andai kau sudi

Friday, January 21, 2011

SAHABAT...

   Assalamualaikum WBT.....


Apa khabar kalian semua? Sihat? Alhamdulillah.....Ana kurang sihat pula hari ni. Allah nak uji...Doakan kesembuhan ana ya.. Tapi, sakit ini tidak akan mematahkan semangat untuk terus menulis buat pedoman anda semua..hari ni nak cerita pasal sahabat...sahabat yang baik dan sahabat yang kurang baik. aik? ada pulak macam tu? kalau nak tahu, bacalah sampai habis..semoga kita dapat pengajaran besar darnya..insyaAllah...


   " Ok. Kau baliklah dulu. Nanti aku siapkan semua kerja kita ni. " Serius saja Asyraf hari itu. Bukan hari itu sahaja, malah hari-hari Asyraf serius. Kadangkala, sampai menaikkan amarah orang di sekelilingnya kerana dia terlalu mementingkan diri.


   " Habis tu? Takkan kau nak buat semua? Kita kan satu kumpulan? Kita buatlah sama-sama. Aku buat bahagian ni, kau buat yang tu. Nanti kita gabungkan jawapannya." Mursyid masih lagi mendesak. Dia sejujurnya kurang berpuas hati dengan cara Asyraf sewaktu bekerja di dalam kumpulan. Jarang sekali Asyraf mengambil kira pendapatnya. Kalau ada pun hanya bila dia cukup terdesak sahaja. Selalunya, Asyraf lebih suka meminta pendapat daripada rakan sekerja lain yang lebih berkebolehan dan lebih bijak daripada Mursyid walaupun hakikatnya mereka sekumpulan.


   Kadangkala, Mursyid akan terasa hati dengan sikap " pilih bulu" yang ditunjukkan oleh Asyraf. Ada pula waktu-waktunya, Mursyid akan mendiamkan diri sahaja. Terbit juga rasa di hatinya untuk menegur Asyraf, namun segala-galanya terhalang oleh perasaan sayangnya dia pada teman yang telah sekian lama menjadi sahabat karibnya selama ini. Ukhwah yang telah lama terbina itu menjadi benteng penghalang kepada setiap amarahnya terhadap Asyraf selama ini. Kerana ukhwah itulah dia terus bersabar dan bertahan. Kerana ukhwah itulah dia lebih suka mendiamkan diri daripada menyelesaikan masalah di antara mereka dengan cara yang tidak baik.


   Tidak dapat dinafikan bahawa Asyraf memang seorang pekerja yang bijak dan berkebolehan. Setiap kali mereka diberikan tugas-tigas penting, pasti segala-galanya kan berjalan dengan lancar. Terutamanya apabila Asyraf sudah mengambil alih segala-galanya. Oleh itu, Asyraf dan Mursyid cukup disayangi oleh pegawai atasan mereka. Namun, Mursyid tidak pernah berpuas hati kerana dia merasakan bahawa dirinya tidak layak untuk mendapat segala pujian dan penghargaan yang diberikan. Dia tidak menyumbang sedikitpun dalam setiap tugasan yang diberikan kepada mereka berdua. Hanya Asyraf yang bertungkus lumus menyelesaikan segala-galanya.


   " Alah. Apa yang kau nak bising-bising ni? Kalau Asyraf sendiri yang dah nak sangat buat semua kerja tu, biarkanlah dia yang buat. Kau pun bolehlah goyang kaki je. Hantar proposal, bos puji, naik gaji.  Kan senang? Kalau akulah yang dapat partner macam Asyraf tu, bertuahnya badan. Engkau ni langsung tak tahu nak menghargai dia betul."


   Teringat Mursyid perbualannya dengan salah seorang rakan sekerja yang turut bersamanya ke tapak pembinaan semalam. Jika tidak bergerak bersama asyraf, Mursyid akan bergerak bersama teman-teman yang lain. Namun, di mana ada Mursyid, di situ pasti ada Asyraf. Bagaikan belangkas yang tidak boleh dipisahkan. Nampak senang dan gembira pada zahirnya, tetapi konflik dalaman yang dilalui oleh Musyid hanya Allah sahaja yang tahu. Asyraf pula kelihatan tenang dan serius selalu. Tidak ada tanda-tanda seperti dia sedang berkonflik dengan Mursyid. Mungkin dia tidak dapat merasakan bahawa sikapnya yang terlalau mementingkan diri telah menyinggung hati ramai orang.


