hai kawan-kawan! (cecece..macam budak kecik). Lama tak jumpa. Rindu sangat dengan kalian semua. Sem 2 sangat bz dan berat. Tapi, dapatlah mencuri sedikit masa untuk menulis. Sebelum itu, nak tanya dulu. Sihatkah kalian semua? Hati sihat? Lidah sihat? Telinga sihat? Alhamdulillah... Baguslah kalau sihat..Kalau tidak sihat, jumpa "doktor" anda. Mungkin sebab tak makan ubat tu.. Cerita apa pula kali ni? Nak tahu? Bacalah sampai habis...




"InsyaAllah... Kalau Qilah dah dapat cuti, Qilah balik lah. Mak tunggu ya. Jangan lupa makan ubat. Kalau ada masalah, Mak telefon Qilah je. Qilah pasti datang. Jaga diri baik-baik, Mak. Sampaikan salam Qilah pada ayah dan adik. Assalamualaikum..".


   Telefon bimbit yang masih baru itu disimpan semula di dalam beg tangannya. Aqilah merasa cukup senang setelah menerima panggilan dan berita baik daripada ibu tersayang. Baru saja semalam dia meninggalkan kampung tercinta, keluarganya sudah mula merindui wanita muda itu. Manakan tidak? Aqilah anak yang baik dan taat kepada kedua-dua orang tuanya. Sejak dari kecil lagi, dia cukup disayangi oleh kedua-dua orang tuanya kerana sikapnya yang lemah lembut dan mudah menurut kata. Tidak pernah sekalipun dia membantah perintah kedua-dua orang tuanya, jauh sekali meninggi suara.


   Meskipun sikapnya terhadap keluarga menyerupai sikap kebanyakan gadis muda di kampung itu, Aqilah adalah seorang wanita yang cukup berbeza. Dia wanita yang tinggi cita-citanya. Gaya hidupnya juga cukup berbeza daripada kebanyakan wanita lain yang sudah seusianya. Jika kebanyakan wanita pada usia 26 tahun sudah berfikir untuk berkahwin dan mengakhiri zaman bujang, Aqilah lebih selesa hidup menyendiri dan menyerahkan sepenuh bakti kepada kedua-dua orang tuanya. Personalitinya sebagai seorang wanita yang hidup di bandar besar juga cukup menyerlah.


   Sebagai seorang wanita berkerjaya yang masih hidup membujang, tidak ada apa-apapun yang dapat menghalang Aqilah daripada melakukan apa sahaja yang diingininya. Kemewahan, kekayaan, kesenangan dan wang ringgit sudah menjadi sangat sebati dalam hidupnya. Aqilah tidak pernah kenal apa itu susah, apa itu payah, apa itu derita mencari wang dan bekerja membanting tulang demi mencari sesuap nasi. Hidupnya sentiasa senang dan mewah. Segala keinginannya tidak pernah ada yang tidak tercapai. Aqilah tidaklah dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya, namun setiap keinginannya tidak pula terlalu tinggi sehingga tidak tercapai oleh kedua-dua orang tuanya. 


   Bekerja di bandar menjadikan Aqilah sedikit terbuka dan bebas. Jika dahulu, ketika di kampung, dia hanya duduk-duduk di rumah dan membantu ibunya. Kini, segala-galanya berubah. Dia sudah tahu apa itu outing, dia sudah sebati dengan shopping. Bowling? Itu sudah pasti! Aqilah juga lebih senang keluar sehingga lewat malam sambil menghabiskan masa bersama rakan sekerja yang kebanyakannya lelaki. Pernah juga ada di antara mereka yang cuba meraih cintanya, namun semuanya dia tolak kerana dia tidak mahu terikat kepada sesiapa kerana dia nyata masih belum bersedia untuk meninggalkan segala keseronokan hidup bebas tanpa ada sesiapapun yang mengawalnya. Tidak mungkin dia mampu memberikan sebarang komitmen terhadap keluarga sendiri andainya dia masih belum bersedia. Seorang suami? Itu bukan yang dia cari buat masa ini. Dia masih ingin melebarkan sayapnya dan terbang sejauh mungkin. Berkahwin bermakna dia terpaksa melepaskan segala cita-cita dan melupakan segala impian yang telah dibina selama ini.


