Pada suatu hari, Inang melihat Puteri Balqis menangis sendirian di tempat peraduannya sambil menatap ke arah sebuah buku kecil. Inang menghampiri Puteri Balqis lalu duduk di sebelahnya.
Wahai Puteri cantik jelita
Mengapa sedih bermuram durja
Buku di tangan apa cerita
Bolehkah kiranya hamba bertanya?
Puteri Balqis mengangkat kepalanya lalu menatap wajah Inang. Tidak berhenti juga Puteri Balqis menangis. Inang juga merasa sedihnya. Dengan suara yang sebak Puteri Balqis menjawab.
Wahai Inang ibunda beta
Ke mana hilang Putera Raja
Satu purnama tiada berita
Sudahkah dia lupakan beta?
Puteri Balqis menatap kembali ke arah buku kecil tersebut. Hanya dia dan Inang tahu apa isinya.
Buku kecil saksi cinta
Puteri Balqis, Putera Raja
Dalam helaian tersimpan rahsia
Kenangan manis indah bersama
Puteri Balqis masih lagi menangis. Sedih hatinya kerana Putera Raja tidak lagi mahu menghubunginya walaupun sudah beberapa kali dia ke istana untuk menemuinya. Inang mengusap lembut rambut Puteri Balqis yang hitam, ikal mayang.
Wahai Puteri permata hamba
Tidakkah dulu hamba berkata
Jangan percaya pada Putera
Manis kata di bibir sahaja
Semakin sedih Puteri Balqis apabila mendengarkan kata-kata Inang. Mungkin selama ini dia telah silap. Silap kerana tidak mahu mendengar pesan Inang. Puteri Balqis baring di dalam pangkuan Inang lalu berkata
Wahai Inang pujuklah beta
Kenapa tidak menghantar berita
Rindu sekali ingin bicara
Seperti dahulu sedia kala
Inang juga sudah kehabisan kata-kata. Inang sedih kerana Puteri Balqis yang sangat disayanginya sedih.
Wahai Puteri apalah daya
Putera ingin sahabat sahaja
Manis mulut kerana terbiasa
Sedangkan niat tidak ke mana
Puteri terus-terusan menangis. Basah sudah kain Inang dengan air matanya. Ditatap semula buku kecil itu. Berderai lagi air mata Puteri Balqis. Sedih mengenangkan segala kenangan bersama Putera Raja yang disimpan di dalamnya
Andai tahu ini jadinya
Andai dulu dengar katanya
Tidaklah beta siksa di jiwa
Menunggu cinta tiada balasnya
Tinggal beta menanggung rasa
Setelah cinta ditabur semua
Inikah balas kepada beta
Kerana ingkar arahan Pencipta?
Manis mulut menabur bicara
Lembaran dosa terbuka semua
Putera Raja jadi dalangnya
Kepada beta yang lemah jiwanya
Wahai Inang pengubat duka
Apakah sakit ada ubatnya
Berikan saja kepada beta
Biar beta lupa semuanya
Inang tersenyum lalu memandang Puteri Balqis. Puteri Balqis sudah dewasa. Sudah layak kenali cinta. Namun, sudah salah pada tempatnya. Kerana itu Puteri Balqis menangis sekarang. Sambil menyeka lembut air mata Puteri, Inang pun berkata
Sakit ini namanya cinta
Anugerah dari Yang Maha Esa
Usah dibuang simpanlah saja
Buat pedoman di hari muka
Putera Raja baik orangnya
Di sisi Puteri pantas tempatnya
Namun jodoh tiada restunya
Putera Puteri tidak bersama
Kini Puteri sudah dewasa
Sudah mengerti apa ertinya
Carilah cinta Yang Maha Esa
Duka lara Dialah ubatnya
Senang hati Puteri Balqis setelah mendengarkan nasihat Inang. Kini, dia sudah mengerti. Khilaf dahulu takkan diulang lagi.
Terima kasih Inang setia
Nasihat berguna pegangan beta
Di dalam hati tempat untukknya
Supaya beta ingat sentiasa
Cinta indah anugerah dari-Nya
Buat beta seluruh manusia
Tidak lagi beta terpedaya
Pada manis mulut bicara
Janji setia Putera Raja
Beta lupakan di sini saja
Kini beta berjanji setia
Pada Dia satu-satunya
Inang pun tersenyum gembira. Puteri Balqis tidak lagi bermuram durja. Buku kecil sudah menjadi abu, dimakan api yang sehangat-hangatnya. Semoga Puteri Balqis menemui Putera sebenar yang akan membahagiakan hidupnya dan membawa dia meraih cinta-Nya lalu sama-sama ke syurga. Amin.
Khairunisa kini menutup bicara
Ampun andai tersalah kata
Buat pedoman kita semua
Supaya sentiasa menjaga CINTA....
Barakallah...Wassalam...hehehehehehehe...jangan marah aaaaa...(tiba-tiba teringat time2 berpantun kat skul dulu...sebab tu rasa nak buat something like this...hope you all enjoy it..)
No comments:
Post a Comment