   Setiap kali berbicara dengan teman-teman yang lain tanpa kehadiran Asyraf, lebih banyak yang Mursyid ketahui. Rupa-rupanya, rakan-rakan lain juga turut merasakan perkara yang sama sepertinya. Asyraf terlalu mementingkan diri sendiri. Lebih suka bergaul dengan para pekerja yang bijak dan berkebolehan. Kerapkali juga Asyraf menunjukkan sikapnya yang suka memandang rendah terhadap rakan sekerja lain yang tidak mempunyai kebolehan sepertinya. Mengapa harus begitu? Bukankah mereka sepasukan? Sepatutnya, mereka saling bantu-membantu. Kerapkali Mursyid diserang persoalan-persoalan tersebut sewaktu dia sedang asyik memerhatikan Asyraf yang khusyu' sekali menaip dan merangka proposal yang akan diserahkan kepada pegawai atasan.


   Sesekali, Mursyid akan datang ke mejanya untuk membantu. Namun, kehadiran Mursyid langsung tidak dipedulikan oleh Asyraf. Namun, Mursyid tidak terus menyerah. Dia tetap akan menyumbang idea untuk sebarang penambahbaikan meskipun kerapkali Asyraf menolak segala pandangannya. Puas juga Mursyid memuhasabah diri. Di mana kelemahannya? Mengapa Asyraf langsung tidak mahu menerima pendapatnya? Terlalu rendahkah dia sehingga Asyraf memperlakukannya sebegitu rupa? Mursyid sendiri tidak punya jawapannya.


   Ada pula waktu-waktunya di mana Asyraf sendiri akan datang kepadanya untuk meminta bantuan. Peluang itu Mursyid gunakan dengan baik sekali. Dia akan membantu seboleh yang mungkin. Meskipun dia tahu bahawa Asyraf cukup tidak suka menerima pendapatnya, namun mereka tetap harus bekerjasama kerana mereka berkumpulan. Sekurang-kurangnya, kurang juga rasa bebanan di hati Mursydi setelah itu. Setiap tugasan yang diberikan adalah satu amanah besar daripada Allah bagi Mursyid. Dia tidak mahu sampai amanah dan tanggungjawab itu tidak dijaga dan dilaksanakan dengan baik. Mempunyai raka sekerja seperti Asyraf yang sentiasa menghalangnya daripada memyempurnakan tanggungjawab tersebut sangat memeritkan bagi Mursyid. Apa yang akan dijawab andai dia disoal di akhirat kelak? Boleh saja Mursyid menerima pendapat rakan-rakan yang lain untuk terus membiarkan Asyraf melakukan segala-galanya dan mendapat pujian walaupun dengan hanya bergoyang kaki, namun Mursyid malu. Dia malu pada teman-teman yang lain. Yang paling penting sekali, dia malu pada Allah. Dia malu kerana tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan baik.




    Setelah berkahwin, prestasi kerja Asyraf jatuh menjunam. Dia seringkali ditangkap lewat ke tempat kerja. Sewaktu mesyuarat pula, Asyraf akan tertidur-tidur kerana terlalu mengantuk. Mursyid sudah mula runsing dengan perubahan yang ditunjukkan oleh sahabat karibnya itu. Setiap tugasan yang diberikan pula kini diserahkan segala-galanya kepada Mursyid seorang sahaja. Tamat saja waktu kerja, Asyraf akan terus pulang ke rumah. Mursyid pula akan dibiarkan sendirian menyelesaikan segala-galanya sehingga lewat malam. Kadang-kadang, sampai tidak balik ke rumah kerana terlalu sibuk menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun. Namun, tidak pernah pula Mursyid merungut. Dia redha. Jika dahulu, dia tidak dapat sebarang peluang untuk menyumbang kepada syarikat. Kini, dia ada banayk peluang untuk menyerlahkan bakatnya yang teroendam selama ini. Prestasi kerja Mursyid juga tidak kurang hebatnya. Meskipun bergerak sendirian, Mursyid mampu menyelesaikan segala urusan dengan baik. Cuma, ada waktu-waktunya, Mursyid rindu akan saat dia dan Asyraf bekerja bersama-sama dahulu. Mengapa mereka tidak boleh kembali seperti dahulu? Mereka berdua dilantik pada waktu yang sama, diletakkan di dalam kumpulan yang sama. 3 bulan pertama, segala-galanya berjalan dengan lancar. Namun, segala-galanya berubah setelah itu. Asyraf lebih suka bergerak sendiri dan membiarkan Mursyid di belakang.


