andai kau sudi

Friday, January 14, 2011

PULANGLAH....

   Assalamualaikum W.B.t.....

   Apa khabar kalian semua? Sihat? Alhamdulillah...Hari ni hari Jumaat. Saya nak sambung semula hobi yang telah ditinggalkan selama beberapa hari ni. Hari ni nak cerita tentang kehidupan berumah tangga. Normal kalau ada pertelingkahan dan persengketaan. Selesaikanlah segala-galanya dengan penuh kesabaran dan pengertian. Semoga cerita ini nanti memberikan seribu pengajaran berguna buat kita semua...InsyaAllah...

Bismillahorrahmanirrahim...

"Pulanglah ke rumah, Mai. Tempat seorang isteri itu adalah di sisi suaminya. Berdosa kau buat begini, Mai.  Sampai bila kau mahu bersama ibu di sini? Kasihanilah suami kau di rumah tu. Pasti dia sedang menunggu kepulanganmu."

   Sudah puas Puan Rubaidah memujuk puterinya itu. Namun, tidak satu pun pujukannya mampu mencairkan hati yang keras itu. Besar sekali rajuknya terhadap Ariff. Puan Rubaidah sendiri juga tidak tahu apa yang telah berlaku di antara keduanya. Bila ditanya, Maisarah hanya akan mendiamkan diri kemudian berlalu pergi.

   " Mak, tolonglah Ariff. Pujuk Mai, Mak. Pujuk dia supaya dia pulang ke rumah. Ariff tak tahu nak buat apa lagi. Ariff call pun dia tak mahu jawab. Mesej Ariff pun semuanya tidak berbalas. Tolong Ariff, Mak."  Ada kesedihan pada suara lelaki muda itu. Sungguh dia menyesal. Menyesal kerana telah berlaku tidak adil terhadap isteri tercinta.

   " Abang...Baru pulang ya? Mesti Abang penat. Duduklah dulu. Mai ambilkan air untuk Abang."  Manis sekali bicara Maisarah terhadap suami tercinta. Setelah mengakhiri zaman bujangnya, Maisarah tidak lagi bekerja di luar. Ariff melarang keras Maisarah bekerja. Dia lebih suka Maisarah duduk sahaja di rumah. 

   Kini, Maisarah menjadi surirumah sepenuh masa. Meskipun hatinya sedikit terkilan kerana tepaksa meninggalkan kerjaya yang selama ini berhempas pulas dia berusaha untuk mendapatkannya, Maisarah tetap memaniskan muka tatkala Ariff menyatakan kehendaknya supaya Maisarah duduk di rumah sahaja. Kini, setelah hampir 3 tahun hidup dengan rutin yang sama, Maisarah sudah menjadi terbiasa dan selesa dengan tanggungjawabnya. Setiap pagi, selesai sahaja solat Subuh, Maisarah akan segera ke dapur untuk menyediakan sarapan buat suami tercinta. Susu putih dan dicampurkan sedikit madu serta perencah cinta. Khas buat suami tersayang. Setiap petang pula, pasti akan kelihatan wajah riang Maisarah di muka pintu menanti kepulangan Ariff. Jiran-jiran sebelah rumah sudah cukup mengenali pasangan bahagia itu. Terkadang, terdetik juga rasa cemburu di hati-hati suami yang lain tatkala melihatkan kesetiaan Maisarah menuggu kepulangan suaminya. Andai saja kepulangan mereka disambut dengan penuh senyuman dan kucupan mesra di pipi seperti Ariff, pasti hilang segala masalah dan kepenatan di tempat kerja.

   Selalu juga Maisarah diserang dengan persoalan yang sama daripada teman-teman yang seusianya.
" Kau tak mahu bekerja semula? Sudah 8 tahun kau duduk sahaja di rumah. Dulu pun kau sangat berjaya. Bergaji besar pula. Tidakkah kau menyesal dengan keputusanmu? Tidakkah kau bosan duduk seharian di rumah dengan rutin yang sama?"

   Maisarah hanya tersenyum mesra. Sungguh tidak pernah dia menyesal dengan keputusan itu. Meskipun sehingga ke hari ini mereka masih tidak dikurniakan dengan cahaya mata penyeri rumahtangga, Maisarah tetap teguh dan bersabar.

" Maisarah tak pernah menyesal, Kak. Peritnya hati Mai tatkala melepaskan Abang pergi ke tempat kerja setiap pagi. Sunyi pula bila bersendirian di rumah tanpa ada yang menemani. Tapi, ketika melihat Abang pulang ke rumah dan menyambutnya, itulah saat yang paling bahagia buat Mai. Sakitnya merindukan suami yang setiap hari meninggalkan Mai di rumah seorang diri. Tapi, Mai tak kisah, Kak. Mai sanggup sakit rindu tiap-tiap pagi andainya Mai dapat merasakan bahagianya bersama Abang tiap-tiap petang. Kalau tidak berjauhan dan berasa rindu, pasti tidak akan tahu betapa hebatnya rasa cinta? Tidak begitu, Kak?"