" Maafkan Qilah Mak. Qilah bukan tak sudi, Qilah cuma belum bersedia. Qilah harap Mak faham. Qilah tak naklah nanti, bila Qilah kahwin dan jadi isteri orang, Qilah  jadi isteri yang tidak bertanggungjawab. Qilah tak mahu suami Qilah tersiksa dan merasa tidak bahagia. Mak faham kan? ", lembut sekali bicara Aqilah malam itu.


   Pinangan daripada rakan sekerja dia tolak bulat-bulat. Sesungguhnya, segala apa yang diperkatakannya kepada ibu tercinta pada waktu itu hanyalah alasan semata-mata. Sejujurnya, dia tidak mahu hidup berumah tangga. Dia tidak mahu berkongsi hidup dengan sesiapapun. Kehadiran lelaki di dalam hidupnya hanya akan menyukarkan kehidupan. Dia cukup trauma terhadap istilah "perkahwinan" apabila melihat sahabat-sahabatnya yang lain menangis di hari-hari mereka kerana bertegang urat dengan suami masing-masing.


" Aku boleh hidup sendiri. Aku boleh berjaya walaupun tanpa lelaki di sisi. Andai sudah hari-hari bertekak dan menangis, apa guna perkahwinan itu diteruskan? Dan.. Apa motifnya berkahwin dahulu? Anak-anak juga yang tersiksa jika begitu jadinya. Kemudian, rasa menyesal terhadap perkahwinan tersebut dan mula bercerai-berai. Ah! Aku betul-betul tidak memerlukan lelaki untuk merosakkan hidupku yang sudah berada di puncak gunung ini."


   Tegas sekali Aqilah menjawab tatkala ditanya mengapa dia masih hidup membujang meskipun umurnya sudah semakin meningkat. Kadangkala, Aqilah lebih suka cakap lepas tanpa menghiraukan perasaan orang di sekelilingnya. Bila diajak makan malam bersama rakan-rakan yang sudah berkeluarga, dia pasti menolak. Lain pula jawabnya bila rakan-rakan lelaki yang masih bujang mengajaknya keluar. Pasti cepat sahaja dia bersetuju. Aqilah sejujurnya sangat benci kepada makhluk Allah yang bergelar lelaki itu. Namun, dia sendiri pun masih tidak tahu mengapa dia bersetuju sahaja ketika diajak keluar bersama mereka.


   Bila ada yang sudah mula menunjukkan tanda-tanda jatuh hati kepadanya, dia akan terus melayan mereka. Kemudian, dengan sewenang-wenangnya menolak cinta mereka dan membiarkan mereka mendapat malu ketika datang meminang. Rasa benci dan dendamnya terhadap lelaki yang telah banyak merosakkan hidup rakan-rakan wanita yang lain menjadikan dia seorang pendendam. Dia ingin membalas segala-galanya. Dia ingin mereka tahu bagaimana teruknya perasaan apabila cinta ditolak dan dipermainkan. Sikap rakan-rakan lelaki yang rata-ratanya suka mendampingi kaum wanita atas alasan mempermainkan perasaan mereka dan kadangkala kerana taruhan menjadikan Aqilah tambah benci akan mereka. Seperti biasa, dia akan memaniskan muka di hadapan mereka, keluar apabila diajak, membalas cinta andai ada yang mahu, menjerat mereka ke dalam jurang cintanya dan akhir sekali, dia akan meninggalkan mereka ketika mereka sudah benar-benar mabuk cinta padanya. Aqilah pantas saja diberi anugerah kerana "lakonannnya" yang berhasil setiap kali.


 " Apa yang kamu menungkan malam-malam buta begini nak? Kamu tak suka ke balik rumah Mak? Kamu rindu KL.... Atau kamu rindu bakal menantu Mak di sana?" sekumtum senyuman terukir tatkala Puan Ainul mengusik wanita muda yang kini sudahpun berada bersamanya setelah hampir 5 bulan tidak pulang ke kampung.


   Cuti panjang yang baru sahaja diluluskan oleh pihak atasan Aqilah manfaatkan dengan sepenuhnya. Pasti tidak ada tempat lain yang akan dituju jika bukan ke kampung bersama ibu serta keluarga tercinta. Aqilah sedikit tersentak apabila perkataan "menantu" itu sudah mula lagi "naik". Serentak itu juga, perasaannya menjadi tidak keruan. Ingin saja dia marah rasanya. Namun, seorang ibu yang sudah bersusah payah dan berkorban nyawa deminya tidak sepantasnya dia buat begitu. Aqilah hanya tersenyum.