   " Assalamualaikum...!"  Pintu diketuk berkali-kali. Sudah semuinggu Asyraf tidak menunjukkan diri di tempat kerja. Mursyid cukup runsing kerana Asyraf langsung tidak menjawab panggilannya. Mesejnya juga dibiarkan tidak berbalas. Apakah yang telah terjadi kepada Asyraf? Tidak sihatkah dia? Atau, adakah dia telah pulang ke kampung?


   Tombol pintu dipusing. Tidak berkunci. Sejujurnya, Mursyid sendiri tidak suka memecah masuk ke rumah orang seperti itu. Namun, hatinya tidak senang kerana lampu kelihatan masih terpasang meskipun matahari galak memancarkan sinarnya. Kipas pula berpusing dengan laju sekali. Di manakah Asyraf? Langsung tidak ada tanda -tanda bahawa dia ada di dalam rumah itu. Keretanya juga tida ada di tempat parkir. Rumah pula berselerakan. Isterinya juga tidak kelihatan.


   Mursyid masih berjalan-jalan di dalam rumah itu. Dia naik ke tingkat dua dan.......


   " Astarghfirullahalazim..!!!  Asyraf!"


   Asyraf sudah terbaring di lantai. Badannya pula berpeluh-peluh. Dia menggeletar kesejukan. Mursyid menerpa ke arah Asyraf yang separa sedar. Dibaringkan Asyraf di dalam ribaannya. Dilapkan peluh di wajah Asyraf.


   " Mengapa sampai jadi begini? Asyraf, apa sudah terjadi kepadamu?"  Sedih sekali Mursyid apabila melihat akan Asyraf yang sudah tidak bermaya itu. Dibaringkan Asyraf di atas katil. Kemudian Mursyid segera ke dapur. Kain kecil dan semangkuk air dibawa ke bilik Asyraf. Dilapkan seluruh badan Asyraf yang terasa panas sekali. Setelah itu, dia segera ke farmasi berdekatan. Ubat-ubatan yang diperlukan dibeli. Asyraf pasti sudah diserang demam panas. Mursyid cukup kenal akan sahabat karibnya itu. Asyraf jarang sekali sakit. Orangnya cukup kuat.  Namun, jika sudah sakit, begitulah rupanya. Kadangkala, sampai berminggu-minggu. Pada waktu-waktu seperti itulah Mursyid yng harus menjadi kuat. Dilupkan segala sakit di dalam hatinya dan digantikan dengan perasaan  kasih dan belas terhadap seorang teman. Mursyid sendiri yang akan menjaganay sehinggalah dia benar-benar sembuh. Asyraf cukup degil. Langsung tidak mahu ke hospital. Jika sakit, dia lebih suka duduk di rumah. Oleh kerana itu, Mursyid tidak pernah meninggalkan rumah itu. Segala kehendak dan permintaan Asyraf akan dipenuhi. Jika ada sesuatu yang ingin dimakannya pada pagi-pagi buta, waktu itu juga Mursyid akan keluar mencarinya.


   Mursyid hidup sebatang kara. Tidak bersaudara, tidak pula berteman. Namun, sejak mengenali Asyraf segala-galanya berubah. Asyraf yang seringkali membela nasibnya sewaktu dia dihina di tempat kerja dek kerana statusnya, kini sudah dia anggap seperti saudara kandngnya sendiri. Meskipun seperti selalu, Asyraf akan lebih mementingkan dirinya, namun sikap Asyraf langsung tidak pernah membuat Mursyid berdendam terhadapnya. Dia terlalu sayangkan Asyraf. Sayang terhadap seorang saudara dan teman. Mungkin Asyraf tidaklah menunjukkan sikap yang baik terhadapnya, namun tidak mungkin ada insan lain yang sanggup menjadi temannya jika bukan Asyraf. Oleh kerana itu, Mursyid tetap akan bersabar melayani setiap kerenah Asyraf.