   Kak Rosmah hanya ketawa kecil apabila melihat air muka Maisarah ketika itu. Pasti dia sudah tidak sabar menunggu kepulangan suami tercinta. Sudah terlihat sinar dalam sepasang matanya yang sedari tadi asyik memandang ke luar pintu. Dirinya juga sudah dihias secantik-cantiknya. Cukup cantik sehingga hilang segala resah Ariff tatkala pulang ke rumah.

   Air yang sedari tadi dipegang di tangan segera dihulurkan kepada suami tercinta. Maisarah memerhatikan wajah suaminya itu dengan penuh teliti. Bahagia rasanya apabila dapat melihat suami itu lagi. Sambil menghabiskan minuman air tangan isteri tercinta, Maisarah mengusap lembut rambut Ariff. Dibetulkan beberapa helai rambut yang jatuh ke dahi.

" Mai, tolong jangan ganggu Abang boleh tak?! Rimaslah macam ni! Mai dah tak ada kerja lain ke selain merimaskan Abang hari-hari macam ni?! Menyampah betul tengok muka Mai yang hari-hari tercangak kat depan pintu rumah tu!"

   Pecah gelas kaca yang dipegang oleh Maisarah. Berkecai dan berhamburan kaca-kaca halus di atas lantai. Tidak ubah seperti hatinya yang baru sahaja robek sebentar tadi. Mengalir air matanya tatkala kata-kata seperti itu diucapkan sendiri oleh suami yang selama ini sangat dihormati dan disayangi. Suami yang selama ini sentiasa dituruti dan dipatuhi. Suami yang selama ini dilayan bagaikan raja di rumah milik mereka berdua. Mengapa Ariff jadi begitu? Mengapa sampainya hati seorang suami menuturkan kata-kata keras seperti itu setelah seharian dia menunggu dan merindukannya di rumah? Maisarah sendiri tidak pasti. Hatinya terlalu sedih untuk terus memikirkan jawapannya.

   Maisarah sudah tidak mampu berfikir dengan betul lagi. Tidak ubah seperti seseorang yang baru sahaja dipanah petir. Begitu terkejut dan tersentak. Bagaikan sudah trauma. Selama ini, tidak pernah sekalipun Ariff mengucapkan kata-kata yang kasar terhadapnya, jauh sekali meninggi suara seperti tadi.

   Dikumpulkan kaca-kaca yang sudah bertaburan itu. Habis terluka jari-jarinya kerana ketajaman kaca-kaca itu. Sama seperti ketajaman kata-kata suami tercinta yang telah membuatkan hati lembutnya hancur dan terluka seperti tadi. Terdengar esakan tangisannya. Sedih sekali Maisarah malam itu. Sesekali, Ariff yang sedang dilanda kemarahan memandang sekilas ke arah Maisarah yang masih mengumpul kaca-kaca yang sudah berkecai. Pedih sekali hatinya apabila melihat luka di jari isteri tercinta. 

   Ariff segera menghampiri Maisarah lalu menghentikannya. Digenggam erat tangan itu. Maisarah masih mendiamkan diri. Tidak berani memandang wajah bengis Ariff. Ariff kehilangan kata-kata. Esakan Maisarah memecahkan kesepian malam. Maisarah segera berlalu pergi lalu menuju ke bilik yang berada di tingkat atas.

   Ariff pula masih lagi terkedu. Dia sendiri tidak habis fikir. Bagaimana bisa dia mengucapkan kata-kata seoerti itu tadi?  Syaitan apakah yang telah merasuk dirinya tadi? Permasalahan di tempat kerja dia bawa pulang ke rumah lalu dihamburkan segala api kemarahan terhadap isterinya. Isteri yang selama ini begitu setia terhadap segala perintah dan kemahuannya. Puteri yang selama ini membahagiakan hari-harinya dengan tawa dan gurau senda. Puteri yang selama 8 tahun setia menantinya di muka pintu dengan senyuman yang paling manis. Baru sahaja tadi dia meragut senyuman manis puteri itu. Baru sahaja tadi dia membunuh kegembiraan puteri itu. Sungguh dia merasa menyesal yang teramat  sangat. Ingin saja rasanya menghantukkan kepala di dinding. Biar betul otaknya yang mungkin sudah tidak waras itu. Betapa tadi dia telah bersikap tidak adil terhadap wanita itu.

