andai kau sudi

Monday, January 17, 2011

MISTERI CINTA AISYAH

    Assalamualaikum W.B.T.....

  Sahabat-sahabat sekalian...Sudah lama tidak bertemu di ruangan kecil ini..Apa khabar semua? Sihat? Alhamdulillah...Hari ni nak tulis cerita dengan sedikit genre tambahan. Selain cinta,,,,kita ade.....well,, kalau nak tahu,,kenalah baca sendiri..semoga ada sesuatu yang berguna yang kita boleh dapat melaluinya..insyaAllah....

   Menarik. Cukup istimewa. Ada sinar muslimah dipancarkan melalui setiap kata-kata serta tulisannya. Sinar yang menerangi hati-hati yang dibelenggu kegelapan. 

   Tidak pernah seumur hidup Aiman menemui seorang wanita yang dirasakannya cukup mulia. Meskipun wanita itu tidak pernah dia temui, tidak pernah dia mendengar tutur bicaranya, tidak pernah dia menatap wajahnya, Aiman punya keyakinan yang sangat tinggi terhadap wanita tersebut. Keyakinan dan keteguhan dalam setiap kata-kata mahupun suara yang dilemparkan ke dalam setiap coretan serta hasil nukilannya cukup menarik hati Aiman. Dia wanita berprinsip. Dia wanita berpendirian. Dia mujahidah sejati.

   " Assalamualaikum... Maafkan saya kerana menganggu. Saya cuma ingin tahu nama saudari. Andai tidak keberatan di pihak saudari."  Cukup berhati-hati. Setiap kata disusun dengan sempurna. Aiman tidak mahu pula nanti maruahnya jatuh di hadapan seorang wanita teguh yang sentiasa berani menyuarakan apa saja suara hatinya melalui setiap hasil nukilannya. Niatnya tidak lebih dari sekadar ingin mengenali penulis berprinsip itu.

    
" Waalaikumsalam. Aisyah. Aisyah Solehah." Cukup pendek. Jawapan yang memang sudah dijangkakan oleh Aiman sendiri. Mesej yang dihantar melaui "facebook" itu dibiarkan tidak berbalas. Rasanya, Aiman sudah dapat apa yang diinginkan. Maka, cukuplah sampai di situ sahaja. Dia cuma ingin mengetahui nama wanita itu.

      Saban hari Aiman memikirkan nama itu. Sesekali akal lelakinya memesongkan hati yang kosong itu. Siapakah wanita itu? Bagaimana pula orangnya? Mengapa misteri sekali wanita itu? Bersembunyi di sebalik nama insan lain dan tidak pernah pula ada yang mengetahui identiti sebenarnya. Tidak Aiman, tidak kawan-kawannya, tiada sesiapa. Wallahualam. 

   " Dia online!" Hati lelakinya berdegup kencang. Entah mengapa. Setiap kali dilihatnya nama itu terpapar di skrin komputer, pasti jiwa Aiman mula jadi kacau. Berpeluh-peluh dia menahan jari-jemarinya yang lincah daripada menganggu wanita mulia itu. Dia lelaki bermaruah. Tidak mungkin baginya menjatuhkan maruah sendiri dengan mengganggu seorang wanita andai tidak ada urusan dan keperluan tertentu. 

   Sikap rakan-rakan lain yang menjadikan agama sebagai modal mendekati kaum wanita yang kelihatan agak "jual mahal" cukup tidak menyenangkan hati Aiman. Puas sudah Aiman menasihati sahabat-sahabatnya supaya berhenti menjual agama, namun apa boleh buat? Setakat ini, itulah taktik yang didapati paling berkesan jika ingin melembutkan hati seorang perempuan yang teguh. Seteguh Aisyah Solehah.

   "Setelah dilembutkan hatinya, barulah mudah untuk ditawan! Kemudian, boleh saja menukar topik perbualan. Jual topik lain pula. Takkan nak jual agama saja. Lama-lama, pasti bosanlah dia!" 

   "Astarghfirullahalazim......"  Beristighfar panjang Aiman tatkala mendengarkan penerangan "direct selling" daripada salah seorang sahabat yang cukup dikenali dengan gelaran "buaya darat" meskipun orangnya merupakan lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang cukup petah tatkala berbicara mengenai soal agama. Inilah yang dikatakan bahaya perempuan. Andai sudah terjebak, pasti iman dan akal luntur semua. Namun, tidak akan sekali-kali Aiman berbuat begitu. Tidak pada Aisyah Solehah, tidak juga pada wanita-wanita lain. 