   3 hari kemudian, Asyraf mula sedarkan diri. Mursyid pula sudah ada di hadapannya tersenyum mesra. Memang Asyraf tahu bahawa pasti akan ada Mursyid di sisinya setiap kali dia sakit. Kerana itu dia tidak pernah merasa berat. Perlahan-lahan dia bangun. Dipandangnya Mursyid sekilas kemudian dilemparkan pandangan itu ke luar koridor.


   " Kau tak mahu cerita pada aku, Asyraf? Sudah hampir 2 minggu kau sakit sendirian, aku tak nampak pun isteri kau."  Perlahan sekali Mursyid memulakan cerita.


   " Aku dah ceraikan dia."


   Pendek jawapan Asyraf namun cukup terkesan di hati Mursyid. Dia cuba untuk kelihatan tenang. Asyraf baru sahaja sedarkan diri. Dia tidak mahu mendesak Asyraf.


   " Dia minta diceraikan. Bukan aku yang mahu begitu. Semuanya salah aku. Salah aku sendiri. Aku terlalu pentingkan diri. "  Asyraf masih memandang ke luar koridor. Ada nada sedih pada suaranya. Mursyid pula tetap menunggu dengan sabar.


   " Dia mahukan anak. Tapi, aku yang tak mahu. Aku belum bersedia. Aku belum bersedia untuk menjadi seorang ayah. Sudah 2 kali dia ku suruh menggugurkan kandungannya kerana aku tidak mahu anak itu nanti merosakkan prestasi kerjaku."


   Hampir saja Mursyid menjerit setelah mendengarkan cerita daripada sahabatnya itu. Patutlah setelah berkahwin gaya Asyraf berubah. Rupa-rupanya dia tidak bahagia. Beristighfar panjang Mursyid di dalam hati. Riak wajahnya sudah berubah kini. Dia sudah bersedia untuk " menyerang" Asyraf. Namun, niatnya terhenti di situ setelah dilihatnya Asyraf menangis. Timbul pula rasa sedih di hatinya mengenangkan nasib sahabatnya itu.


   " Aku berdosa, Mursyid. Dah 2 anak aku....aku sendiri yang bunuh. Aku bunuh kebahagiaan isteri aku. Sekarang, lihatlah. Allah tarik kebahagiaan aku. Isteri aku tinggalkan aku. Keluarga mertua aku pun dha bencikan aku. Bos dah suruh aku letak jawatan. Sebab tu aku tak pergi kerja."  Masih lagi Asyraf menangis. Seingat Mursyid, itulah kali pertama dia melihat Asyraf mengalirkan air mata. Selama ini, tidak pernah dia kelihatan begitu sedih. Orangnya happy-go-lucky walaupun selalu serius. Pandai sekali berbuat jenaka.


   " Asyraf...Membunuh tu dosa. Dosa besar. Kalau kau nak minta isteri kau kembali sekarang pun, aku rasa dah tak ada gunanya lagi. Mengapa kau sampai hati buat macam tu? Setiap pasangan yang berkahwin memang idamkan kehadiran cahaya mata dalam rumah mereka. Kau pula? Allah dah beri peluang pada kau jadi ayah. 2 kali Asyraf. Ada pasangan lain, langsung tak dapat anak pun. Kau senang-senang tolak anugerah Allah tu. "


   " Cukuplah Mursyid. Aku tahu aku salah. Jangan kau desak aku lagi. Aku dah tahu. Aku dah minta maaf pada isteri aku. Tapi, dia tak mungkin maafkan aku seumur hidup dia. Dia cakap dia takkan maafkan aku!"


   Semakin hebat tangisan Asyraf. Kata-kata Mursyid sebentar tadi menyedarkan dirinya akan berapa besar dosa yang telah dia lakukan terhadap isteri tercinta. Dia telah mengkhianati Penciptanya dengan menolak amanah terbesar yang telah diberikan kepadanya. Mungkinkah masih ada ruang kemaafan buat dosa-dosa yang telah dilakukannya?


   " Jangan pernah menyerah Asyraf. Teruskan usahamu mencari kemaafan isteri serta keluargamu. Yang paling penting, cari kemaafan dan ampunan dari Allah. Pintu taubat-Nya sentiasa terbuka untuk engkau. Seseungguhnya Dia Maha Pengasih dan Maha Pengampun terhadap makhluk-Nya. Jangan pernah berputus asa dan berhenti memohon keampunan-Nya."