   Ariff tidak tidur di bilik malam itu. Ingin sekali dia memujuk Maisarah yang sedang hebat dilanda kesedihan. Namun, pintu bilik berkunci. Ariff redha. Dia redha andainya Maisarah berkecil hati dengannya. Dia yang bersalah kerana melukakan hati kecil wanita setia itu. Sunyi rasanya bila Maisarah tiada di sisi. Setiap malam, pasti akan ada sahaja cerita Maisarah yang tidak pernah gagal membuatkan dia tertawa. Pasti ada sahaja gurau sendanya. Pasti ada sahaja yang ingin dilakukannnya untuk menghiburkan hati suami tercinta. Namun, segala-galanya berbeza malam itu. Itulah kali pertama Ariff merasakan kesunyian yang tidak terhingga. Tidak terdengar sebarang bunyi pun di dalam rumah itu. Tidurlah Ariff bersama kesedihannya malam itu.

   Selesai sahaja mandi, Ariff segera ke bilik. Pintu bilik tidak lagi berkunci. Maisarah tidak ada lagi di bilik. Mungkin sudah ke dapur untuk menyediakan sarapan seperti biasa. Begitulah fikir Ariff. Tali leher dan baju yang sudah siap berseterika di atas katil dicapainya. Pada kebiasaan, Maisarahlah yang akan membantu dia bersiap untuk ke tempat bekerja. Maisarahlah yang akan membutangkan bajunya dan membetulkan tali lehernya. Hari itu, segala-galanya dilakukan sendiri. Segera dia ke dapur setelah selesai segala urusan di bilik. Namun, dia sedikit terkejut. Tidak ada siapapun di dapur. Tidak ada pun Maisarah yang sentiasa duduk di kerusi sambil tersenyum riang. Meja pula kosong.

   Dicari-carinya kelibat Maisarah. Terdengar air mencurah-curah dari tandas. Mungkin Maisarah sedang mencuci baju. Ariff segera keluar dari rumah menuju ke kereta. Dia sudah agak terlewat sebenarnya. Mungkin dia akan bersarapan di luar saja hari ini. Mungkin juga Maisarah masih marah akannya. Kereta dipandu perlahan. Hati Ariff tidak keruan. Tidak pernah sah hidupnya jika setiap pagi Maisarah tidak menyalami tangan itu. Tidak akan pernah sempurna hari-harinya jika tidak memeluk  Maisarah sebelum berangkat ke tempat kerja. Ariff segera berpatah balik. Ingin sekali dia menemui Maisarah dan menenangkan puterinya itu. Ingin sekali dia memeluknya dan memohon seribu kemaafan darinya. 

   Setibanya di rumah, Ariff segera ke tandas. Pili paip tidak dikunci. Air masih mencurah-curah. Maisarah langsung tidak kelihatan di mana-mana sudut di dalam rumah itu. Ariff menjadi cemas. Segera dia ke bilik. Ada surat di atas katil itu.

" Assalamualaikum....Abang..

Buat suami yang Mai cintai dengan sepenuh hati Mai..
Maafkan Mai kerana terpaksa membuat keputusan ini. Mai harus pergi. Bukan kerana Mai marahkan Abang atas perkara yang terjadi semalam. Mai tak marah. Mungkin ada salah dan kekurangan pada diri Mai sehingga Abang sudah tidak berasa bahagia lagi bila bersama Mai. Kerana itu Abang marah. Mai bukan perempuan yang pantas berada di sisi Abang. Mai banyak kekurangan. Tidak layak jika lelaki seperti Abang menjadi suami insan lemah seperti Mai. 
Abang... Mai rela andainya Abang ingin mencari pengganti Mai. Mai pasrah. Mai hanya ingin Abang bahagia. Mai pergi mungkin untuk tidak kembali. Doa Mai agar Abang mampu menemui wanita yang lebih hebat dan lebih baik daripada Mai. Mai tetap sayang dan cintakan Abang. Selama-lamanya....."

Yang mencintaimu..
   Maisarah..

   Guruh berdentum kuat diiringi hujan yang mencurah-curah. Seolah-olah sedang menangisi kesedihan Ariff di atas pemergian isteri tercinta. Tinggi sekali kemarahan Maisarah terhadapnya sehingga dia pergi meninggalkannya. Pasti hancur hatinya semalam lantas dia membuat keputusan untuk pergi. Ariff menangis sendirian di dalam bilik.

   Sudah hampir 2 bulan Maisarah tidak pulang ke rumah. Siksa sekali hidup Ariff dalam tempoh itu. Dia sakit berhari-hari tanpa ada sesiapapun yang menemaninya. Jika dahulu, Maisarahlah yang akan menjaganya dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Sehingga sakit-sakit Maisarah kerana begitu sibuk menguruskan kerja-kerja di rumah. Kini, Ariff sendirian. Sakitnya tidak ada siapa yang peduli lagi. Sudah beberapa hari juga dia tidak ke tempat kerja. Ariff sakit tenat. Tenat kerana terlalu merindukan Maisarah.