" Mak, cuti Qilah panjang lagi ni. Qilah rasa, ada baiknya kalau kita pergi jalan-jalan. Pergi jauh sikit. Tempat yang tenang dan jauh dari kota. Mak nak tak?" bersemangat sekali Aqilah tatkala menyatakan rancangannya.


   Puan Ainul hanya tersenyum. Dia tahu bahawa Aqilah pasti mengelak jika ditanyakan tentang cinta atau suami. Jika Aqilah bahagia begitu, Puan Ainul tidak mahu juga memaksanya. Dia mahu Aqilah memilih jalan hidupnya sendiri. Dia tidak mahu Aqilah tersiksa andainya nanti dia terpaksa mengikut kehendaknya.


" Mak tak kisah Qilah. Pergilah mana-mana pun. Mak ikut je. Ayah kau pun mesti suka. Adik kau tu pun, dah lama Mak tak bawa jalan-jalan."


   Bukan main gembira lagi Aqilah apabila ibunya bersetuju dengan rancangannya untuk bercuti bersama. Sudah ada terlalu banyak masalah di tempat kerja dan kini dia ingin mencari lebih ketenangan. Mencari kedamaian. Dan yang paling penting, melarikan diri daripada isu lelaki dan cinta. Malam itu juga Aqilah menghubungi sahabat karibnya untuk bertanyakan mengenai tempat yang paling pantas untuk dijadikan tempat percutian. Kali ini, targetnya adalah sebuah pulau. Pulau yang berada jauh sekali dari bandar. Pulau yang dikatakan cukup tenang dan penuh dengan sejarah. Pulau peranginan yang cukup popular di kawasan itu. Pulau Titian. Mengapa Titian? Tidak ada sesiapapun yang tahu sejarah serta asal usul namanya.


   Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa memberikan ketenangan yang tidak terucap oleh kata-kata. Suasana pantai yang cukup tenang memberikan Aqilah ruang yang seluas-luasnya untuk membebaskan segala masalah yang membebani fikirannya.  Laut yang luas itu direnungnya lama. Terlintas juga di fikirannya. Mengapa laut yang luas dan indah itu tidak pernah dia hargai sebelum ini? Dalam erti kata lain, mengapa dia tidak pernah mengenali Pencipta laut yang indah itu? Pencipta laut yang menjadi sebab kepada setiap hembusan dan jejak langkahnya sehingga ke hari ini. Sudah lupakah dia? Atau sememangnya dia tidak pernah kenal Pencipta itu?


   Hatinya kini terasa bagai dijentik. Dijentik dengan lembut sekali sehingga dia merasa cukup tersentuh. Cukup sedih. Tanpa disedari, air matanya sudah mula mengalir. Pandangannya dilemparkan pula ke arah pokok-pokok kelapa yang melambai riang. Dari mana pula datangnya angin? Siapa pula yang meniupkannya? Bermacam-macam persoalan berlegar di ruang fikirannya kini. Bukan dia tidak tahu jawapannya. Cuma selama ini, dia tidak pernah kisah akan Pencipta segala-galanya. Hidupnya kosong. Dia bahagia tetapi hidup seolah-olah seperti tidak punya hala tuju. Tidak membalas cinta Sang Pencipta terhadapnya. Sebaliknya sibuk menjual cinta dan kemudian mempermainkan insan-insan lain atas nama cinta, sedangkan cinta itu sepatutnya menjadi milik Penciptanya itu.


   Entah mengapa, hari itu hatinya ingin sekali berbicara tentang cinta. Cinta terhadap Allah. Bagaimana bisa dia memberikan cinta iu kepada Allah? Dia sendiri tidak punya jawapannya. Masih lagi dibelenggu oleh kelalaian dan kejahilannya.


   Matahari sudah mula beranjak pergi. Setiap minit yang berlalu terasa pantas sekali. Tiba-tiba, dia dikejutkan dengan laungan azan yang begitu indah sekali. Laungan syahdu yang menyeru seluruh muslimin dan muslimat untuk kembali kepada Penciptanya. Selama ini, tidak pernah sekalipun laungan itu dia pedulikan. Namun, laungan azan yang berkumandang kali ini begitu menyentuh hatinya. Saat itu juga dia rasa ingin segera pulang ke pangkuan Allah. Saat itu juga dia rasa seperti ingin berada di dalam dakapan Allah. Ada rindu di hatinya.