   Sudah semusim berlalu. Musim bunga yang mengunjungi negara matahari terbit itu begitu  indah sekali. Kelihatan kehijauan dan berwarna-warni di sana sini. Sudah 5 tahun Aiman berada di negara metropolitan itu. Sudah 5 tahun juga dia meninggalkan Malaysia. Sudah 5 tahun juga dia tidak membaca hasil nukilan Aisyah. Apakah yang sudah terjadi padanya kini? Sudah berjayakah dia? Sudahkah dia menerbitkan bukunya sendiri seperti yang pernah diuar-uarkan suatu ketika dahulu? Aiman langsung tidak tahu. Dia juga tidaklah ingin benar tahu. Cuma sesekali persoalan-persoalan tersebut singgah di fikirannya.


   " Dia online!" Berdegup lagi hati kecil Aiman. Mengapa setelah pulang ke Malaysia baru dia dapat melihat nama itu di skrin komputernya? Mengapa tidak di Jepun dahulu? Sedangkan, hampir setiap hari dia melayari internet dan mengisi masa senggang dengan menghubungi sahabat handai di Malaysia melalui "facebook". Aneh. Wanita itu memang misteri.


   Namun, di sebalik segala rahsia dan sikap misteri yang ditonjolkan, masih tidak sirna cahaya muslimah yang dipancarkan. Di sebalik benteng yang melindungi diri, masih tidak terlindung cahaya solehah yang dimiliki oleh wanita itu. Sentiasa gemilang cahayanya. Itulah yang membuatkan Aiman tambah tidak keruan. Cahaya itu begitu dekat dengannya. Seolah-olah sedang memanggilnya. Jiwanya tidak mungkin akan tenang selagi tidak mengenali wanita itu lebih lanjut lagi.


   Apa yang harus dilakukan kini? Wanita seperti Aisyah Solehah tidak mugkin boleh senang-senang ditemui. Dia harus segera menyatakan hasratnya. Sejujurnya, dia sendiri masih belum pasti akan hasratnya itu. Berkawan sahaja? Tidak mungkin! Bukan itu yang dia rasa di hatinya. Ada sesuatu yang lain yang dibawa oleh wanita itu? Bercinta? Pastilah bukan! Mana mungkin cinta buat seorang isteri dia serahkan kepada wanita itu. 


   " Siapa pula cakap tidak boleh? Boleh saja. Tapi, dengan satu syarat. Nikahi wanita itu. Jadikan dia milikmu."  Itulah konklusi yang dibuat oleh Azam tatkala Aiman menyatakan keresahannya.


   Aiman mengangguk perlahan. Dia kini sedang berkira-kira sebenarnya. Menikahi seorang wanita yang langsung tidak dikenali. Tidak sedikitpun. Hanya cukup dia mengenalinya melalui setiap tulisan dan prinsipnya yang teguh. Namun, cukupkah sekadar begitu sahaja? Paling kurang pun, dia harus melihat sendiri orangnya. Bukan kerana paras rupa yang menjadi pilihannya, tapi kerana dia tidak mahu menyesal di kemudian hari. Walau apapun rupanya dia, Aiman tidak akan memilih. Cukuplah sekadar agama menjadi pegangan hidupnya. " Yang penting agama..."  Azam menyambung lagi.


   Keputusannya sudah bulat. Dia akan melamar wanita itu sendiri. Namun, dia harus menemuinya dahulu. Cintanya akan diberikan kepada wanita itu andainya wanita itu cinta pada Pencipta-nya. Itu yang pasti. 


   " Assalamualaikum...Maafkan saya kerana mengganggu sekali lagi. Tujuan saya kali ini dengan hajat yang lebih besar lagi. Andai dulu saya meminta untuk bertanyakan nama saudari, kini saya ingin meminta hati saudari.Tidak perlu rasanya saya ulas dengan lebih lanjut lagi kerana saya yakin bahawa saudari bukan wanita senbarangan. Pasti saudari juga tahu maksud serta cara saya kerana pada pandangan saya, prinsip kita sama. Saya yakin bahawa saudari adalah insan yang paling layak membantu perjuangan saya melebarkan agama-Nya". 


   Sedikit gugup tatkala butang "send" ditekan. Hampir setengah jam Aiman menunggu balasan daripada Aisyah. 


   " Andainya sudah bersedia di hati saudara untuk menerima wanita yang belum tentu baik buruknya, belum  tahu paras rupanya, belum kenal akhlak peribadinya, saya juga akan menyediakan hati ini. Jadikanlah saya halal untuk saudara semai cinta saudara, halal untuk saudara bentuk rupa serta akhlaknya, halal untuk saudara semai benih-benih cinta sehingga lahirnya zuriat yang soleh dan solehah, serta halal untuk saudara pimpin tangannya ke syurga firdausi."