  " Ariff.. Kamu datanglah ke rumah Mak. Kamu pujuk Mai. Mak dah tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau kamu yang datang, dia pasti akan pulang. Mak tahu dia rindukan kamu. Dalam tidur pun seringkali dia menyebut-nyebut nama kamu. Dia jadi sakit-sakit di sini. Pujuklah dia, Ariff. Kamu suaminya."

   Ariff juga tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ingin sekali dia ke rumah mertuanya untuk memujuk isteri tercinta. Namun, dia tidak berani. Dia merasa sangat malu. Malu kerana telah melukakan hati wanita yang begitu mulia. 

   " Mak...Tolonglah Ariff. Dah sebulan Mai tak balik. Ariff rindukan dia, Mak. Ariff malu. Ariff tak berani nak jumpa dia."  Sesekali Ariff terbatuk-batuk. Sudah semakin teruk sakitya kini.

   Keeseokan harinya, Ariff sudah tidak mampu bangun lagi. Badannya terasa lemah. Dia tidak selera makan. Sudah beberapa hari perutnya dibiarkan kosong. Dia hanya terlantar lemah di atas katil.

   Pintu dibuka perlahan. Maisarah menghampiri Ariff yang sedang lena tidur di atas katil. Susuk itu kelihatan tidak bermaya dan tidak terurus. Diusapnya lembut rambut lelaki itu. Mengalir air matanya tatkala melihat suami yang sakit sehingga begitu sekali. Betapa berdosanya dia kerana telah membelakangkan suami itu dan meninggalkan rumah itu tanpa keizinannya. Ariff terkejut. Esak tangis Maisarah telah membangunkan dia dari tidurnya. 

   Dipeluknya erat Maisarah yang sudah berada di hadapannya. Dia menangis semahu-mahunya.

" Maafkan Abang, Mai. Abang bersalah. Abang janji lepas ni Abang takkan lukakan hati Mai lagi. Jangan tinggalkan Abang lagi, Mai. Abang sudah tahu siksanya. Abang sudah tahu sakitnya. Abang tak mampu hidup tanpa Mai. Cukuplah, Mai. Abang minta maaf. Jangan tinggalkan Abang lagi."

   Sungguh selama ini Maisarah tidak pernah merasa marah terhadap suaminya itu. Dia cuma terlalu terluka. Terluka sehingga tidak terubat lagi. Kerana itu dia tidak mahu pulang ke rumah.

" Maafkan Mai, Abang. Mai yang salah. Mai berdosa besar terhadap Abang. Mai tinggalkan Abang seorang diri di sini. Ampunkan Mai. Mai sangat berdosa. Mai terlalu ikutkan perasaan. Ampunkan Mai, Abang."

   Maisarah menangis tidak berhenti-henti. Tangan Ariff yang sudah kesejukan itu diciumnya berkali-kali. Air matanya terus mencurah-curah. Besarnya dosa yang telah dilakukannya terhadap seorang suami yang sepatutnya dia patuhi meskipun apa kurangnya dia. Mungkinkah masih ada keampunan buatnya di sisi Allah?  Maisarah masih menangis.

   Ariff senang kini. Maisarah sudah berada di dalam pelukannya. Tidak akan dia sakiti lagi hati wanita mulia itu. Tidak akan dia bertindak secara melulu lagi. Dia sudah dapat pengajarannya. Isteri semulia itu pantas saja dia berikan sepenuh kasih sayang, bukannya disakiti. Air mata Maisarah diseka lembut. Diciumnya dahi Maisarah berkali-kali. Kemudian dia tersenyum.

" Abang ampunkan dosa-dosa Mai. Abang relakan segala kemarahan Mai terhadap Abang. Tidak akan Abang biar Mai tersiksa lagi. Akan Abang kasihi Mai dan didik Mai sehingga Mai menjadi wanita syurga nanti. Pulanglah Mai. Serikan rumah kita dengan cahaya cinta Mai........"

   Alhamdulillah....selesai 1 cerita..Nak buat 1 pengumuman ni...Wahai para-para suami semua! Hargailah isteri anda. Isteri yang telah menjaga makan dan minum anda, isteri yang telah melahirkan anak-anak anda dan isteri yang telah mengorbankan hidupnya buat anda. Buat insan-insan yang belum berumahtangga, jadikan kisah ini sebagai pengajaran supaya sentiasa berhati-hati nanti. Jangan curahkan kemarahan kepada suami dan isteri masing-masing. Andainya ada kemarahn, redhakanlah kemarahan  itu. Pujuklah hati itu. Lembutkanlah hati itu. Semoga bahagia di alam rumah tangga masing-masing....Wassalam...


  

No comments: