andai kau sudi

Thursday, January 13, 2011

SAYANG AYAH....

Assalamualaikum W.B.T...


   Salam sejahtera, salam perkenalan buat yang tak dikenali...Semoga sentiasa berada di bawah rahmat-Nya selalu. Hari ni, saya rasa nak menulis lagi. Cerita pasal ayah. Semua ada ayah kan? Kalau dah takda lagi, takpe. Bagi yang lelaki, andalah pemimpin keluarga anda kini. Yang perempuan pula, bantulah ibu anda dalam perjuangan beliau. Ayah.....Kenapa ayah? Kenapa tak cerita pasal ibu? Hari ni saya teringatkan ayah saya. In fact, hari-hari ingat ayah. Tapi, hari ni rasa nak tulis tentang ayah. Ayah..


Bismillahirrahmanirrahim....

   Sudah seminggu aku menarik muka masam. Ayah buat tak tahu saja. Aku tahu ayah paling lemah kalau terpaksa menghadap muka masamku. Oleh sebab itu, muka masam itu sering ku jadikan senjata untuk melemahkan keteguhan insan bergelar ayah itu. Insan yang telah membesarkan aku dengan tangannya sendiri. Mendodoi, memandikan serta mendukung aku di saat aku ketiduran di kerusi. Suatu ketika dahulu....Masih samar-samar kenangan itu di ingatanku.


   Kini, aku sudah dewasa. Sudah punya keinginan dan kehendak sendiri. Jarang sekali aku meminta. Namun, permintaan ku kali ini ingin sekali aku melihat ayah menunaikannya. Tidaklah sebesar mana permintaanku itu. Aku cuma inginkan sebuah telefon bimbit. Telefon bimbitku sendiri. Rasanya, pada usia 15 tahun, aku sudah layak memiliki telefon bimbit. 

   Ayah sememangnya sangat tegas. Apa-apa sahaja perkara yang boleh melalaikan aku tidak sekali-kali akan dia turuti meskipun aku menangis berhari-hari. Sejak dari kecil lagi, sudah menjadi adat dan kewajipan bagiku mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan. Ayah sendiri akan memantauku ketika aku sedang belajar.


   Dalam ketegasan, ada kelembutan dan kasih sayang. Terkadang, ibu akan naik marah dengan sikapku yang keanak-anakan. Bila sudah "termakan cili" masakan ibu tercinta, sudah tentulah rasa pedas. Pedas sampai mengalir air mata. Ketika waktu itu, tidak ada insan lainlah yang akan memujuk aku jika bukan ayah. Lembut sekali ayah mengusap kepalaku sambil mengucapkan kata-kata yang menenangkan hati. Sayang ayah! 


   Akhirnya, ayah menyerah juga. Sememangnya wajah masam itulah senjata terhebatku. Katanya, aku boleh memiliki telefon bimbit andainya aku berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan PMR kelak. Masih aku ingat kata-kata ayah. 


" Sama ada kau dapat 7A daripada 8A atau kau tak dapat apa-apa daripada ayah!" 

   Tegas penuh makna. Aku hanya menelan air liur tatkala mendengarkan kata-kata ayah. 


" 7A??!!  Mana mungkin! Nak dapat 5A pun susah. Inikan pula 7A!"  

   Aku sangat marah ketika itu. Terkadang aku terfikir. "Mengapa ayahku tidak sebaik ayah orang lain? Mengapa ayah tegas sangat? Mengapa ayah begitu? Mengapa ayah begini?"  Tidak pernah berhenti aku bertanya.


   Ketika bersendirian di dalam bilik, kenangan pahit itu menyerang kotak fikiranku kembali.

" Dah besar melawan kau ya?!  Dah besar sangat sampai berani membantah cakap orang tua?!  Makan pun aku yang tanggung!"


   Aduh!  Sakit sekali. Sudah hampir patah riuk agaknya tulang temulangku pada waktu itu. Hebat sekali pukulan dan tamparan ayah. Terbukti sifat panas baran ayah yang selama ini dipendam sahaja. Aku sendiri sudah tidak mampu membuka mulut lagi. Nasib baik ada ibu. Jika tidak, hanya Allah yang tahu apa akan terjadi. Itulah kali pertama dan kali terakhir aku dibelasah teruk oleh ayah. Sejak dari hari itu, ayah tidak lagi menggunakan tangan dan kakinya untuk mendidik aku. Ayah lebih suka menggunakan mulutnya.