   Di dalam kemarahan dan kekecewaan, Mursyid tetap cuba menjadi seorang sahabat yang penuh pengertian. Dia cuba menenangkan Asyraf yang sedang dilanda musibah. Dipeluknya sahabat karibnya itu. Tidak pernah dia lupa bahawa seorang muslim itu wajib membantu seorang musim yang lain. Taatnya dia kepada perintah Allah menjadikan dia seorang sahabat yang sangat setia selama ini. Meskipun Asyraf tidak pernah menghargainya, cukuplah sekadar dia menghargai hubungan persahabatan itu.


   " Maafkan aku, Mursyid. Aku sedar, selama ini aku selalu sakitkan hati kau dan teman-teman yang lain. Aku pandang rendah terhadap kau. Aku tak hargai pandangan kau. Aku cemari hubungan persahabatan kita dengan sikap-sikap kotor aku. Aku zalim terhadap kau dan diriku sendiri. Kini, bila aku susah, tidak ada sesiapapun sanggup membantu aku. Kau juga yang datang ke sisiku. Kau yang selama ini aku perkotak-katikkan. Maafkan aku, Mursyid."   Asyraf memeluk erat sahabatnya itu. Sungguh dia berasa terharu yang teramat sangat. Dikurniakan seorang sahabat yang sanggup memaafkannya dengan penuh keikhlasan dan dengan penuh pengertian menemaninya di kala kesusahan. Walau mati hidup semula sekalipun, belum tentu dia akan dikurniakan Allah seorang sahabat seperti itu lagi. Dia sudah tidak punya sesiapa lagi. Hanya ada seorang sahabat yang kini akan dia hargai sepenuhnya. Seorang sahabat yang didatangkan oleh Allah buatnya. Akan dia hargai sahabat itu...selamanya.....




Alhamdulillah....selesai dah satu cerita. Syukur...di sebalik segala masalah teknikal yang berjam-jam ana mengatasinya, dengan izin Allah, pulih segalanya. dan dapat juga ana selesaikan cerpen ini....kita semua ada sahabat. pernah tak kita ada sahabat seperti Asyraf? yang mementingkan diri dan tak pernah terima pendapat orang lain? yang selalu merendahkan orang lain dan pilih kawan?  mesti masing-masing pernah mengalaminya kan? macam mana nak handle situasi macam ni? ada dua jalan sahaja.  pilih untuk bertoleransi dan selesaikan dengan baik....atau...bersengketa.... jangan sampai buat pilihan yang salah. oleh itu kawan2, hargailah teman2 kita. terimalah baik atau buruk dia. terimalah kekurangannya. bersahabat untuk saling melengkapi. anda kurang, dia pun kurang. bila bersama, kita sempurna sebagai 1 pasukan. jangan pernah putuskan ukhwah yang telah terjalin itu hanya kerana perkara-perkara kecil. mana lagi nak cari kawan seperti Mursyid? mungkin kawan2 kita tidaklah sebaik Mursyid, tapi dia tetap kawan kita. kalau dia salah, kita betulkan. kalau kita salah, jangan takut terima teguran darinya. itulah sebab kita berkawan kan?


  Akhir kalam, ampun dan maaf di atas segala kekasaran bahasa tersilap kata, tersakit di sini sana.  tidak sedar di hati ini. betulkan sahaja kalau salah. tegur sahaja kalau dirasa ada yang tidak betul. semoga kita semua terus bersahabat. semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada para pembaca yang dikasihi sekalian....wassalam....

3 comments:

Abdullah said...

Khairunnisa' di perenggan 18
"Asyraf yang seringkali membela nasibnya sewaktu dia dihina di tempat kerja dek kerana statusnya"

tak faham,kenapa mursid dihina??
sebab:
.dia anak yatim?
.tak kahwin lagi?
atau
????

KHAIRUNNISA' said...

sbb dye anak yatim la..mne de sebab lain utk seseorang itu dihina klo x sbb dye anak yatim.

KHAIRUNNISA' said...

tp,,x b'makna smua ank yatim kne hina..juz dgambarkn dlm cita ni gtu,,spy persepsi kte t'hdp ank yatim brubah la lps ni..