   Langkahnya dipercepatkan. Dia ingin segera pulang ke rumah. Hari juga sudah semakin gelap. Terasa seram juga apabila mengenangkan dirinya seorang diri berjalan nanti. Langkahnya dihentikan serta merta. Kelibat orang ramai yang sudah mula memenuhi masjid segera menarik perhatiannya. Terdetik juga rasa di hati untuk ke sana. Namun, dia malu kerana kepalanya langsung tidak ditutup oleh sehelai benang pun, sedangkan wanita-wanita yang memasuki ruma Allah itu semuanya lengkap dengan pakaian yang menutup aurat. Tetapi, hatinya kuat mengatakan bahawa dia harus juga masuk ke dalam masjid itu.


   Lama sekali Aqilah menunggu di luar masjid. Dia langsung tidak kelihatan oleh mata-mata lain kerana susuknya yang kecil dilindungi sepenuhnya oleh pokok besar tempat dia menyembunyikan diri. Selesai solat Isyak, dilihatnya orang ramai sudah mula meninggalkan masjid. Tidak kurang juga anak-anak kecil yang masih sangat muda sudah mula berjemaah di masjid. Malu sekali Aqilah apabila melihat semula kepada dirinya. Puas juga dia memuhasabah diri meskipun dalam keadaan yang begitu tidak menyelesakan. Sedar-sedar sahaja, masjid nyata sudah benar-benar kosong.


   Perlahan-lahan Aqilah keluar daripada tempat persembunyiannya. Dia melangkah masuk ke dalam rumah milik Allah itu. Sungguh sejuk sekali. Sejuk dan tenang meskipun tidak kelihatan mewah dan indah seperti kebanyakan masjid yang tersergam indah di bandar-bandar besar. Jarang sekali kelihatan penuh seperti masjid kecil di pulau itu. Sedikit sebanyak, ada kekaguman di hati Aqilah. Dia kagum dengan cara hidup orang-orang di pulau itu yang cukup Islamik. Berbeza sekali dengan bandar tempat tinggalnya yang dipenuhi dengan bermacam-macam gejala sosial yang merosakkan jiwa. Dia juga merupakan salah seorang daripada penggeraknya. Terasa tidak layak pula orang sepertinya memasuki rumah Allah yang bersih dan suci daripada sebarang noda.


   Masih dia berasa terpegun dengan suasana di dalam masjid yang memberikan sejuta ketenangan di hatinya. Buat seketika, Aqilah hanyut dalam perasaan tenang itu sehingga dia tidak  sedar langsung bahawa 2 jam sudah berlalu. Dentingan daripada jam dinding yang berada jauh di pintu masjid cukup mengejutkan Aqilah. Sudah tepat pukul 12 tengah malam.


   Segera dia melangkah keluar. Keadaan sudah terlalu gelap. Bagaimana harus dia pulang kini? Di mana pula tempat letaknya chalet tempat dia dan keluarganya menginap? Dia sendiri pun kurang pasti. perlahan-lahan Aqilah berjalan kerana dia takut tersesat arah. Cahaya daripada bintang-bintang yang gemerlapan sedikit sebanyak membantunya malam itu. Namun, dia tidak keruan. Terasa ada sesuatu sedang mengiringinya. Bila ditoleh ke belakang, tidak kelihatan pula kelibat itu. Aqilah menjadi takut semula. Pulau yang sunyi dan tenang seperti itu pasti punya bermacam-macam penghuni di dalamnya. Pasti dia tidak berjalan sendirian malam itu.


   Aqilah mempercepatkan langkahnya. Dia sendiri pun kurang pasti akan arah tujunya. Yang dia tahu, dia ingin segera melarikan diri kerana derap kakinya kini tidak kedengaran sendirian. Aqilah sudah tidak tahan. Sepantas-pantasnya dia menoleh ke belakang lalu mendapati susuk tinggi yang berpakaian serba putih berada di belakangnya.  Hampir saja Aqilah pengsan apabila terlihat akan susuk itu. Tidak pula kelihatan kakinya menjejak tanah. Pasti "hantu". Itulah fikir Aqilah. Peluh membasahi wajahnya. Dia ingin lari, namun kakinya terasa bagaikan sudah tidak boleh bergerak lagi. Kaku di dalam kesejukan angin malam. Aqilah rebah di situ. Dia terduduk.