"  Kau ingat Nisa. Kalau sampai umur 18 tahun kau masih tidak ada apa-apa pencapaian, kau boleh pergi dari rumahku. Pergi cari mana-mana lelaki dah berkahwin sahaja. Aku tidak mahu terus menghabiskan wang dan masa buat anak yang tidak mahu berusaha dan tidak mahu berjaya."


   Tenang suara ayah. Tapi, kata-katanya? Fuhh! Cukup bermakna. Dalam sekali. Ku fikir ayah hanya sekadar ingin menakutkan aku sahaja. Tapi, fikiranku ternyata salah. Aku melihat sendiri bagaimana adik-adik yang "terkantoi" mana-mana paper sewaktu peperiksaan dimarahi sendiri oleh ayah. Gerun. Tidak ada tangan dan kaki sebagai senjata. Cuma mulut dan kata-kata pedas yang sangat menakutkan.


" Kau nak pergi ke? LAW? Betul kau nak pilih LAW?"


   Suatu malam yang sepi, ayah bertanya kepadaku. Surat tawaran itu ku tatap dalam-dalam. Aku yakin ayah tahu keinginanku. Aku yakin ayah sudah tahu jawapanku. Tapi, mengapa ayah tidak mahu mengerti? 


   Aku hanya mengangguk perlahan. Ayah merenung jauh ke luar rumah. "Bolehkah aku hidup sendiri di tempat orang nanti? Bolehkah aku menjaga diri tanpa ayah di sisi?"  Persoalan-persoalan itu dapat ku lihat berlegar-legar di kepala ayah. Menjejak asrama saja tidak pernah. Sejak dari kecil sehinggalah genap umurku 17 tahun. Seumur hidup itu aku tinggal di bawah penjagaan dan pengawasan ketat ayah. Meskipun hidup seperti dikongkong, aku tidak pernah marah. Sebaliknya, aku rasa selamat. Aku rasa selamat selagi aku bersama ayah.  Hidup yang sentiasa menyendiri dan duduk saja di dalam rumah menjadikan aku pemalu dan cukup takut dengan kehadiran tetamu. Kerapkali aku melarikan diri andai ada tetamu datang ke rumah. Duduk sahaja di dalam bilik sehinggalah dipaksa keluar.


   Surat tawaran itu aku lupakan sahaja. Berjam-jam aku menangis di dalam tandas kerana ayah tidak membenarkan aku mengejar cita-citaku. Berhari-hari aku mendiamkan diri sehinggalah aku dipanggil untuk temuduga maktab.


   Ibu sudahpun mengaturkan segala-galanya. Hidupku memang selalu ibu yang mengatur. Selesai saja SPM, ibu terus mengisi borang permohonan maktab buatku. Aku hanya menurut sahaja. Ada juga waktu-waktunya aku melawan dan menyatakan kehendak serta prinsip sendiri. Tapi, kerapkali, aku tumpas dengan hujah-hujah mantap itu. Kini, aku sudah berputus asa. Biarlah walau apapun yang akan terjadi. Aku sudah tidak mampu melawan lagi. Memang inilah senario hidupku. Diatur oleh ibu selalu. Sehingga kini pun masih begitu dan akan terus begitu.


   Tidak pernah pula perancangan ibu gagal. Segala-galanya terjadi atas kehendak Allah juga. Allah sentiasa membantu ibu. 


" Nisa, tahniah. Kau lulus temuduga maktab."  Mesej pertama ibu pagi itu. Sejujurnya aku agak gembira kerana aku yakin kini kerjayaku sudahpun terjamin.


" Nisa dapat dekat IPG Kampus Pendidikan Islam Bangi Selangor. Alhamdulillah.."


   Tersentak aku menerima mesej kedua ibu. Bukan status IPG itu yang aku takutkan, tetapi...SELANGOR!   S E L A N G O R !  Jauh sekali!  Jantungku berdegup kencang. 


" Mak dah book tiket. 28 haribulan bertolak dan terus mendaftar."


   Gembira sekali ibu. Ibu memang sentiasa bersemangat seperti itu. Aku hanya tergamam dan terdiam. Mulanya tadi aku ingin sekali menolak tawaran itu. Tapi, apa lagi yang bisa ku katakan andainya segalanya sudahpun ibu aturkan? Ibu memang seorang "PENGARAH" yang sukses.


   Malam itu, ayah tidak mahu langsung berbicara denganku. Menatap wajahku saja tidak mahu. Pulang ke rumah terus mendiam dan membatukan diri. Apa pula salahku kali ini? Mengapa ayah melayanku sebegitu?