   " SubhanAllah!" 


   Jawapannya begitu meyakinkan. Sesedia apa Aiman menerimanya sebagai zaujah yang akan dia pimpin, sesedia itu jugalah Aisyah menerima pemimpin itu. Tidak ada kata-kata lain yang mampu menggambarkan kegembiraan Aiman di kala itu. Sujud syukurnya pada Allah kerana dipertemukan dengan seorang wanita mulia yang kini akan membawa cahaya raudhah itu ke dalam hidupnya. Istikharah sudahpun dijawab. Musyawarah menyimpulkan akad. Setelah mendapat restu daripada ayah serta bonda tercinta, Aiman membulatkan tekad. Berbekalkan alamat yang telah diterima, Aiman dan Azam pergi sendiri ke rumah wanita itu setelah seminggu berlalu.


   Sudah setengah jam berada di dalam rumah itu. Masih tidak terlihat kelibat wanita muda yang Aiman rasakan Aisyahlah orangnya. Hanya ada seorang wanita tua menyambut kedatangan mereka berdua sebentar tadi. Aiman masih tetap bersabar. Tidak mungkin dia mengakhiri perjuangannya setelah hampir 6 tahun dia menuggu saat-saat kemenangan itu.


   Wanita itu keluar dengan membawa minuman sebagai penyempurna adat menyambut tetamu. Sekeping gambar kecil dihulurkan kepada Aiman. 


   " Itulah Aisyah Solehah. Anak Mak Cik". Perlahan sekali suara itu. Wajah tuanya masih cuba mengukir senyuman meskipun kedut-kedut itu tidak mungkin mampu dibendung lagi.


   " Subhanallah! Cantik sekali wanita ini. Wajahnya setenang air tasik yang sejuk mata memandang. Alhamdulillah..." Syukur Aiman pada Allah kini kerana wanita itu bukan sahaja cantik akhlaknya, tapi juga cantik parasnya.


   " Aisyah anak mak cik satu-satunya. Dia anak yang baik. Mungkin kerana anak itu terlalu mulia, lantas Allah jadi rindu padanya lalu dia dijemput dahulu....."  Ada air mata mengalir lewat mata tua itu.


   "Maafkan mak cik kerana tidak memberitahu kamu terlebih dahulu. Aisyah anak mak cik, dia tidak sihat. Sudah setahun dia menghidap barah otak. Jumaat lepas, Allah panggil dia pulang....."


   Tersedu-sedan wanita tua itu menahan sebak. Satu-satunya puteri yang menyinari hidupnya selama ini sudah pergi meninggalkannya sendiri. Lebih awal daripadanya.




   Aiman terkedu. Gambar kecil itu terlepas dari pegangannya. Jari-jemarinya kini terasa dingin sekali. Bagaikan sudah beku. Azam juga tidak kurang seperti Aiman. Hakikat bahawa Aisyah Solehah itu sudah tidak ada lagi di dunia ini sukar sekali diterima. Baru sahaja seminggu yang lalu dia mengikat janji setia untuk bersamanya. Namun, segala-galanya kini sudah berakhir, sudah tidak bermakna lagi. Aisyah Solehah sudah pergi. Pergi menyahut cinta Ilahi. 


   Alhamdulillah...selesai lagi satu cerita..aishhh...saya tulis, saya pula yang rasa tak sedap badan kat sini. cuba bayangkan...kalau kita chat or mesej dengan orang hanya untuk mengetahui yang orang itu sudah tak ada lagi..mesti rasa sedih kan? tambah2 lagi bila kita sudah berharap untuk bersamanya. well, itu hanya sekadar bonus pada cerita kali ini saja.


apa yang saya nak cakap sebenarnya ialah....adab bila sudah jatuh cinta pada seseorang. nak zahirkan cinta? boleh saja...kata azam..tapi, kenalah halal dulu....ekot macam cara aiman. tak perlu berkenalan sampai berlebihan kerana kadang-kadang dan selalunya mengundang bahaya. taaruf pun dah cukup baik. kalau ada orang tengah yang boleh kita percayai(sebaiknya orang yang sudah berkahwin) , boleh juga membantu kita mengenalinya dengan lebih baik..kalau nak,,kenalah buat dengan cara yang betul..kalau nak juga,,tapi tak nak buat cara yang betul..dosa,,, sendiri dapat....


Akhir kalam....maaf andai ada terkasar bahasa. sibuk giler sem 2. mmg x dpt nak tarik nafas ckit pun. tp, never mind. study is study. susah senang pun study. semoga kita menjadi hamba-Nya yang sukses di dunia dan akhirat...amin...wassalam...