" Saya tidak sengaja. Maafkan saya. Sudah lewat malam. Tidak baik sekiranya saudari berjalan sendirian di pulau ini. Niat saya cuma ingin memastikan saudari sampai ke tempat tuju saudari dengan selamat. Saya minta maaf sekali lagi", ada sedikit kegelisahan dalam nada suara lelaki muda itu. Pemuda itu merasa bersalah kerana telah menakutkan wanita muda itu. Segera dia menghampirinya. Aqilah yang sedari tadi mendiamkan diri dalam ketakutan menghembuskan nafas lega. Kehadiran lelaki berjubah putih itu benar-benar membuatkan dia berasa tenang meskipun sebelum tadi susuk itu benar-benar membuatkan dia ketakutan.


   Pengalamannya bertemu dengan pemuda yang dia anggap "hantu" itu benar-benar mencuit hatinya. Tanpa disedari, dia mula tersenyum-senyum sendirian di luar bilik. Puan Ainul berasa sangat hairan apabila melihat akan keletah anak sulungnya itu. Jarang sekali dia tersenyum-senyum sendirian begitu. Tidak ubah seperti orang yang sedang mabuk dilamun cinta. Segera dia menghampiri Aqilah.


" Kenapa Qilah? Senyum-senyum sendiri di sini. Teringatkan menantu Mak lagi?" , Puan Ainul masih cuba memancing sebarang rahsia yang mungkin sedang bersarang di lubuk hati Aqilah.


" Semalam kan Mak, Qilah pergi masjid yang ada dekat tengah pulau ni. Qilah jumpa seseorang. Merdu sekali suaranya melaungkan azan", Aqilah tersenyum lagi. Kemudian, pandangannya dilemparkan ke arah laut yang terbentang luas di hadapannya. Masih dia ingat lagi bagaimana segala-galanya berakhir dengan sebuah perkenalan semalam.


   Azrul. Pemuda itu bernama Azrul. Orangnya sopan dan lembut. Banyak juga yang diceritakan pada malam itu. Perasaan malu yang menebal sedikit sebanyak membuatkan Aqilah kurang selesa. Namun, apa boleh buat? Mungkin inilah yang dinamakan takdir. Pertemuan pada kali pertama sudah cukup untuk membuatkan Aqilah mengenali Azrul. Aqilah sangat tertarik dengan perilaku serta akhlaknya. Mulutnya tidak berhenti-henti menyebut Allah. Sikap pelindung terhadap kaum wanita yang ditunjukkan juga sangat memikat hati Aqilah. Meskipun berjalan bersama-sama dan berbicara agak panjang, Azrul tidak sekalipun mengangkat kepala untuk memandang walau sekilas ke arahnya. Betapa dia menjaga pandangannya. Keikhlasan pada niatnya membantu Aqilah pada malam itu sangat Aqilah hargai.


   Sudah hampir 2 minggu Aqilah berada di pulau itu. Cutinya tinggal hampir seminggu lagi. Sepanjang tempoh itu, Aqilah rajin sekali menghadirkan diri ke masjid untuk solat berjemaah. Tidak lupa juga dia kepada setiap majlis ilmu yang diadakan di sana. Banyak juga yang sudah dia pelajari di sana. Sikap ramah dan suka membantu yang ditunjukkan oleh gadis-gadis muda di pulau itu benar-benar membuatkan Aqilah berasa bagaikan di rumah sendiri. Setiap permasalahan agama dibincangkan bersama. Sebagai orang yang masih "baru" di dalam bidang itu, Aqilah tidak pernah terlalu kedekut untuk bertanya. Jika ada persoalan yang perlukan jawapan, Aqilah pasti akan merajinkan diri ke masjid. Di sana, ada banyak insan mulia yang boleh membantunya.


   Azrul merupakan salah seorang daripadanya. Perkenalan pada malam yang menakutkan telah mendekatkan mereka. Permasalahan agama kerapkali mereka bincangkan bersama. Aqilah juga telah menceritakan segala permasalahan dan kisah hidupya selama ini. Dan atas sebab itu, Azrul terasa terpanggil untuk membantunya. Tidak pula dia ingin membelakangkan sesiapa atau menunjuk pandai. Jika boleh, dia ingin membantu wanita itu semampu yang boleh. Kewibawaan Azrul sebagai seorang lelaki benar-benar telah memikat hati Aqilah. Azrul seringkali memberi peringatan serta mesej-mesej yang bermakna buat tatapan serta pedoman hidupnya. Tidak pernah sekalipun Azrul mengambil kesempatan terhadap dirinya. Dia seorang lelaki mulia. Dalam diam, Aqilah mula menaruh perasaan pada anak muda itu.


   Mesej daripada Aqilah malam itu benar-benar mengejutkan Azrul. Mungkin Aqilah sudah tersilap kata. Namun, mesej yang dihantar tidak ubah seperti sebuah luahan perasaan terhadapnya. Ada cinta datang bersama mesej itu. Haruskah dia menyambutnya? Dia sendiri juga tidak pasti. Azrul hanya tersenyum sendiri. Aqilah pula tidak habis-habis menyalahkan dirinya. Betapa tadi dia telah khilaf. Perasaan yang dia simpan selama ini, secara tidak sengajanya telah terluah. Segera dia membetulkan keadaan. Dia tidak ingin Azrul mengetahui segala isi hatinya.


" Maafkan saya. Saya tersilap tulis. Bukan "itu" maksud saya".


   Ringkas dan pendek. Azrul masih lagi tersenyum. Dia juga yakin bahawa Aqilah memang tersilap tulis. Tidak mungkin ada apa-apa perasaan istimewa di antara mereka. Baru sahaja 2 minggu berkenalan. Masakan sudah jatuh cinta? Mesej daripada Aqilah dibiarkan tidak berbalas. Azrul tidak mahu melanjutkan cerita. Dia bimbang Aqilah akan tersalah tafsir pula nanti.


   Esok, Aqilah akan pulang semula ke kota. Dia ingin sekali bertemu Azrul. Ingin sekali dia meluahkan segala perasaan yang terbuku di dalam hati. Mungkin semalam dia cuba menyembunyikan segala-galanya. Tapi, hari ini dia tidak mahu bersembunyi lagi. Sama ada dia menemui Azrul hari ini dan meluahkan segala-galanya atau kehilangan Azrul buat selama-lamanya. Dia pergi untuk tidak kembali lagi. Namun, dia tidak punya keberanian. Tidakkah nanti dia kelihatan seperti "perigi yang mencari timba"? Sedangkan selama ini, dia tidak pernah sekalipun mencari mana-mana lelaki, sebaliknya mereka yang akan datang sendiri kepadanya. Dan yang lebih penting, adakah diterima cintanya nanti? Mungkinkah ada tempat di hati Azrul buatnya? Buat perempuan yang masih dibelenggu kejahilan sepertinya. Apakah wanita sepertinya layak buat Azrul?  Aqilah berasa cukup sedih. Dia menangis sendirian. Mungkin kini dia sudah kenal apa itu cinta. Terasa pedih sekali di hatinya. Itukah cinta? Sangat sakit dan menyiksakan? Aqilah sendiri kurang pasti. Tapi, apa yang pasti ialah, dia ingin sekali menjadi pendamping Azrul meskipun dia tahu jurang di antara mereka berdua tidak mungkin akan tertimbus meskipun bergunung tanah diruahkan ke dalamnya.


   Aqilah pasrah. Dia terlalu takut. Kekurangannya di sana sini. Dia tidak mungkin dapat menerima hakikat cintanya ditolak nanti. Biarlah perasaan itu dia simpan sahaja. Kini, segala-galanya Aqilah serahkan kepada Allah. Dia lebih mengetahui. Andai ada jodoh di antara mereka, pasti akan bersatu jua. Dengan deraian air mata, Aqilah dan keluarganya meninggalkan pulau itu. Hatinya terasa pedih lagi. Sakit sekali. Puan Ainul hanya mampu menenangkan anak sulungnya itu. Segala-galanya telahpun diceritakan kepadanya. Dia sendiri juga tidak mampu membantu andai Aqilah sendiri tidak mempunyai sebarang keberanian. Sedihnya dia apabila melihat wanita muda itu dilanda derita. Puan Ainul hanya mampu berdoa agar Aqilah dan Azrul akan disatukan juga suatu hari nanti.


   Sudah hampir 2 bulan Aqilah dan Azrul tidak berhubung. Dalam tempoh itu, Aqilah masih tidak mampu melupakan Azrul. Meskipun begitu, tidak pula dia membiarkan dirinya lemas di dalam laut cinta itu. Dia cuba sedaya upaya untuk melupakan segala kenangan indah di pulau itu. Dia kini lebih rajin menghadiri majlis-majlis agam yang diadakan di bandar. Dia juga sudah tida keluar malam seperti dahulu lagi. Jika ada pun, hanya ke masjid atau beberapa tempat bersama teman-teman baru yang dikenali di masjid. Sedikit sebanyak, perihal Azrul sudah mula menjauhi fikirannya. Kini, dia lebih senang menyibukkan diri dengan urusan di tempat kerja dan majlis-majlis ilmu. Dia tidak mahu segala-gala yang telah dipelajari di pulau itu menjadi sia-sia. Meskipun dia kini tidak lagi berada di pulau itu, tidak bermakna dia harus meninggalkan agamanya di situ. Hakikat bahawa dia merupakan seorang muslim tidak akan berubah meskipun ke hujung dunia dia melarikan diri.


   Aqilah masih menangis sendirian. Sudah 3 hari dia menangis tidak berhenti-henti. Keputusan ayahnya untuk mengahwinkan dia dengan pemuda pilihannnya begitu menyiksa batin Aqilah. Sejujurnya, hatinya masih buat Azrul. Hatinya masih di Pulau Titian. Namun, dia tidak mampu membantah keputusan bapanya kali ini. Sudah banyak kali pinangan ditolak. Sudah puas dia mengelak. Umurnya sudah semakin meningkat. Dia harus berkahwin segera.


   Hari yang sepatutnya menjadi hari yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap wanita menjadi sebuah hari yang sangat menyedihkan buat Aqilah. Dia hanyut ditelan kesedihan yang tidak bertepi. Azrul. Bagaimana dengan Azrul? Dia masih menunggu Azrul. Menunggu cinta yang tak kunjung tiba. Puas juga Puan Ainul cuba menenangkan Aqilah pagi itu. Berlinang air matanya melihat kesedihan anak itu. Dia juga sudah berkali-kali memujuk suaminya supaya membatalkan saja perkahwinan itu. Namun, segala usahanya tidak berhasil. Aqilah dipeluknya erat-erat.


" Jangan bersedih nak. Mungkin sudah tidak ada jodoh buat kamu berdua. Allah sudahpun mengaturkan seseorang yang lebih baik buatmu. Terimalah takdir-Nya nak. Tidak manis jika kau menangisi hari yang baik ini. Cintailah suamimu itu nanti seadanya. Cintai dia kerana Allah. InsyaAllah.. Kau pasti akan lebih bahagia meskipun bukan Azrul yang menjadi pendampingmu. Pupuklah cinta itu".


  Pesanan daripada ibu tercinta masih lagi segar di dalam ingatannya. Suasana di masjid sudah menjadi agak tenang. Segala-galanya sudah sah dan selesai. Tangan disalami tanda lelaki di hadapan itu bukan lagi ajnabinya. Dikucup dahinya perlahan. Kemudian, dikucup pula pipinya.


" Azrul sayang Qilah", suara lembut itu menyapa pendengarannya. Pelukan erat itu tidak juga dilepaskan meskipun berada di hadapan orang ramai.Tatkala itu juga, Aqilah segera mengangkat kepalanya.


" Azrul!" bisik hati kecilnya.


   Azrul hanya tersenyum. Sejak pemergian Aqilah yang langsung tiada berita dan khabar, Azrul juga menjadi tidak keruan. Dia dilanda keresahan. Wajah Aqilah tidak berhenti-henti mendatangi ruang fikirannya. Aqilah juga yang dia lihat di setiap sujud istikharahnya. Dengan keyakinan bahawa Aqilah merupakan wanita yang terbaik buatnya, Azrul pergi menemui ayah Aqilah di kampung. Panjang sekali bicaranya dengan bakal bapa mertua. Meskipun pada awalnya ayah Aqilah kelihatan agak keras, segala-galanya menjadi mudah kerana sikap Azrul sendiri yang begitu menarik perhatian ayah Aqilah. Azrul terlebih dahulu memikat orang tuanya meskipun Aqilah adalah wanita yang ingin dikahwini. Dan di atas sebab itulah, dalam masa 2 hari sahaja, segala-galanya sudah ditentukan. Cara serta prinsip yang Azrul tetapkan dalam membina sesebuah perhubungan mendapat tempat yang tinggi di pandangan lelaki tua itu. Azrul adalah lelaki yang soleh dan ayah Aqilah sangat yakin akannya. Segalanya diaturkan tanpa pengetahuan Aqilah serta ibunya. Perkahwinan yang cukup ringkas meskipun segalanya boleh saja diaturkan secara besar-besaran.


   Malam itu, usai solat sunat pengantin baru, kedua-duanya duduk berhadapan. Saling bertentang mata. Aqilah kini cukup bahagia. Pipi mulus Aqilah diusap lembut.


   "Subhanallah... Cantiknya isteri Abang... Cantiknya amanah Allah buat Abang ni... Amanah ini akan Abang jaga dan bentuk dengan sempurna. Akan  Abang pulangkan kepada Pemiliknya nanti dalam keadaan dia mendapat kurnia serta tempat terbaik di sisi-Nya. InsyaAllah.. Namun, Abang tidak mungkin dapat lakukannya sendirian. Oleh sebab itu, Aqilah bantulah Abang. Sama-sama kita mencapai redha-Nya. Sama-sama kita mencari cinta-Nya. Sama-sama kita membalas cinta-Nya. Agar nanti, kita sama-sama akan ke syurga. InsyaAllah...."


   Kebahagiaan sebenar kini milik Aqilah. Diciumnya tangan itu sambil air matanya syukurnya tidak berhenti-henti mengalir.......


   Wahhhhhh!!!!!!! Beznya kawen!!! Haha...Kalau macam tu, saya pun nak kawenlah!  InsyaAllah..One day.. Selesai sudah 1 lagi cerpen.  Panjang lebar crita kali ni ea. Apa tema yang digarapkan dalam crita kali ni? Cinta pada makhluk? Cinta pada Allah? Atau cinta kepada makhluk kerana Allah? Cinta mana pula yang paling agung sekali? Haaaa... Fikirkan bersama-sama... Perihal jodoh ni, tidak dapat kita nak tentukan sendiri. Allah sudahpun tentukan buat kita. Mungkin nanti, kita pun akan jatuh cinta pada seseorang. Cinta sangat sampai tak tertanggung lagi. Tapi, kita sedih pula bila tak dapat kahwin dengan dengan dia. Sebaliknya, kita kahwin dengan orang lain. Ingat kawan2, kita tak semestinya berkahwin dengan orang yang kita cintai. Tetapi, kita berkahwin dengan jodoh kita yang Allah sendiri dah aturkan. Jadi, berpada-padalah ketika cinta kepada seseorang. Allah lebih mengetahui tentang setiap apa yang Dia aturkan. Kita just kena yakin pada Dia. Cepat atau lambat pun bukan satu isu. Setiap manusia diciptakan berpasang-pasangan. Tiada keraguan. Jangan sedih kalau masih belum bertemu suami atau isteri anda. Dia pasti ada di mana-mana. Cuma mungkin belum tiba masanya. Jangan pula rasa susah kalau kahwin dengan orang yang kita tak cinta sebelumnya. Kerana cinta boleh dipupuk selepas nikah. Dan percayalah, cinta selepas nikah itu sangat LUAR BIASA!   Dan... layak atau tidak..itu pun bukan 1 isu.  Jangan pernah rasa berat untuk menerima seseorang meskipun kita rasa diri kita tidak layak buatnya. Bukankah lebih baik andai ada yang sanggup membimbing kita sekaligus menjadi teman hidup kita? Mungkin sebelum ni kita teruk or apa2... It's ok. Allah dah datangkan dia untuk kita. Supaya kita boleh berubah. Supaya dia bimbing kita. Allah takkan aturkan sesuatu yang sia-sia buat kita. Mesti ada sebab. Percaya dan yakin kepada Allah...


  Akhir sekali, ampun dan maaf andai ada tersalah bahasa, tersinggung perasaan..Lama dah tak menulis. Rasa sedikit kaku. Tapi, still, diharapkan cerita kali ni kita boleh jadikan pedoman dalam kehidupan. JODOH DI TANGAN ALLAH...YAKIN DAN PERCAYA...barakallah....wassalam....




  

1 comment:

Mohammad said...

Janji Allah dalam surah An-Nur ayat 26.." perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.."..Barakallah A'laiki..