" Kak, tadi ayah tanya. Akak nak pergi ke maktab tu?"  adikku mula bersuara.


" Ah! Mengapa harus ditanyakan soalan itu kepadamu? Mengapa tidak ditanyakan kepadaku sendiri. Aku yang mendapat tawaran itu. Tiket sudah ditempah. Jika aku tidak ingin sekalipun aku tetap harus pergi."


   Tegas sekali aku menjawab pertanyaan adik. Adik hanya mengangguk soelah-olah mengerti gelodak jiwaku. Aku rasa sedih. Mengapa ayah jadi begitu? Aku sendiri tidak pasti.


   Esok hari, aku mendengar ayah terbatuk-batuk di dalam bilik. 4 hari ayah demam setelah aku memutuskan untuk pergi. Diam sahaja ayah di rumah. Tidak lagi petah berkata-kata. Adik-adikku juga tidak mahu pula mencari masalah. Ayah pasti lagi tidak senang kerana aku ingin pergi. 


   Seminggu sebelum tarikh mendaftar, aku ke kampung menemui nenek. Aku terdengar perbualan ayah dan nenek.



" Selangor tu jauh, Mak. Nisa tu, tinggal asrama pun tak pernah. Macam mana nak hidup kat tempat orang? Saya risau. Dia perempuan. Tak pernah pula tinggalkan rumah? Bolehkah dia hidup sendiri? Macam mana kalau dia sakit nanti? Siapa yang nak tolong dia?"   Sedih sekali ayah tatkala meluahkan rasa kepada nenenk. 



  Baru aku sedar. Baru aku tahu mengapa ayah jadi begitu. Baru aku tahu mengapa ayah sampai sakit-sakit. Semuanya kerana ayah sayangkan aku. Sejujurnya, ayah memang tidak pandai menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anaknya. Tetapi, aku tahu ayah tetap sayang.


" Janganlah kau bimbang. Andai dia sendiri sudah bersetuju, itu tandanya dia sudah bersedia. Kau juga yang mahu dia ke maktab bukan? Hari tu, dia dapat LAW dekat Sarawak ni kau tak benarkan dia pergi. Takkan kali ni kau nak halang dia lagi? Sampai bila kau nak simpan dia di dalam rumah tu? Sampai bila kau nak terus tengok dia siang malam di dalam rumah tu? Kalau bukan sekarang, suatu hari nanti dia akan berkahwin dan tetap akan pergi. Dia sudah dewasa. Tahulah dia menjaga diri nanti."


   Ayah mula mendiamkan diri. Memang tidak pernah aku mendengar ayah membantah kata-kata nenek. Ayah memang anak yang baik. Sejak atuk pergi, hampir setiap hari ayah akan melawat nenek. Kalau tidak dapat berlama-lama, sekejap pun jadilah. 


   Ayah memang seorang lelaki yang hebat. Jika ibu ada urusan di luar kota, ayah lah yang akan menguruskan segala-galanya. Dialah ibu, dialah juga ayah. Dari memasak, mencuci, menanam bunga,  menjahit, mengemas rumah dan segala-galanya. Semua ayah tahu. Semua kerja perempuan ayah boleh buat. Kerna itu ayah dipandang tinggi oleh anak-anaknya. Kami sangat hormat akan ayah.


   Pagi itu, awal sekali aku bangun. Hari itu aku akan bertolak ke Semenanjung. Aku akan pergi meninggalkan rumah yang selama ini tidak pernah aku tinggalkan. Sedih. Tapi aku tahu aku tetap harus pergi. 


   Ayah memandu perlahan. Ayah masih mendiamkan diri. Tidak berkata walau sepatahpun. Ibu pula asyik tersenyum riang. Harapan dan kehendaknya sudahpun tertunai. Segala perancangannya berjalan dengan lancar. Ibu yang akan menemaniku nanti. Ayah tidak mahu ikut serta. Aku tahu dia berat hati. Dapat ku lihat matanya berkaca melalui cermin pandang belakang itu. Sedih pula rasa di hati. Selama ini aku tidak pernah tahu bahawa ayah begitu sayangkan aku. Aku jarang sekali bercakap di rumah. Lebih suka menyendiri dan hidup dengan duniaku sendiri. Ayah juga cukup memahami sifatku yang pendiam kerana aku sama sepertinya. Pendiam dan punya mulut yang cukup berbisa. Kerana itu aku jadi anak ayah.


    Dalam kesepian itu, aku mula teringat kisah lama.

" Nisa, kau nak tahu tak? Masa kau kecil-kecil dulu, kau suka tengok gambar perkahwinan mak dan ayah. Suatu hari kau pun tanya kat mak."


" Mak, nanti Nisa pun kahwin macam ni jugak ke?"


" Ya nak. Nanti bila kau dah besar, kau pun akan kahwin macam mak juga."


" Kahwin dengan ayah?"


" Eh bukan. Ayah dah kahwin dengan mak. Kau akan kahwin dengan lelaki lain. Bukan dengan ayah."


  "Lepas tu, kau menangis sebab mak kata kau kahwin dengan lelaki lain." Ibu hanya tersenyum tatkala cerita itu disampaikan kepadaku. Kemudian aku pun bertanya.


" Nanti, bila Nisa nak kahwin, boleh Nisa pilih sendiri? Mak tak marah?"

 Tidak semena-mena ayah mencelah. "Kahwinlah dengan siapapun. Tapi, hanya selepas kau punya kerjaya dan hidupmu terjamin."


  Ibu tersenyum lagi. "Apa katamu? Kau masih mahu memilih sendiri?"


" Tidak. Siapa pilihan ayah, dialah pilihanku kerana aku yakin bahawa ayah akan memilih lelaki yang sehebatnya danlebih hebat daripadanya buatku." Aku hanya menjawab di dalam hati dan tersenyum.


   Perjalanan ke lapangan terbang terasa sekejap sekali. Segalanya akan berakhir di sini. Ayah masih tidak mahu bercakap banyak. Hanya pesannya padaku agar menjaga diri bila dia tidak lagi di sisiku untuk menjaga serta mengawasiku. Aku ingat pesan ayah. Sehinggalah ke hari ini. 


   Tangannya kusalami. Masih dia tidak mahu menatap wajahku. Sekilas ku lihat ada kesedihan di matanya. Sifat kelelakian memberatkan dirinya untuk menunjukkan kesedihan itu. Tidak mengapa. aku mengerti.



" Nisa. Ayah sayang sangat pada engkau. Sebab tu dia sakit bila dia tahu kau nak pergi. Kau anak pertama dia. Anak perempuan dia. Kerana itu dia berat melepaskan kau pergi".  Masih aku teringat kata-kata ibu. Semakin sayang aku pada ayah. Ku lihat ke luar. Tidak ada ayah. Hanya ada awan putih yang tebal dan suram. Sama seperti wajah ayah sewaktu melepaskan aku pergi.




   Alhamdulillah...Selesai juga cerita kali ni. Hmmmm...Nak balik!!!  Rindunya dengan ayah. Kadang-kadang rindu nak dipukul ayah. Paling rindu masakan ayah. Ayah pandai masak. Cuma ayah takut darah. Heheh. Inilah cerita saya dan ayah. Ayah pukul, ayah marah, ayah bangkang, ayah bantah. Saya sudah tahu mengapa. Kalau dulu saya akan kecil hati, kini saya sudah mengerti. Ayah sentiasa mahu yang terbaik untuk saya. Jika ayah mahu saya ke maktab, saya akan pergi. Jika ayah tidak mahu saya jadi peguam, saya akan tinggalkan. Yang penting, ayah dan ibu bagi restu. Jika hitam kata ayah, hitamlah kata saya. Jika putih kata ayah, putihlah kata saya. Kerana saya sayang ayah.



   Akhir kata, saya sendiri tak tahu nak cakap apa. Sudah tentu kita semua sayang keluarga masing-masing. Walaupun dekat mulut kata tak sayang, dekat hati tetap mesti sayang. Ayah....Insan yang bernama ayah ni kadang-kadang tak tahu nak tunjukkan kasih sayang. Tapi, percayalah bahawa ayah kita sangat sayangkan kita. Jangan rasa ayah tak pedulikan kita jika dia kadang-kadang biarkan kita. Mungkin dia mahu kita belajar berdikari. Jadi, sayangilah bapa anda. Hormatilah dia kerana dia ketua keluarga kita. Saya tahu, anda semua punya ayah yang hebat-hebat belaka. 


   Maafkan saya andai ada tersalah kata tersilap bicara. Saya hanya ingin berkongsi cerita. Cerita saya dengan ayah. Wassalam....











2 comments:

compaq owner said...

saya nk msok mktab...
tup2 dpat law...
tbalik la kta...
tp xksah...
u dgn rmah stengah jam ja dh smpai...
hehehehehehe.......

KHAIRUNNISA' said...

gud 4 u...well,, blajarlah menyukai apa yg kite ade skrg... =)